Monday 2 February 2015

Tentang Rasa

"Jangan tenung saya macam tu..”

Dari mata turun ke hati.

Kesekian kalinya, aku tewas melawan tenung bola matamu. Warna coklat hazel itu terlalu menawan. Puas ku sanggah untuk aku melupakannya, namun  nyata panahan mata itu telah terletak rapi di hati ini. Redup mata itu merenung diriku ini, bisa merobohkan tembok hati, bisa meranapkan teguhan iman yang ku jaga dan bisa memesongkan akalku untuk tak henti mengingati dirimu.

“Oh abang Budin..kau istimewa di hatiku..” aku  hanya mampu berbisik dalam hati kala abang Budin tak mengendahkan kata-kataku. Aku suruh buang jauh pandangan curi itu, namun dia tetap terus memperagakan bola matanya yang menawan  itu.

“Abang Budin..apa kau  tahu apa sebenarnya yang tersirat di hati ini..??”

Andai mampu  kau dengar bisikan hati ini, aku yakin kau pilih untuk rebah dari terus mendengarnya. Kerana bisikan hati ini terlalu tulus. Bisikan hati ini terlalu dalam untuk kau fahami. Bisikan hati ini terlalu agung aku cipta khas untuk dirimu abang Budin.

“Alahai abang Budin..”

Kala aku diam diri, tak bermakna aku mengelak dirimu. Kerana berdiam  adalah senjata ampuhku untuk menggerunkan dirimu. Bila mana aku tewas dalam relung kasihmu, aku terpaksa diam diri. Tiada kata. Walau sepatah, walau dua patah atau walaupun berpatah-patah. Kerana aku tak pernah sanggup untuk meluahkan segala yang tersirat. Hanya melayangkan yang tersurat agar kau faham  apa yang tersirat.

Sejujurnya adakah kau tahu apa yang berlegar di minda ini? Atau mungkin kau tegar biar dan sengaja lepaskan ia berlegar tanpa arah.  Umpama  kata-kata tanpa noktah, tergantung ayatnya tiada berpenghujung. Umpama layang-layang yang terputus terajunya, terus terbang tinggi ke  awan hilang entah kemana. Atau,  umpama pohonan  mawar yang layu tiada bersiram, terbiar mati keguguran daun.

“Adakah itu kau abang Budin..??”

Sengaja ku biar gelora di hati membadai tanpa hentinya. Kerana badai itu, mendekatkan lagi aku dengan dirimu. Biar tiada terpisah jalinan antara kita. Gentar itu tetap bersarang di lubuk hati, namun untuk ku luah segala kata di hati, tidak. Aku gusar andai aku mula berkata, kau akan pergi jauh. Jauh  meninggalkan aku merindukan dirimu seorangan. Pada siapa lagi selepas itu untuk ku adu segala gundah nestapa.

Bergelanggang di mata orang banyak. Yang nyata beza antara kita terlalu ketara. Aku cuba bertapak di alam nyata yang aku  hanyalah pipit yang terbangnya tidak setara bersama si enggang. Mungkin juga aku  hanya rimbunan semak di belantara andai  hendak dibandingkan dengan kau yang persis pohonan jati. Kau tumbuh tinggi mendongak awan, dan aku hanya diam di bawah mengharap belasmu.

“Ahh..berkali cuba ku tolak angan di hati pergi jauh, namun  ia muncul semula silih  berganti..”

Aku angan kita hidup bersama mengejar impian. Impian yang satu untuk yang hakiki. Berdua kita membina mahligai indah  bersama. Sentiasa ku angan kau  hadir dalam pelukanku. Hadir mendamaikan diri ini yang saban hari memendam rasa. Niat di hati ingin kurasa dibuai kasihmu. Biar nyenyak lenaku di sisi dirimu tiada terganggu.

“Ya..itu hanya anganku untuk bersama dirimu..aku yakin, andai kau tahu segala yang tersirat di hati ini, aku yakin kau pilih untuk rebah dari terus mendengarnya..”

Aku  sanggup menjadi sekadar watak yang hanya hadir  bersama dirimu. Kerana aku damba kehidupan abadi bersama dirimu. Walau kau bidas tiap kataku, walau kau sisih kehadiranku, aku tetap akan ada untuk dirimu. Walaupun hanya untuk seketika.

“Usahlah aku tak endah, ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang.”

Aku gusar peribahasa Melayu itu tempiasnya mengenai diriku. Aku tahu kau benar kasihkan aku. Mungkin kedaifan diri ini, kau jadikan alasan untuk menerima diriku. Tapi lebih parah jika kasih yang kau curahkan selama ini hanya sekadar kasih yang berpura-pura. Mungkin hanya di hadapanku kau  tumpahkan segala kasih sayangmu. Dan bila aku tiada di sisi, aku mungkin dilupakan tanpa sebarang ingatan.

“Bagaikan  kambing menongkah bukit, bukit tak runtuh, tanduk yang patah..”

Mungkin ini yang lebih tepat untuk diriku. Mungkin selama ini yang aku kerjakan untuk menambat perasaan dan hatimu, sekadar kerja yang sia-sia pernah aku  lakukan. Atau mungkin hanya sekadar berangan mendambakan dirimu. Tapi hakikatnya, kau sendiri tak pernah merasai apa yang aku rasakan.

Aku hanya terus diam tanpa kata. Pandangan ku letak tepat ke arah kabinet kaca di hadapanku. Tak sanggup hendak ku tawan pandangan darimu itu abang Budin.

“Abang Budinnnnnn..” lembut, meleret-leret, menggoda nada itu memanggil si abang Budin, namun di hujung panggilan itu, terserlah kegedikan si pemanggil. Lucy jambul ku gelar dia. Musuh aku!

Baru aku nak beterbangan membuai angan bersama abang Budin, kau pula muncul Lucy jambul.

“Lucy nak yang istimewa ye abang Budinnnnn..”

Kau gedik..kau gedik..kau gedik..!

“Okay..Lucy tunggu kejap ye..”

Abang Budin pun sama. Tiap kali si Lucy jambul tu datang, dia pun turut sama jadi gedik. Entah mana hilangnya serius yang dipamernya seharian tadi. Agaknya asyik mengadap aku , abang Budin ni dah jelak. Mungkin melihatkan wajah aku dah serupa melihat mangkuk jamban. Jijik!

“Lucy baru balik kerja ke..penat je nampak muka Lucy  tu..”

“Ye abang Budin..baaaaanyak sangat kerja hari ni..peeeeenat Lucy abang..” jari diseret ke dahi. Pandangan mata dibuang ke langit. Sesekali bibir mengeluh.

Menyampah dah aku ni..rasa aku nak taji-taji je pinggang kau tu Lucy jambul..

Dia datang, bawa kereta Myvi warna pink. Dia parking tepi jalan. Bawak beg duit turun, senyum senget pandang abang Budin, langkahan kecil tapi laju menuju ke arah aku dan abang Budin. Sampai mengadap kami, abang Budin disapanya, aku di jelingnya.

Kau ingat kau hot sangat ke Lucy jambul..puiih..

"Abang Budin pun nampak penat je..berminyak dah Lucy tengok muka abang Budin tuuuuuu.." jari telunjuk bengkok ditala ke arah dahi abang Budin. Serupa cuka masam muka si Lucy jambul.

Hek elehh..muka abang Budin berminyak ke atau kau yang nak jual minyak Lucy jambul..??

"Apa nak buat kan Lucy..kita bukan orang senang..kerja kena kuat..barulah boleh survive hidup..kalau malas kerja, macam mana nak senang kan..??" abang Budin mencapai tuala kecil warna putih di lehernya. Peluh yang menjunam turun dari dahinya dikesat. Lucy jambul terangguk-angguk mengiakan kata-kata abang Budin umpama burung belatuk mematuk pohon kayu.

"Nora.."

Degup jantung rasa terhenti saat ku dengar abang Budin memanggil namaku. Nada itu lembut, penuh sopan dan ada getar halus di hujungnya. Getar itulah yang menusuk di gegendang telingaku. Hinggakan satu badan menggigil mendengarkan getar suara abang Budin itu.

"Udang dah siap..??"

Emm..ingatkan nak cakap i sayang u lebih ke depan-depan si Lucy jambul ni..

"Dah abang Budin.." aku angguk. Semangkuk udang yang telah ku buang kepalanya ku hulur pada abang Budin. Enam ekor udang sebesar ibu jari dicampaknya ke dalam kuali.

Cengggg..!!

Berkepuk asap menerjah ke seluruh pelusuk gerai kecil abang Budin. Kuali masak di goyangkannya hingga memarakkan api di dalam kuali. Tusukan bau udang bersama rencah-rencah yang lain menusuk pula ke dalam hidung.

"Masak sedap-sedap ye abang Budinnnnn.." Lucy jambul pamer pula deretan gigi yang tersusun rapi. Putih umpama mutiara.

Dengarkan rengekan si Lucy jambul, makin ligat tangan abang Budin menggoyangkan kuali yang dipegangnya. Sudip bersilang-silang menggaul isi di dalam kuali. Rencah terakhir yang teristimewa dileburnya ke dalam kuali. Sekali lagi menaikkan satu aroma semacam yang mampu mengeriukkan perut.

Bila untuk Lucy jambul je, mesti abang Budin masak special..kalau boleh biar menimbun bekas polysterine tu dengan isi..udang pulak selalunya dia letak tiga ekor..untuk Lucy jambul, mesti dia letak lebih..aku syak abang Budin kena dukun dengan si Lucy ni..

Aku hanya memerhatikan sahaja abang Budin ligat dengan kerjanya. Saat dicampaknya juntaian kuey tiaw halus ke dalam kuali, aku mula menyediakan bekas polysterine. Kerana si Lucy jambul, jarang makan di situ. Dia hanya membungkus untuk dibawa pulang.

"Dah siap..nah.." aku hulur seplastik char kuey tiaw yang telah siap kubungkus pada Lucy. Dia sambut tanpa sepatah kata padaku.

"Abang Budinnnnn..berapa ringgit..??"

Aku tahu apa jawapan yang abang Budin akan bagi..

"Takpelah Lucy..abang belanja.."

Kan betul..hmm..

"Baiknya abang Budin..ini yang buat Lucy saaaaaaayang pada abang Budin ni.." siap kenyit mata pada abang Budin. Mujur pipi abang Budin tak dikerenyuknya. Kalau diusiknya abang Budin aku, sumpah aku taji!

Mata jantan abang Budin hanya melihatkan si Lucy jambul skirt pendek itu berlalu pergi. Bukan main gatal lagi dia pamer senyuman. Halkum jantan di lehernya aku nampak meneguk air liur.

Ciss betul abang Budin ni..pantang bersemuka si dahi licin, mulalah hilang iman..

"Abang Budin..!"

Terkulat dia memandang aku yang duduk melihat dirinya. Peluh di dahi sekali lagi dikesatnya. Tersengih memerhatikan aku yang mula daring melihatkan dirinya.

"Alah Nora ni..abang nak cuci mata pun tak boleh.." asyiklah tersengih tiap kali selepas Lucy jambul datang dan pergi.

Mentang-mentang aku gedempol..muka tak ada make up..pipi gebu penuh jerawat..kau tak nak pandang aku kan abang Budin..tak berselera kau ye..kalau nak cuci mata sangat, bak sini biji mata tu..aku rendam dalam clorox, lepas tu aku sental guna berus dawai..haaaa..baru kau tahu lepas tu apa maknanya cuci mata..

"Nora.."

Sekali lagi getar suara itu mendamaikan hati ini. Cemburu silih berganti bersama perasaan sayang. Bila ku toleh, pandangan penuh magis itu terpampang di hadapanku. Hampir sahaja berterabur sos kuey tiaw yang aku pegang di tangan. Bila dah bergetar tangkai hati, maka aku pun mulalah..

Kau ku lihat umpama berlian di kalangan taburan kaca yang berselerakan di lantai. Kilauan si berlian berbanding si kaca, jelas ketara bedanya. Kekadang aku punya persoalan di hati. Apakah sebenarnya punca aku sebegini. Asal sahaja kau berkata, aku mula bersenandung cuba menenangkan jiwa.

Saat jiwa menguntum rindu, hati bersulam sayang, naluri diisi kata cinta, nescaya saat itu jugalah aku mula kecelaruan emosi dan perasaan. Sampai suatu ketika, aku hampir tidak kesedaran dengan apa yang aku lakukan. Kata orang, padah angau orang ingin bercinta.

"Adakah kau rasa apa yang aku rasa abang Budin..??" Monolog seorangan dalam hati bisa menenangkan jiwa. Biarlah aku sebegini.

"Nora rasa tak apa yang abang rasa..??" Redup mata itu makin tajam merenung aku.

Ahh..aku boleh mati kalau bertentang mata dengannya..inikan pula tika dia seolah ingin melafazkan kata cinta padaku..tolong..bantal, tilam..biar aku rebah dalam keselesaan..tak sanggup rasanya rebah terhantuk ke atas lantai..

"Rasa apa abang Budin..??" aku gadis Melayu. Sifat malu menebal dalam diriku. Saat disapa sebegitu, lumrahnya setiap wanita Melayu akan tertunduk malu. Di situlah jelas beda keaslian wanita Melayu dengan wanita yang lain. Masing-masing punya cara yang berbeza.

Mungkinkah angan yang aku layangkan selama ini telah hinggap menimpa abang Budin?? Hingga dia kini seolah turut merasakan apa yang aku rasa..

"Abang mula dapat rasakan ada pahitnya.."

Pahit dan manis adalah rencah hidup manusia abang Budin. Masakan kita mampu untuk mengelaknya. Begitu juga dengan kisah kita, onak duri, ombak badai, ribut taufan, semuanya umpama seribu satu gelora yang cuba menduga kisah hidup kita abang Budin. Masakan mampu untuk kita mengelaknya.

"Abang Budin..memang Nora merasakan perkara yang sama..selama ini Nora hanya berani mendiamkan diri sahaja.." setelah nafas ku hela panjang. Aku ambil kata putus, aku leraikan semuanya yang telah lama terpendam di lubuk hati. Biar dia tahu selama ini apa yang tersirat tidak terluah.

"Kenapa Nora tak pernah cakap pada abang Budin..??"

Aku selindung kerana aku gusar. Aku diam diri kerana aku gentar. Aku pendam rasa kerana aku benar kasih pada dirimu. Mana mungkin aku berani menzahirkan segalanya yang bernaung dalam dada semata untuk kepuasan diriku sendiri.

"Nora risau abang.." aku masih tunduk tidak berani pamer wajah pada abang Budin.

"Lain kali, jangan selindung..Nora kena cakap..bagi abang tahu.." terlalu serius nada suara abang Budin. Tapi nada itu berbaur penuh prihatin.

Aku angguk. Aku senyum tanda puas. Rupa-rupanya selama ini abang Budin nyata sedar dengan segala yang aku simpan dalam hati. Mungkin juga dia turut menyembunyikan perkara yang sama. Hanya aku sahaja tidak mengetahuinya.

Perlahan dapat aku lihat abang Budin merapati aku. Tangannya mengorak merapati tanganku yang sedang erat mengenggam sos char kuey tiaw. Dan aku yakin, inilah permulaannya.

Aku jangka abang Budin akan menggenggam erat jemariku. Badanku akan dikalih mengadap dirinya. Kala itu mungkin aku sedang tertunduk malu, dan Abang Budin akan menongkah daguku untuk melihat wajahnya dengan penuh kasih sayang. Saat mata kami bertentangan, aku yakin kata-kata itu akan dilafazkannya.

I love u Nora..

Aku cintakan dirimu Nora..

Im so deeply in love with u Nora..

Aku damba kehidupan bersamamu Nora..

Ye..itulah kata-kata yang sering berlegar di mindaku..mungkin kata-kata yang akan diucapkan oleh abang Budin pada diriku..saat cinta antara kami terlerai di sini hari ini..di gerai char kuey tiaw abang Budin..

Biar kuali jadi saksi, biar tong gas jadi saksi, biar polysterine putih turut jadi saksi. Saksi noktah cinta kami berdua.

Ahh romantiknya abang Budin..

"Lain kali kalau dah bau lain macam sos ni, bagitau abang cepat..pasal sos kalau dah expired, char kuey tiaw yang abang masak tu rasa pahit.." sos di tanganku abang Budin capai.

Aku angkat muka, aku pandang abang Budin.

"Abang Budin cakap pasal rasa kuey tiaw ke..??"

"Yelah..rasa kuey tiaw..habis tu rasa apa..??"

Kuajaq..!!

Mana nak simpan malu..?? Lain yang aku harap, lain pula jadinya..kata cinta yang aku harap, kata lain pulak yang dia bagi..hampeh kau abang Budin..!!

Aku kerenyuk apron yang membaluti tubuh. Aku cakar lantai dengan kaki. Aku ketap gigi sekuat hati. Aku pamer muka geram. Andai dapat aku kisar abang Budin sampai lunyai, mesti telah aku lakukan.

Hoiii geramnya..!!

Abang Budin tinggalkan aku seorangan di meja kecil itu. Dia kembali ke kuali pusakanya. Mendambakan dirinya bersama kuali dan gerai kecilnya itu. Ditumpahkan segala kasih sayangnya pada gerai itu. Tempat dirinya mencari sekawah nasi selama ini.

Dan aku..

Terus berkhidmat bersama abang Budin sebagai pembantu di gerai kecilnya dan terus memendam rasa terhadap abang Budin. Kerana aku tak sanggup meninggalkan abang Budin keseorangan. Biarlah aku pendam segala rasa di hati, asalkan aku kan terus bersama abang Budin.

The greatest char kuey tiaw chef in Seremban.

And also the only one..my jantung hati..