Thursday 4 June 2015

Bukit Putus : Penampakan 2

Sambungan daripada kisah yang lalu..

Penampakan 2

Hari telah pun larut malam. Diperhatikan ke arah jam, tepat menunjukkan jam 2.30 pagi.

"Allah..menyesal betul aku.." Shahrul mengeluh seorangan. Dalam kedinginan malam, dia memandu seorangan. Melepasi pekan Seremban, menuju ke Kuala Pilah.

"Kalau aku tau habis lambat macam ni..memang takkan aku pergi dinner tu.." keluhnya sendiri mengubat resah di hati.

Jamuan makan malam tahunan syarikat yang dihadirinya berakhir lewat. Leka bersembang, tidak menyangka waktu semakin suntuk merafak ke tengah malam. Hatinya berat untuk pulang terlalu lewat, namun dek desakan rakan sekerja, terpaksa juga dia relakan. Walaupun dia tahu, perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Pilah itu, pastinya bakal memahat sesuatu yang tidak diingininya.

Bukit Putus. Siapa tidak tahu akan jalan puaka itu. Terlalu banyak kejadian ngeri dan menyayat hati menyelubungi sejarah jalan bersimpang siur itu. Terlalu banyak kematian telah disaksikan di jalan itu. Dan kini, dia seorangan, membelah laluan itu menuju pulang ke rumah.

Radio dipasangnya kuat setibanya di hadapan ladang belimbing berhampiran Bukit Putus itu. Lampu jalan yang terakhir hanya beberapa meter sahaja dari keretanya ketika itu. Selepas dilepasinya lampu jalan yang terakhir itu, 8 kilometer seterusnya akan dilalui hanya dengan berbekalkan cahaya lampu keretanya sendiri.

"Bismillah.." Shahrul menelan air liur saat keretanya mula membelok melalui selekoh yang pertama. Di situ, pernah ada seorang penunggang motosikal yang mati digilis lori dahulu. Berkecai tubuhnya bersepah isi perut di atas jalan raya.

Dia harus cermat dan berhati-hati. Jalan itu terlalu sempit. Bila malam, selepas disimbahi embun jantan yang menitis, turapan jalan menjadi sedikit licin daripada kebiasaan. Shahrul tidak boleh terlalu gopoh memandu. Jika lalai, pasti kenderaan pacuannya akan terbabas di sisi jalan raya lalu terjunam ke gaung yang teramat dalam.

Ada yang pernah mengatakan, beberapa pemandu yang memandu lewat malam di kawasan itu diganggu oleh satu jelmaan. Cerita berkenaan jelmaan itu cukup popular di kalangan penduduk di sekitar kawasan itu. Jelmaan yang menyerupai seorang gadis cina, menanti di tepi jalan raya, dan melambai ke arah setiap pemandu yang melintasinya.

Namun, ada juga yang bernasib baik, jelmaan gadis cina itu menemani pula mereka sepanjang perjalanan sehingga ke penghujung Bukit Putus tersebut. Ada yang mengatakan, dia tidak mengganggu, hanya melihatkan kehadirannya di sisi-sisi biasan cermin kereta. Itu sahaja.

Shahrul tersentak saat lampu di dalam keretanya menyala secara tiba-tiba. Lama ia terpasang seolah ada pintu kereta yang tidak rapat.

"Takkanlah kot....." dia mengeluh berat. Kata orang yang pernah mengalami sendiri keadaan itu, kejadian lampu dalam kereta terpasang sendiri, adalah lumrah di kawasan itu. Lebih-lebih lagi jika 'dia' berada berdekatan.

Hampir enam selekoh telah dilaluinya, tidak semena-mena, lampu itu terpadam dengan sendirinya. Peluh renek segera membasahi dahi. Shahrul mengucap tidak ketentuan arah. Lutut serta merta menggeletar dengan sendirinya. Saat dia menoleh memerhatikan ke cermin sisi selepas terpadamnya lampu itu, kelihatan satu susuk tubuh, tertunduk di kerusi belakang keretanya.

Dia hanya diam tidak bergerak. Helaian rambutnya terurai menutupi wajah. Sesekali terbang pabila ditiup angin yang menerobos melalui cermin tingkap.

"Allahuakbar..keluarlah dari kereta aku ni..aku tak ganggu kau.." Shahrul terketar-ketar ketika mengucapkannya. Dia tahu, jelmaan gadis cina itu kini menumpanginya.

Kelajuan kereta kian berkurangan. Puas dihenyaknya pedal minyak untuk menambah kelajuan, namun tetap kenderaannya perlahan seperti tidak punya kuasa. Dilihatnya pada meter di papan pemuka. 40km/j.

Bisik-bisik halus mula kedengaran di cuping telinga. Jelmaan itu masih tercegat di belakang. Seolah merintih tidak jelas butirnya. Namun yang pasti, pelat cina dari bisikan itu tertangkap di telinga Shahrul.

Bisikan itu hanya datang sekali, namun terus sahaja ia berlalu pergi setelah Shahrul membelok ke suatu selekoh yang sedikit tajam. Bila dilihatnya lagi ke cermin sisi, jelmaan itu telah pun tiada. Untuk seketika, dia menghela nafas lega. Namun bila memikirkan kenderaan yang dipandunya itu masih terlalu berat, tidak seperti biasa, hatinya kembali dihuni resah.

Runut bunyi di corong radio kereta muka berdesit. Berbunyi seakan terganggu siarannya. Shahrul tidak langsung mengendahkan kejadian itu. Ketika itu, dia hanya menumpukan terhadap pemanduan. Sesekali ada juga dia menjeling ke sisi jalan, kalau-kalau jelmaan itu muncul lagi.

Namun, kegelapan malam membataskan penglihatannya. Cahaya simbahan lampu kereta tidak mampu menerangi keseluruhan kawasan itu. Shahrul meneka yang kini mungkin dia sudah berada di pertengahan Bukit Putus. Pergerakan kereta yang perlahan, melambatkan lagi perjalanannya.

Dupp!!

Bumbung keretanya seakan dihempas sesuatu. Serta merta bulu romanya kembali menegak naik. Batang tengkuk terasakan sejuk seperti ada air batu yang ditekap. Lampu hadapan kereta juga serta merta berkelip-kelip sendiri tanpa dia mengetahui apa puncanya. Ketika leka dia memikirkan apa pula bala yang menimpa dirinya kala itu, hujung telinganya seakan dihembus perlahan dari belakang. Dingin dan lembut hembusan itu.

"Allahuakbar..tolonglah jangan kacau aku lagi.." rintihnya semula. Rupa-rupanya jelmaan gadis cina itu kembali semula menumpangi di belakang kereta. Tetapi, kali ini wajahnya didongakkan melihat ke arah cermin sisi kereta itu.

Shahrul hanya mampu menjeling, tidak mampu hendak melihat lama ke arah cermin itu. Wajah di cermin itu menggerunkan. Kencang jantungnya berdegup. Bacaan ayat-ayat lazim yang dihafalnya juga tonggang terbalik dibacanya saat itu.

Sekali lagi Shahrul memberanikan diri, melihat semula ke arah cermin. Di dalam hati berdoa agar jelmaan itu telah hilang seperti awal tadi. Namun jangkaannya meleset. Jelmaan itu masih tercegat memerhatikannya.

Helai rambut tersingkap menampakkan rupa. Hanya sebelah wajah dapat dilihatnya, namun sudah cukup untuk terpahat di memorinya bagaimana rupanya jelmaan itu.

Kulit wajahnya pucat. Putih, langsung tidak menampakkan seri. Matanya terbeliak dan meruncing di hujung. Hidung kelihatan penyek seperti berlekuk. Lendiran seakan nanah mengalir turun daripada lekuk hidung itu. Dan di pipinya kelihatan seperti ada insang yang bergaris. Lima garisan membelah pipi membentuk seperti insang. Terbuka dan terkuncup menuruti helaan nafasnya. Bila mengembangnya garisan di pipi yang menyerupai insang itu, kelihatan ulat-ulat kecil melompat dan melingkari ruang dalam pipi itu. Saat terpandangnya batang tengkuk jelmaan itu, kulit tengkuk yang bersisik dan menggerutu makin mendebarkan hatinya.

"Astaghfirullah...!" tidak berani lagi Shahrul hendak melihatnya. Kerana saat dilihatnya wajah itu sudah mula menyeringai tersenyum padanya, hatinya kian tidak keruan. Lidah yang dijelirnya menampakkan lendiran seakan air ludah pekat. Meleleh hingga menitis ke bawah.

Serta merta ruang kereta itu dihuni bauan hanyir. Berselang seli dengan bauan colok cina. Shahrul redha dalam keterpaksaan. Perjalanan menghampiri ke hujungnya. Jika benar kata-kata orang yang pernah mengalami kejadian itu, jelmaan itu akan meninggalkan kereta yang mereka tumpangi setibanya di penghujung jalan itu.

Shahrul hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Bauan hanyir yang diselangi bauan colok cina mula bergerak hilang. Rintik kabus tebal pula hadir membataskan penglihatannya. Simbahan lampu kereta tidak mampu menyuluh jauh. Dirinya kian diselubungi resah. Untuk kesekian kalinya, dia menoleh ke cermin sisi untuk melihat semula ke belakang. Kosong.

Shahrul menghela nafas kelegaan. Mungkin jelmaan itu telah pergi. Selekoh yang terakhir kunjung tiba di hadapannya. Kabus tebal dirempuhnya perlahan-lahan. Di penghujung selekoh, betul-betul di atas garisan pembahagi jalan, jelmaan gadis cina itu berdiri tegak menghalang laluannya. Hampir sahaja keretanya tergelincir ke sisi jalan akibat brek yang ditekan mengejut.

Cahaya terus menerangi jelmaan itu. Dia berdiri tegak, namun tertunduk. Hanya lenggok tangannya seolah melambai ke arah Shahrul. Mengajak agar Shahrul merapatinya.

"Tolong aku.." kedengaran suara dari jelmaan itu menerpa dalam kesunyian jalan. Dia merapati, perlahan demi perlahan. Shahrul seakan terpaku tidak mampu berbuat apa. Tubuhnya kali itu langsung tidak mampu digerakkan. Hanya membiarkan jelmaan itu merapati keretanya lalu masuk ke kerusi di sebelahnya.

Jelmaan itu hanya duduk diam. Tidak berkata apa. Menampakkan sisi wajah, dan 'dia' tersenyum. Lelehan lendir dari bibir menitik ke pangkuannya. Kekuningan bercampur merah seakan darah. Batang tengkuk yang dipenuhi sisik-sisik halus dan menggerutu, menjelaskan lagi sisi seram wajah itu.

"Kau..temankan aku.." ucap lembaga itu dan memalingkan wajah. Tersenyum dengan jemari membelai pipi Shahrul ketika itu. Runcing kuku serta kesat jemari mengelus pipinya. Kulit tangan berkedut dan berlubang menampakkan tulang belulang. Pandangan seolah sengaja dipakukan untuk melihat wajah jelmaan gadis cina itu. Kali ini, wajahnya terserlah penuh.

Elusan jemari jelmaan gadis cina itu merayap ke tubuhnya pula. Runcing kuku menekan ke dada. Dan dia tersenyum. Menampakkan barisan gigi yang kehitaman. Hujung lidah terjelir mendekati wajahnya. Beliakan anak mata yang mula mengalirkan air mata darah, mula membayangi Shahrul. Dia tidak mampu menutup kelopak mata apatah lagi memalingkan wajah.

Kerdipan cahaya dari hujung selekoh mematikan lamunan Shahrul. Desitan bunyi brek yang ditekan kuat membingitkan laluan itu. Cengkaman tayar ke atas jalan raya, menghadirkan bauan hangit. Mujur, sebuah lori ayam sempat mengelak dari melanggar keretanya yang ketika itu tersangkut di tengah jalan raya. Tidak bergerak. Bergegas pemandu lori itu turun mendapatkan Shahrul yang terpinga-pinga kemamaian.

"Ehh dik..kenapa ni..?? Accident ke..??" terpaan pemandu lori itu menjengah ke cermin tingkap keretanya. Shahrul menggeleng. Namun tidak mampu berkata apa. Lidahnya seakan kelu tidak mampu untuk bercakap.

"Dah..dah..cepat jalan ni.." bonet keretanya diketuk sebelum pemandu lori itu beredar. Shahrul mengesat peluh di wajahnya. Melihat semula sekeliling kereta. Kalau-kalau jelmaan itu masih ada lagi. Setelah yakin, dirinya tidak lagi ditemani jelmaan itu, segera keretanya dialihkan menyusur ke tepi jalan raya. Agar lori di hadapannya itu, kembali mendapat laluannya semula.

Shahrul tersandar ke kerusi. Mengucap beberapa kali mengumpul kekuatannya semula. Membayangkan jelmaan itu sahaja sudah cukup untuk mendebarkannya. Stereng kereta dipaut erat.

Hon dari lori yang berselisih dengannya memeranjatkan Shahrul. Sempat diangkatnya tangan menggamit pada pemandu yang membantunya tadi. Jika tidak, pasti sesuatu yang lebih buruk akan terjadi.

Saat ekor lori melintasi di sisinya, dapat dilihatnya satu susuk tubuh berdiri di celahan muatan lori itu. Tersenyum dan melambai ke arahnya. Jelmaan gadis cina tadi!

Kini, lori itu pula ditumpanginya..

Monday 1 June 2015

Bukit Putus



Jalan berturap berlingkar-lingkar. Membelah banjaran Gunung Angsi di antara Seremban dan Kuala Pilah. Dikelilingi hutan dan anak air yang mengalir. Bertembokkan cerun bukit dan bersempadankan gaung di kiri dan kanan jalan.
            32 selekoh semuanya,
            25 memukau mata,
            5 setajam pisau,
            Dan..
2 ada penunggunya..
Berpuluh tahun lamanya jalan itu digunakan khalayak. Jalan tunggal penghubung di antara dua daerah yang berkepadatan tinggi. Setiap hari ia dilalui dan dihuni manusia siang dan malam. Lori-lori kayu, bas-bas kilang dan juga kereta-kereta kecil berselisih sesama sendiri di sepanjang perjalanan. Setiap hari.
Menurut cerita orang-orang lama yang bermukim di sekitar Ulu Bendul – penempatan yang paling hampir dengan Bukit Putus, kawasan berselekoh itu ada penghuninya. Penceritaan zaman berzaman, kononnya di puncak Gunung Angsi itu terdiamnya sebuah istana besar yang memukau. Dan pemiliknya adalah bunian yang tidak menampakkan diri. Hijau atau putih? Hanya orang lama sahaja ketahui.
Pernah suatu ketika, seorang pencari akar kayu yang tinggal berdekatan, mendaki Gunung Angsi untuk mencari rezeki. Dia sendiri tidak ditemani sesiapa. Leka membelek dedaun dan akar kayu yang berselirat, telinganya disapa sesuatu. Bunyi yang terlalu asing untuk didengarinya di puncak bukit itu. Jelas. Paluan kompang bertalu-talu dipalu seolah adanya majlis keraian di puncak bukit itu. Wallahualam.
Dek kerana laluan yang berselekoh dan sempit itu, pastilah rentetan peristiwa kemalangan ngeri sering menghimpit dan menambahkan puaka jalan itu. Satu persatu nyawa melayang saban tahun. Jalan raya seolah medan perang. Mayat bergelimpangan, tulang belulang bersepai dan darah meluncur mengalir. Semakin tua semakin berisi jalan berbengkang bengkok itu. Hanyir.
Suatu kisah apabila sebuah van kilang yang membawa beberapa orang pekerja dijumpai terjunam ke dalam gaung hanya selepas beberapa hari operasi mencari dilakukan. Pasukan menyelamat berdepan laluan sukar. Jurang yang dalam serta kelam membataskan segala operasi. Ketika dijumpai, kebanyakan mayat telah mengembung dan ada juga yang telah berulat. Setakat kemalangan biasa seperti penunggang motosikal terperosok ke bawah treler, kepala lori bertembung sesama sendiri, kereta merempuh tebing bukit hingga membongkah naik tanah, itu adalah kemalangan lazim. Namun kebanyakannya pasti akan melibatkan nyawa.
Hari demi hari, bulan berselisih bulan, tahun berganti tahun, laluan Bukit Putus semakin ‘hanyir’.
PENAMPAKAN 1
Awan jingga membaluti langit. Terjunamnya matahari di ufuk barat bakal membaluti dunia dengan kegelapan semula. Kitaran alam yang tiada ubahnya saban hari. Hanya melainkan kiamat kunjung tiba.
Azman menggenggam erat stereng lori pacuannya. Hari ini dia perlu menuju ke Muadzam Shah. Dari Kuala Lumpur, menyusur keluar sahaja dari lebuh raya menuju ke Seremban, hala lorinya terus dipacu laju mengarah ke destinasinya.
Pemandangan yang tadi hanya dikelilingi oleh bangunan dan blok-blok batu, kini mula berubah sedikit demi sedikit. Tiada lagi bangunan. Tiada lagi rumah-rumah batu penghias di kiri kanan jalan. Hanya hutan berpokok rimbun jadi temannya sepanjang perjalanan.
“Hmmm..” Azman mengeluh berat.
“Jangan kau buat perangai atas bukit ni dah la..” telapak tangan dihempas ke stereng. Azman merungut sambil melihatkan jam di tangan kanannya. 7.30 petang. Puncak senja.
Bertahun lamanya Azman bergelar sebagai pemandu lori membelah jalanraya. Kemana sahaja akan ditujuinya. Asal ada pelanggan yang meminta barangan mereka untuk dihantar, pasti Azman akan merelakan dirinya untuk memandunya ke destinasi tujuan. Namun papan tanda di bahu jalan yang dilihatnya itu, mula menghadirkan keresahan.
Pemandu lori mana yang tidak mengenali laluan berselekoh itu? Sempit dan berbahaya. Curam dan mengerikan. Jika pengalaman tidak setinggi gunung, pasti malapetaka akan menimpa jika salah cara pemanduannya. Dan yang paling ditakuti oleh pemandu lori adalah jika lori yang dipandu mereka rosak di pertengahan jalan. Terutamanya di kawasan berbukit.
Tidak banyak kereta yang lalu lalang dapat diperhatikannya. Laluan menghala ke Seremban ternyata lengang tiada kenderaan yang melalui. Mungkin kerana masing-masing telah berada di rumah, berehat bersama anak isteri, tidak seperti dia.
“Hmmm…” sekali lagi Azman mengeluh berat. Laluan yang tadi lebar kian mengecil. Di sisi kirinya ladang belimbing seluas alam dan di kanannya ladang durian menongkah bukit.
Satu persatu peristiwa seram mula menyelubunginya. Jika tadi dia hanya merisaukan kenderaan yang berselisih dengan lori panduannya, kini cerita-cerita seram berkenaan laluan itu pula melingkari mindanya.
Hantu..
Itu sahaja yang dapat digambarkan ketika itu. Kesuraman di kala senja itu semakin membangkitkan aura angker dalam dirinya. Manakan tidak, baru sahaja dua minggu lepas rakan karibnya melalui laluan itu. Setibanya di selekoh ketiga laluan itu, pandangannya terarah pada satu susuk tubuh yang sedang mengayuh basikal di bahu jalan. Perlahan. Ketika itu hujan renyai.
Sewaktu sahaja basikal yang ditunggangi oleh seorang tua itu dilepasinya, isteri di sebelah sekadar berdiam diri tidak berkutik. Namun membelok pula di selekoh yang kedua, orang tua berbasikal itu muncul lagi di bahu jalan. Masih mengayuh.
Rakannya itu sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Diperhatinya ke cermin sisi, basikal yang telah dilepasinya awal tadi masih tidak kelihatan. Mungkin belum tiba lagi di selekoh itu fikirnya. Namun kini, basikal yang sama dengan penunggang yang serupa muncul pula di hadapannya. Basikal tua berwarna hitam, bakul tersisip rapi di hadapan handle dan orang tua itu berpakaian lusuh berwarna coklat.
“Dejavu..” bisik hati rakannya itu seperti apa yang diceritakan. Menyangkakan mungkin itu sekadar perasaannya sahaja. Melihatkan dua peristiwa yang sama dalam sekali imbas. Mungkin.
Namun ternyata semua itu meleset sama sekali..
Basikal tua yang ditunggang si tua berbaju coklat lusuh itu muncul lagi. Rakannya itu mula berkira-kira dalam hati. Sudah tiga kali dilintasinya orang yang sama pada selekoh yang berbeza. Hati mula tidak tenteram. Wajah isteri serta anak kecil di pangkuan mula diperhatikannya. Pandangannya dan isteri mula bertaut.
“Dah tiga kali kan kita potong orang yang sama bang..??” tegur isterinya bersahaja. Sesekali dia mengintai ke belakang melihatkan orang tua yang baru dilintasi mereka. Cabul!
“Awak benda-benda macam tu jangan ditegur..!”
“Kenapa pulak..?? Betullah saya cakap..!”
Anak kecilnya mula merengek. Tersedu-sedu dia menangis sebelum selekoh yang seterusnya diambil rakannya itu. Menurut katanya, ketika itu isterinya sedang menoleh ke belakang menyelesaikan perihal anak kecilnya yang merengek. Setibanya di selekoh seterusnya, stereng kereta dipaut menghalakan kereta ke arah kiri, mengikutkan arah selekoh yang agak tajam, pandangannya lantas terpaku melihatkan sekujur tubuh di sisi jalan.
Orang tua berbaju coklat lusuh itu berdiri di bahu jalan dengan basikal tuanya ditopang ke tanah. Jelas dapat diperhatikan olehnya, orang tua itu sedang memerhatikan sahaja kereta yang dipandunya ketika itu. Tiada sebarang garis senyum di wajahnya. Kusam dan muram. Dia hanya tegak memerhatikan kenderaan rakannya itu menyusur melintasi dirinya.
Semakin galak tangis anak kecilnya di sepanjang perjalanan. Mujur rakannya itu tidak cepat melatah. Dia masih cuba bertenang walaupun dia mengetahui yang baru dilintasinya itu bukanlah manusia seperti yang difikirkannya. Setibanya di Ulu Bendul, di kawasan hentian, dia berhentikan kenderaan lalu duduk termanggu seketika sambil isterinya memujuk anak kecil yang masih menangis tak henti. Mujur tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
“Ahhh..entah-entah sengaja di reka cerita tu nak takutkan aku..” Azman berbisik sendiri. Dia tidak boleh terleka membuai angan. Perhatiannya perlu dipakukan ke arah jalan raya. Bukit Putus semakin hampir di hadapannya.
Selekoh yang pertama selepas ladang durian di sisi kanannya sunyi. Tiada langsung kenderaan sewaktu itu. Jalan raya hanya diterangi dengan cahaya lampu dari suluhan lorinya sendiri. Lampu jalan memang tiada langsung terpasangnya di sepanjang laluan itu. Ditolehnya ke kiri, gaung. Bersemak dan kelam. Ditolehnya ke cermin sisi kanan untuk melihatkan ekor lorinya, pandangannya tidak semena-mena terarah pada satu binaan kecil di tepi jalan.
Tokong kecil berwarna merah..
“Lumah latok..” Azman tergelak seorangan. Sengaja diajuknya pelat Cina di bibir. Tokong itu betul-betul dibina di antara sempadan belukar dengan kebun durian tersebut. Menurut kenalan berbangsa Cina yang dikenalinya, mereka pernah bercerita, setiap tanah yang diterokai oleh masyarakat Cina mesti akan dipacakkan sebuah tokong kecil. Kata mereka lagi, itu adalah rumah untuk ‘Datuk’ yang menghuni kawasan itu sebelum mereka.
            Setibanya di selekoh yang kedua, ada sinaran dari hadapannya. Pedal lori ditekannya perlahan. Dia bakal berselisih. Ternyata tekaannya tepat. Sebuah lori pengangkut minyak sawit berselisih dengannya. Hon dibunyikan sebagai ‘syarat’ di kalangan pemandu lori. Seolah itu adalah cara mereka bertegur sapa walaupun tidak saling mengenali.
            Perjalanan selepas itu hanya berlalu lengang seperti biasa. Sesekali sahaja kereta yang mengarah ke Seremban berselisih dengannya. Selekoh demi selekoh dilaluinya tanpa berlakunya kejadian yang tidak diingini. Sehinggalah ke satu selekoh yang agak tajam dan mendaki. Lori kendaliannya mula tersengguk-sengguk seolah ada kerosakan yang dialami.
            “Sial..!” Azman menghentak stereng. Yang tidak diingininya kini mula terjadi. Lampu kecemasan segera dihidupkan. Lori dihimpitkan ke bahu jalan di sebelah kiri. Azman perlu berhati-hati kerana di sisinya ketika itu adalah gaung yang cukup dalam. Sayup mata memandang. Barangan yang dibawanya ketika itu perlu dijaganya rapi.
            Enjin masih mengaum namun tidak mahu lagi bergerak. Ditekannya pedal minyak, dilepaskan clutch perlahan-lahan, lori itu sekadar duduk pegun tidak bergerak. Walau seinci.
            “Aduhh.. clutch kong ke ni..??” Azman membebel sendiri. Pandangan dibuangnya ke luar tingkap. Kosong dan gelap. Tiada kelihatan kereta atau lori yang lalu lalang ketika itu.
            “Mampos aku ni..” rungutnya berat lalu pintu lori dikuaknya perlahan. Mahu atau tidak, lori itu perlu jua dibaiki. Telefon bimbit dicapai lalu majikan tempatnya bekerja dihubungi. Mekanik akan dihantar padanya. Itu janji majikannya ketika itu. Namun jam berapa tibanya mekanik itu untuk membantu, tidak dapat dipastikan oleh majikannya. Azman sendiri. Di dalam gelap, di dalam kesunyian Bukit Putus.
            Azman melihatkan sekeliling. Hanya pohon-pohon hutan terpacak tinggi. Bulan di langit turut malu-malu untuk melimpahkan cahaya. Dalam kesamaran itu, cuping telinga menangkap bunyian menderam. Seperti ada air yang mengalir. Azman melintasi jalan, menuju ke arah bunyi yang tidak jauh didengari dari dirinya itu.
            “Ada anak air rupanya..” satu laluan kecil menuju ke arah belukar diperhatikan azman. Di celahan laluan denai itu ada sebatang anak air yang mengalir. Anak matanya segera dialihkan pergi. Kata orang-orang tua, anak air di celahan dua bongkah bukit digelar ‘Lidah Bukit’. Tempat jin syaitan bertendang!
            Baru sahaja dia berniat hendak berlalu dari kawasan itu, bunyian susup sasap dari celahan belukar hinggap di cuping telinganya. Sepertinya alunan zikir yang didengarinya. Azman berpaling semula. Melihat ke arah jeram, ‘Lidah Bukit’ yang tiba-tiba seperti diterangi cahaya.
            Dari puncak aliran jeram bermula, kelihatan api obor menerangi. Deretan api obor menerbitkan cahaya terang yang sedikit menerangi. Deretan susuk tubuh berjubah dan berselendang di bahu kanan setiap mereka, menggamit perhatian Azman. Mereka melangkah perlahan-demi perlahan kea rah tempatnya berdiri.
            Ketika itu, Azman seolah terpaku. Mulutnya terkumat kamit membacakan ayat-ayat Al-Quran yang diketahuinya. Jantungnya berdegup kencang seperti mahu tercampak dari dada. Gerombolan lelaki berjubah kian menghampirinya. Di tengah-tengah kelompok yang ramai itu, beberapa orang dilihatnya sedang mengusung sesuatu di atas bahu mereka.
            Keranda!
            “Allah..!” Azman hanya mampu mengucapkannya di dalam hati. Matanya sendiri tidak mampu berkelip dek kerana ketakutan yang melampau. Peluh renek membasahi dahi sedang dia berdiri tegak terus memerhati.
            Zikir memuji Allah semakin jelas didengarinya. Gerombolan itu makin menghampiri. Satu persatu melintasi dirinya tanpa mempedulikan kewujudan Azman di sisi mereka. Sedangkan Azman, menggigil sendirian melihatkan semua itu.
            Saat sebuah keranda yang diusung mereka berada tepat di hadapan Azman, langkah mereka terhenti. Seorang dari mereka menoleh melihatkan kea rah Azman. Butir tasbih di jemarinya ligat dimainkan dengan bibir tidak henti mengalunkan zikir munajat. Dan dia tersenyum sahaja memerhatikan Azman yang sedang terpaku.
            Laluan berturap itu mereka rentasi. Gaung yang terletak di hadapan mereka seolah bukanlah satu halangan untuk mereka meneruskan perjalanan. Malah, semakin yakin mereka melangkah, lalu menuruni lereng gaung itu seperti tiada langsung kesulitan yang dihadapi mereka.
            Berlalunya kesemua rombongan yang mengusung keranda itu, cahaya obor kian hilang bersama mereka. Malam kembali bergelap. Kini, Azman sendiri, di dalam kelam. Terus sahaja kakinya menggeletar tidak ketentuan arah setelah melihat apa yang dialaminya di hadapan mata. Gerangan apa atau siapa mereka yang melintas di hadapannya kala itu, langsung tidak mampu dijelaskannya.

            PENAMPAKAN 2

bersambung....