Thursday 4 June 2015

Bukit Putus : Penampakan 2

Sambungan daripada kisah yang lalu..

Penampakan 2

Hari telah pun larut malam. Diperhatikan ke arah jam, tepat menunjukkan jam 2.30 pagi.

"Allah..menyesal betul aku.." Shahrul mengeluh seorangan. Dalam kedinginan malam, dia memandu seorangan. Melepasi pekan Seremban, menuju ke Kuala Pilah.

"Kalau aku tau habis lambat macam ni..memang takkan aku pergi dinner tu.." keluhnya sendiri mengubat resah di hati.

Jamuan makan malam tahunan syarikat yang dihadirinya berakhir lewat. Leka bersembang, tidak menyangka waktu semakin suntuk merafak ke tengah malam. Hatinya berat untuk pulang terlalu lewat, namun dek desakan rakan sekerja, terpaksa juga dia relakan. Walaupun dia tahu, perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Pilah itu, pastinya bakal memahat sesuatu yang tidak diingininya.

Bukit Putus. Siapa tidak tahu akan jalan puaka itu. Terlalu banyak kejadian ngeri dan menyayat hati menyelubungi sejarah jalan bersimpang siur itu. Terlalu banyak kematian telah disaksikan di jalan itu. Dan kini, dia seorangan, membelah laluan itu menuju pulang ke rumah.

Radio dipasangnya kuat setibanya di hadapan ladang belimbing berhampiran Bukit Putus itu. Lampu jalan yang terakhir hanya beberapa meter sahaja dari keretanya ketika itu. Selepas dilepasinya lampu jalan yang terakhir itu, 8 kilometer seterusnya akan dilalui hanya dengan berbekalkan cahaya lampu keretanya sendiri.

"Bismillah.." Shahrul menelan air liur saat keretanya mula membelok melalui selekoh yang pertama. Di situ, pernah ada seorang penunggang motosikal yang mati digilis lori dahulu. Berkecai tubuhnya bersepah isi perut di atas jalan raya.

Dia harus cermat dan berhati-hati. Jalan itu terlalu sempit. Bila malam, selepas disimbahi embun jantan yang menitis, turapan jalan menjadi sedikit licin daripada kebiasaan. Shahrul tidak boleh terlalu gopoh memandu. Jika lalai, pasti kenderaan pacuannya akan terbabas di sisi jalan raya lalu terjunam ke gaung yang teramat dalam.

Ada yang pernah mengatakan, beberapa pemandu yang memandu lewat malam di kawasan itu diganggu oleh satu jelmaan. Cerita berkenaan jelmaan itu cukup popular di kalangan penduduk di sekitar kawasan itu. Jelmaan yang menyerupai seorang gadis cina, menanti di tepi jalan raya, dan melambai ke arah setiap pemandu yang melintasinya.

Namun, ada juga yang bernasib baik, jelmaan gadis cina itu menemani pula mereka sepanjang perjalanan sehingga ke penghujung Bukit Putus tersebut. Ada yang mengatakan, dia tidak mengganggu, hanya melihatkan kehadirannya di sisi-sisi biasan cermin kereta. Itu sahaja.

Shahrul tersentak saat lampu di dalam keretanya menyala secara tiba-tiba. Lama ia terpasang seolah ada pintu kereta yang tidak rapat.

"Takkanlah kot....." dia mengeluh berat. Kata orang yang pernah mengalami sendiri keadaan itu, kejadian lampu dalam kereta terpasang sendiri, adalah lumrah di kawasan itu. Lebih-lebih lagi jika 'dia' berada berdekatan.

Hampir enam selekoh telah dilaluinya, tidak semena-mena, lampu itu terpadam dengan sendirinya. Peluh renek segera membasahi dahi. Shahrul mengucap tidak ketentuan arah. Lutut serta merta menggeletar dengan sendirinya. Saat dia menoleh memerhatikan ke cermin sisi selepas terpadamnya lampu itu, kelihatan satu susuk tubuh, tertunduk di kerusi belakang keretanya.

Dia hanya diam tidak bergerak. Helaian rambutnya terurai menutupi wajah. Sesekali terbang pabila ditiup angin yang menerobos melalui cermin tingkap.

"Allahuakbar..keluarlah dari kereta aku ni..aku tak ganggu kau.." Shahrul terketar-ketar ketika mengucapkannya. Dia tahu, jelmaan gadis cina itu kini menumpanginya.

Kelajuan kereta kian berkurangan. Puas dihenyaknya pedal minyak untuk menambah kelajuan, namun tetap kenderaannya perlahan seperti tidak punya kuasa. Dilihatnya pada meter di papan pemuka. 40km/j.

Bisik-bisik halus mula kedengaran di cuping telinga. Jelmaan itu masih tercegat di belakang. Seolah merintih tidak jelas butirnya. Namun yang pasti, pelat cina dari bisikan itu tertangkap di telinga Shahrul.

Bisikan itu hanya datang sekali, namun terus sahaja ia berlalu pergi setelah Shahrul membelok ke suatu selekoh yang sedikit tajam. Bila dilihatnya lagi ke cermin sisi, jelmaan itu telah pun tiada. Untuk seketika, dia menghela nafas lega. Namun bila memikirkan kenderaan yang dipandunya itu masih terlalu berat, tidak seperti biasa, hatinya kembali dihuni resah.

Runut bunyi di corong radio kereta muka berdesit. Berbunyi seakan terganggu siarannya. Shahrul tidak langsung mengendahkan kejadian itu. Ketika itu, dia hanya menumpukan terhadap pemanduan. Sesekali ada juga dia menjeling ke sisi jalan, kalau-kalau jelmaan itu muncul lagi.

Namun, kegelapan malam membataskan penglihatannya. Cahaya simbahan lampu kereta tidak mampu menerangi keseluruhan kawasan itu. Shahrul meneka yang kini mungkin dia sudah berada di pertengahan Bukit Putus. Pergerakan kereta yang perlahan, melambatkan lagi perjalanannya.

Dupp!!

Bumbung keretanya seakan dihempas sesuatu. Serta merta bulu romanya kembali menegak naik. Batang tengkuk terasakan sejuk seperti ada air batu yang ditekap. Lampu hadapan kereta juga serta merta berkelip-kelip sendiri tanpa dia mengetahui apa puncanya. Ketika leka dia memikirkan apa pula bala yang menimpa dirinya kala itu, hujung telinganya seakan dihembus perlahan dari belakang. Dingin dan lembut hembusan itu.

"Allahuakbar..tolonglah jangan kacau aku lagi.." rintihnya semula. Rupa-rupanya jelmaan gadis cina itu kembali semula menumpangi di belakang kereta. Tetapi, kali ini wajahnya didongakkan melihat ke arah cermin sisi kereta itu.

Shahrul hanya mampu menjeling, tidak mampu hendak melihat lama ke arah cermin itu. Wajah di cermin itu menggerunkan. Kencang jantungnya berdegup. Bacaan ayat-ayat lazim yang dihafalnya juga tonggang terbalik dibacanya saat itu.

Sekali lagi Shahrul memberanikan diri, melihat semula ke arah cermin. Di dalam hati berdoa agar jelmaan itu telah hilang seperti awal tadi. Namun jangkaannya meleset. Jelmaan itu masih tercegat memerhatikannya.

Helai rambut tersingkap menampakkan rupa. Hanya sebelah wajah dapat dilihatnya, namun sudah cukup untuk terpahat di memorinya bagaimana rupanya jelmaan itu.

Kulit wajahnya pucat. Putih, langsung tidak menampakkan seri. Matanya terbeliak dan meruncing di hujung. Hidung kelihatan penyek seperti berlekuk. Lendiran seakan nanah mengalir turun daripada lekuk hidung itu. Dan di pipinya kelihatan seperti ada insang yang bergaris. Lima garisan membelah pipi membentuk seperti insang. Terbuka dan terkuncup menuruti helaan nafasnya. Bila mengembangnya garisan di pipi yang menyerupai insang itu, kelihatan ulat-ulat kecil melompat dan melingkari ruang dalam pipi itu. Saat terpandangnya batang tengkuk jelmaan itu, kulit tengkuk yang bersisik dan menggerutu makin mendebarkan hatinya.

"Astaghfirullah...!" tidak berani lagi Shahrul hendak melihatnya. Kerana saat dilihatnya wajah itu sudah mula menyeringai tersenyum padanya, hatinya kian tidak keruan. Lidah yang dijelirnya menampakkan lendiran seakan air ludah pekat. Meleleh hingga menitis ke bawah.

Serta merta ruang kereta itu dihuni bauan hanyir. Berselang seli dengan bauan colok cina. Shahrul redha dalam keterpaksaan. Perjalanan menghampiri ke hujungnya. Jika benar kata-kata orang yang pernah mengalami kejadian itu, jelmaan itu akan meninggalkan kereta yang mereka tumpangi setibanya di penghujung jalan itu.

Shahrul hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Bauan hanyir yang diselangi bauan colok cina mula bergerak hilang. Rintik kabus tebal pula hadir membataskan penglihatannya. Simbahan lampu kereta tidak mampu menyuluh jauh. Dirinya kian diselubungi resah. Untuk kesekian kalinya, dia menoleh ke cermin sisi untuk melihat semula ke belakang. Kosong.

Shahrul menghela nafas kelegaan. Mungkin jelmaan itu telah pergi. Selekoh yang terakhir kunjung tiba di hadapannya. Kabus tebal dirempuhnya perlahan-lahan. Di penghujung selekoh, betul-betul di atas garisan pembahagi jalan, jelmaan gadis cina itu berdiri tegak menghalang laluannya. Hampir sahaja keretanya tergelincir ke sisi jalan akibat brek yang ditekan mengejut.

Cahaya terus menerangi jelmaan itu. Dia berdiri tegak, namun tertunduk. Hanya lenggok tangannya seolah melambai ke arah Shahrul. Mengajak agar Shahrul merapatinya.

"Tolong aku.." kedengaran suara dari jelmaan itu menerpa dalam kesunyian jalan. Dia merapati, perlahan demi perlahan. Shahrul seakan terpaku tidak mampu berbuat apa. Tubuhnya kali itu langsung tidak mampu digerakkan. Hanya membiarkan jelmaan itu merapati keretanya lalu masuk ke kerusi di sebelahnya.

Jelmaan itu hanya duduk diam. Tidak berkata apa. Menampakkan sisi wajah, dan 'dia' tersenyum. Lelehan lendir dari bibir menitik ke pangkuannya. Kekuningan bercampur merah seakan darah. Batang tengkuk yang dipenuhi sisik-sisik halus dan menggerutu, menjelaskan lagi sisi seram wajah itu.

"Kau..temankan aku.." ucap lembaga itu dan memalingkan wajah. Tersenyum dengan jemari membelai pipi Shahrul ketika itu. Runcing kuku serta kesat jemari mengelus pipinya. Kulit tangan berkedut dan berlubang menampakkan tulang belulang. Pandangan seolah sengaja dipakukan untuk melihat wajah jelmaan gadis cina itu. Kali ini, wajahnya terserlah penuh.

Elusan jemari jelmaan gadis cina itu merayap ke tubuhnya pula. Runcing kuku menekan ke dada. Dan dia tersenyum. Menampakkan barisan gigi yang kehitaman. Hujung lidah terjelir mendekati wajahnya. Beliakan anak mata yang mula mengalirkan air mata darah, mula membayangi Shahrul. Dia tidak mampu menutup kelopak mata apatah lagi memalingkan wajah.

Kerdipan cahaya dari hujung selekoh mematikan lamunan Shahrul. Desitan bunyi brek yang ditekan kuat membingitkan laluan itu. Cengkaman tayar ke atas jalan raya, menghadirkan bauan hangit. Mujur, sebuah lori ayam sempat mengelak dari melanggar keretanya yang ketika itu tersangkut di tengah jalan raya. Tidak bergerak. Bergegas pemandu lori itu turun mendapatkan Shahrul yang terpinga-pinga kemamaian.

"Ehh dik..kenapa ni..?? Accident ke..??" terpaan pemandu lori itu menjengah ke cermin tingkap keretanya. Shahrul menggeleng. Namun tidak mampu berkata apa. Lidahnya seakan kelu tidak mampu untuk bercakap.

"Dah..dah..cepat jalan ni.." bonet keretanya diketuk sebelum pemandu lori itu beredar. Shahrul mengesat peluh di wajahnya. Melihat semula sekeliling kereta. Kalau-kalau jelmaan itu masih ada lagi. Setelah yakin, dirinya tidak lagi ditemani jelmaan itu, segera keretanya dialihkan menyusur ke tepi jalan raya. Agar lori di hadapannya itu, kembali mendapat laluannya semula.

Shahrul tersandar ke kerusi. Mengucap beberapa kali mengumpul kekuatannya semula. Membayangkan jelmaan itu sahaja sudah cukup untuk mendebarkannya. Stereng kereta dipaut erat.

Hon dari lori yang berselisih dengannya memeranjatkan Shahrul. Sempat diangkatnya tangan menggamit pada pemandu yang membantunya tadi. Jika tidak, pasti sesuatu yang lebih buruk akan terjadi.

Saat ekor lori melintasi di sisinya, dapat dilihatnya satu susuk tubuh berdiri di celahan muatan lori itu. Tersenyum dan melambai ke arahnya. Jelmaan gadis cina tadi!

Kini, lori itu pula ditumpanginya..

Monday 1 June 2015

Bukit Putus



Jalan berturap berlingkar-lingkar. Membelah banjaran Gunung Angsi di antara Seremban dan Kuala Pilah. Dikelilingi hutan dan anak air yang mengalir. Bertembokkan cerun bukit dan bersempadankan gaung di kiri dan kanan jalan.
            32 selekoh semuanya,
            25 memukau mata,
            5 setajam pisau,
            Dan..
2 ada penunggunya..
Berpuluh tahun lamanya jalan itu digunakan khalayak. Jalan tunggal penghubung di antara dua daerah yang berkepadatan tinggi. Setiap hari ia dilalui dan dihuni manusia siang dan malam. Lori-lori kayu, bas-bas kilang dan juga kereta-kereta kecil berselisih sesama sendiri di sepanjang perjalanan. Setiap hari.
Menurut cerita orang-orang lama yang bermukim di sekitar Ulu Bendul – penempatan yang paling hampir dengan Bukit Putus, kawasan berselekoh itu ada penghuninya. Penceritaan zaman berzaman, kononnya di puncak Gunung Angsi itu terdiamnya sebuah istana besar yang memukau. Dan pemiliknya adalah bunian yang tidak menampakkan diri. Hijau atau putih? Hanya orang lama sahaja ketahui.
Pernah suatu ketika, seorang pencari akar kayu yang tinggal berdekatan, mendaki Gunung Angsi untuk mencari rezeki. Dia sendiri tidak ditemani sesiapa. Leka membelek dedaun dan akar kayu yang berselirat, telinganya disapa sesuatu. Bunyi yang terlalu asing untuk didengarinya di puncak bukit itu. Jelas. Paluan kompang bertalu-talu dipalu seolah adanya majlis keraian di puncak bukit itu. Wallahualam.
Dek kerana laluan yang berselekoh dan sempit itu, pastilah rentetan peristiwa kemalangan ngeri sering menghimpit dan menambahkan puaka jalan itu. Satu persatu nyawa melayang saban tahun. Jalan raya seolah medan perang. Mayat bergelimpangan, tulang belulang bersepai dan darah meluncur mengalir. Semakin tua semakin berisi jalan berbengkang bengkok itu. Hanyir.
Suatu kisah apabila sebuah van kilang yang membawa beberapa orang pekerja dijumpai terjunam ke dalam gaung hanya selepas beberapa hari operasi mencari dilakukan. Pasukan menyelamat berdepan laluan sukar. Jurang yang dalam serta kelam membataskan segala operasi. Ketika dijumpai, kebanyakan mayat telah mengembung dan ada juga yang telah berulat. Setakat kemalangan biasa seperti penunggang motosikal terperosok ke bawah treler, kepala lori bertembung sesama sendiri, kereta merempuh tebing bukit hingga membongkah naik tanah, itu adalah kemalangan lazim. Namun kebanyakannya pasti akan melibatkan nyawa.
Hari demi hari, bulan berselisih bulan, tahun berganti tahun, laluan Bukit Putus semakin ‘hanyir’.
PENAMPAKAN 1
Awan jingga membaluti langit. Terjunamnya matahari di ufuk barat bakal membaluti dunia dengan kegelapan semula. Kitaran alam yang tiada ubahnya saban hari. Hanya melainkan kiamat kunjung tiba.
Azman menggenggam erat stereng lori pacuannya. Hari ini dia perlu menuju ke Muadzam Shah. Dari Kuala Lumpur, menyusur keluar sahaja dari lebuh raya menuju ke Seremban, hala lorinya terus dipacu laju mengarah ke destinasinya.
Pemandangan yang tadi hanya dikelilingi oleh bangunan dan blok-blok batu, kini mula berubah sedikit demi sedikit. Tiada lagi bangunan. Tiada lagi rumah-rumah batu penghias di kiri kanan jalan. Hanya hutan berpokok rimbun jadi temannya sepanjang perjalanan.
“Hmmm..” Azman mengeluh berat.
“Jangan kau buat perangai atas bukit ni dah la..” telapak tangan dihempas ke stereng. Azman merungut sambil melihatkan jam di tangan kanannya. 7.30 petang. Puncak senja.
Bertahun lamanya Azman bergelar sebagai pemandu lori membelah jalanraya. Kemana sahaja akan ditujuinya. Asal ada pelanggan yang meminta barangan mereka untuk dihantar, pasti Azman akan merelakan dirinya untuk memandunya ke destinasi tujuan. Namun papan tanda di bahu jalan yang dilihatnya itu, mula menghadirkan keresahan.
Pemandu lori mana yang tidak mengenali laluan berselekoh itu? Sempit dan berbahaya. Curam dan mengerikan. Jika pengalaman tidak setinggi gunung, pasti malapetaka akan menimpa jika salah cara pemanduannya. Dan yang paling ditakuti oleh pemandu lori adalah jika lori yang dipandu mereka rosak di pertengahan jalan. Terutamanya di kawasan berbukit.
Tidak banyak kereta yang lalu lalang dapat diperhatikannya. Laluan menghala ke Seremban ternyata lengang tiada kenderaan yang melalui. Mungkin kerana masing-masing telah berada di rumah, berehat bersama anak isteri, tidak seperti dia.
“Hmmm…” sekali lagi Azman mengeluh berat. Laluan yang tadi lebar kian mengecil. Di sisi kirinya ladang belimbing seluas alam dan di kanannya ladang durian menongkah bukit.
Satu persatu peristiwa seram mula menyelubunginya. Jika tadi dia hanya merisaukan kenderaan yang berselisih dengan lori panduannya, kini cerita-cerita seram berkenaan laluan itu pula melingkari mindanya.
Hantu..
Itu sahaja yang dapat digambarkan ketika itu. Kesuraman di kala senja itu semakin membangkitkan aura angker dalam dirinya. Manakan tidak, baru sahaja dua minggu lepas rakan karibnya melalui laluan itu. Setibanya di selekoh ketiga laluan itu, pandangannya terarah pada satu susuk tubuh yang sedang mengayuh basikal di bahu jalan. Perlahan. Ketika itu hujan renyai.
Sewaktu sahaja basikal yang ditunggangi oleh seorang tua itu dilepasinya, isteri di sebelah sekadar berdiam diri tidak berkutik. Namun membelok pula di selekoh yang kedua, orang tua berbasikal itu muncul lagi di bahu jalan. Masih mengayuh.
Rakannya itu sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Diperhatinya ke cermin sisi, basikal yang telah dilepasinya awal tadi masih tidak kelihatan. Mungkin belum tiba lagi di selekoh itu fikirnya. Namun kini, basikal yang sama dengan penunggang yang serupa muncul pula di hadapannya. Basikal tua berwarna hitam, bakul tersisip rapi di hadapan handle dan orang tua itu berpakaian lusuh berwarna coklat.
“Dejavu..” bisik hati rakannya itu seperti apa yang diceritakan. Menyangkakan mungkin itu sekadar perasaannya sahaja. Melihatkan dua peristiwa yang sama dalam sekali imbas. Mungkin.
Namun ternyata semua itu meleset sama sekali..
Basikal tua yang ditunggang si tua berbaju coklat lusuh itu muncul lagi. Rakannya itu mula berkira-kira dalam hati. Sudah tiga kali dilintasinya orang yang sama pada selekoh yang berbeza. Hati mula tidak tenteram. Wajah isteri serta anak kecil di pangkuan mula diperhatikannya. Pandangannya dan isteri mula bertaut.
“Dah tiga kali kan kita potong orang yang sama bang..??” tegur isterinya bersahaja. Sesekali dia mengintai ke belakang melihatkan orang tua yang baru dilintasi mereka. Cabul!
“Awak benda-benda macam tu jangan ditegur..!”
“Kenapa pulak..?? Betullah saya cakap..!”
Anak kecilnya mula merengek. Tersedu-sedu dia menangis sebelum selekoh yang seterusnya diambil rakannya itu. Menurut katanya, ketika itu isterinya sedang menoleh ke belakang menyelesaikan perihal anak kecilnya yang merengek. Setibanya di selekoh seterusnya, stereng kereta dipaut menghalakan kereta ke arah kiri, mengikutkan arah selekoh yang agak tajam, pandangannya lantas terpaku melihatkan sekujur tubuh di sisi jalan.
Orang tua berbaju coklat lusuh itu berdiri di bahu jalan dengan basikal tuanya ditopang ke tanah. Jelas dapat diperhatikan olehnya, orang tua itu sedang memerhatikan sahaja kereta yang dipandunya ketika itu. Tiada sebarang garis senyum di wajahnya. Kusam dan muram. Dia hanya tegak memerhatikan kenderaan rakannya itu menyusur melintasi dirinya.
Semakin galak tangis anak kecilnya di sepanjang perjalanan. Mujur rakannya itu tidak cepat melatah. Dia masih cuba bertenang walaupun dia mengetahui yang baru dilintasinya itu bukanlah manusia seperti yang difikirkannya. Setibanya di Ulu Bendul, di kawasan hentian, dia berhentikan kenderaan lalu duduk termanggu seketika sambil isterinya memujuk anak kecil yang masih menangis tak henti. Mujur tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
“Ahhh..entah-entah sengaja di reka cerita tu nak takutkan aku..” Azman berbisik sendiri. Dia tidak boleh terleka membuai angan. Perhatiannya perlu dipakukan ke arah jalan raya. Bukit Putus semakin hampir di hadapannya.
Selekoh yang pertama selepas ladang durian di sisi kanannya sunyi. Tiada langsung kenderaan sewaktu itu. Jalan raya hanya diterangi dengan cahaya lampu dari suluhan lorinya sendiri. Lampu jalan memang tiada langsung terpasangnya di sepanjang laluan itu. Ditolehnya ke kiri, gaung. Bersemak dan kelam. Ditolehnya ke cermin sisi kanan untuk melihatkan ekor lorinya, pandangannya tidak semena-mena terarah pada satu binaan kecil di tepi jalan.
Tokong kecil berwarna merah..
“Lumah latok..” Azman tergelak seorangan. Sengaja diajuknya pelat Cina di bibir. Tokong itu betul-betul dibina di antara sempadan belukar dengan kebun durian tersebut. Menurut kenalan berbangsa Cina yang dikenalinya, mereka pernah bercerita, setiap tanah yang diterokai oleh masyarakat Cina mesti akan dipacakkan sebuah tokong kecil. Kata mereka lagi, itu adalah rumah untuk ‘Datuk’ yang menghuni kawasan itu sebelum mereka.
            Setibanya di selekoh yang kedua, ada sinaran dari hadapannya. Pedal lori ditekannya perlahan. Dia bakal berselisih. Ternyata tekaannya tepat. Sebuah lori pengangkut minyak sawit berselisih dengannya. Hon dibunyikan sebagai ‘syarat’ di kalangan pemandu lori. Seolah itu adalah cara mereka bertegur sapa walaupun tidak saling mengenali.
            Perjalanan selepas itu hanya berlalu lengang seperti biasa. Sesekali sahaja kereta yang mengarah ke Seremban berselisih dengannya. Selekoh demi selekoh dilaluinya tanpa berlakunya kejadian yang tidak diingini. Sehinggalah ke satu selekoh yang agak tajam dan mendaki. Lori kendaliannya mula tersengguk-sengguk seolah ada kerosakan yang dialami.
            “Sial..!” Azman menghentak stereng. Yang tidak diingininya kini mula terjadi. Lampu kecemasan segera dihidupkan. Lori dihimpitkan ke bahu jalan di sebelah kiri. Azman perlu berhati-hati kerana di sisinya ketika itu adalah gaung yang cukup dalam. Sayup mata memandang. Barangan yang dibawanya ketika itu perlu dijaganya rapi.
            Enjin masih mengaum namun tidak mahu lagi bergerak. Ditekannya pedal minyak, dilepaskan clutch perlahan-lahan, lori itu sekadar duduk pegun tidak bergerak. Walau seinci.
            “Aduhh.. clutch kong ke ni..??” Azman membebel sendiri. Pandangan dibuangnya ke luar tingkap. Kosong dan gelap. Tiada kelihatan kereta atau lori yang lalu lalang ketika itu.
            “Mampos aku ni..” rungutnya berat lalu pintu lori dikuaknya perlahan. Mahu atau tidak, lori itu perlu jua dibaiki. Telefon bimbit dicapai lalu majikan tempatnya bekerja dihubungi. Mekanik akan dihantar padanya. Itu janji majikannya ketika itu. Namun jam berapa tibanya mekanik itu untuk membantu, tidak dapat dipastikan oleh majikannya. Azman sendiri. Di dalam gelap, di dalam kesunyian Bukit Putus.
            Azman melihatkan sekeliling. Hanya pohon-pohon hutan terpacak tinggi. Bulan di langit turut malu-malu untuk melimpahkan cahaya. Dalam kesamaran itu, cuping telinga menangkap bunyian menderam. Seperti ada air yang mengalir. Azman melintasi jalan, menuju ke arah bunyi yang tidak jauh didengari dari dirinya itu.
            “Ada anak air rupanya..” satu laluan kecil menuju ke arah belukar diperhatikan azman. Di celahan laluan denai itu ada sebatang anak air yang mengalir. Anak matanya segera dialihkan pergi. Kata orang-orang tua, anak air di celahan dua bongkah bukit digelar ‘Lidah Bukit’. Tempat jin syaitan bertendang!
            Baru sahaja dia berniat hendak berlalu dari kawasan itu, bunyian susup sasap dari celahan belukar hinggap di cuping telinganya. Sepertinya alunan zikir yang didengarinya. Azman berpaling semula. Melihat ke arah jeram, ‘Lidah Bukit’ yang tiba-tiba seperti diterangi cahaya.
            Dari puncak aliran jeram bermula, kelihatan api obor menerangi. Deretan api obor menerbitkan cahaya terang yang sedikit menerangi. Deretan susuk tubuh berjubah dan berselendang di bahu kanan setiap mereka, menggamit perhatian Azman. Mereka melangkah perlahan-demi perlahan kea rah tempatnya berdiri.
            Ketika itu, Azman seolah terpaku. Mulutnya terkumat kamit membacakan ayat-ayat Al-Quran yang diketahuinya. Jantungnya berdegup kencang seperti mahu tercampak dari dada. Gerombolan lelaki berjubah kian menghampirinya. Di tengah-tengah kelompok yang ramai itu, beberapa orang dilihatnya sedang mengusung sesuatu di atas bahu mereka.
            Keranda!
            “Allah..!” Azman hanya mampu mengucapkannya di dalam hati. Matanya sendiri tidak mampu berkelip dek kerana ketakutan yang melampau. Peluh renek membasahi dahi sedang dia berdiri tegak terus memerhati.
            Zikir memuji Allah semakin jelas didengarinya. Gerombolan itu makin menghampiri. Satu persatu melintasi dirinya tanpa mempedulikan kewujudan Azman di sisi mereka. Sedangkan Azman, menggigil sendirian melihatkan semua itu.
            Saat sebuah keranda yang diusung mereka berada tepat di hadapan Azman, langkah mereka terhenti. Seorang dari mereka menoleh melihatkan kea rah Azman. Butir tasbih di jemarinya ligat dimainkan dengan bibir tidak henti mengalunkan zikir munajat. Dan dia tersenyum sahaja memerhatikan Azman yang sedang terpaku.
            Laluan berturap itu mereka rentasi. Gaung yang terletak di hadapan mereka seolah bukanlah satu halangan untuk mereka meneruskan perjalanan. Malah, semakin yakin mereka melangkah, lalu menuruni lereng gaung itu seperti tiada langsung kesulitan yang dihadapi mereka.
            Berlalunya kesemua rombongan yang mengusung keranda itu, cahaya obor kian hilang bersama mereka. Malam kembali bergelap. Kini, Azman sendiri, di dalam kelam. Terus sahaja kakinya menggeletar tidak ketentuan arah setelah melihat apa yang dialaminya di hadapan mata. Gerangan apa atau siapa mereka yang melintas di hadapannya kala itu, langsung tidak mampu dijelaskannya.

            PENAMPAKAN 2

bersambung....

Sunday 24 May 2015

Dewi Siluman Senja 16

                Dewi menyepi diri di dalam kamar tidurnya. Bersendirian meratap kehilangan. Relung hati dihempas kebencian yang menggunung. Apa sahaja makanan yang dihantar padanya, pasti akan ditepisnya ke lantai. Sejak Ashuri mengarahkan agar dia dikurung di kamar, tidak pernah sekali pun dia datang menjenguk. Dia dibiarkan sendiri di dalam kamar itu seperti tahanan perang. Hanya Tabib Fansuri dan Musliha sahaja dibenarkan memasuki kamar itu untuk merawat luka di lengan atau menghantar makanan. Selebihnya, hanya pengawal dan dayang istana sahaja yang menguruskan.
            Pintu kamar terbuka luas saat dia termenung mengenangkan pemergian Fawas. Musliha berdiri pegun di tabir pintu sambil diekori pengawal istana. Dia turut dilambung duka. Entah mengapa Dewi diperlakukan sebegitu oleh Ashuri. Tiada siapa yang ketahui. Pengawal diarahnya menunggu di luar sementara dia menghantar makanan.
            “Senja..makanlah..dari semalam kau tak makan apa pun..” rayu Musliha dengan setatang makanan di telapak tangannya. Kasihan melihatkan Dewi mendera dirinya seperti itu.
            “Keluar..aku tak mahu sesiapa menggangu..” ucapnya perlahan. Wajah Musliha yang bersimpuh di hujung katil langsung tidak dipedulikannya. Jauh sekali hendak diajaknya berbual.
            “Kalau kau tak makan nanti kau jatuh sakit..” pujuk Musliha lagi. Lembut tuturnya agar hati Dewi menuruti kata-katanya itu.
            “Apa guna hidup andai tiada lagi ertinya..dikurung seperti ayam sabungan, ditambat seperti lembu belaan..kau menyukainya..??” bentak Dewi perlahan. Sudah dua hari dia diperlakukan sebegitu. Segala tindak-tanduknya terbatas.
            “Aku rasa Ashuri mesti ada sebab yang tertentu..kalau tak, takkan dia tambat kau kan..?? takkanlah dia nak buat kau jadi kambing golek pulak kan..??” seloroh Musliha. Dia sedar ketegangan itu harus diredakan. Tidak mungkin dibiarkan berlarutan. Kelak yang binasa adalah diri Dewi sendiri. Muslihat untuk memperdayakan Dewi difikirkannya pantas.
            “Huh..!” Dewi palingkan wajah menatapi Musliha. Mencuka wajahnya penuh tanda tanya.
            “Apa maksudmu dengan kambing golek..??”
            “Alahh..kambing yang kena putar-putar atas api tu..batang kayu runcing ditusuk dari punggung hingga tembus ke mulut.. lalu dipanggang untuk diratah dagingnya..” Musliha menahan ketawa. Kerana wajah Dewi dilihatnya mula berkerut mendengarkan kata-katanya itu.
            “Dan aku juga akan dijadikan seperti kambing golek..??” soal Dewi cemas. Tidak menyangka manusia sekejam itu.
            “Ha ah..untuk pesta di istana..” Musliha beria mengangguk. Bibirnya dikemam. Dengan harapan wajahnya ketika itu langsung tidak menampakkan yang dia sedang melakukan helah.
            “Tapi hanya selepas kau mati, barulah mereka akan menggolekkan kau..” sambungnya lagi.
            Dewi terpempan. Air liurnya diteguk entah keberapa kalinya. Kesat. Rasa marah telah berlalu pergi seketika. Kerana rasa gundah pula telah mengambil tempat.
            “Ta..tapi..aku masih lagi hidup..belum lagi mati..” bidas Dewi untuk menenangkan diri.
            “Kau pasti akan mati juga kalau kau tak menjamah makanan Senja..” sepinggan makanan diacahnya kepada Dewi. Permainan mindanya tampak seperti berjaya. Kerana Dewi seolah terpedaya dan mula mempercayai dakyah palsunya itu. Dewi sekadar memerhatikan sepinggan ubi kayu rebus yang dihalakan padanya. Teragak-agak.
            “Baiklah..aku makan..tapi ini bukan bermakna aku termakan dengan pujuk rayu kau..tetapi kerana aku perlu terus hidup..supaya aku dapat terus memikirkan cara untuk keluar dari istana ini..” pinggan di telapak tangan Musliha dicapainya. Ubi kayu rebus disuapnya perlahan. Memang dia kelaparan, tapi sengaja dia menyeksa diri.
            “Dan untuk mengelakkan kau dari menjadi kambing golek di istana ini..” sambung Musliha semula dengan kenyitan di hujung mata kirinya. Dewi mengangguk bersetuju. Kusyuk dilihatnya Dewi yang mengunyah satu persatu ubi kayu rebus yang dibawanya ke dalam kamar itu. Ralit dia mengupas kulit dan mengasingkannya di dalam pinggan. Musliha berdiam diri seketika sementara membiarkan Dewi menghabiskan makanannya itu.
            “Senja…siapa Fawas..??”
            Suaan ubi kayu rebus ke mulut terhenti setelah mendengarkan nama itu. Nama yang sememangnya amat dirindui Dewi, kini meniti pula di bibir Musliha. Wajah itu diperhatikannya lama. Pinggan yang terletak di atas ribaan diletakkan ke atas katil sebelum pertanyaan itu dibalasnya. Seketika dia termenung.
            “Sahabat..” ringkas jawapan Dewi namun cukup mudah untuk difahami maksudnya.
            Berjuta rakan di luar sana belum tentu dapat melahirkan seorang sahabat. Sahabat yang tersenyum saat kita bergembira dan berduka saat kita bersedih. Bukannya rakan yang sekadar bersorak tatkala keriangan bersama dan mencemuh di saat kesusahan melanda. Dan Fawas adalah sahabatnya. Yang akhirnya sanggup bekorban untuk dirinya.
            “Sewaktu aku ke sini..dialah penemanku..namun kami terpisah kerana diserang jembalang..dan kali terakhir aku melihatnya, dia telah pun terkujur ditikam oleh Ashuri..” kembali diselubungi kesedihan, air matanya menitis tanpa disedari.
            “Dan pastinya dia adalah sahabat yang sentiasa melindungi kau selama ini kan..??” celah Musliha. Dia memahami isi hati Dewi. Cukup dia mengerti tentang apa yang bermain di dalam hatinya saat itu. Kehilangan, kebuntuan, kesuraman. Kerana Musliha, dia turut merasakan rasa yang sama. Seperti mana dia kehilangan Raihan ketika itu.
            Dewi mengangguk lesu. Tubuhnya dirangkul perlahan Musliha merapati ke tubuh. Denyut nadi Dewi dirasakan berdenyut perlahan. Bahang tubuhnya juga dirasakan cukup aman.
            “Denyut nadi kau masih bertahan kerana adanya rindu, detap jantung kau masih berdegup kerana adanya cinta..” bisik Musliha perlahan ke cuping telinga Dewi. Ketika itu dapat dirasakannya seolah perasaan antara mereka menjadi satu. Keselesaan ketika itu, hanya dia sahaja yang memahami.
            Perlahan tubuh Musliha ditolak Dewi. Kerdipan kelopak mata itu diperhatikannya. Tulus.
            “Apa maksudmu Musliha..??”
            Musliha sekadar tersenyum. Nafasnya dihela lembut cuba menenangkan semula gelora hatinya yang turut berombak. Sengihan di wajah cuba menenangkan untuk Dewi. Mungkin apa yang dibisikkannya tadi terlalu mendalam maknanya. Jarang sekali dia berpuitis sebegitu. Mungkin juga lidahnya sudah terlalu berkarat untuk berkatakan soal cinta.
            “Istilah sahabat tidak pernah wujud di antara dua lelaki dan wanita Senja..jika kau telah mengangkat Fawas selaku rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, itu maknanya kau sudah selesa bersama dengannya..terlalu selesa..”
            Kerut semakin jelas kelihatan di wajahnya. Dewi dambakan penjelasan yang lebih utuh. Bukan lagi teka-teki di sebalik kata-kata.
            “Ketika dia ada di sisi, pastinya kau merasakan dunia seolah tidak mampu untuk mencarikkan kulitmu bukan..??” soal Musliha.
            Dewi mengangguk. “Benar..”
            “Ketika dia mengucapkan kata-kata padamu, pastinya itu adalah bait kata yang terindah pernah kau dengari bukan..??” soal Musliha lagi.
            Dewi teruskan mengangguk. “Benar.,”
            “Dan pabila dia tiada di sisi, ia adalah kekosongan yang amat menjerihkan untuk kau hadapi bukan..?? kehilangan tempat bersandar saat kau keletihan, kelemasan seolah tiada udara yang mengisi, kebuntuan di dalam kegelapan seolah tiada cahaya yang menerangi..” sambung Musliha kali ini dengan sebaris senyuman terukir di bibirnya.
            Untuk kesekian kalinya, kepala itu diangguknya bersetuju.
            “Benar..” ucap Dewi perlahan. Sayu.
            “Itulah namanya cinta..yang hadirnya tidak pernah kita sedari..adakalanya ketika perpisahan itu terjadi, barulah kita tersentak dengan kewujudannya..ajaib bukan..??” pipi Dewi dielus lembut Musliha. Terdiam Dewi tidak berkutik. Terpaku. Bagai ada badai yang menghempas wajahnya ketika itu.
Lantas segala memori Fawas bersamanya diungkap. Pahit maung mereka redah bersama sedari kecil. Tanpa disedarinya, begitu besar pengorbanan Fawas terhadap dirinya. Segalanya sanggup diharungi Fawas, asalkan kegembiraan dapat dia berikan terhadap Dewi. Pengorbanan itu adalah yang paling agung. Yang tidak pernah disedarinya selama ini.
Dewi tertunduk layu. Semakin bingung jadinya dia dengan segala apa yang diperkatakan Musliha. Mengapa setelah kehilangan barulah perasaan itu muncul? Di saat wajah itu tidak mungkin akan dapat ditatapinya lagi. Di saat bahang tubuh itu tidak dapat dirasakannya lagi. Di saat elus jemari lembut itu hanya sekadar mimpi yang menghuni tidur malamnya. Mengapa?
“Tapi Fawas telah pergi meninggalkan aku Musliha..tak mungkin dapat aku kembalikan dia dalam riwayat ini..walaupun hati ini meronta merindukan dirinya..” biasan mutiara jenih bergenang di kelopak matanya.
“Dia pergi meninggalkan aku, dengan hanya kenangan yang dapat aku simpan di dalam hati ini..” lelehan mutiara jernih itu turun melurut ke pipinya.
“Tidak..lelaki seperti itu tidak mungkin tumpas semudah itu..kerana lelaki seperti Fawas itu, pastinya mengusung semarak cintanya terhadap diri kau..walau tidak terluah, namun tetap diabdikan dirinya untuk menagih cinta dari diri kau..” mutiara jernih yang bergenang di dagu Dewi dikesat Musliha. Jangan biarkan air mata itu menitis lagi. Kerana perpisahan itu belum ada kepastiannya lagi.
“Maksud kau..yang ditikam Ashuri kelmarin, bukannya Fawas..??” sinar kegembiraan seolah kembali mencerahkan harinya. Seri wajah berlampiaskan air mata terlihat jelas. Dewi terpegun. Pandangan langsung tidak dikalihnya daripada Musliha yang tersenyum melihatkan dirinya.
“Mungkin..aku tak dapat katakan lebih daripada itu..tapi aku berjanji akan terus menyiasat perkara itu untuk kau..dengan syarat, kau perlu terus hidup..” pinggan yang berbaki ubi kayu rebus dicapainya semula. Kembali pinggan itu dihulurkan kepada Dewi agar makanan itu dihabiskan.
Dewi mengangguk laju. Walaupun harapan untuk melihatkan Fawas masih lagi hidup seperti dikatakan Musliha adalah terlalu tipis, namun tiada salahnya dia berharap. Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-katanya itu. Jika benar Fawas masih lagi hidup di luar sana, maka dia juga perlu cekal untuk terus hidup. Agar suatu masa, mereka akan bertemu kembali.
“Aku terpaksa pergi dulu Senja..nanti bila petang, aku akan kembali ke sini semula..berjanji dengan aku, kau jangan sesekali lakukan perkara yang bukan-bukan faham..??” Musliha bangkit dari duduknya. Bergerak ke pintu. Dengan nasihat yang meniti di bibir. Dewi mengangguk. Semestinya dia akan terus bertahan. Demi Fawas, segala kata akan diturutinya.
Pintu besar kamar dibuka luas Musliha. Ditutupnya kembali merapat. Dikuncinya dari luar seperti apa yang telah diarahkan. Seketika dia termanggu di hadapan pintu dengan keluhan yang terlalu berat untuk dia lepaskan.
Berkata itu mudah, melaksana itu perit. Bibit-bibit nasihat dirinya terhadap Dewi tadi disematnya dalam diri. Kerana entah mengapa bayangan Raihan seperti tidak mahu pergi dari dirinya saat itu. Dibalut resah adakah wajah itu masih bernyawa di luar sana?
“Bagaimana..??” Ashuri menegur berbisik dari sisi dinding kamar. Dari tadi dia hanya menanti sahaja di situ. Diarahkannya Musliha membawakan makanan, lalu cuba untuk mencungkil rahsia yang disorokkan Dewi.
Musliha mengurut dada melihatkan Ashuri yang menerpa ke arahnya. Seperti orang yang dahagakan air dibawakan air lagak Ashuri ketika itu. Pinggan di tangannya dihulurkan kepada Ashuri. Kosong, tiada berbaki. Ashuri melihatnya dengan senyuman. Akhirnya Dewi mengalah.
“Benarkah dia siluman..?? ada kau bertanya padanya tentang hal itu..??” soal Ashuri tergesa-gesa.
“Tidak..aku tak berani hendak bertanya lebih..” jawab Musliha menyandar tubuhnya pada dinding istana.
“Namun yang pasti..kita perlu mencari Fawas..hanya dia kunci kepada segalanya..” sambung Musliha menutup segalanya. Ashuri terpempan. Mendengarkan segala penceritaan Musliha membuatkan dia tersedar. Satu persatu telah diterangkan Musliha. Sebagaimana Dewi menerangkan kepadanya tadi. Dan kini, jawapan akhir terletak di tangan Ashuri. Kerana dia yang memulakan segala ini.
“Baik..akan aku usahakan..namun, setelah hal ini aku rujuk terlebih dahulu kepada Tabib Fansuri..” jelas Ashuri dengan tenang. Hanya pada Tabib Diraja itu sahaja dia pasti akan mendapat jawapan.


Saturday 23 May 2015

Dewi Siluman Senja 15

            Tok Aduka menyusuri tebing lembap menuju ke bawah sebatang pohon rendang. Daunnya merimbun meredupkan suasana. Laluan di celahan akar pokok sebesar sepuluh pemeluk itu direntasinya. Laluan itu menuju ke kediaman kaum jembalang. Selama ini pohon besar itu mejadi kubu kuat Buragas dan pengikutnya berlindung. Kelam dan tersisih dari keindahan dunia. Kawasan itu jelas kawasan takluk yang dikuasai jembalang.
            Bauan hanyir mula menusuk ke hidung. Cebisan tulang belulang berselerakan di lantai. Dikuisnya dengan hujung kaki. Tok Aduka melihatkan sekeliling andai ada susuk jembalang yang dapat dilihatnya. Jelas kawasan itu kosong tidak berpenghuni. Kemana perginya jembalang teman setongkolnya itu?
            “Tolong aku..” sayup. Suara itu terdengar dari kejauhan. Berbisik tidak bergema di ruangan kelam itu. Dari celahan akar banir yang berselirat di ruangan itu. Langkahnya dibawa menyusuri dinding ruang menuju ke arah sisi yang lebih gelap. Sunyi dan lembap.
            “Buragas..??” anak matanya terpaku pada sekujur tubuh yang terbaring di balik sebuah kurungan. Tika dihampirinya, apa yang disangkanya tadi meleset jauh. Tok Kelana terbaring lesu dengan hujung kaki dan lengannya ditambat. Terkujur tidak bermaya. Hanya lenggok kepala terdaya untuk digerakkannya.
            “Kau..pembelot..!” getus Tok Kelana. Kelibat Tok Aduka yang berdiri di hadapan kurungan jelas dapat dilihatnya. Seorang sahabat yang menikamnya dari belakang kerana diracuni sifat tamak. Dendam dan kebencian sekadar menjadi api yang memarakkan lagi perasaan itu.
            “Kau rupanya..bagaimana keadaanmu di kediaman barumu ini..??” sindir Tok Aduka sambil mencangkung berteguhkan pada palang kurungan. Senang hatinya melihatkan musuh dirinya itu terseksa.
            “Usah kau khuatir Kelana..anak dan isterimu kujaga rapi..malah kubelai helai rambut mereka seperti mana kau lakukan terhadap mereka dahulu..” sambung Tok Aduka lagi dengan senyum yang meleret.
            “Bangsat..!!” menggelupur Tok Kelana meronta. Terik wajahnya bersulam api kemarahan yang menyala. Sindiran itu merobek tangkai hatinya. Seakan jantung berhenti berdegup mendengarkan kata-kata itu.
            “Kau tak akan mampu untuk menewaskan aku lagi Kelana..bersemadilah kau disini sementara aku menyudahkan semua rancanganku..saat semuanya sudah terlaksana nanti, aku pasti kau turut akan tersenyum lega..” tuturnya terhenti seketika. Senyuman terukir penuh sinis.
            “Kerana kau turut akan ditemani oleh roh anak dan isterimu juga akhirnya..namun hanya selepas tubuh mereka aku lapah seperti binatang ternakan..!” ujarnya disusuli tawa yang membingitkan. Kekejaman seolah telah sebati dengan dirinya. Hati kian gelap dirasuk dakwat hitam yang membukat.
            “Kenapa kau sanggup berpaling tadah Aduka..! apa kesalahan aku pada dirimu..?!” serak suara Tok Kelana kian terdengar jelas. Walau dia merasakan tiada lagi harapan untuk dia mengubah segalanya. Namun, selagi nyawa dikandung badan, pasti dia akan memikirkan cara untuk menamatkan segala kekusutan itu.
            “Huh..” Tok Aduka mendengus geram. Berdiri semula dengan pandangan masih tidak dialihkannya dari Tok Kelana.
            “Terlalu mudah untuk kau lupakan kisah yang lalu bukan Kelana..?? bagaimana aku melihat sendiri Seroja dibawa pergi manusia selama-lamanya..dan bagaimana akhirnya dia meninggalkan kita selamanya..kau lupa semua itu..?!”
            “Kerana itu kau pendamkan dendam selama ini..?? pemergian adik kandungku sendiri bersama manusia, itu yang kau ratapi..??”
            Tok Aduka mengeluh berat. Sia-sia  untuk dingatkan lagi perkara itu. Seroja telah lama tiada. Yang tinggal hanyalah perasaan kasih dan sayangnya terhadap Seroja. Dipendam dek kerana cintanya itu dihalang. Kononnya Seroja bukan ditakdirkan untuknya. Masih terngiang kata-kata ayahanda Tok Kelana itu di cuping telinganya selama ini.
            “Biar sahaja aku lunaskan segala hutangku terhadap manusia..sesungguhnya kau tidak akan memahami walau aku terangkan padamu berulang kali..!” bentak Tok Aduka. Palang kurungan dihentaknya kuat melepaskan kemarahan yang bangkit dalam dirinya. Wajah Tok Kelana ditenungnya seketika. Cukuplah sampai disini sahaja persahabatan antara mereka. Laluan hidupnya kini telah terpesong jauh.
            “Kau masih punya masa untuk mengubah segala yang telah kau rosakkan Aduka..usah biarkan hasutan jembalang mengaburi kau..” Tok Kelana tuturkan dengan cermat. Hati rakannya itu perlu dilembutkannya semula. Kezaliman yang telah dilakukannya itu cukuplah dia sahaja yang merasa. Usah dibiar menular pula kepada kaum siluman yang lain.
            Tautan pandangan antara mereka untuk terakhir kalinya. Renungan Tok Aduka berisi dendam, renungan Tok Kelana bersiramkan kasih. Dua sisi yang nyata begitu sukar untuk disatukan.
            “Tidak..ini adalah perjalananku..” ucap Tok Aduka sebelum berlalu pergi. Tekadnya telah terabadi dalam jiwa. Keindahan itu telah lama hilang dalam dirinya. Diusungnya dendam selama ini dalam keperitan yang jerih hendak dipikulnya. Tidak mungkin dia berpaling semula.
            Tok Kelana mengeluh. Hujung kepala disandarkan ke dinding kurungan. Resah. Apalah nasib keluarganya, apalah nasib kaumnya. Kembali terpalit kenangan lama, peristiwa perbalahan antara siluman dan manusia kembali meruntun jiwanya.
            Seroja. Perginya tanpa kerelaan. Dihalau pergi oleh ayahnya dahulu dek kerana kemahuannya bersama manusia. Disumpah dan dilaknat kaum siluman sehinggakan permusuhan itu berlarutan sehingga kini. Semenjak pemergian ayahnya dahulu, pernah jua dia cuba memujuk Seroja untuk kembali bersama mereka. Namun desakan cinta membataskan segalanya. Seroja tetap dengan pendiriannya. Kekal bersama manusia dan matinya juga sebagai manusia.
            Aduka dan Seroja. Teman sepermainan sedari kecil. Riang mereka seperti anak kecil yang lain. Bergelumang dan berkubang bersama anak manusia. Tanpa disangka, Aduka menaruh perasaan cinta pada Seroja. Namun cintanya terhalang dek tegahan ayahandanya Seroja. Nasibnya lebih malang pabila akhirnya Seroja dibawa pergi manusia.
            “Mungkin kerana itu Aduka berdendam..” bisik Tok Kelana perlahan-lahan. Matanya dipejam rapat. Jika dahulu dia berkeras, pastinya segala ini tidak akan berlaku. Dalam kelam dia bertafakur. Mengenangkan segalanya.
            Tok Aduka ralit membelek seketul tengkorak kera ketika dia mendengarkan hiruk pikuk dari luar ruangan kelam itu. Dengusan-dengusan jembalang jelas memecahkan keheningan. Laluan ke ruangan itu diperhatikannya berbekalkan sedikit kesamaran. Obor api yang tergantung di dinding ruangan itu tidak mampu menerangai keseluruhan kawasan.
            Satu persatu jembalang kecil menuruni anak tangga laluan itu menuju ke arahnya sedang berdiri. Terlihatkan Tok Aduka berdiri sendirian, wajah mereka mencemik sambil menghunuskan lembing-lembing ke arahnya. Tok Aduka mereka kepungi dengan rengusan.
            “Bodoh..!!” libasan cemeti hinggap ke tubuh jembalang kecil di sekeliling Tok Aduka. Masing-masing berpeleseran lari dek libasan Buragas terhadap diri mereka itu. Buragas muncul dari puluhan kelompok jembalang yang berkumpul. Wajahnya membengis sambil mengheret hujung cemeti.
            “Mereka dahagakan darah siluman..maafkan sahaja mereka Aduka..” ucap Buragas sambil anak matanya melirik ke arah kelompok jembalang kecil. Jembalang suruhannya untuk melakukan segala kerja terkutuknya.
            “Tidak mengapa..” punggungnya dilabuhkan ke batu berdekatan dinding. Pehanya diusap mengusir hama dan habuk yang beterbangan hinggap pada pakaiannya.
            “Bagaimana Aduka..?? berapa lama lagi harus aku menunggu untuk kau perangi kaum manusia itu..?? apa lagi yang masih bermain di dalam fikiran kau..??” Buragas sekadar mundar mandir di hadapan Tok Aduka.
            “Aku perlukan masa..tidak semudah itu untuk aku yakinkan kesemua pahlawan silumanku..mereka masih lagi ragu-ragu dengan segala perancanganku..” keluh Tok Aduka resah. Walau jembalang ada berjanji padanya, mereka akan membantu dalam serangan itu, namun dia tidak boleh mengambil mudah kekuatan manusia.
            “Hrrrr…hrrrr..” Buragas menderam menahan amarah. Hulu cemeti digenggamnya erat.
            “Kau tidak wajar memaksa aku sebegini..! rancangan ini aku telah susun sebaik mungkin..hanya masa akan menentukan agar ia terlaksana..kau perlu ingat semua itu Buragas..tanpa aku dan kaum silumanku, kau belum tentu lagi dapat laksanakan apa yang kau impikan..!” tegas Tok Aduka bila dilihatnya wajah Buragas mula menerik. Dia yakin jembalang itu mula jengkel dengan dirinya. Namun dek kerana terpaksa, Buragas tetap perlu menuruti segala perancangan Tok Aduka. Kerana hanya itu sahaja caranya untuk dilihatnya kedua-dua kaum itu berbunuh sesama sendiri.
            Dan dia…hanya sekadar menjadi api dalam sekam. Membunuh tanpa perlu mengotorkan jemarinya sendiri.
            “Baik..aku turuti segala kemahuanmu Aduka..namun janjimu untuk menyerahkan seluruh keluarga Kelana padaku nanti, usah kau lupakan..!” amaran itu tegas. Kerana perjanjian antara mereka beruftikan nyawa Tok Kelana.
            “Itu sudah pasti akan aku tunaikan.. cuma..” tutur katanya terhenti seketika. Teringatkan semula Dewi Siluman Bulan yang telah dikurungnya di Gua Muluk.
            “Isterinya Kelana, telah aku kerat lidahnya..tidak mungkin lagi dia mampu untuk meratap atau merayu padamu saat dirinya diseksa kelak..kerana betina sundal itu telah mengetahui akan segala rancanganku..aku tidak mahu dia menghebahkan perkara itu pada yang lain..” telus jawapan Tok Aduka. Buragas mengangguk.
            “Namun dia pastinya masih mampu untuk menjerit dan meraung ketika diseksa nanti bukan..??” sinis soalan Buragas berserta senyuman meleret.
            Pecah tawa antara mereka berdua. Buragas mendengus kelapangan dada. Tok Aduka bertepuk riang. Pastinya melihatkan seluruh keluarga Kelana itu diseksa akan menggembirakan mereka. Seperti melihat ayam sembelihan menggeletek meminta nyawa!
            Dekah tawa memecah keheningan. Tok Kelana perlahan membuka kelopak mata. Hujung kepala dihempasnya perlahan ke dinding kurungan. Meratapi tawa hilai yang terdengar itu. Segala perasaan seolah dibongkah naik hingga menggelodak jiwa dan raganya.

            “Apalah nasibnya keluargaku nanti..” rintihnya tiada kesudahan.

Friday 22 May 2015

Dewi Siluman Senja 14

            Gemerincing mata pedang berlaga sesama sendiri terdengar jelas di sisi kegelapan Gua Muluk. Siluman bertempur sesama sendiri beradu kekuatan. Tombak terhunus ke lantai gua. Pedang dan busur panah tersisip rapi di dinding gua. Sekian lamanya laman gua itu tidak dibanjiri siluman yang perkasa beradu tenaga. Suasana itu berbeza sekali sejak tampuk pemerintahan diambil alih  Tok Aduka. Sejak perkhabaran Tok Kelana yang kononnya dibunuh tanpa belas oleh manusia tersebar, api amarah mereka seolah dicabar. Selama ini menyepi diri dek kerana menuruti Aturan Muluk yang termaktub, ternyata manusia mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka itu.
            “Juara..!” jerit Tok Aduka yang sedari tadi sekadar jadi pemerhati.
            Terhenti langkah Juara yang ketika itu sedang beradu tenaga bersama teman seperjuangannya. Peluh di dahi dikesatnya. Pedang disarungnya semula ke dalam sarung yang tersisip di pinggangnya. Langkah dibawa merapati Tok Aduka yang menggamit dirinya. Selebihnya di laman gua itu sekadar memerhati langkah pahlawan siluman itu menongkah batu besar ke arah pemimpin mereka itu.
            “Kumpulkan seramai mungkin pahlawan di kalangan kita..persiapkan mereka dengan ilmu tempur yang utuh..manusia harus kita perangi secepat mungkin..” jelas Tok Aduka saat Juara berdiri tegak di hadapannya. Helaian janggut dilurutnya dengan wajah yang tegang. Jumlah pahlawan siluman yang dilihatnya itu masih belum memadai.
            “Tidak semuanya bersetuju dengan rancangan tok itu..ada sesetengahnya tetap ingkar dan masih menuruti arahan Tok Kelana dahulu..kata mereka bertempur dengan manusia seolah membunuh diri..kita pasti akan tewas..”
            Giginya meretap geram mendengarkan ulas kata Juara. Apa gunanya menjadi pemimpin jika arahan yang diberi diingkari?
            “Kerahkan semuanya untuk menuruti kata-kataku..! mereka yang ingkar kau bunuh sahaja..! aku pemimpin di kalangan kalian sekarang..! bukan lagi Kelana si bangsat itu..!!” tempik Tok Aduka berang. Merah padam wajahnya memerhatikan Juara.
            “Tapi tok..ini bukannya seperti mana yang tok rancangkan dahulu..” bantah Juara. Tidak. Semua ini tidak mungkin berlaku. Mana mungkin nyawa siluman semudah itu untuk ditariknya pergi. Bermusim lamanya mereka telah hidup aman bersama, bergurau senda dan saling membantu. Kini, semudah itu pula hendak ditarik nyawa mereka dari tubuh. Tidak mungkin!
            “Apa kau masih tidak mengerti dengan perintahku Juara..?? atau mungkin juga kau masih tidak mengerti dengan takdir hidupmu lagi..?? kau aku besarkan, kudidik dengan ilmu kepahlawanan sejati, agar suatu hari nanti kau akan berbakti semula pada diriku..apa kau terleka selama ini..??”
            Tok Aduka membuang pergi kemarahan yang membelenggunya tadi. Jiwa anak muda seperti Juara mudah tersentuh dengan kata-kata seperti itu. Bahu tegap Juara dipautnya erat. Tubuhnya digoncangkan perlahan.
            “Aku adalah pemerintah kaum ini sekarang..bukan lagi si Kelana pengecut itu..ayuh kita perangi manusia durjana itu..kita hapuskan segala apa yang telah mereka bina selama ini hingga menjadi abu..!”
            Juara diam diri tidak membalas apa. Benar. Lelaki tua itu banyak berjasa padanya selama ini. Namun adakah segala kemahuan durjananya itu harus dituruti? Juara bingung.
            “Baiklah tok..” Juara tertunduk akur. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Walau hatinya berat, digagahinya juga.
            “Bagus..! tidak sia-sia aku mendidik kau selama ini..!” cukup mudah untuk Juara dipengaruhinya. Anak muda itu terlalu mentah. Namun darah muda itu jugalah yang bakal ditagihnya untuk bergolok bergadai asalkan cita-cita bodohnya terlaksana.
            “Kita akan mendapatkan Dewi di istana itu nanti..selepas sahaja dia diserahkan kepada Buragas, aku akan pastikan Dewi tidak diapa-apakan oleh jembalang itu..aku yakin Buragas tidak ada menaruh minat terhadap gadis kesayangan hati kau itu..biar sahaja nyawa Kelana yang ditariknya pergi dihadapan mata anak dan isterinya sendiri..” Tok Aduka tertawa puas. Rancangan serampang dua matanya itu pasti akan berjaya. Dengan bantuan jembalang. Tiada apa yang mustahil. Tanpa dia sendiri sedar, jembalang juga punya rencana yang tersendiri.
            “Baiklah tok..” Juara akur bagai lembu yang ditusuk hidungnya. Saat Tok Aduka beralih dari hadapannya, satu susuk tubuh berdiri pegun di bawah batu besar tempat mereka berbual. Mencuri dengar apa yang dikatakan mereka sepanjang masa.
            “I..ibu Dewi…” nadanya terketar. Wajahnya dibalut rasa cemas. Dewi Siluman Bulan seakan terkaku tidak berganjak. Kakinya seakan dipaku ke lantai gua. Dadanya seolah dilanggar bah yang menggila. Mendengarkan sahaja perbualan Juara dan Tok Aduka itu sudah mampu untuk menggoncang perasaannya. Tok Aduka turut mengalih pandangan melihatkan Dewi Siluman Bulan yang sekadar tercegat.
            “Kau..kau..” bola matanya sudah berkocak. Tubuhnya menggigil menahan deram. Jarinya dituding mengarahkan Tok Aduka.
            “Kau yang merancang semua ini Aduka..?? bermakna suamiku masih lagi bernyawa dan.. dan.. disembunyikan jembalang untuk diseksa lalu dibunuh..??”
            “Celaka..! bagaimana aku boleh tidak sedar dengan kehadiran betina ini..!” bentak Tok Aduka dalam hatinya. Rahsia antara dia dan Juara telah terbongkar. Kaum siluman tidak boleh tahu akan perihal ini!
            “Kurungkan Dewi Siluman Bulan..!” arah Tok Aduka tegas. Juara tergadah. Dia kini di pertengahan. Antara kekejaman dengan belas ihsan.
            “Segera Juara..!” bentak keras Tok Aduka saat dilihatnya Juara terpinga-pinga melihatkan dirinya. Tersentak dengan arahan itu, segera Dewi Siluman Bulan dihampirinya. Tubuhnya dirangkul kemas, pergelangan tangannya digenggam rapi lalu direbahkan ke lantai gua. Tersembah wajah dengan air mata yang mengalir deras.
            “Kau tidak akan terlepas dari kejahatan yang kau lakukan ini jahanam..!! nyawa ahli keluargaku kau lanyak seperti tiada nilainya..!!” rontanya makin menggila. Terjerit-jerit Dewi Siluman Bulan menggemparkan seluruh isi gua. Berlari anak-anak kecil siluman  mendengarkan jeritan itu. Batu besar yang melindung pemandangan, membataskan penglihatan mereka untuk melihat. Perihal apakah yang terjadi di sebalik batu besar itu.
            “Potong lidahnya Juara..aku tidak mahu dia menceritakan segala hal yang didengarinya tadi pada siluman yang lain..” Tok Aduka melutut bersebelahan Juara. Mulut Dewi Siluman Bulan telah ditekup rapat. Kepalanya didongakkan.
            “Tapi tok..??” Juara ragu-ragu. Arahan itu terlalu berat untuk dilaksanakannya.
            “Hati kau terlalu lembut..!!” usai berkata demikian, dengan wajah yang cemas, rahang gigi Dewi Siluman Bulan dikopaknya luas. Sebelum mereka yang lain tiba di sebalik batu itu, lidah Dewi Siluman Bulan harus ditetaknya!
            “Segera Juara..! atau kau dan aku bakal mati diamuk siluman..!” rahsia itu bakal terbongkar andai Juara lewat dengan keputusannya. Terdesak. Juara kini tersepit dihimpit pelbagai perasaan. Tanpa berlengah, seperti harimau yang memburu tanpa rasa belas, lidah Dewi Siluman Bulat dikerat terputus. Dicampaknya lilisan lidah itu dari genggamannya.
            “Bersabar Dewi..! usah kau perlakukan dirimu sebegini..!” tempik Tok Aduka berpura cemas. Saat satu persatu siluman muncul dari balik batu melihatkan mereka, akalnya pantas memikirkan helah.
            “Mengapa dengan Dewi Siluman Bulan..?? mengapa Juara..??” bergegas siluman-siluman, teman Dewi Siluman Bulan mengelilingi dirinya yang terbaring berlumuran darah. Bibirnya merah berlumuran darah. Mengalir ke dagu menitis ke lantai. Dia hanya mengerang menggulingkan tubuh menahan kesakitan yang amat dahsyat.
            Juara kaku. Tidak punya jawapan. Tangannya masih menggigil. Wajah Tok Aduka diperhatikannya meminta segala jawapan.
            “Datangnya tadi ke arah kami merayu-rayu agar anaknya di istana manusia itu diselamatkan segera..aku menidakkan kehendaknya sementara kerana aku khuatir kita masih belum bersedia..entah mengapa pula dia seperti menggila ingin membunuh dirinya..lalu Juara pantas merangkul tubuhnya untuk menyedarkan dirinya semula..” Tok Aduka menghela nafas berat. Wajahnya tetap berpura cemas.
            “Tanpa kami sangka..Dewi Siluman Bulan nekad menggigit lidahnya sendiri sehingga terputus..” sambung Tok Aduka lemah. Namun hatinya bertepuk riang. Satu persatu wajah siluman yang kebingungan diperhatikannya.
            “Tapi mengapa Bulan..?? mengapa kau bertindak seperti ini..??” rintih sahabatnya yang memangku. Tubuhnya masih meronta menahan keperitan. Wajah Tok Aduka diperhatikannya dengan pandangan penuh kebencian. Jarinya menuding ke arah pembelot itu. Berwajah siluman berlidahkan biawak!
            “Untuk sementara..adalah moleknya Dewi Siluman Bulan dikurungkan di dalam kurungan..aku khuatir kelak dia akan bertindak dengan lebih merbahaya..aku tidak mahu dia membunuh dirinya pula selepas ini..” keluh Tok Aduka. Wajah Juara diperhatikannya. Kepala dianggukkan mengarahkan agar Dewi Siluman Bulan dibawa pergi ke kurungan gua. Dikurung bukan kerana kegilaannya, namun dikurung kerana cuba menyembunyikan rahsia.
            Semuanya di situ berundur memberi laluan kepada Juara. Tubuh Dewi Siluman Bulan dipapah dibawa ke kurungan. Sahabat yang bersedih akur dengan perintah Tok Aduka. Langkah Juara mereka turuti. Hingga ke pintu kurungan.
            Dari kejauhan kedengaran Tok Aduka bertempik memperingati sekalian siluman yang mengelilinginya ketika itu.
            “Kita harus bersatu.. kerana manusia, kini kita bagai dilanda bermacam petaka..satu persatu mendiami kita mendatangkan bencana..ayuhlah siluman semua..! kita hapuskan manusia keparat di hujung belantara ini bersamaku..!” tempik Tok Aduka disambut hingar. Kesemuanya kian bersemangat. Azam berkobar ditiup semangat perang.
            Tubuh Dewi Siluman Bulan diletakkan di dalam lantai kurungan. Wajah itu sembab menangis tak henti. Darah yang masih mengalir di bibir cuba dikesat Juara namun ditepis kasar. Dia tidak berniat untuk mencederakan Dewi Siluman Bulan. Namun desakan Tok Aduka mengaburi matanya. Dia terjerat.
            Wajah itu ditatapnya penuh hiba. Melihatkan wajah itu mengingatkan dia terhadap Dewi Siluman Senja. Wajah itu hampir seiras. Termenung Juara seketika. Teringat akan janjinya terdahulu ketika bersama. Yang dia akan melindungi walaupun hingga ke titisan darahnya yang terakhir. Walaupun pedang telah tersusuk ke tubuh, tetap dia akan melindungi. Begitulah janji yang disemainya dahulu. Kerana kasih dia berjanji, kerana cinta dia bertekad.
            Juara bangun tegapkan langkahnya. Matanya ditutup rapat. Nafasnya dihela lembut walau sisi dada berombak deras. Jemari digenggamnya erat menegangkan urat. Wajah didongakkan ke langit gua.

            “Apa yang telah aku lakukan..??” getusnya di dalam hati. Di sisi kebaikan yang masih berbaki jauh di lubuk hati yang paling dalam, Juara berbisik. Tidak tersedar, aliran bahang mengalir perlahan dari kelopak mata yang ditutup rapat, menyusuri pipi lalu jatuh menitis ke lantai gua. Tangisan pahlawan itu gugur akhirnya tanpa kerelaan.