Dia manis.
Wajah bujur sireh, alis mata tersusun rapi, bibir memerah bak delima dan yang lebih terserlah, kulit yang putih mulus membaluti dirinya itu.
Memang dia manis.
Leka benar dia membelek tudungnya yang ditiup angin. Fareeda?? Adijuma?? Persetan semua itu. Gadis secantik itu andai dibalut guni beras sekalipun, dia tetap menawan.
Betul-betul dia manis.
Saat dia menjeling, jelas terlihat bundar mata yang memukau itu. Dan kala dia tersenyum bila melihat diriku hingga menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.
Perrrhhhhh...!!
Sumpah dia manis..!!
"Abang.."
Tersentak aku dengan teguran itu. Aku alih pandangan. Hitam, rambut bergulung, misai kontot.
"Hijau ka kuning abangg..??"
Mat bangla yang lengkap dengan uniform hijaunya itu menegur. Terpapar perkataan PETRONAS di dada kanannya.
Aduhhh..potonglah..!
"Hijau..!" bentak aku sambil memerhatikan harga Ron97 yang masih di takuk lama.
Aku alih pandangan semula. Mencari si manis yang memukau pandangan mataku tadi. Kerana wajah itu telah berjaya menembusi kornea mataku. Dari mata, wajah itu telah menjelajah ke seluruh pelusuk tubuh. Menerjah ke otak, namun gagal diproses di sana lalu telah ditendang ke hati. Tiba di hati, wajah si manis itu terus menetap tak mahu berganjak lagi. Walau cuba diusir sekalipun.
360 darjah aku putar badan. Bukan sekali, tapi tiga kali. Kerana bola mata ini kehilangan pandang terhadap si manis.
"Kau la ni Mujibur..! Dah hilang awek yang aku pandang tadi..!" mat bangla yang leka memerhati meter minyak berputar ligat hanya terkelu.
"Abangg..apa saya punya salah..??"
"Pasal aku bercakap dengan engkaulah, hilang awek tu tadi..!" bukan melepaskan marah. Namun sekadar menerjemahkan kekecewaan dalam nada tinggi.
Puas ku melihat, namun tetap tak kelihatan, hanya kelibat lori cina sayur, mat pakistan jual aiskrim dan salesgirl berseluar legging muka ketat yang mengedarkan risalah sahaja dapat ku lihat.
Kecewa diri ini umpama terlepaskan Nora Danish dari dakapan. Betul-betul punya kecewa!
"Yittu adik manis ka abang..??" mat bangla kembali menegur. Aku lihat dirinya semula dengan dada yang mengembang, berpura sado walau hakikatnya keding. Si mat bangla menuding jari ke dalam kedai serbaneka milik Petronas itu.
Awesome..!! Si manis ada di dalam rupanya.
Aku hanya angguk perlahan. Sekadar ucapan terima kasih tidak ikhlasku pada si mat bangla. Dan langkah romeoku, bergerak gagah menuju ke dalam SMART.
"Macam mana nak start ni ye..??" aku cuba berfikir menggunakan otak dan fikiran. Mempergunakan akal yang dikurniakan untuk menegur si manis.
Andai ku guna perasaan dan nafsu, silap hari bulan, si manis rebah pula bermuntahkan darah dek kata-kata aku yang tidak menggunakan akal.
"Hai..boleh kita berkenalan..??
Romeo sangat pulak..
"Kecantikan awak memukau diri ini.."
Hmm..aku bukan Shakespeare..
"Hello..wanna be my girl..??"
Cannot..playboy sangat..
Habis macam mana aku nak start berbual dengan dia?? Setiap permulaan hubungan memerlukan kata-kata. Tanpa kata-kata umpama makan nasi tanpa kicap. Tak lengkap..!
Di kala serebrum dan medula oblongata aku kerah memikirkan cara untuk mengajaknya berbual, tak sedar kini aku berdiri betul-betul di sebelahnya. Peti ais 10 pintu di dalam SMART itu jadi saksi. Saksi yang aku sedang berpura TALL DARK HENSOME walaupun yang benarnya jantung ini sedang berdegup 5000km/j.
Anak mata nakalku mula memainkan peranan. Susuk tubuh itu kuperhatikan sedang leka memilih minuman di dalam peti ais yang dibuka luas pintunya.
34..28..36..
"Ya Allah Ya Tuhanku..lindungilah diri hambamu ini dari melihat kecantikan melalui nafsu..serlahkan kecantikan itu melalui pandangan imanku Ya Allah.."
Anak mata yang nakal melirik tadi segera ku pejam. Meratap memohon keampunan atas khilaf diriku. Yang menggunakan nafsu untuk melihat. Tika yakin diri ini telah cukup kuat semula, mata ku buka luas semula.
Si manis sedang memerhati aku yang menggeletar tanpa henti di sebelahnya. Senyuman yang dia berikan, buat diriku hampir rebah dek lutut yang tak mampu menahan getaran tubuh berskala 10.5 skala ritcher.
"Beli air ke..??"
Dia bercakap pulak dah..!!
Diri ini yang kononnya tadi bersemangat untuk menuturkan kata perkenalan, kini terkunci rapat. Terpukau dek lunak suaranya pula. Hanya kepala mengangguk mengiakan kata-kata si manis.
Dia berlalu ke kaunter. Aku melangkah sama ke kaunter di sebelahnya. Tin minuman yang kucapai tanpa lihat tadi, ku letak perlahan. Kami bersebelahan semula. Aku di kanan, dia di kiri.
Adakah dia tulang rusuk kiriku..?? Kerana dia betul-betul berada rapat dengan rusuk kiriku kini..!
"Bang..betul ke ni..??" gadis cashier pula menegurku.
"Ye dik..ini je abang nak minum.." anak mata masih meliar melihatkan si manis di sebelah. Kerana dia terlalu menawan, rugi rasanya andai pandangan ini dialihkan.
"Kacip Fatimah..??"
Tin minuman yang ku letak di kaunter ku perhatikan semula. Merah jambu warna yang meliputi tin. Memang sah aku tersalah ambil..!
"Abang memang minum ni dik.." kebuntuan jawapan kerana fungsi otak telah dialihkan ke arah lain. Jawapan yang kuberi pada si gadis cashier mengundang letus tawa kecil pada si manis.
Tiada perkataan yang sesuai untuk senyuman manis itu melainkan..
MANIS
"Ishh..tak boleh jadi ni..aku kena jugak tegur ni..kalau tak melepas ni nanti.." aku hanya mengekori lenggok si manis hingga ke kereta. Mat bangla hanya melambai padaku. Mungkin minyak di keretaku telah penuh diisinya.
Tunggulah..! Aku nak beli jiwa ni kejap..
Si manis terhenti bersebelahan Perodua Myvi merah miliknya. Sedikit terkedu melihatkan aku hanya mengekori seumpama stalker yang mampu membinasakannya.
Ada garisan gusar kelihatan di riak mukanya. Pintu kereta dibuka sambil meletakkan air minuman yang baru dibelinya tadi.
"Ye..kenapa..??"
Hadui mak..bawah sinaran mentari petang itu menyerlahkan keayuan dirinya yang tidak tertanding itu. Sekilas jarinya melintas tika membetulkan tudung yang diterbangkan angin, terpancar satu sinaran yang menggamit mataku.
Cincin di jari manisnya.
Arghhh..!! Bini orang ke..!!
"Encik..kenapa ikut saya..??" soal si manis semula.
Andai mampu aku terbalikkan stesyen minyak itu, tentu telah aku lakukan. Kerana kekecewaan itu terlalu sukar untuk ditelan. Terlalu sukar untuk dihadam.
Perit, pedih..memusnahkan harapanku. Berkecai berterabur hati ini bergelimpangan ke lantai. Hanya aku sahaja yang mampu melihat cebisan hati itu berselerakan.
"Takde apa..saya cuma nak tahu apa rahsianya awak kekal putih..??" Hanya itu sahaja alasan yang dapat kuberi. Dalam kecewa, aku tewas untuk berfikir. Kerana kecewa itu perlahan membunuhku.
"Hi hi hi.." tawa itu meredakan sedikit gelora dalam hati. Kerana tawa itu, menjadi penawar tanpa perlu disuntik ke dalam tubuh. Muka ku angkat semula memandang dirinya buat kali terakhir mungkin.
Dan dia..
Hanya meletakkan jari telunjuknya ke pipi kirinya. Kepala dilentoknya seolah memanjakan diri melihat diriku.
Perlahan jari itu bergerak pula ke pipi kanannya. Diikuti sama oleh lenggok kepalanya.
"Qu puteh..Qu puteh..barulah putih..!" sebaris ayat terpacul dari mulut si manis itu diikuti tawa manjanya.
Erkkkk..
Dan dia terus sahaja meninggalkan aku tanpa kata selamat tinggal. Meninggalkan aku sendirian mengutip cebisan hati yang berkecai tadi.
Semoga kita jumpa lagi si manis Qu Puteh..
No comments:
Post a Comment