Thursday 26 March 2015

Dewi Siluman Senja 5

Setangkai bunga kemboja yang mekar berbunga di luar Gua Muluk dipetik Dewi. Hatinya terlalu geram melihatkan puluhan bunga putih yang rimbun berbunga di pohon renek itu. Hampir saban hari bunga penghias di pintu gua itu dipetiknya. Usai dipetik, akan disisipnya ke celahan cuping telinga kanannya. Cukup dia teruja dengan keharuman bunga itu yang sentiasa sahaja menenangkan dirinya saat dirundung duka. Setangkai lagi dipetiknya dan dibawanya berjalan-jalan di sekitar gua sambil menyaksikan keindahan petang.

"Wahai bunga..aku kepingin jadi sepertimu..sentiasa mekar menghias alam..memukau setiap mata yang memandang..walau tiap hari kau dipetik, kau tidak pernah berputus asa untuk terus berbunga dan memekar menghiasi alam ini.." Dewi berbicara bersama bunga kemboja yang dipetiknya. Kudup bunga dibawanya rapat ke puncak hidung. Haruman bunga kemboja dihidunya dalam-dalam hingga tidak tersedar dirinya sedang diperhatikan dari kejauhan.

Dewi membawa langkahnya ke sisi kiri Gua Muluk. Amat jarang dia menuju ke sana. Tetapi entah mengapa hari ini hatinya terdetik mahu membawa langkah kakinya ke arah itu. Satu lembah yang hanya dijadikan tempat kaum siluman bercucuk tanam. Selama ini dari situlah punca mata rezeki kaum siluman mencari nafkah. Lumrah siluman hidupnya saling bantu menbantu, segala usaha dikerah mereka untuk bercucuk tanam di situ agar bekalan makanan untuk isi Gua Muluk berkesinambungan terus turun temurun.

Pernah suatu ketika dahulu diceritakan oleh Tok Kelana pada dirinya, kawasan itu dilanda kemarau hinggakan lembah itu tidak mampu mengeluarkan hasil. Kering kontang tidak berair hingga mematikan segala tanaman di lembah itu. Saat itu mereka dilanda kebuluran yang amat sangat. Mujur dengan kepintaran Tok Kelana yang mempergunakan segala hasil hutan untuk dijadikan sumber makanan mereka, berjaya mengelakkan kaum siluman dari terbiar kelaparan. Terutamanya anak-anak kecil dan kaum wanita yang duduknya hanya di dalam Gua Muluk. Kaum lelakilah yang akan mencari rezeki meredah hutan agar dapat menyediakan sesuap makanan buat keluarga tercinta.

Dewi duduk termenung di sisi anak tangga di kaki Bukit Pelanduk. Pandangannya dibuang jauh melihat deretan batas yang dikerjakan beberapa siluman dari kejauhan. Kudupan kemboja yang digenggamnya dijentik perlahan memutuskan bunga putih itu dari tangkainya.

"Apa tiada maknanya lagi bunga itu pada dirimu Dewi..??" satu suara berbunyi garau muncul dari belakangnya. Dewi berpaling melihatkan Tok Kelana dan Juara melangkah merapatinya.

"Ayahanda..!" ucap Dewi kala melihatkan Tok Kelana menghampiri dirinya.

"Dewi kebosanan ayahanda..duduk sahaja di dalam gua tidak bertemankan siapa, kerana itulah Dewi berjalan keluar menghirup udara sambil melihatkan siluman bekerja di kebun.." keluh Dewi bermuram durja. Wajah Tok Kelana tenang sahaja diperhatikannya. Juara pula hanya pamerkan sengih saat Dewi mengilas pandangan melihatkan dirinya.

"Huhh...!" Dewi menjeling deras. Dia merajuk dengan Juara kerana keengganan Juara yang tidak mahu menuruti kehendaknya semalam. Hajat hatinya ingin mengikuti Juara pergi berburu di dalam hutan. Namun Juara membantah keras. Katanya kaum wanita tidak molek dibawa mencari rezeki di hutan. Andai bahaya datang, risau mereka tidak berupaya melindungi diri. Jelingan Dewi disambut letus tawa kecil dari Juara. Perangai Dewi itu sudah cukup masak dikenalinya. Degil!

"Mengapa anakanda bermuram melihatkan Juara..?? Apa yang tidak kena pada dirinya..??" Tok Kelana berpaling melihatkan Juara pula. Rengus Dewi dirasakan seolah penuh rasa kebencian. Wajah Dewi berubah muram saat melihatkan Juara yang berdiri tegak tidak jauh dari mereka. Juara hanya tersenyum sambil menopang tangannya dengan busur panah.

"Benci..Dewi bencikan abang Juara..!" Ucapnya tidak mahu berselindung. Biar Tok Kelana tahu. Kalau boleh biar seisi Gua Muluk tahu yang dirinya membawa rajuk berpuncakan Juara. Juara berdekah ketawa dari kejauhan. Makin galak letus tawa itu, makin mencuka raut wajah Dewi.

"Ayahanda lihatlah..! Abang Juara tertawakan Dewi..dia langsung tiada perasaan belas terhadap Dewi..!" rungut Dewi. Segenggam penumbuk dihulurkan ke arah Juara. Hanya gelengan mampu dibalas Juara. Andai dilawan, risau batu pula dicampakkan Dewi ke arahnya. Anak manja Tok Kelana ini tidak boleh dibawanya bergurau, tersalah sedikit maka tersentuhlah dinding hatinya. Wanita tetap wanita, kasarnya tetap terbatas. Hati yang mulus milik wanita mudah sahaja tersentuh andai dilayan tidak kena cara.

Tok Kelana turut tertawa melihatkan gelagat anaknya itu. Dewi terlalu dimanjakan selama ini. Kian dia meningkat dewasa, kematangan itu berganjak seolah tidak seiringan dengan usianya. Sentiasa sahaja pinta dibelai dan dimanja dari seorang ayah atau ibunya sendiri.

"Apa anakanda tidak menyukai Juara..??" Tingkah Tok Kelana mematikan pandangan Dewi terhadap Juara.

"Tidak..!" Dewi merengus kasar.

"Bukankah Juara itu lelaki yang sering menjadi dambaan wanita dari kaum kita..ayahanda melihat tiada apa celanya pada Juara itu..peribadinya molek, rajin bekerja, wajahnya tampan..pendek kata segalanya lengkap pada dirinya itu..apa lagi yang membuatkan dirinya kelihatan tidak sempurna padamu anakanda..??"

Dewi melarikan anak mata menjeling ke arah Juara yang bersiul perlahan.

"Bukan main tinggi hidung kau dipuji ya..!" getus Dewi dalam hatinya geram. Kakinya dihentak menghempas lantai bumi. Terik mukanya mengenangkan keangkuhan Juara yang melambung dipuji Tok Kelana.

"Banyak yang tidak sempurnanya ayahanda..terlalu banyak..!" tegas Dewi. Tubuhnya dibawa merapati Tok Kelana. Bibir dibawa merapati cuping telinga Tok Kelana berbisikkan sesuatu.

Terbahak-bahak letus tawa Tok Kelana mendengarkan ngomelan Dewi yang beria menceritakan satu persatu perkara buruk tentang Juara. Puas dia tergelak, kepala digelengnya pula sambil mengusap janggutnya yang putih menebal. Dewi sekadar mencemik muka memandang Juara. Tika Juara menjungkit naik keningnya, Dewi mencibirkan lidah pula ke arah Juara.

"Dewi....Dewi...hanya itu alasanmu untuk membenci Juara..??" Tok Kelana masih tertawa kecil. Dewi bersungguh mengangguk mengiakan apa yang dikatakan pada Tok Kelana tadi.

"Kerana sifat tanggungjawab dan amanahlah Juara tidak membenarkan anakanda untuk mengikutinya berburu..banyak dugaan dan cabaran di luar sana yang masih anakanda tidak tahu..besar natijahnya jika Juara membenarkan jua anakanda mengikutinya..banyak anasir jahat di luar sana yang masih anakanda tidak ketahui..percayalah Dewi..bukan sengaja Juara menidakkan kemahuanmu..jika ayahanda berada di tempatnya, pasti jua ayahanda akan melakukan sedemikian rupa.."

Tok Kelana tetap mempertahankan pendirian Juara yang berusaha melindungi anaknya itu. Dia tahu Juara hanya berpegang teguh pada Aturan Muluk yang telah ditetapkan. Kepada Juara sahajalah tempatnya berharap untuk menjadi pemimpin di kalangan siluman suatu masa kelak. Selama ini kerukunan dan keamanan yang terbina adalah berpunca daripada kepatuhan kaum siluman terhadap Aturan Muluk yang telah ditetapkan. Tiada siapa pernah ingkar dengan arahan yang diberikan. Mereka hanya menyendiri dalam dunia milik mereka sendiri.

"Tapi Dewi telah meningkat dewasa ayahanda..Dewi juga punya keinginan sendiri untuk menjalani hidup Dewi sendiri.." Dewi tetap berdegil. Rungutannya manja meminta belas dari Tok Kelana. Hatinya pula pedih kala Juara dipertahankan Tok Kelana. Disangkanya setelah Juara diperburukkan sedemikian rupa, maka memuncaklah kemarahan Tok Kelana terhadap Juara. Namun sangkaannya meleset. Dirinya pula yang menerima kata nasihat dari Tok Kelana.

Tok Kelana berdehem panjang. Pandangan segera dibuangnya jauh melihatkan kebun di bawah anak Bukit Pelanduk itu. Dia berfikir sejenak. Ada benarnya kata-kata Dewi itu. Memang dia telah dewasa. Benar dia berhak untuk menjalani hidupnya sendiri. Namun hatinya membantah keras. Kerana kata-kata Dewi itu kembali mengingatkan Tok Kelana kepada seseorang. Seseorang yang telah lama hilang dari hidupnya.

"Seroja sudah cukup dewasa kanda..Seroja berhak menentukan pilihan Seroja..bukan lagi sekadar menurut kata-kata kanda semata..!"

Terngiang di fikiran Tok Kelana mengingatkan kata-kata adik kandungnya sendiri dahulu. Dek kerana kasih, permintaan adiknya itu diturutinya jua. Dek kerana tidak mahu melihat Seroja terus memberontak dan bermasam durja, keinginannya itu dilunaskan jua. Segalanya cuba dipenuhi demi kepuasan Seroja. Dan akhirnya Seroja pergi meninggalkan mereka tiada pulang kembali. Kerana menuruti segala kehendak Seroja, mereka terpisah untuk selamanya. Tanpa sedar air mata Tok Kelana mula berlinangan tika mengingatkan perihal adik kandungnya itu. Entah apa khabar dirinya sekarang.

"Ayahanda..??" Dewi menghampiri Tok Kelana dari sisi kanan. Jauh ayahnya itu termenung. Namun yang paling tidak disangkanya bila terlihatkan biasan halus cahaya yang membias di kelopak mata Tok Kelana. Ada air mata yang menakung menunggu masa sahaja untuk tumpah membasahi pipi.

"Ayahanda menangis..?? Tapi mengapa..??" Bertaut kening Dewi saat diperhatinya wajah muram Tok Kelana. Lebih menjadi resah di hatinya kala melihatkan ayahnya itu berlinangan air mata. Apa besar benarkah salahnya hingga mengguris perasaan ayahnya itu fikir Dewi.

Pantas Tok Kelana menyika pergi air mata yang menakung. Sedih yang cuba disembunyikan itu dihidu pantas oleh Dewi. Selama ini hal itu sekadar menjadi rahsia dirinya dan siluman tua di Gua Muluk itu. Kerana peristiwa itu jugalah, Aturan Muluk diatur untuk memastikan kaum siluman terbela nasib mereka. Namun perkara yang lepas tidak wajar dikenang semula fikirnya.

"Tiada apa Dewi..mungkin debu beterbangan memasuki mata ayahanda.." Tok Kelana berdalih. Usai berkata demikian dia tertunduk. Ligat fikirannya memikirkan sesuatu. Dewi dan Juara hanya terdiam tidak tahu untuk berkata apa.

Hening seketika sebelum Tok Kelana mengangkat muka memerhatikan Dewi yang langsung tidak mengalihkan pandangan dari memerhatikan dirinya. Keputusan dibulatkannya. Pandangan dialih ke arah Juara sebelum kembali semula melihatkan Dewi di sisinya.

"Kasih ayahanda dan bonda dibawa mati..tiada terniat melukai dirimu walau sekali.." Tok Kelana ucapkan perlahan ke arah Dewi. Namun Dewi tidak mengerti maksud kata-kata ayahnya itu. Dia terpinga-pinga.

"Ayahanda bukakan matamu agar anakanda dapat melihat segala yang terselindung selama ini..sudah tiba masanya  ayahanda bebaskan kamu dari kepungan Silau Mata.." wajah Dewi diraupnya perlahan-lahan. Juara hanya memerhati dengan penuh khusyuk. Dia lega kerana akhirnya Tok Kelana membebaskan jua kekangan ke atas Dewi yang selama ini tidak diketahuinya. Terlalu lama Dewi telah dipalsukan pandangan matanya. Tiba masa, segalanya kini perlu dirungkai. Satu demi persatu.

Usai raupan ke wajah Dewi dilurut Tok Kelana, dia berundur dua tapak ke belakang. Dewi masih lagi terpinga-pinga. Apa yang dimaksudkan dengan Silau Mata pun tidak difahaminya. Dia cuba berbicara namun lidahnya seakan kelu. Suara merasakan tersekat di kerongkong tidak terucap. Hanya mata terkebil-kebil melihatkan Juara dan Tok Kelana sedang tersenyum melihat dirinya.

"Apa sebenarnya yang terjadi..??" Dewi hanya mampu berkata dalam hati. Semakin dia keliru tika Juara tidak henti mengulum senyum melihatkan dirinya.

"Saat pandanganmu kubuka..maka bertempiaranlah pergi segala penipuan yang kucipta selama ini..terbanglah dikau mencari haluan hidupmu asalkan tidak melanggar aturan..kau aku bebaskan untuk menyelongkar segala isi alam..agar kau tenang tidak berkalung resah.." ucap Tok Kelana dan terus menghentak tongkat pusakanya ke tanah. Beterbangan unggas di rimba saat hujung tongkat itu mengenai tanah. Ketika itu jugalah tubuh Dewi merasakan bebas dari kekangan yang menghalang geraknya tadi.

"Ayahanda..??" Dewi melihat telapak tangannya. Dia turut melihatkan keliling badannya andai ada perubahan yang ketara terlihat.

"Kau kini bebas anakku..tiada lagi aku mampu mengekang kehendakmu..jika kau merasakan keliru, bertanyalah kau kepada Juara ataupun sesiapa sahaja di kalangan siluman di Gua Muluk..pasti ada yang akan menjawabnya untukmu.." ucap Tok Kelana kepada Dewi. Dewi sekadar mengangguk. Dia masih keliru namun cahaya kegembiraan mula jelas terpancar di wajahnya. Bebas bermakna dia tidak terkekang lagi untuk kemana-mana. Bolehlah dia pergi ke jeram di Telaga Air Biru setiap hari seperti keinginannya. Bermakna juga dia boleh kemana-kemana sahaja tanpa kerelaan sesiapa. Asalkan tidak melanggar Aturan Muluk.

Tok Kelana berpusing membelakangi Dewi. Dia melangkah menghampiri Juara lantas membisikkan sesuatu ke telinga Juara.

"Jagalah dia sepertimana kau menjaga nyawamu.." usai berbisik demikian, Tok Kelana terus berlalu meninggalkan Dewi dan Juara. Hilang sahaja bayangan Tok Kelana di celahan denai menghala ke Gua Muluk, terus sahaja Juara mendapatkan Dewi.

"Akhirnya kau bebas Dewi..!"

"Bebas..??"

"Ya..kau kini bebas beterbangan kemana sahaja yang kau kehendaki..!"

"Maksudmu Abang Juara..??"

Juara menyilangkan busur panahnya ke belakang badan. Tangannya dikepang mengembangkan dada. Perlahan dia terapung di udara mengikuti arah angin yang bertiup. Dia tertawa melihatkan Dewi yang tercengang memerhatikannya melayang di udara.

"Abang Juara mampu terbang di awangan..??" Soal Dewi seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Ya..semua kaum siluman mampu..termasuk juga kau Dewi.."

"Mengapa tiada siapa pernah mengatakan perihal ini padaku sebelum ini..??"

"Itu ajaibnya Silau Mata..kau dikaburi dengan pelbagai kepalsuan..semua itu adalah untuk kebaikan dirimu Dewi..namun hari ini kau telah dibebaskan..kau kini sama sahaja seperti siluman yang lain..!" Juara begitu teruja. Perlahan dia mendakap tubuhnya lalu turun semula ke lantai bumi.

"Cuba kau kepangkan tanganmu Dewi.." arah Juara. Dewi sekadar menuruti. Saat lengan dikepang luas, perlahan-lahan tubuhnya terasa melayang di udara. Hujung kakinya terangkat meninggalkan lantai bumi. Pertama kali dalam hidupnya, dia berada di awangan. Dalam kegusaran hati, Dewi tetap pamerkan senyuman.

"Ayuh..aku bawa kau ke Tunjuk Bumi..!" Juara menggapai telapak tangan Dewi lantas membawanya meluncur melintasi awan menuju ke arah Bukit Cempaka yang bersebelahan dengan Bukit Pelanduk. Kegirangan Dewi saat melihatkan keindahan belantara dari awangan. Segalanya tampak menghijau. Pohonan merimbun menutupi setiap ruang bumi. Aliran jeram yang melingkar di celahan bukit dilihatnya indah mengalirkan air kebiruan warnanya. Tampuk hitam bayang-bayang pokok hutan yang meninggi tumbuhnya turut menjadi santapan halwa matanya. Segalanya indah.

"Mengapa dari dulu Abang Juara tidak mengatakan tentang ini padaku..??"

Juara sekadar tersenyum. Lengannya rapat mengenggam erat jemari Dewi. Sepuluh jari bertaut menjadi satu. Juara merasakan itulah hari yang cukup indah baginya. Namun dia bertingkah dalam hati adakah Dewi turut merasakan sama apa yang dirasainya.

"Suatu masa, kau akan ketahui semuanya Dewi.." ucap Juara terus meluncur laju. Dewi sekadar mengangguk. Sejenak wajah Juara diperhatikannya dari sisi. Wajah itu penuh serinya. Benar kata Tok Kelana, Juara memang menjadi dambaan siluman di Gua Muluk. Peribadinya telah melambangkan dirinya. Tangkas, tekun dan tampan. Untuk seketika Dewi merasakan ada denyut di hatinya yang sukar untuk digambarkan mengapa.

"Lihat Dewi.." ucap kata Juara mematikan lamunan Dewi. Pandangan dialihkan melihat ke hadapan. Puncak bukit yang tidak diketahuinya di mana makin mendekat. Terbentang luas tiada berpokok. Hanya lapang selapang lapangnya. Juara meluncur turun terus menjejak bumi. Perlahan genggaman ke atas jemari Dewi dilepaskan. Nafas dihelanya lembut menghirup nyaman udara petang itu.

"Inilah Tunjuk Bumi.."

Dewi terpana. Kawasan yang landai tiada berpokok. Hanya kehijaun rumput segar menyilang naik bersaing sesama sendiri. Cahaya matahari yang menyinar turut tidak dirasakan bahang menyucuk kulit. Aliran kecil anak jeram berisi bongkah batu pelbagai saiz melintang di pertengahan padang itu. Kolam kecil yang menakung laluan air jeram menempatkan anak-anak ikan bermain riang. Lima ekor bangau putih terpacak kepalanya memerhatikan tetamu baru yang kunjung tiba ke Tunjuk Bumi. Kelopak teratai menghiasi permukaan kolam dan bila bayu bertiup perlahan, ikutlah ia lenggok bersama menongkah air. Dewi melihatkan Juara yang sentiasa berada di sisinya. Segaris senyuman tergores di wajah mulusnya.

"Indahnya kawasan ini Abang Juara..!" Dewi bertepuk tangan lalu berlari mengejarkan bangau yang berdiri di sisi kolam. Terpaan Dewi membuatkan semuanya berlalu pergi. Sekadar menghayun tangannya cuba menggapai semua udara segar. Dewi berbaring melepaskan lelahnya di atas hamparan hijau rumput.

"Bolehkah kita berehat sebentar di sini Abang Juara..??" Dewi mengepang kedua belah tangannya mengusap rumput di Tunjuk Bumi. Juara sekadar mengiakan. Biarlah Dewi menikmati keindahan yang baru dikecapinya itu. Biar dia jadi peneman saat hadirnya indah itu. Kerana telah lama disematnya dalam hati, apakan sahaja demi Dewi, sanggup sahaja dilakukannya.

Juara berdiri di tebing Tunjuk Bumi. Di sisi kirinya aliran air terjun bertingkat menyimbah ke kaki bukit. Membawa pergi punca air ke keseluruhan jeram. Di depannya pula terpampang belantara tebal menghijau tidak tercela. Dewi masih berdiam diri terbaring kesenangan. Liuk tubuhnya diperhatikan Juara memang benar sedang menikmati lembut rumput yang dihenyaknya.

"Rembang mentari dilindung awan,
Hangat menerik tetap dilawan,
Hidup sendiri tiada berteman,
Ternanti-nanti puteri kayangan.."

Dewi bukakan kelopak mata perlahan. Jarang sekali didengarinya Juara berpantun sebegitu. Entah mengapa sampai sahaja di Tunjuk Bumi, dia merasakan Juara seolah berubah sikap.

"Hidup sendiri tiada berteman,
Ternanti-nanti puteri kayangan,
Usah dinanti usah ditelan,
Ternoda hati perit menahan.."

Balas Dewi lalu bangkit dari pembaringannya. Hanya memerhatikan Juara yang leka di hujung tebing bukit itu. Sepoi angin bertiup membawa bersama helaian rambutnya menyisir lalu.

"Pedih kutahan walau ditepis,
Kerna hati terpaut sayang,
Kata terucap risaukan terguris,
Gundah hati puteri kan hilang."

"Hmm..boleh tahan juga hebatnya Abang Juara ini.." Dewi merapati Juara. Cuping telinga Juara dicuit manja. Juara sekadar tersenyum melihatkan telatah Dewi. Mungkin dia masih tidak lagi mengerti.

"Abang Juara..dimanakah itu..??" Anak matanya terlihatkan satu kawasan yang agak janggal dari hutan tebal itu. Tempatnya lapang. Punya halaman yang luas. Juga punyai sebuah binaan yang berdiri megah. Dari kejauhan dapat jua dilihatnya anak kecil bermain riang di pancuran air.

"Itulah Indera Sakti..kediaman kaum manusia.." ulas Juara turut melihatkan ke arah yang ditunjuk Dewi. Istana Indera Sakti yang berdiri megah di perkampungan itu menjadi lambang kemegahan mereka. Berbeza dengan kaum siluman yang hidupnya sekadar di dalam gelap Gua Muluk.

"Manusia..??" menyebut sahaja perkataan itu terus Dewi teringatkan jejaka yang diusiknya dahulu. Anak muda yang tampan dan segak. Mungkin dari keturunan yang baik-baik fikirnya. Sejenak itu juga fikirannya melayang mengingatkan selendang kuning kesayangannya yang berada dalam genggaman jejaka itu. Aku pasti akan mengambilnya kembali suatu hari nanti getus hati kecilnya.

"Dan disana adalah tempat tinggalnya kaum jembalang yang sering mengadakan kacau bilau di kawasan kita ini.." Juara menuding jari menunjukkan ke sebelah kiri bukit. Sebatang pohon besar meninggi naiknya mendongak awan jadi tatapan Dewi. Pohon yang cabangnya hanya di pucuk. Menjulang naik berakar selirat. Melihatkan itu sahaja sudah mampu menghadirkan seram di dada Dewi.

"Boleh kita ke sana Abang Juara..??" Dewi sengaja menempah bala. Keyakinannya memuncak bila difikir akan kemampuannya melayang di udara. Mustahil jembalang mampu untuk menangkapnya jika dia di udara.

Juara sekadar menggeleng. Bukan tidak membenarkan. Cuma beralasan untuk pergi di lain hari. Kerana hari makin merunduk menuju senja. Amanat Tok Kelana tetap perlu dijaganya. Tidak sesekali dia akan melampaui batas dalam tiap tingkah lakunya.

"Mungkin suatu hari nanti dinda.." Juara meneguk liur. Memang sengaja diucapnya begitu. Riak wajahnya cuba dikawal menghilangkan gemuruh yang menongkah naik.

"Dinda..??" soal Dewi. Setahu dirinya, andai tiada pertalian darah atau hubungan berkasih sayang, mana mungkin sebutan itu diucap di antara teruna dan dara. Namun mengapa Juara menggelarnya dinda tanpa sebab. Juara hanya pamerkan senyuman.

"Dewi umpama adik padaku..apa salahnya kalau aku memanggilmu dinda..tidak salah bukan..??" helah Juara segera menutup silapnya.

"Ada ada sahaja Abang Juara ini..ayuh kita pulang..??" Dewi tersenyum lalu berpaling membelakangi Juara. Air kolam disentuhnya dengan hujung kaki. Dewi berlagu riang meninggalkan Juara yang kematian punca.

"Suatu hari nanti..kita tetap akan bersama Dewi.." bisik Juara perlahan lalu mengekori langkah Dewi.

Dewi memutuskan untuk berjalan kaki sahaja kembali ke Gua Muluk. Dia berhajat untuk menikmati segala pemandangan di hutan Bukit Cempaka itu. Untuk pulang ke Gua Muluk, dua lurah bukit perlu mereka tempuhi. Perjalanan yang mengambil masa namun terus sahaja dipersetujui Juara. Kerana masa yang ada, bolehlah dia meluangkan masa bersama Dewi dengan lebih lama.

"Hati-hati Dewi.." langkahan Dewi menyeberangi kayu balak yang melintang di antara Bukit Cempaka dan Bukit Pelanduk diperhatikan oleh Juara. Gusar andai tergelincir, gaung dalam yang menanti di bawah. Dewi masih belum handal melayangkan dirinya. Risau benar Juara andai ada apa-apa yang terjadi pada diri Dewi. Langkah perlahan diuja Dewi hinggalah hinggap dia ke seberang. Sambil menantikan Juara sedang melintasi kayu balak, Dewi sekadar memerhatikan keliling andai dapat dilihatnya burung-burung beterbangan.

"Aduhh..!!" Dewi terbaring menekup lengan kanannya. Anak panah berwarna jingga terpacak dipohon yang berada di belakang tempat Dewi berdiri. Juara mempercepatkan langkah dan terus mendapatkan Dewi.

"Dewi..!!" Juara memapah Dewi yang mengerang menahan kesakitan. Anak panah yang terpacak di pohon diperhatikan Juara. Dia kenal pemilik anak panah itu.

"Tangkap kedua-dua siluman itu..!" Buragas terpekik mengarahkan puluhan jembalang yang mengekorinya untuk segera bertindak. Tongkat bertatahkan tengkorak kambing dihalanya ke hadapan mengarahkan semuanya untuk mara.

Juara bernafas laju. Jelas dapat dilihatnya segerombolan jembalang berkejaran menghampiri dirinya dan Dewi. Semuanya lengkap bersenjata tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang. Piala yang harus direbut adalah Dewi. Yang kini hanya dilindungi oleh Juara seorangan.

"Abang Juara..darah.." Dewi merengek perlahan di sebalik badan Juara. Anak panah yang dilepaskan jembalang tadi sipi mengenai bahu kanannya. Darah mengalir turun membasahi pakaiannya. Juara berpaling melihatkan Dewi yang wajahnya telah berubah pucat.

"Panah beracun..!" getus dalam hatinya. Juara perlu pantas bertindak. Dia tidak boleh bertegas untuk berentap dengan jembalang yang kian menghampirinya. Nyawa Dewi perlu diselamatkan terlebih dahulu.

"Abang Juara.." rengek Dewi kian sayu. Matanya kian tertutup rapat. Hela nafasnya turut terdengarkan perlahan.

"Ahhhh..!!" Juara menumbuk lantai bumi. Hatinya geram. Meretap giginya menahan marah sambil anak matanya menyorot penuh amarah melihatkan Buragas. Namun dia perlu berundur. Tubuh Dewi segera dipautnya kemas. Juara berpusing dan terus meluncur laju turun dari puncak Bukit Pelanduk itu. Titisan darah milik Dewi diperhatikan meninggalkan jejak untuk si jembalang. Juara perlu memikirkan akal untuk memesongkan laluannya kala jembalang masih lagi memburu dirinya dan Dewi.

"Andai aku biarkan mereka menjejaki darah Dewi..nescaya kediaman siluman turut akan mereka ketahui.." Juara berfikir panjang. Sesuatu perlu dilakukannya. Buragas dan jemabalang yang lainnya masih lagi berkejaran mengekori mereka dari kejauhan. Juara tekad. Dia perlu memesongkan laluan musuhnya itu.

Di balik perdu buluh berhampiran denai turunnya jalan ke Gua Muluk, Juara berhenti. Dia bertinggung sambil merebahkan tubuh Dewi ke lantai bumi. Wajah yang kian pucat terpamer di raut muka Dewi semakin meresahkan Juara. Dari kejauhan terdengar susup sasap jembalang makin menghampiri tempatnya merebahkan Dewi. Mereka menjejak melalui darah!

"Maafkan abang Dewi.." darah yang mengalir di lengan Dewi segera dihisap Juara. Dikumpulnya sebanyak mungkin darah milik Dewi dalam mulutnya. Usai berbuat begitu, Dewi segera ditutupnya dengan Lindung Alam. Lembaran kain yang digunakan oleh pahlawan siluman sepertinya untuk mengelakkan dari pandangan musuh terutamanya jembalang. Kerana Lindung Alam mampu mengaburi mata jembalang yang melihat, mampu menyekat segala deria rasa dan dengar milik mereka. Juara pantas meluncur menukar jejak yang ditinggalkan Dewi. Darah yang ditakung dalam mulutnya segera disembur ke arah berlainan. Agar jembalang terkeliru dengan helahnya itu. Segalanya berlaku secara pantas. Juara kembali mendapatkan Dewi yang disembunyikan di bawah Lindung Alam itu. Baru sahaja hendak dipapahnya Dewi pergi, kelibat jembalang dapat dilihatnya makin mendekati.

"Jahanam..!" Juara kembali menyelubungi dirinya dan Dewi dengan Lindung Alam. Lembaran lutsinar itu membenarkan Juara untuk terus melihat gerakan jembalang yang kian menghampirinya. Setompok darah milik Dewi benar-benar ada di hadapan mereka kala itu. Juara hanya mampu meneguk liur. Dewi terus senyap tiada berkata apa. Hanya hela nafas yang perlahan sahaja didengari Juara.

"Ke tepi..!!" Buragas terpekik mengusir kelompok jembalang yang mengelilingi tompokan darah milik Dewi.

Buragas terhenti betul-betul di atas tompokan darah Dewi. Tiga bonjolan anak matanya ligat mencarikan susuk tubuh sasarannya. Sesekali lidahnya terjelir menjilat angin menentukan arah. Dia kehilangan punca. Jejak dua siluman yang diburunya hilang tiba-tiba.

"Siluman celaka..!" Buragas menghentak berkali-kali kepalanya. Juara sekadar melihat tidak bergerak. Jarak dia dan Buragas hanya beberapa langkah sahaja. Andai Buragas melangkah ke kiri, pasti dia akan terpijakkan Lindung Alam lalu menyerlahkan apa yang terlindung. Juara bersedia dengan pedang kecil yang tersisip di lengan kirinya. Andai Buragas mengetahui kedudukannya, dia bersedia untuk menikam.

"Aku bersumpah akan mendapatkan anak si Kelana itu..dendamku tetap akan kuhitung..!" Pekik Buragas lalu mengusap kesan parut di wajahnya. Parut lama peninggalan Tok Kelana pada dirinya. Kerana itulah dendamnya tidak pernah padam. Perlahan Buragas membongkokkan diri dan menjilat tompokan darah milik Dewi.

"Ahhhhh...manis..!"ucapnya sambil mengusap bibir yang dipenuhi darah.

Buragas lalu melangkah ke arah kirinya. Seperti mendengarkan sesuatu yang berbunyi di perdu buluh. Buntang biji matanya melihat. Selangkah demi selangkah langkahnya diatur. Semakin dekat dia merapati Lindung Alam milik Juara. Pedang kecil milik Juara sudah tersedia.

Prapp!!

Tuesday 24 March 2015

Dewi Siluman Senja 4

"Kau la ni..! Heboh sangat nak ambil gambar burunglah, nak ambil gambar jeramlah..kan kita dah sesat sekarang ni..!"

"Apesal aku pulak..kau yang suruh aku temankan kau pergi ambil air jeram..nak buat air minum konon..kau ingat ni zaman purba ke nak minum air jeram..??"

"Ahhh..aku tak kira..engkau punya pasal jugak yang buat kita sesat macam ni..kalau aku tak ikut cakap kau tadi, mesti kita tak terpisah dari kumpulan kita tadi.."

"Aku jugak yang jadi punca..??"

"Memang..!"

"Huh..!"

Raihan dan Musliha saling berbalah menegakkan benang yang basah. Masing-masing tidak mahu mengalah. Saling tuduh-menuduh antara satu sama lain dalam saat getir itu.

Raihan dan Musliha adalah penuntut universiti yang sedang mengikuti eksplorasi untuk mendaki Bukit Pelanduk di pinggir hutan itu. Tujuan mereka adalah satu, untuk mencari tanda-tanda peninggalan arkeologi di sekitar kawasan itu terutamanya di dalam sebuah gua yang dikatakan berada di sekitar Bukit Pelanduk itu.

Dek kerana leka dengan keindahan hutan yang melalaikan mereka berdua, kedua-duanya terpisah daripada kelompok peserta yang lain. Puas sudah mereka cuba mengikuti denai yang mereka tempuhi awal tadi namun hampa. Mereka tetap berpusing-pusing dalam satu kawasan yang sama. Semakin jauh mereka tersesat di dalam belantara tebal itu.

"Haishh.." Raihan mengeluh berat. Dia menjeling melihatkan Musliha yang sedang tercangak-cangak melihatkan pokok hutan di kelilingnya. Sesekali butang kamera dipetik Musliha untuk merakamkan kenangan mereka di situ. Hutan hijau itu tidak seindah belantara konkrit di ibu kota. Segalanya nampak tenang di sini.

"Sudah-sudahlah nak bergambar tu..cuba kau cari akal sikit macam mana nak keluar dari sini..ini tidak, heboh dengan selfie melpie kau tu..!" rungut Raihan. Dia kebuntuan akal untuk mencari jalan keluar dari belantara itu. Dia kehilangan punca tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Hanya mampu mengeluh sambil menunggu andai ada rakan-rakannya dari pasukan eksplorasi itu untuk datang menyelamat.

Musliha hanya berdiam diri. Malas lagi hendak bertekak dengan Raihan. Asyik membebel sahaja dari tadi. Naik tersumbat lubang telinganya menahan leteran Raihan.

"Kau boleh senyap sekejap tak An..?? Aku tak boleh fikir kau tau tak pasal kau asyik membebel je dari tadi..semua tak kena dekat mata kau..macam mak nenek lah kau ni..!" Musliha menyumbat lubang telinganya dengan earphone. Sengaja membingitkan telinga dengan dendangan lagu yang diputarkan di corong radio. Cara itu sahaja dia dapat mengelak dari terus mendengarkan leteran Raihan.

"Haa..itulah dia..asal tension je sumbat telinga..asal tension je sumbat telinga.." bebelan Raihan kali ini langsung tidak didengari Musliha. Hanya duduk seorangan mengadap jeram yang sedikit keruh airnya yang mengalir. Mungkin dek kerana hakisan tanah di hilir sungai akibat hujan lebat malam tadi.

"Oi Leha..! Aku cakap ni kau tak dengar ke..??"

Musliha membatukan diri.

"Oi Leha oiiii...aku panggil kau ni..dengar ke tak..??" sekali lagi Raihan terus memanggil Musliha. Sakit hatinya bila Musliha tidak mengendahkannya. Namun Musliha tetap buat tak dengar. Dia hanya melenggok-lenggokkan kakinya di tepi batu jeram melayan dendangan lagu yang berkumandang di cuping telinganya.

Papp!

"Aduh..!!" Rengek Musliha. Belakang badannya diusap perlahan menahan sakit. Pantas dia menoleh ke belakang. Raihan mengekek tertawa. Batu kecil yang dilontarnya ke arah Musliha tepat mengenai belakang badannya. Balasan buat dirinya yang tidak endah akan kata-katanya.

"Lain kali orang bercakap dengar..bukan duduk diam sumbat telinga dengan earphone.." leter Raihan lagi lalu bangkit mengesat punggungnya yang berpasir. Matahari kian naik meninggi hingga mencengkam ubun-ubun kepalanya. Peluh renek yang mengalir di dahi akibat kebahangan dikesatnya. Musliha hanya memerhatikan sahaja gelagat Raihan dengan wajah yang mencuka.

"Sakitlah bodoh..!"

Raihan tertawa geli hati. Rengek Musliha tidak diendahkannya. Yang menjadi keutamaan dirinya sekarang adalah untuk mencari jalan keluar dari kesesatan mereka itu. Tidak sanggup bermalam berdua bersama Musliha. Khuatir akan terjadi pula perkara yang tidak diingini bila malam menjengah tiba. Bukan sekadar binatang buas di rimba itu sahaja yang menjadi persoalannya, malah dirinya sendiri juga ditakutinya. Gusar andai syaitan pula merasuk dirinya sendiri malam nanti. Dan tika itu tiada siapa yang mampu menyelamatkan Musliha. Kerana antara dua pasangan bukan muhrim seperti mereka di tengah-tengahnya adalah syaitan. Itu semua adalah risiko yang berlegar dalam kepalanya sendiri.

"Dah..jom kita susur ikut tebing jeram ni..kata orang kalau tersesat dalam hutan, ikut sahaja aliran sungai..mesti akan berjumpa dengan jalan keluar nanti.." ucap Raihan terus melangkah memanjat tebing jeram itu. Musliha hanya mengangguk akur dengan arahan Raihan. Sekurang-kurangnya Raihan cuba mencari ikhtiar untuk melepaskan mereka dari belengu itu.

Hampir sejam mereka menyusuri jeram yang dipenuhi bongkah-bongkah batu itu, akhirnya mereka tiba di satu kawasan yang sedikit lapang kawasannya. Raihan berhenti sambil membuka bekas minumannya. Dia meneguk laju kerana bahang panas tengahari itu benar-benar membuatkan tekaknya kering.

"Kita rehat dekat sini sekejap..letak beg kau dekat sini.." Raihan turut melurutkan beg galasnya dan meletakkan di atas lantai bumi. Dia memerhatikan keliling mencari teduhan redup untuk mereka melepaskan lelah. Satu bongkah batu besar yang diteduhi serimbun pokok hutan mendakap perhatiannya. Kawasannya agak landai dan redup untuk dijadikan tempat rehat mereka sementara.

"Kita rehat dulu dekat tepi batu besar tu Leha.." Raihan menunjukkan ke arah teduhan redup yang diperhatinya tadi. Wajah Musliha berkerut tidak berpuas hati.

"Aku tak sukalah kau panggil aku Leha..!" Muka dicemik memuncungkan bibir.

"Alaaaa comelnya kau buat muka itik macam tu..." usik Raihan tertawa kecil melihatkan telatah Musliha yang manjanya tidak bertempat itu. Namun bila makin galak ditenungnya wajah Musliha itu, makin dia terpesona pula dengan raut wajah itu. Comel.

"Apa tengok-tengok..!!"

Pek!

Dahi Raihan ditampar kuat Musliha. Merah menyala kesannya berbekas di dahi Raihan yang kebasahan dek peluh. Buntang biji matanya memerhatikan Musliha yang mengekek tergelak sambil cuba melarikan dirinya dari Raihan. Pukuk curi yang tak disangka Raihan.

"Sini kau..!!" Ugut Raihan terus mengejar Musliha yang terkedek-kedek berlari meninggalkannya dalam letus tawa. Dia tidak mahu Raihan membalas tamparan itu pada dirinya pula. Melihatkan kekar otot milik Raihan sudah dapat dibayangkan betapa sakitnya nanti andai tapak tangan Raihan itu hinggap di dahinya pula.

Musliha terus berlari menuju ke bongkah batu yang dikatakan Raihan. Hampir sahaja Raihan dapat menggapai tangannya tika mereka tiba di tepi batu besar itu. Leka bergurau tanpa disedari mereka berada tepat di atas satu lubang telaga lama yang telah ditinggalkan ratusan tahun lamanya. Hanya ditutupi ranting kayu dan dedaun layu yang berselerak di atas permukaan mulut telaga. Raihan terhenti langkahnya bila terdengarkan seolah bunyi rekahan kecil di telapak kakinya. Dia terus memasang telinga.

"Leha..jangan bergerak.." ucap Raihan cemas. Dia langsung tidak bergerak kerana risaukan sesuatu yang sedang dipijaknya. Derapan halus yang ditangkap anak telinganya mula menghadirkan gusar. Musliha terhenti. Dia berpaling merapati Raihan yang terbongkok-bongkok mengimbangi badannya.

"Kau apehal..??"

"Aku rasa kita berada pada tempat yang tak betul pada masa yang tak betul.." Raihan mendongakkan wajahnya memerhatikan Musliha. Kelihatan jelas anak tekaknya turun naik menelan air liur. Wajahnya cemas seperti melihatkan hantu.

"Ha ha ha..!" Musliha tergelak sambil memikirkan apalah helah Raihan kali ini. Mungkin hanya sekadar muslihat untuk mendapatkan dirinya. Mungkin dia berlari terlalu laju hinggakan Raihan tidak mampu mengejarnya. Dan kini diusahakannya pula muslihat lain untuk menjerat dirinya.

"Kau jangan nak cenekel lah An..kau sengaja nak buat helah biar aku rapat dengan kau..lepas tu kau nak tangkap aku kan..?? Nak tepuk dahi aku kan..??" sambung Musliha dan terus tertawa. Hanya mengejek Raihan yang masih menjadi batu tidak bergerak di atas rimbunan ranting kayu itu.

"Diamlah..! Aku rasa kita berpijak atas sesuatu ni..ada sesuatu kat bawah ranting kayu ni.." Raihan menuding jari ke arah bawah. Musliha turut melihatnya. Dia berdiri di atas selerakan ranting yang sama.

"So..??"

"Sooo..jangan buat pergerakan secara mengejut..aku risau kalau ini mungkin jerat yang dibina oleh orang asli dalam hutan ini.." ujar Raihan cuba menguis perlahan rating di kakinya satu persatu. Perlahan dia mengerjakannya.

Dan Musliha...

Terlompat-lompat menghentakkan kakinya di atas rimbunan ranting itu. Tidak percaya dengan kata-kata Raihan. Dia percaya itu hanyalah dakyah palsu Raihan cuba memerangkap dirinya.

"Jangan Leha..!!" pekik Raihan memecah hening belantara itu. Musliha terhenti. Tak disangkanya Raihan begitu serius. Disangkanya hanya bergurau seperti tadi.

"Yelah..!" Musliha berpusing membelakangi Raihan. Tubuh dipeluk rapat. Kaki dihentaknya sedikit melepaskan geram akibat dimarahi Raihan. Dan itu adalah perkara paling bodoh dilakukan Musliha.

Semena-mena ranting yang menutupi mulut telaga itu runtuh lalu membawa mereka berdua terjerumus masuk ke dalam sisi gelap telaga. Musliha terjerit-jerit meminta pertolongan kala tubuhnya melayang turun menanti saat menyembah lantai telaga. Suasana gelap telaga yang diselangi bauan tidak menyenangkan menyekat helaan nafasnya. Musliha dan Raihan terus melayang terjunam ke dalam gelap telaga yang bumin tidak bercahaya itu.

ASHURI berlegar di sekeliling istana. Pandangannya tercari-cari kelibat Tantira yang sedari tadi tidak dapat dilihatnya. Yang kelihatan hanya hulubalang istana berlegar berkawal di sekitar istana. Puas dijengahnya kepala namun bayang Tantira langsung tidak kelihatan.

"Anakanda mencari apa..??" tegur Permaisuri Dahlia yang muncul dari pintu besar istana. Tingkah laku Ashuri yang seolah cemas berdiri sendiri di hadapan pintu istana itu menghadirkan pelik di matanya. Jarang siang-siang begini Ashuri berada di istana. Selalunya dia akan menghilang selepas sahaja santapan pagi. Anak muda seperti Ashuri yang sering sahaja tidak pernah duduk diam, ada sahaja pekerjaan yang ingin dilakukannya.

"Bonda..Ashuri mencari Tantira..ada bonda lihatkan dia..??" Langkahnya mundar mandir di hadapan pintu istana.

"Ohh..tadi bonda ada terdengar titah ayahanda yang mengarahkan Tantira untuk ke hujung kampung kita ini.."

"Ke hujung kampung..?? Atas urusan apa wahai bonda..??" Ashuri langsung tidak tahu menahu akan titah Raja Rasturi itu. Kelazimannya setiap titah ayahandanya turut akan diketahui olehnya. Entah mengapa hari ini dia seolah dipinggirkan dari kebiasaan.

"Menurut pengawal yang berjaga di hujung sempadan kampung kita ini..mereka ada menangkap lima sahabat yang melalui laluan ke perkampungan kita ini..lalu ayahanda mengarahkan Tantira untuk pergi menyiasat siapakah gerangan yang telah melangkaui sempadan kita itu..mungkin ayahanda gusarkan andai ada musuh ingin datang menyerang perkampungan kita anakanda.." jawab Permaisuri Dahlia. Dia melangkah merapati Ashuri.

"Ashuri mahu kemana bersama Tantira..??" dia pasti andai Ashuri memerlukan Tantira, pastilah ia berkenaan sesuatu yang mustahak. Pasti ada sesuatu keinginan anakandanya itu yang dikehendakinya. Dan mungkin hanya Tantira sahaja yang boleh membantunya.

"Anakanda mahu ke Telaga Air Biru..cadangnya mahu mengajak Tantira menemani anakanda ke sana.."

Raut wajah Permaisuri Dahlia berubah muram. Dia tidak senang sekali dengan hajat Ashuri yang mahu pergi semula ke Telaga Air Biru itu. Walhal baru dua hari yang lepas dia kesana mengambil air penawar untuk Raja Rasturi yang sedang gering. Kala itu, dia terpaksa mengizinkan jua pemergian Ashuri ke sana walaupun tanpa kerelaannya. Kerana dia cukup gusar akan sumpahan di telaga itu. Peristiwa lalu kembali menggamit memori masa lampaunya.

"Apa lagi urusanmu hendak ke sana Ashuri..?? Bukankah telah berkali bonda katakan usah dihampiri kawasan itu..apakah susah benar dirimu untuk mengerti maksud kata-kata bonda..??" Permaisuri Dahlia tidak mampu mengekang kesedihan yang tiba-tiba sahaja menyelaputi dirinya. Ditambah lagi dengan keingkaran Ashuri yang tetap berdegil melawan kata-katanya. Hati seorang ibu mudah sahaja tersentuh bilamana seorang anak menjentik perasaannya.

"Bonda.." langkah diatur menghampiri Permaisuri Dahlia. Bahu bondanya itu dipaut perlahan Ashuri. Dia tahu kelakuannya telah menghadirkan sedih pada diri bondanya itu. Dagu dilampiaskan di atas bahu Permaisuri Dahlia. Sengaja Ashuri melagakan lembut pipinya mengenai pipi Permaisuri Dahlia. Rajuk bondanya itu perlu dipujuk.

"Maafkan Ashuri bonda..bukan niat mengingkar kata..nafsu melingkar pinta dibelai.."

Permaisuri Dahlia mengeluh. Jemari Ashuri yang hinggap di kedua belah bahunya itu diusapnya perlahan. Pandangannya dibuang jauh melihatkan taman bunga istana yang berada di perkarangan istana.

"Usah nafsu jadi pedoman..kelak binasa memakan badan.." ujarnya tertunduk. Air mata yang cuba disekangnya tidak mampu ditahannya lagi. Hatinya terlalu hiba. Peristiwa lama itu benar sukar dilupakannya. Saat anak sulungnya yakni kekanda kepada Ashuri hilang tanpa jejak di jeram itu, hatinya makin diruntun sedih. Mengingatkan itu sahaja sudah cukup untuk menumpahkan air matanya. Dia enggan peristiwa itu berulang kedua kalinya. Tidak mahu Ashuri pula menjadi mangsa telaga itu.

"Bonda..Ashuri telah besar panjang..pandailah Ashuri menjaga diri..saat muda inilah Ashuri perlu belajar tentang segala hal bonda..andai ayahanda sudah tiada nanti, pewaris takhta tentulah perlu diisi Ashuri..mana mungkin Ashuri mampu memikul tanggungjawab sebesar itu jika ilmu Ashuri tidak seteguh ayahanda.." Ashuri terhenti seketika menghela panjang nafasnya. Titis air mata Permaisuri Dahlia yang berlinangan di pipi dikesatnya.

"Barang yang lama usah dikenang bonda.." sambungnya semula. Pautan ke atas bahu bondanya itu dibawa mengadap dirinya. Dalam wajah bondanya itu diperhatikan Ashuri. Jelas dapat dilihatnya kemurungan itu terpamer di wajah Permaisuri Dahlia.

"Izinkan anakanda untuk pergi ke jeram sana bonda..??" pinta Ashuri semula. Dia tegar untuk kesana. Hatinya dialun rasa ingin tahu siapakah gerangan si gadis yang berjaya menambat hatinya. Walau cuba dinyahkan pergi wajah itu, ia tetap berlegar-legar dalam fikirannya.

"Tapi.."

"Tiada tapi bonda..boleh atau pun tidak..??" Belum pun sempat Permaisuri Dahlia menghabiskan kata-katanya, Ashuri terlebih dahulu mencantas kata bondanya.

"Ashuri..anakanda tahu betapa sayangnya bonda padamu bukan..??"

Ashuri hanya mengangguk.

"Dan Ashuri juga tahu betapa bonda tidak sanggup kehilangan Ashuri bukan..??"

"Benar bonda.."

Permaisuri Dahlia menarik nafasnya dalam-dalam. Wajah Ashuri ditatapnya penuh belas. Dia tidak mampu lagi untuk menghalang niat anak terunanya itu yang semakin hari semakin membesar menjadi dewasa. Dia berhak untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Andai ditegah sekalipun, belum tentu Ashuri akan mengikuti segala kata-katanya. Daripada Ashuri berkata nista padanya, adalah lebih baik dia mengizinkan sahaja pemergian anaknya itu mengikut kehendak dirinya.

"Pergilah Ashuri..hanya satu permintaan bonda, dalam apa jua tindakan anakanda, fikirlah semasak-masaknya sebelum keputusan dibulatkan..hanya itu permintaan bonda.."

Ashuri tersenyum gembira bukan kepalang. Dahi bondanya dikucup bertalu-talu. Tidak mempedulikan dayang-dayang istana yang mengiringi bondanya ketika itu.

"Terima kasih bonda..anakanda tidak akan lupa setiap nasihat yang bonda titipkan untuk anakanda.."

Ashuri pantas berlalu pergi meninggalkan perkarangan pintu istana itu meninggalkan Permaisuri Dahlia. Tika dia melintasi di sisi Permaisuri Dahlia, satu bauan yang amat dikenali Permaisuri Dahlia menerpa ke hidungnya. Permaisuri Dahlia jadi gumam seketika. Diperhatikan sekeliling kawasan itu. Bauan itu amat dikenalinya. Kemboja Sari bauan kegemarannya suatu ketika dahulu. Dan kini ia muncul kembali setelah sekian lama ia hilang dari hidupnya.

Mungkinkah...

Permaisuri Dahlia ligat membawa anak matanya melihatkan sekeliling. Dia mencari punca bauan yang tiba-tiba menerpa datangnya itu.

"Mungkin hanya perasaanku sahaja..tidak mungkin mereka berani muncul semula.." selanya sendiri dalam hati.

RAIHAN mengeluh. Kepalanya berdenyut terasa seperti mahu pecah. Matanya dibuka perlahan melihatkan sekeliling. Terjahan cahaya memeritkan bola matanya.

"Apa dah jadi ni..??" Raihan menolak badannya naik perlahan-lahan. Dia memerhatikan sekeliling kawasan itu. Masih lagi di jeram yang sama. Cuma, seperti ada yang pelik diperhatikannya. Seingat dirinya sebelum dia tidak sedarkan diri tadi, dia dan Musliha terjunam jatuh ke dalam satu lubang yang amat dalam dan gelap gelita. Tapi kenapa kini dia masih berada di permukaan lantai bumi? Bukannya di sisi lantai telaga?

Raihan mengurut kepalanya yang perit berdenyut tidak terhenti. Fikirannya melayang seketika mengingatkan sesuatu. Musliha!

Raihan cemas. Musliha tiada di sisinya. Puas dia membuntangkan mata mencari kelibat Musliha. Namun hampa kerana bayang Musliha langsung tidak kelihatan. Dia yakin yang Muslihan turut bersamanya terjunam ke dalam telaga itu tadi. Dan pasti jua Musliha berada di sekitarnya ketika itu.

"Leha..!!" jerit Raihan. Bergema belantara itu dengan pekikan suaranya. Tiung yang sedang leka mencari makan di lantai bumi bertempiaran terbang terdengarkan teriakan Raihan itu. Dia segera bangkit berpusing di sekeliling kawasan itu mencarikan Musliha.

"Leha..!!" sekali lagi jeritannya memecah hening. Namun tetap tidak bersahut. Raihan cemas. Adakah Musliha tidak bersamanya. Apa yang mahu dijawabnya nanti andai ada yang bertanyakan padanya.

"Oii.." sayup kedengaran suara Musliha di sebalik mulut telaga. Dia terbaring lama tidak sedarkan diri di sisi telaga itu. Terpisat-pisat dia bangun sambil mengesat tubuhnya yang dipenuhi pasir sungai. Raihan menghela nafas lega. Hampir sahaja tercabut jantungnya bila menyedari Musliha tiada di situ bersamanya. Segera dia berkejar mendapatkan Musliha yang duduk tersandar di tepi batu besar bersebelahan telaga itu.

"Leha..kau tak apa-apa..??"

"Okay..aku tak apa-apa..kau..??"

"Aku pun okay..cuma siku aku je luka sikit.." ujar Raihan cuba memapah Musliha bangun. Dia masih lagi keliru. Dimanakah sebenarnya mereka ketika itu.

"Bukan ke kita terjunam masuk dalam telaga ni tadi An..??" dia juga turut keliru. Lain benar dirasakan kawasan sekelilingnya itu. Mungkin masih di tempat yang sama, tapi mengapa seolah berbeza fikirnya.

"Entah..aku pun tak pasti Leha.."

Musliha berinjak sedikit dari celah batu besar yang menghalang pandangannya. Ditolehnya ke kanan, terpampang satu keindahan yang tidak pernah disaksikan seumur hidupnya.

"An..kau tengok tu.."

Raihan dan Musliha bertukar pandangan. Masing-masing saling menggosok anak mata. Saling tidak percaya dengan apa yang terpampang indah di hadapan mereka berdua itu. Terpegun seketika merenung jauh ke hadapan mereka.

"Kita dah sampai Alaska ke ni An..??" Musliha perhatikan sekeliling. Aneh sungguh kawasan itu seperti tidak pernah dilihatnya. Seingat dirinya tadi, dia dan Raihan terpisah dari rakan-rakan mereka yang lain dan terus tersesat jauh ke dalam belantara. Perkara akhir yang diingatinya, mereka berdua terjerumus ke dalam satu lubang yang amat dalam dan gelita. Selepas itu, segalanya menjadi gelap bumin.

Dan kini, mereka seolah berada dalam dunia yang berlainan. Udaranya nyaman. Hutan yang menghijau tidak seindah hutan yang biasa diterokainya. Panas terik mentari terasa sejuk tak seperti biasa. Dan yang paling mengujakan, terjunan air di hadapan mereka yang membiru airnya. Benar-benar mempesonakan.

"Kalau dah sampai Alaska..mestilah ada saljinya.." ucap Raihan pula. Dia turut merasakan janggal dengan persekitaran barunya itu. Di mana sebenarnya mereka ini hatinya berbisik.

"Hoi jembalang..!!" Satu suara bertempik dari kejauhan. Raihan dan Musliha berpaling melihatkan siapakah gerangan yang menggelarkan mereka jembalang.

Ashuri muncul dari celahan semak setelah terdengar pekikan suara manusia dari arah Telaga Air Biru. Bergegas dia kesana kerana menyangkakan ada insan yang berada dalam kesusahan. Mungkin jua gadis yang menghantui dirinya sebelum ini turut berada disana fikirnya. Namun fikirannya meleset pabila diperhatikan ada dua susuk tubuh yang langsung tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

"An..selamat kita An..ada pun orang dekat kawasan ni.." Musliha tersenyum saat melihatkan Ashuri muncul mendekati mereka. Raihan turut merasakan sama namun seperti ada kejanggalan bila dilihatnya lelaki di hadapannya itu. Berpakaian umpama kerabat diraja zaman dahulu kala, berkeris, bertanjak dan bercapal. Segak mengenakan busana melayu klasik umpama pengantin diarak ke pelamin.

"Bro..ada photoshoot kahwin dalam hutan ke bro..??" tegur Raihan lantas menghulurkan salam untuk berjabat tangan. Pantas Ashuri menepisnya dengan keras. Mukanya terik menahan amarah. Sebegitu berani golongan jembalang ini menghampiri kawasan yang telah diharamkan untuk mereka. Benar kata Tabib Fansuri padanya dahulu, golongan jembalang tidak pernah merasakan aturan yang telah ditetapkan untuk dipatuhi. Bagi mereka setiap aturan ataupun rukun yang telah ditetapkan adalah untuk menyusahkan golongan mereka. Kerana itulah golongan jembalang harus dihapuskan tanpa sebarang kata.

"Aku tidak berjabat dengan golonganmu..kalian hanya layak menjadi amukan kerisku sahaja..!!" ucap Ashuri lantas memasang kuda-kuda kakinya. Bersiap sedia untuk berentap melawan musuh yang melintasi kawasannya.

"Ehh..chill bro..chill.." Raihan undur setapak ke belakang. Raut wajah lelaki di hadapannya itu benar-benar dirasakan seperti mahu diamuknya belantara itu. Dia berdiri melindungi Musliha. Entah orang gila manalah yang berkeliaran di dalam hutan ini fikirnya.

"Benar kata Tabib..memang adab tidak ada dalam dirimu wahai jembalang..tiada rasa bersalah langsung tika kau gelarkan aku beruk..!!"

Raihan tercengang. Dia tidak menggelarkan lelaki di hadapannya itu beruk. Jauh sekali tidak beradab. Sedangkan salam yang dihulurnya tadi ditepis keras oleh lelaki melayu klasik itu.

"Dari mana asalmu wahai jembalang..?!" Ashuri menghunus kerisnya menghadap ke arah Raihan dan Musliha. Pandangannya tidak langsung dibiarkan leka. Sesekali dia menoleh ke sisi kanan dan kirinya. Andai ada jembalang lain yang cuba menyerangnya secara curi. Kerana jembalang punyai pelbagai helah pada hematnya.

"An...aku takutlah.." Musliha bersembunyi di belakang Raihan. Badannya dirapatkan di sebalik tubuh Raihan yang sasa. Risau andai orang gila yang bersenjatakan keris itu akan menyerang mereka.

"Bro..for your information..kami ni bukan jembalang okay..and for your further information, kami tersesat dalam hutan ini..kami cuba nak keluar dari hutan ini sebelum gelap..nasib baik kami bertembung dengan bro..kalau tak, tak tahulah apa nasib kami.." Raihan cuba bertoleransi secara baik dengan lelaki yang mengelilingi mereka itu. Dia tidak merisaukan dirinya. Tetapi Musliha yang tidak tahu menahu tentang selok belok hutan ini yang menjadi keraguannya. Andai apa-apa terjadi padanya, gusar Musliha akan kehilangan punca. Sebaik mungkin dia cuba bertahan agar tiada apa-apa yang terjadi antara mereka.

"Usah kau ucap bahasa jembalang padaku..!"

"Duhh..bahasa jembalang apa pulak ni..??" detik hati Raihan. Mula merasakan tidak sedap hati. Asakan Ashuri perlahan-lahan membawa dia dan Musliha merapati tebing jeram itu. Raihan tidak punya pilihan selain dari cuba mempertahankan dirinya dan juga Musliha. Fikirannya ligat memikirkan cara untul melarikan diri dari lelaki gila dihadapannya itu.

"Usah jadi penakut wahai jembalang..! Ayuh bertempur denganku..!" Ashuri menerpa ke arah Raihan. Raihan menolak Musliha hingga terjatuh ke tepi. Terpaan Ashuri pantas dikilas Raihan dengan jayanya. Ilmu taekwando yang dipelajarinya selama ini kini dipergunakan sebaik mungkin. Ashuri dibawanya sedikit ke kawasan lapang. Agar jauh dari kelibat Musliha.

Ashuri memerhatikan pergerakan Raihan. Puas ditenungnya langkah kaki yang diatur Raihan. Tidak pernah dilihatnya pencak silat sedemikian rupa. Raihan terjingkit-jingkit di atas pasir sungai sambil kedua belah tangan dihalakan ke hadapan. Bersedia untuk berdepan dengan serangan balas dari Ashuri.

"Tidak kutahu bahwa jembalang kini punyai satu pencak yang baru..aku harus berhati-hati..aku pasti jembalang ini bukan calang-calang jembalang.." detik hatinya. Ashuri kembali merapati Raihan. Langkah kakinya diatur selangkah demi selangkah menghampiri. Raihan tetap bersedia untuk menepis.

Terpaan Raihan terhadap Ashuri berjaya dipatahkan hanya dengan sekali elak. Pantas lengannya mengunci leher Raihan yang kini melutut menahan keperitan dek kekunci silat Ashuri. Dia mengerang menahan keperitan yang tidak terbayangkan itu.

"Berhenti..!!" Musliha menjerit dalam keseduan tangisnya. Tidak sanggup melihatkan Raihan diapa-apakan oleh lelaki yang bagai menggila menyerang itu. Pandangan Ashuri berkalih melihatkan seorang lagi lelaki yang hanya terduduk di atas pasir meraung melihat rakannya diasak kekunci silatnya.

"Wanita..??" bisik hati Ashuri. Tidak menyangka bahawa jembalang yang berambut pendek separas telinga itu adalah wanita. Tidak pernah selama ini dia melihatkan wanita berambut pendek seperti itu. Dalam pada dia merenung bengis ke arah Musliha, pandangannya terhenti melihatkan anak mata Musliha yang kebiru-biruan. Kekunci di leher Raihan segera dilepaskan. Tubuh Raihan ditolaknya kasar hingga tersembam mengadap pasir sungai.

"Apakah dia seperti gadis yang kulihat dahulu..?? Warna matanya itu persis benar dengan gadis itu.." soal Ashuri dalam hatinya. Perlahan dia merapati Musliha yang ketakutan. Dia perlukan kepastian. Siapakah sebenarnya gerangan orang asing yang berada di Telaga Air Biru itu.

"Maafkan hamba kerana berkasar..hamba sangkakan kalian adalah golongan jembalang yang sering mengadakan kacau bilau di kawasan ini.." ucap Ashuri menghulurkan tangannya untuk menarik naik Raihan. Rentapan marah dalam hatinya segera diusir pergi. Dia perlukan kepastian dari dua orang yang tidak dikenalinya itu.

"Tak apa bro.." ucap Raihan tersekat-sekat. Lehernya diusap untuk menghilangkan perit akibat dicengkam padu oleh Ashuri tadi. Musliha pantas menerpa ke arah Raihan.

"Hamba Ashuri.."

Raihan hanya menganggukkan kepalanya saat Ashuri memperkenalkan dirinya. Musliha kembali berlindung di belakang Raihan untuk melindungi dirinya.

"Aku Raihan..dan ini Musliha..kami tersesat dalam hutan ini..kami perlukan bantuan untuk keluar dari hutan ini..boleh bro tolong kami..??"

Ashuri mengerut dahi. Sudah dibilang namanya Ashuri, namun lelaki itu masih lagi menggelarkannya beruk.

"Tiada elok tuan hamba menggelarkan hamba beruk..panggil sahaja hamba Ashuri.."

Raihan menggaru kepalanya.

"Apa-apa jelah Ashuri..boleh kau tolong kami..??" Pinta Raihan tidak mempedulikan kata-kata Ashuri.

"Marilah..aku bawa kamu berdua ke istana..di sana nanti, kamu ceritakanlah segalanya padaku.." Ashuri mengatur langkah mendahului Raihan dan Musliha. Hari kian merunduk melewati petang. Mahu tidak mahu Raihan dan Musliha terpaksa jua merelakan ajakan Ashuri yang mengajak mereka ke istana miliknya. Asalkan ada tempat berteduh semalaman, sudah dikatakan baik. Daripada bermalam tanpa sebarang cahaya di dalam belantara tebal itu.

"Dia cakap apa dengan kau tadi Leha..??" Raihan berbisik perlahan ke arah Musliha. Langkahnya tetap menuruti di belakang Ashuri yang maju ke hadapan melalui denai di tengah belantara tebal itu.

"Entah..dia pandang mata aku tadi..lepas tu terus dia berhenti serang kau..dia takde cakap apa-apa pun dengan aku.."

"Hmmm.." Raihan hanya bermonolog dalam hati. Apa sebenarnya yang terjadi pada mereka. Adakah dia bermimpi? Pandangan dialihkan melihatkan anak mata Musliha. Cuba mencari jawapan di sebalik anak mata itu. Punca Ashuri menjadi tawar hati untuk terus menyerangnya tadi.

"Kau ni apehal tengah-tengah hutan pun nak pakai contact lens ni..??" soal Raihan terhadap Musliha. Dia tergelak kecil keraba baru kala itu dia terperasankan anak mata Musliha yang ditutupi kanta mata kebiru-biruan itu.

"Biar arr..!!" jawab Musliha tidak pedulikan ejekan Raihan. Mereka hanya terus berdiam diri mengikuti Ashuri hinggalah tiba ke perkarangan Istana Indera Sakti. Pandangan kedua-duanya terpegun. Keindahan persekitaran istana itu benar-benar memukau mata mereka. Binaan mirip istana lama zaman dahulu kala itu benar-benar dirasakan indah. Merasakan seolah berada di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala.

"Inilah istanaku.." ucap Ashuri melangkah masuk ke dalam perkarangan istana. Dari kejauhan dia dapat melihat lima orang anak teruna menuju ke arahnya. Selang melewati dirinya, lima anak muda itu tunduk menghormati dirinya. Ashuri sekadar membalasnya dengan senyuman terhadap lima jejaka yang tidak dikenalinya itu.

"Ashuri..kemana kau seharian tadi..??" tegur Tantira yang kebetulan mengiringi lima orang jejaka itu keluar dari pintu istana.

"Aku ke Telaga Air Biru tadi Tantira..puas aku mencarikan kau untuk diajak kesana.."

"Maafkan aku Ashuri..aku ke hujung kampung atas titah tuanku pagi tadi.."

Ashuri mengangguk perlahan kerana dia sudah tahu mengenai perkara itu dari mulut bondanya tadi. Raihan dan Musliha hanya duduk diam di belakang Ashuri sementara menanti Ashuri berbual bersama Tantira. Raihan semakin keliru. Semua orang yang dilihatnya sepanjang menuju ke istana itu, pakaian masing-masing seolah dari zaman dahulu kala. Segalanya nampak pelik. Dia hanya berdiam diri tidak mahu menanyakan lebih kepada Ashuri. Mungkin belum tiba waktunya untuk dia bertanya.

"Siapakah lima jejaka yang baru melintasi ku itu Tantira..??"

"Ahh..itulah anak muda yang aku jumpa di hujung kampung sana tadi..kata mereka ingin mencari guru untuk menuntut ilmu persilatan..sengaja aku bawakan ke istana ini untuk mengadap Raja Rasturi.."

"Dari mana datangnya anak muda itu..lagak gaya mereka seolah tidak melambangkan mereka dari kalangan kita.."

"Menurut kata salah seorang darinya, mereka dari Melaka..merantau jauh mencari guru untuk melengkapkan ilmu persilatan mereka.." Tantira terhenti katanya seketika.

"Seingat hamba namanya Hang Tuah..dan yang selebihnya hamba tidak ingat Ashuri.." sambung Tantira semula. Anak matanya dibawa melihatkan Raihan dan Musliha yang hanya berdiri diam di belakang Ashuri.

"Siapakah ini Ashuri..??" Tantira menunjukkan ke arah Raihan dan Musliha yang tidak dikenalinya. Janggal benar perilaku dua orang yang dibawa pulang Ashuri ke istana itu.

"Ohh..aku terlupa untuk perkenalkan padamu..ini rakan baruku yang aku temui di Telaga Air Biru tadi..katanya mereka tersesat di belantara tika menjelajah..lalu aku menawarkan mereka tempat berteduh untuk seketika.." jawab Ashuri lantas memperkenalkan Tantira kepada Raihan dan Musliha.

"Mereka dari Kuala Lumpur..apa pernah kau dengar negeri yang mempunyai nama sedemikian wahai Tantira..??"

Berkerut dahi Tantira. Tidak oernah seumur hidupnya mendengarkan nama negeri seperti itu. Dia hanya menggeleng menjawab kata-kata Ashuri.

"Tak mengapa..biar sahaja aku bertanyakan pada Raja Rasturi nanti.." ucap Ashuri lantas mengiringi naik Raihan dan Musliha ke pintu besar istana.

Tuesday 17 March 2015

Dewi Siluman Senja 3

Tiga.

Gua Muluk terbentuk di antara dua bongkah bukit yang letaknya saling bersebelahan. Terletak di pertengahan antara timur dan barat. Sinar mentari jarang sekali menembusi masuk ke halaman gua kerana duduknya yang terlindung di celahan bukit. Meningkah naiknya mentari di timur, Bukit Pelanduk lindungkan cahaya. Runduknya mentari di ufuk barat dilindung pula dek Bukit Cempaka. Saat tegaknya mentari menikam ubun-ubun, pohonan rimbun belantara yang memuncak naik menjadi payung meredupkan suasana. Lantai bumi kehijauan disimbahi embun pagi menyamankan helaan nafas. Rintik kabus menyelinap turun menyembah bumi. Dedaun hijau jadi tenggek si beluncas mencari makan di pagi hari. Tiung dan merbah berterbangan saling bersaing merebutkan unggas kecil yang terbang tiada arah.

Tok Kelana Siluman menghirup segar dingin pagi itu sedalam-dalamnya. Kembang dadanya dipenuhi udara segar pagi itu. Matanya tertutup rapi sambil jarinya mengelus lembut tongkat pusaka peninggalan nenek moyangnya yang terdahulu. Detak kakinya perlahan mengetuk lantai bumi mengalunkan irama yang dirinya sendiri tahu. Tok Kelana Siluman mengangguk seorangan di luar tabir pintu Gua Muluk.

"Tok Kelana..??" tegur Fawas yang sedari tadi hanya memerhatikan sahaja siluman tua itu duduk seorangan di tabir pintu gua itu. Memang menjadi kelaziman Tok Kelana Siluman untuk duduk seorangan di situ setiap pagi. Kadangkala hingga ke tengahari dia akan duduk diam di situ.

Teguran Fawas langsung tidak diendahkan Tok Kelana. Matanya masih dipejamkan rapi sambil jemari terus sahaja mengusap tongkat yang sentiasanya dibawa kemana-mana. Fawas tidak mahu lagi menegur paksa Tok Kelana Siluman. Bisik hatinya mengatakan bahawa Tok Kelana Siluman mungkin mahu sendirian. Memang selama ini jarang sekali dirinya dapat berbual dengan siluman tua itu. Entah mengapa dirinya terasa seperti dibenci sahaja oleh Tok Kelana Siluman. Semanjak dari kecil dia dilayan tidak seperti penghuni-penghuni gua yang lain.

Fawas masih lagi teringatkan satu peristiwa tika dia masih kecil dahulu. Peristiwa yang membawa kemurkaan Tok Kelana Siluman terhadap dirinya. Saat dia leka bermain bersama Dewi dan Juara di anak sungai yang memisahkan antara Bukit Pelanduk dan Bukit Cempaka. Penduduk sekitar menggelarkan itu adalah lidah bukit. Anak air cetek yang mengalir di celahan batu menjadi tempat main mereka bertiga. Leka bermain hinggakan tidak sedar senja kian menjelang. Sudah acap kali dipesan oleh Tok Kelana Siluman, jangan bermain hingga senja berlabuh. Khuatir akan diganggu dek jembalang yang sering sahaja berkeliaran di kala senja. Namun kedegilan Dewi yang enggan pulang semula ke Gua Muluk membuatkan mereka terleka lama di situ.

Juara dan Fawas tidak punya daya untuk melawan kehendak si puteri kecil yang nakalnya bukan kepalang itu. Andai ditegah, Dewi akan bermasam muka dan enggan bertegur lagi dengan mereka. Juara dan Fawas telah lali dengan perangai Dewi. Lantaran itu kehendak Dewi sering sahaja mereka turutkan. Walaupun pada akhirnya, mereka sedar yang hukuman berat menanti. Namun kerana Dewi, mereka turuti.

"Dewi..marilah kita segera pulang..hari makin gelap..aku risau kita akan dimarahi Tok Kelana.." ujar Fawas sambil melihatkan Dewi yang leka bermain air. Juara turut memerhatikannya. Dia sependapat dengan kata-kata Fawas. Andai mereka terus berada di situ, nescaya tika malam gelap baru mereka akan sampai semula ke Gua Muluk. Dan dia amat pasti Tok Kelana pasti akan berang dengan mereka bertiga.

"Benar kata Fawas itu Dewi..marilah kita pulang..aku mula tidak merasakan sedap hati..kau bukan tidak tahu akan suasana kawasan ini bila malam menjelma.." Juara turut menasihati Dewi yang masih berdegil. Kata-kata Juara dan Fawas mengundang kerutan di raut wajah Dewi.

"Apa yang kalian berdua khuatirkan..?? Kita bukannya terlalu jauh dari Gua Muluk..sepelaung jeritan sahaja sudah dapat didengari isi gua andai kita ditimpa bencana..apa yang hendak digusarkan..??" Dewi tetap dengan pendiriannya. Tidak mahu pulang selagi dia masih tidak puas bermain. Dan yang menjadi mangsa adalah Fawas dan Juara.

Fawas hanya menggelengkan kepala. Dia mendongak ke langit yang makin kelam. Mentari makin merunduk ke ufuk barat. Susuk cahaya kian memudar berlindung di tabir senja. Kata-kata Dewi hanya mampu dibalasnya dengan helaan kecewa. Dewi terlalu degil.

"Kalian gusarkan jembalang dan puaka di belantara ini..??" Ujar Dewi mengusik Fawas dan Juara. Kata-kata Dewi mengundang pandangan kedua-dua anak teruna yang menemaninya itu. Dewi tergelak kecil melihatkan Fawas dan Juara seakan makin gusar.

Bukan hanya mereka sahaja yang mendiami belantara itu. Selain mereka yang mendiami Gua Muluk, terdapat juga manusia yang mendiami nun jauh di hujung sungai yang mengalir itu. Perkampungan kecil yang didiami manusia berjunjungkan seorang raja di kalangan manusia. Namun mereka tidak pernah bersemuka. Tidak pula dijelaskan oleh Tok Kelana mengapa mereka tidak dibenarkan bercampur gaul dengan manusia.

Dan di hilir sungai berpuncanya air yang mengalir itu, menetapnya satu perkampungan jembalang yang sering sahaja melakukan kacau bilau di tempat itu. Ada sahaja yang mengganggu andai mereka terserempak. Jembalang yang sering menjelmakan diri mereka seakan binatang di hutan dan kadangkala menyerupai susuk tubuh yang menyeramkan itu sentiasa mengintai peluang andai ada kalangan siluman yang terleka. Adakalanya kehadiran jembalang itu mendatangkan bahaya pada kaum siluman terutamanya anak kecil yang dibiarkan sendiri bermain dalam belantara. Kerana itulah Tok Kelana melarang anak-anak kecil dari bermain sendiri berjauhan dari Gua Muluk. Khuatir akan diganggu jembalang dan puaka yang merayap kala senja.

Juara dan Fawas berpandangan sesama sendiri. Fawas meneguk liur kala Dewi berkata demikian. Juara hanya menunduk.

"Bukankah andai aku diganggu jembalang dan puaka, aku punya kalian untuk melindungiku..??" Ujar Dewi lagi sambil dia memercikkan air jeram ke arah Fawas. Tergelak Dewi bila melihatkan Fawas yang mencuka bila dirinya dibasahi air jeram yang disimbahi Dewi.

Juara tersenyum.

"Benar..mana mungkin kami biarkan kau keseorangan ditimpa musibah wahai Dewi..andai nyawa perlu kami korbankan untukmu, akan kami gadaikan asalkan dirimu tidak tercela.." ujar Juara mengundang sengih Dewi. Fawas turut mengangguk mengiakan kata-kata Juara. Mana mungkin Dewi dibiarkan sendiri tanpa perlindungan. Selama ini memang itu yang seringkali dilakukan mereka berdua. Menjadi hulubalang tanpa iktiraf yang melindungi puteri hati mereka berdua itu.

"Jadi..bolehlah kita bermain hingga ke larut malam..!" Dewi terpekik riang. Air jeram dikocaknya makin galak. Disimbahnya ke arah Juara dan Fawas yang hanya tergelak melihatkan telatah Dewi.

"Apa sahaja untukmu Dewi.." Fawas tidak tahu untuk perkatakan apa lagi dengan gesaan Dewi. Hanya mampu menuruti. Walau hati gelisah memikirkan apa yang bakal berlaku setibanya mereka nanti ke Gua Muluk.

Leka bermain hinggakan tidak menyedari ada anak mata menyorot penuh bernafsu melihatkan mereka bertiga. Hanya mengintai di balik semak menantikan peluang untuk melakukan kacau bilau. Jembalang kecil yang turut menjadikan anak sungai itu sebagai tempat bermain, kini tersenyum penuh kesinisan saat melihatkan ada siluman yang turut berada di situ. Lumrah jembalang untuk melakukan huru hara yang memperosakkan alam. Kini peluang telah terhidang. Dia hanya menanti.

"Ayuh Fawas..kita petik buah cemerai yang sudah ranum masak itu..??" Dewi menunjukkan pohon cemerai yang terletak di seberang jeram. Buah cemerai yang masak ranum itu menggamit selera Dewi. Ranum buah kecil yang berwarna kehitaman itu tidak seperti kelihatan rupanya. Isinya masam dan manis sesedap rasa.

"Ahh..berapa kali mahu kau petik buah itu..apa kau tidak muak Dewi..??" Fawas hanya membiarkan Dewi berjalan seorangan menuju ke pohon cemerai itu. Malas hendak ditemaninya Dewi yang tidak pernah duduk diam itu. Ada sahaja perkara yang ingin dilakukannya.

"Jangan dipanjat pula pohon itu Dewi..nanti jatuh, terluka kakimu..!" Juara memberikan amaran. Namun dia yakin, kata-kata itu hanya masuk dan keluar sahaja di cuping telinga Dewi. Dia turut memerhatikan Dewi berjalan seorangan menuju ke pohon cemerai yang tidak jauh daripada mereka. Tidak mampu hendak dibendungnya tingkah Dewi yang degil itu.

"Fawas..aku merasa tidak sedap hati..entah mengapa dari tadi aku asyik sahaja berdebar seolah ada sesuatu yang akan terjadi.."
kata Juara sambil menghampiri Fawaa yang sedang duduk seorangan di atas batu jeram. Pandangannnya dialihkan ke arah Juara.

"Apa maksudmu Juara..??"

"Entahlah..perasaan tidak enak itu sering sahaja keluar dan pergi mengisi fikiranku sejak dari tadi.." kusam pandangan Juara melihatkan Fawas.

"Mungkin kau sudah menjangkakan yang kita akan dikurung di dalam sangkar setibanya kita pulang ke gua nanti..ha ha ha.." Fawas tergelak besar. Dia awal-awal telah dapat mengagak apa yang akan terjadi pada dirinya dan Juara sekembalinya mereka ke Gua Muluk malam nanti. Pasti Tok Kelana akan memarahi mereka. Dan yang akan dipersalahkan tentulah Juara dan Fawas. Seingat Fawas, sudah hampir enam kali mereka dikurung di dalam sangkar yang menjadi tempat untuk menghukum kepada mereka yang mengingkari Aturan Muluk. Dia pasti yang itulah menyebabkan Juara merasakan tidak sedap hati.

"Bukan..perasaan ini lain benar Fawas.." Juara menghentakkan kakinya ke batu jeram. Anak kayu yang dipegangnya dilontarkan ke arah tepi jeram. Resah sungguh hatinya memikirkan perihal itu. Fawas hanya berdiam diri. Tidak tahu untuk mengatakan apa lagi untuk mententeramkan Juara.

Sedang rancak mereka berbual tanpa disedari Dewi telah dirangkul olej jembalang yang sedari tadi menunggu peluang. Kini Dewi dalam dakapan salah seorang jembalang yang susuknya lebih besar berbanding tiga temannya yang lain. Bibirnya mengukir senyuman sambil anak mata menyorot ganas memerhatikan Fawas dan Juara.

"Abang Juara..!! Tolong Dewi..!" Teriakan Dewi membuatkan pandangan Juara dan Fawas terus menerpa memerhatikan pohon cemerai yang ditujui Dewi.

"Dewi..!!" Fawas terjun dari batu yang menjadi tempat duduknya. Kedua-duanya menerpa ke arah Dewi yang meronta minta dilepaskan. Makin kuat rontaannya, makin kuat cengkaman si jembalang memaut dirinya.

"Lepaskan dia jembalang..!!" jerit Fawas. Dia gumam seketika. Belum pernah lagi mereka bertembung dengan jembalang penghuni belantara itu. Sebelum ini hanya mendengarkan cerita dari siluman tua di gua tempat tinggal mereka. Fawas dan Juara tidak tahu untuk melakukan apa. Mereka saling berpandangan.

"Berani sungguh kamu siluman bermain di kawasan kami ya..!" Kasar ucapan dari jembalang yang memaut Dewi. Perlahan rambut Dewi yang mengurai diusapnya. Lidahnya terjelir penuh rakus melihatkan siluman kecil yang berada dalam dakapannya.

"Apa yang kau mahu..! Lepaskan dia..dia tidak punya apa salah denganmu..!" Juara cuba menghampiri Dewi. Namun belum sempat dia berbuat apa. Satu tendangan deras tepat mengenai perutnya. Dia tercampak ke belakang sambil menahan perit di perut. Fawas segera mendapatkan Juara yang tersandar tidak bermaya.

"Aku hanya berkehendakkan darah milik siluman..tidak lebih dari itu..ha ha ha.." hilai tawa jembalang itu kian memuncak. Dewi semakin lemas dalam dakapan. Tidak mampu lagi meronta. Hanya menangis melihatkan Juara yang tersandar dipapah Fawas.

"Fawas..bantulah Dewi.." perlahan suara yang diucap Dewi. Dia tersedu menangis menahan pautan kemas si jembalang. Fawas meretap geram melihatkan Dewi yang makin lemah.

"Celakalah ke atasmu jembalang..aku sanggup bermandi darah asal temanku tidak teraniaya..!" Pautan ke atas Juara dilepaskan Fawas. Segera dia menerpa untuk mendapatkan Dewi. Dia nekad. Walau apa terjadi, Dewi perlu diselamatkan terlebih dahulu.

"Berhenti..!!" satu garau suara menerjah membingitkan keadaan. Fawas terhenti mengatur langkahnya. Empat jembalang yang dari tadi tergelak besar kini mula diundang resah. Tiga susuk tubuh yang berada di atas anak bukit berhampiran jeram itu diperhatikan mereka. Jembalang yang memaut Dewi mendengus kemarahan pabila melihatkan Tok Kelana Siluman, Aduka Siluman dan Kurnia Siluman berdiri gagah memerhatikan mereka.

"Lepaskan anak kecil itu jika kau tidak mahu diapa-apakan wahai jembalang..ini bukan tempatmu..!!" Ujar Tok Kelana tegas. Tongkat pusaka miliknya dihentakkan ke lantai bumi.

"Ahhh...anak kecil ini bermain di kawasanku..aku berhak berpunyakan dia..!!" Bentak jembalang tidak mahu melepaskan Dewi. Dia kehausan darah yang selama ini didambanya. Mana mungkin dia melepaskan hidangan itu begitu sahaja.

"Jika kau tetap berdegil..aku tidak teragak-agak untuk merantap nyawamu wahai jembalang..!" Ujar Tok Kelana lagi memberikan amaran. Fawas hanya memerhatikan sahaja pertelingkahan antara Tok Kelana dan jemabalang yang mendakap Dewi. Dia tidak tahu untuk melakukan apa-apa. Nasib baik kemunculan Tok Kelana tepat pada waktunya. Jika tidak, entah apalah nasib yang bakal menimpa Dewi.

"Hrrrrr....hrrrrr.." jembalang mendengus terketar. Amarah Tok Kelana benar dirasainya. Dia tahu yang dihadapinya itu bukan calang-calang siluman. Nyawanya pasti melayang andai dia berkeras untuk berentap dengan pahlawan siluman itu. Bukan tarafnya untuk bertarung bersama mereka. Perlahan pautan ke atas Dewi dilepaskan. Mereka berundur perlahan menjauhi Dewi yang terbaring di permukaan jeram. Fawas segera mendapatkan Dewi yang tidak bermaya.

"Sekali lagi aku lihatkan ada anak kecil bermain di sini..aku pasti kau semua tidak akan dapat melihat mereka lagi selepas itu..itu amaranku wahai siluman..!!" bentak jembalang lantas melarikan diri menghilang dalam semak. Tok Kelana bernafas lega. Mujur dia tiba tepat pada waktunya. Dia hanya memerhatikan Fawas mendukung Dewi yang kelesuan tidak bermaya untuk berjalan lagi.

"Pulang segera ke Gua Muluk..!" Arah Tok Kelana tanpa dibantah oleh Fawas. Dia hanya menuruti perintah yang diberikan. Setibanya di Gua Muluk. Dewi segera diberikan pada ibunya Dewi Siluman Bulan. Juara pula segera dirawat oleh Tabib Sakti Alam Siluman. Kecederaan Juara tidaklah teruk mana. Namun memerlukan rawatan segera agar dia tidak tercedera dengan lebih teruk.

"Kurungkan mereka dalam sangkar..! Jangan diberikan makanan tanpa kebenaran dariku..andai ada yang ingkar, akan aku hukum setimpal dengan keingkaran kalian..!" Tegas Tok Kelana. Fawas terkedu. Dia hanya memerhatikan Juara dan Dewi yang berlinang air mata menahan kesakitan. Benar mereka telah melanggar Aturan Muluk yang ditetapkan. Namun dengan keadaan Dewi dan Juara yang kesakitan, mana mungkin mereka mampu bertahan jika dikurung dalam sangkar itu tanpa makan dan minum.

"Tok Kelana..Dewi dan Juara tidak bersalah..Fawas yang bersalah kerana mengajak mereka pulang lewat..berkali Dewi mengajak kami pulang, namun Fawas yang ingkar dengan ajakannya tok..janganlah dihukum Juara dan Dewi..Fawas merayu tok.." Fawas melutut di hadapan Tok Kelana. Dia tahu dia perlu memastikan Juara dan Dewi tidak dikurung sama. Biarlah dia dihukum seorang asalkan dua rakan karibnya itu tidak mendapat bala yang lebih dahsyat.

Tok Kelana Siluman meretap gigi dan memandang geram ke arah Fawas. Harapkan pegar, pegar makan padi!

"Kurungkan Fawas dan pastikan tiada sebutir nasi pun yang dihidangkan padanya..!!" Ucap kata Tok Kelana hanya dituruti Aduka Siluman. Fawas dibawa ke kurungan sangkar yang terletak di tepi gua. Dia dikurung dalam kedinginan malam. Esak tangisnya hanya dia sendiri sahaja mengerti. Juara dan Dewi tidak mampu berbuat apa kerana arahan Tok Kelana Siluman adalah muktahir. Tiada siapa berani membantah kata akhirnya.

"Ahh..itu semua dulu.." bisik Fawas mengingati semula peristiwa lalu. Dia hanya tersenyum sendiri. Dek kerana peristiwa itulah dia dibiarkan sendiri menghuni di luar Gua Muluk menjadi penjaga pintu gua. Dan kerana peristiwa itu jugalah, dia ditegah sama sekali untuk bergaul bersama Juara dan Dewi untuk selamanya. Fawas pasrah dengan ketentuan terhadap dirinya.

Dia berlalu meninggalkan Tok Kelana yang tidak mengendahkan dirinya. Mungkin masa yang tidak sesuai untuk siluman tua itu diajak berbual. Mungkin dia perlu bersendiri tanpa diganggu. Fawas kembali melangkah menghampiri pintu gua sebelum Tok Kelana berdehem garau.

"Fawas.." ucap Tok Kelana. Segera Fawas berpaling melihatkan Tok Kelana semula. Hatinya berbunga bila mendengarkan Tok Kelana memanggil namanya.

"Ye Tok..??" ucap Fawas.

ASHURI duduk termenung di singgahsana istana. Matanya jauh merenung ke arah belantara yang menebal di sebalik istana itu. Ingatannya dibawa angin mengingatkan gadis yang dilihatnya semalam. Wajah itu bernaung tidak mahu pergi dari fikirannya. Puas disanggahnya pergi, namun ia tetap duduk kekal dalam fikirannya. Selendang kuning peninggalan gadis itu digenggamnya rapi. Bauan kemboja yang menusuk tidak pernah lekang dari selendang itu.

"Siapa gerangan gadis itu..tidak pernah aku melihat gadis secantik dirinya.." Ashuri bicara sendiri dalam hati. Dia terpesona saat pertama kali bertentang mata dengan gadis itu. Kesucian wajah yang menjadi milik gadis itu benar-benar menikam hatinya. Susah hendak diusirnya pergi. Kini hanya selendang kuning itu sahaja yang menjadi tatapannya bila dia teringatkan gadis itu.

"Jauh Tengku termenung..??" Tabib Diraja Fansuri menjengahkan diri dari balik tirai di singgahsana istana. Dia yang baru sahaja keluar dari kamar Raja Rasturi terhenti di pintu singgahsana tika melihatkan Tengku Ashuri duduk seorangan mengadap belantara. Terdetik di hatinya untuk bertanya khabar akan perihal anak rajanya itu.

"Ohh..Tabib Fansuri..bagaimana keadaan ayahanda..??" Ashuri berpaling melihatkan Tabib Diraja Fansuri yang berdiri di belakangnya. Kedut yabg kelihatan di wajah Tabib itu sahaja telah menunjukkan usianya yang kian senja. Terlalu lama sudah dia berkhidmat di dalam istana ini. Segala selok belok istana dan perihal istana ini hidup bersama dirinya. Sejak dari permulaan tertubuhnya perkampungan itu hinggalah sekarang, dia kekal berbakti tanpa ada rasa sangsi. Dia taat pada raja yang satu.

"Tuanku beransur pulih selepas patik berikan Air Telaga Biru yang Tengku bekalkan semalam..mujur Tengku bertindak pantas.." ujar Tabib Fansuri menunduk hormat pada Ashuri.

"Hmm..baguslah begitu wahai Tabib Fansuri.." Ashuri kembali memalingkan wajahnya ke arah belantara tebal. Tabib Fansuri dapat melihatkan seperti ada kemurungan yang dihadapi anak rajanya itu. Jarang benar dia bermuram seperti itu. Ashuri tidak seperti selalu. Seorang yang periang dan sering sahaja tidak lekang dengan puisi indah yang terbit dari bibirnya itu. Namun hari ini, semua itu hilang seperti direntap pergi sesuatu.

"Tengku tidak apa-apa..??"

Ashuri kembali berpaling melihatkan Tabib Fansuri. Dia hanya menggeleng mempamerkan senyuman tawar.

"Namun patik melihatkan seperti ada sesuatu yang membelengu Tengku.."

Ashuri menghela nafasnya dalam-dalam. Mana mungkin dia mampu menyorokkan perasaan yang dari semalam bersemi dalam jiwanya. Kini perasaan itu dihidu oleh Tabib Fansuri pula.

"Bahan indah jadi kengangan, bahan lapuk jadi siulan, hati tersentuh hati tertawan, pemilik wajah siapa gerangan.." dia hanya berpantun melontarkan kata kiasan. Tabib Fansuri serta merta dapat mengagak apa yang bermain di fikiran anak rajanya itu.

"Tengku dilamun cinta..??"

Ashuri mengangkat bahu. Dia sendiri tidak tahu perasaan apakah yang bermain dalam fikirannya. Dia sendiri tidak tahu apakah maknanya jatuh cinta. Kerana selama ini tidak pernah seumur hidupnya bercinta. Apatah lagi jatuh cinta pada seseorang. Namun yang pasti, wajah gadis yang dilihatnya semalam asyik sahaja muncul dalam fikirannya. Mungkinkah itu tandanya cinta mula berputik?

"Indah melur sejambak mekar, terpaut hati pada setangkai, usah dinanti usah dibiar, gusar dipetik andai dinanti.." usik Tabib Fansuri mengundang tawa Ashuri. Jarang sekali dia mendengarkan Tabib itu bermadah. Sesekali dia bersuara sudah cukup untuk menusuk dalam hatinya.

"Tak kusangka yang Tabib juga handal bermadah..rupa-rupanya bukan sahaja handal merawat pesakit..handal juga melontarkan kata.."

"Budaya kita mengajar patik Tengku..andai bukan kita yang menjaga keindahan bahasa kita..siapa lagi yang hendak menjaganya.."

Tabib Fansuri terhenti seketika. Perkara ini bukan mainan untuk anak rajanya itu. Soal jodoh harus dibincangkan terlebih dalam bersama ayahanda dan bondanya. Apa gunanya bercinta andai hubungan tidak direstui keluarga. Bahkan pula dia sendiri bukan dari golongan biasa. Mana mungkin Ashuri dibenarkan bercinta sewenang-wenangnya dengan rakyat jelata. Namun siapakah yang berjaya menambat hati anak rajanya itu?

"Siapakah dia Tengku..??" Soal Tabib Fansuri ingin tahu.

"Aku tidak mengenalinya Tabib..aku hanya terpesona hingga tak mampu mengatakan apa tentang dirinya.."

"Langsung tidak mengenali..??"

Ashuri hanya mengangguk. Tabib Fansuri mengurut janggut yang putih tidak tersusun miliknya. Pelik.

"Itu bermakna Tengku tidak tahu asal usulnya..??"

"Tidak..aku langsung tidak mengetahui tentangnya.."

"Bagaimana pula Tengku berjumpa dengannya..??"

"Sewaktu aku ke Telaga Air Biru semalam..aku terserempak dengannya..tika itu Tantira dilanda musibah..gadis itu yang membantuku.."

Tabib Fansuri bersoal sendiri dalam hati. Mana ada gadis yang seberani itu pergi ke telaga itu. Lagipun itu adalah kawasan yang dilarang oleh istana kepada setiap penduduk kampung itu. Mana mungkin ada yang berani mengingkari arahan istana. Melainkan..

"Bagaimana paras rupanya Tengku...??" soal Tabib Fansuri. Hatinya terdetik rasa tidak senang. Seolah ada sesuatu kembali mengait memorinya dari masa lalu.

"Indah...terlalu indah.." hanya itu jawapan yang terpacul dari mulut Ashuri. Dia tidak punya kata yang dapat mengambarkan kecantikan pemilik wajah itu. Andai siapa melihat pastikan tertawan. Andai siapa yang melihat pastikan terpikat. Begitu jua dirinya.

Tabib Fansuri masih tidak berpuas hati. Dia hanya mundar mandir di belakang Ashuri memikirkan sesuatu. Dia cuba menyangkal apa yang hinggap di fikirannya. Tidak seperti apa yang dibayangnya ketika itu. Mungkin hanya gadis biasa. Tidak mungkin dari golongan itu fikirnya.

"Tidak mungkin..." bisik Tabib Fansuri dalam hatinya.

Saat sedang leka berfikirkan perihal gadis yang menjadi pujaan anak rajanya itu, Tabib Fansuri terpandangkan sehelai selendang yang berada dalam genggaman Ashuri. Pandangannya terhenti melihatkan selendang itu. Jantungnya terus berdegup kencang kala ternampakkan selendang kuning itu. Sudah hampir 30 purnama dia tidak melihatkan selendang itu. Dan kini, selendang serupa dulu berada dalam genggaman Ashuri. Selendang yang pernah menghadirkan gempita di istana itu dahulu.

"Tengku..selendang apakah itu..??" perasaan Tabib Fansuri dihujani pelbagai rasa. Dia tidak mampu menahan diri dari menyoal Ashuri. Dia perlu tahu mengenai selendang itu.

"Ahh..selendang ini pemberian gadis itu padaku wahai Tabib..mengapa..??" jawab Ashuri jujur.

Tabib Fansuri makin berdebar. Tidak mungkin!

"Adakah gadis itu punyai anak mata berwarna biru..??" Soal Tabib Fansuri lagi.

Ashuri merasakan pelik. Seingat dirinya tidak pernah pula dia menceritakan pada sesiapa tentang gadis itu. Bahkan Tantira juga tidak mengetahuinya. Bagaimana pula Tabib Diraja ini dapat mengetahui perihal gadis itu?

"Bagaimana Tabib mengetahui tentang gadis itu..adakah Tabib mengenalinya..??" Ashuri jadi teruja. Jika benar Tabib Fansuri mengenali gadia itu, maka mudahlah urusannya selepas ini. Kerana mungkin Tabib itu tahu dimana tinggalnya gadis itu.

"Tidak.." Tabib Fansuri hanya menggeleng menidakkan kata-kata Ashuri. Dia tergamam. Tidak percaya kini mereka muncul lagi setelah lama tidak bersemuka. Perjanjian lama yang termetrai seolah diingkari. Tabib Fansuri meminta izin untuk pergi. Dia meninggalkan Ashuri dengan pelbagai persoalan.

"Hmmm..apa sebenarnya bermain di fikiran Tabib ini..??" Ashuri membiarkan sahaja Tabib Fansuri melangkah pergi. Dia kembali menatap belantara tebal di belakang istananya. Dia duduk bersandar membuai angan mengingati wajah gadis yang menjadi dambaan hatinya. Dia nekad untuk mencarinya semula esok hari. Tidak mungkin kali itu akan dilepaskannya sesenang wenangnya.

Leka membuai angan Ashuri terus terlena bersandar di tepi singgahsana istana. Selendang kuning digenggam rapi tidak dilepaskan dari genggaman jemarinya.

Monday 16 March 2015

Dewi Siluman Senja

Dua.

Ashuri dan Tantira bertukar pandangan. Masing-masing membuka mata menadah telinga. Tercari-cari suara yang mendayu kedengaran berhampiran jeram itu. Buntang anak mata Tantira memerhatikan sekeliling. Namun tiada satu susuk tubuh manusia pun yang dapat dilihatnya. Pandangan dialihkan semula melihatkan Ashuri yang berinjak sedikit ke hadapan di tepi tebing jeram. Dari situ dia mengintai melihat andai ada sesiapa yang berselindung di balik lereng tebing.

"Ada kau nampak sesiapa Tantira..??" Ashuri menghampiri Tantira yang hanya memaku tubuh bersebelahan pohon jati. Dia hanya mengusap hulu keris yang tersisip rapi di pinggang kirinya. Pahlawan Melayu yakni panglima istana itu tidak boleh terleka. Sedari kecil dia telah diajar agar senantiasa bersedia untuk menghadapai musuh atau apa jua ancaman. Kini adalah menjadi tanggungjawab dirinya untuk melindungi Tengku Ashuri dari di apa-apakan musuh.

"Ashuri..jangan mundar mandir di tebing sungai..aku risau andai itu hanyalah helah musuh untuk memerangkap kita.." ujar Tantira. Lengan kiri Ashuri dicapainya. Diasaknya agar merapati dirinya. Dia perlu bersedia tidak kira apa jua ancaman. Kerana itu adalah tugasnya.

"Mengarut..! Mana mungkin wanita digunakan sebagai umpan untuk menewaskan musuh..bacul..!" lengan kirinya yang digenggam Tantira segera direntap kasar. Rimas diperlakukan sebegitu. Ashuri bukan lagi anak kecil yang perlu sentiasa dikawal. Perilaku Tantira yang seakan cuba melindunginya langsung dirasakan tidak berguna. Ashuri yakin yang dia lebih tangkas berpencak silat jika dibandingkan dengan Tantira. Andai musuh menyerang sekalipun, dia lebih tahu apa yang perlu dilakukannya. Walaupun tanpa Tantira.

"Bukan itu maksudku Ashuri..helah manusia tidak kita ketahui..sebelum apa-apa terjadi, wajarlah untuk kita bersedia..mungkin musuh hanya mempergunakan wanita sekadar untuk menarik perhatian kita.." jelas Tantira. Mata masih meliar tercari-cari jika dapat dilihatnya bayang manusia yang bersembunyi di balik belukar.

"Kita cari..aku yakin itu bukanlah seperti apa yang kau fikirkan Tantira.." Ashuri tidak mengendahkan kata-kata Tantira. Bait kata mendayu yang dilagukan oleh lunak suara wanita itu menggamit nalurinya. Tidak pernah seumur hidupnya mendengarkan kemerduan suara seperti itu. Tidak di istana. Tidak juga di mana-mana tempat yang pernah ditujuinya sebelum ini.

Ashuri melangkah menuju ke hilir jeram. Silangan kayu yang tumbang merentangi jeram diperhatikannya. Mungkin ada seseorang yang berlagu di situ fikirnya. Dia berganjak menghampiri pohon kayu yang tumbang itu dan menjengah melihatkan di sebalik pohon itu. Namun tiada apa. Hanya lintasan air yang memundak lalu sahaja kelihatan.

"Ada apa di situ Ashuri..??" Tantira hanya mengekori Ashuri dari belakang. Tetap berjaga-jaga. Resah andai ada musuh yang muncul dari belakang dan memukul curi. Bahaya akibatnya nanti andai dia terleka.

"Tiada.." Ashuri menggelengkan kepala. Suasana kembali seperti sedia kala semula. Hanya deruan air jeram dan siulan unggas sahaja kedengaran jelas. Tiada lagi bait-bait merdu suara yang kedengaran.

"Mungkin hanya khayalan kita Tantira.." Ashuri melangkah turun semula ke perdu buluh tempat Tantira sedang menunggunya. Setelah puas diselongkarinya kawasan itu namun tidak berjumpa apa, Ashuri menghelakan nafas melepaskan lelah. Hari diperhatikannya semakin kelam. Malam hampir kunjung tiba. Dia perlu segera menyudahkan niat asalnya ke situ. Untuk mengambil semangkuk air di Telaga Air Biru. Dia tidak boleh terlewat. Risau andai Permaisuri Dahlia yang menantinya di istana menjadi resah.

"Teruskan mencari Telaga Air Biru..mungkin merdu suara itu hanya khayalan kita Tantira.." Ashuri kembali menebas semak yang menyekat laluannya. Tantira hanya mengangguk menuruti kata-kata Ashuri.

"Hi hi hi.." Dewi tertawa kecil. Dia keriangan kerana dua orang jejaka yang diganggunya seakan gelisah. Tercari-cari gerangan siapa yang bersuara di dalam belantara itu. Dewi merasakan teruja kerana bukan selalu dia bertembung dengan manusia seperti sekarang.

Seumur hidup Dewi hanya sekali sahaja dahulu dia pernah bertembung dengan sekeluarga manusia yang datang bermain-main di Telaga Air Biru itu. Ketika itu dia masih lagi kecil. Namun ibunya, Dewi Siluman Bulan segera mengajaknya pulang. Pesan ibunya, manusia adalah makhluk durjana. Mereka merosakkan hutan dan alam. Berbeza dengab kaum siluman yang sentiasa menjaga dan memelihara hutan belantara yang mereka diami. Kerana itulah siluman dan manusia tidak boleh bersatu. Kerana itulah pandangan manusia ditutup terus dari mampu melihatkan kaum siluman yang hidupnya saling berhampiran. Walaupun saling berkongsi belantara yang sama antara manusia dan siluman. Cuma satu kelebihan siluman sepertinya, mereka dilindungi satu hijab yang membataskan penglihatan manusia.

Dewi segera bangun dari tempat duduknya di atas batu jeram itu. Dia melangkah sambil mengirai lembut selendang yang menutupi hujung kepalanya. Kiraian selendang itulah yang menjadi hijab untuk menutupi dirinya dari dilihat terus oleh manusia. Dia terjingkit-jingkit menghampiri Tantira yang masih terbongkok-bongkok mencari mulut Telaga Air Biru. Dicapainya satu ranting halus dan diusiknya cuping telinga Tantira. Menggelupur Tantira terus sahaja menghunuskan keris yang dicapainya dengan pantas. Alangkah terkejut dirinya saat ada sesuatu yang mengusik hujung cuping telinganya. Diperhatikan sekeliling namun tiada apa yang dapat dikaitkannya. Mustahil Ashuri menyakatnya. Kerana Ashuri berada terlalu jauh dengan dirinya. Keris dihunusnya semula ke dalam sarung yang tersisip. Mungkin daunan gugur yang hinggap di telinga tadi fikirnya.

Dewi melompat sambil tertawa riang. Wajah pucat Tantira yang terkejut saat cuping telinganya dicuit menjadi bahan jenakanya. Pertama kali dia berdepan rapat dengan manusia. Peluang yang terhidang dipergunakan sebaik mungkin. Hanya sekadar untuk bergurau menghiburkan hati. Dia tidak gusar kerana manusia langsung tidak mampu melihatnya. Kerana itulah dia berani berjalan dekat dan menyakat kedua orang jejaka itu.

"Andai aku bersuara..mestilah si gempal ini akan lebih terkejut.." bisik Dewi dalam hatinya. Dia berundur sedikit ke belakang. Menjarakkan dirinya dengan Tantira. Mulutnya ditekup cuba menahan ketawa. Dewi terlalu kegirangan.

"Ehemm.." Dewi berdehem perlahan. Segera mulutnya ditekup agar tawanya tidak meletus keluar. Tantira diperhatikannya terpaku terbongkok-bongkok. Ashuri masih leka di hujung perdu buluh sana menebas belukar.

Tantira tergamam. Air liur diteguknya meluncur laju menerusi tekak. Suara wanita yang didengarinya awal tadi kunjung tiba lagi. Peluh renek turun menerpa wajahnya. Raut muka segera diraup perlahan. Hulu keris diusapnya perlahan-lahan. Kuda-kuda kaki segera diperkuatkan.

"Siapa..!!" jerit Tantira lantas segera berpusing mengadap belakangnya. Keris dihunus mara ke hadapan. Anak mata liar mencari-cari gerangan sipolan yang berdehem padanya. Namun masih seperti tadi, tiada apa yang kelihatan.

Ashuri tergamam. Jeri pekik Tantira menggamit dirinya. Segera dia berlari keluar dari celahan rimbunan perdu buluh untuk melihatkan Tantira. Adakah rakannya itu dalam musibah. Kerana jerit Tantira seakan dalam kesulitan.

"Mengapa Tantira..?!" jerit Ashuri dari kejauhan. Diperhatikan Tantira sedang teguh memacak kuda-kuda kakinya. Keris terhunus menuju ke hadapan. Sesekali menerawang lengannya ke udara seolah menghunus kerisnya menikam musuh di hadapan. Seolah bersedia untuk berentap dengan musuh.

"Ada yang berdehem padaku Ashuri..suara perempuan yang kita dengari tadi..!" balas Tantira tanpa melihatkan Ashuri yang masih terpinga-pinga. Lagak Tantira disambut hilai tawa Ashuri. Tidak menyangka yang Tantira terbawa-bawa akan perkara tadi. Mana mungkin ada insan lain di hutan itu. Hanya dia sahaja berdua bersama Tantira. Lebih lagi seorang wanita. Mana mungkin seorang wanita berani keluar berseorangan meranduk belukar menuju ke kawasan itu. Andai ada jua, tidak mungkin wanita itu seberani itu untuk menegur dan mengusik Tantira. Kerana dia tahu, wanita Melayu tinggi budi pekertinya. Sopan santun dan adab terjaga rapi.

"Sudahlah Tantira..jangan asyik bersangka yang bukan-bukan..itu hanya perasaanmu sahaja..teruskan mencari mulut telaga..hari hampir gelap..aku tidak mahu bermalam di dalam hutan..!" balas Ashuri sambil tertawa. Asyik sahaja Tantira menjadi bahan jenakanya. Dari istana hinggalah kini ke hutan belukar. Masih lagi mahu berjenaka riang.

Dewi tertunduk-tunduk menahan tawa. Dapat dilihatnya pucat lesi wajah jejaka yang diusiknya. Hinggakan kini dia bersilat seorangan bertempur melawan angin. Patutlah ibunya mengatakan perangai manusia ini pelik-pelik. Baru kini Dewi mengerti akan maksud kata-kata ibunya itu.

Tantira mendengus. Berkerut dahinya menahan geram yang berkaluk dalam hatinya. Entah siapa gerangan yang mengusiknya. Dia pasti yang itu bukanlah angannya. Dia pasti yang itu memang benar-benar terjadi padanya. Mustahil dia berkhayal padahal dia sedang tekun mencarikan mulut telaga. Keris kembali disarungnya semula.

"Kalau aku dapat siapa yang mengusikku..akan ku tikam dengan keris ini biar terbenam menusuk tubuhmu.." rungut Tantira sendiri. Berbicara bersama angin.

Buntang anak mata Dewi saat mendengarkan kata-kata Tantira yang seakan mengugut dirinya. Kedua lengan mencekak pinggang. Terangguk-angguk Dewi menahan geram bila mendengarkan kata yang terucap dari mulut Tantira.

"Ada hati hendak menikam aku ya.." bisik Dewi. Hatinya geram. Puput angin sahaja sedari tadi ditikam, ada hati Tantira hendak menikam dirinya pula. Terjingkit-jingkit Dewi kembali menghampiri Tantira. Sebatang anak kayu sebesar lengan dicapai Dewi. Dilontarnya perlahan tepat mengenai belakang badan Tantira.

"Aduh...!!" Tantira duduk melutut sambil mengusap belakang badannya. Entah apa pula kali ini yang hinggap di belakang badannya. Tepat mengenai belikatnya hingga mengundang perit tidak terperi. Dalam imbangan badan yang tidak seimbang Tantira melangkah sedikit ke hadapan. Kali ini dia nekad untuk diamuknya hutan itu. Saat dia berpusing Tantira terpijakkan ranting kayu yang menutupi mulut Telaga Air Biru. Belum sempat hendak diamuknya hutan itu, kini Tantira telah terperosok jatuh ke dalam Telaga Air Biru.

Dewi tercengang. Dia tidak menyangka usikannya kini mengundang bala pada jejaka itu. Dia berlari merapati mulut telaga itu sambil melihatkan Tantira yang sedang meronta kesakitan. Tersangkut pada sebatang kayu yang melintang di pertengahan telaga. Mujur batang kayu itu ada melintang di situ untuk menahan Tantira daripada terjatuh terus ke dalam telaga. Tantira terkapai-kapai cuba bergayut sambil mengimbangi badan supaya tidak terus terjerumus jatuh. Dewi hanya memerhatikan sahaja Tantira yang sedang menggelupur seorangan. Rasa bersalah mula menyelinap dalam dirinya. Tapi dia tidak mampu membantu.

"Ashuri..!! Tolong aku..!!" jerit Tantira mohon pertolongan. Dahan yang melintang itu tidak mungkin dapat bertahan lama. Kerana mungkin telah agak lama dahan itu tersangkut di situ. Andai reput, ia hanya menanti masa sahaja untuk patah kerana kini Tantira sedang bergayut padanya. Cemas seketika detik itu. Dewi hanya mundar mandir di sekeliling mulut telaga. Dengan harapan agar Ashuri mendengar jeritan Tantira tadi.

"Maafkan aku manusia..aku tidak sengaja..aku hanya ingin bergurau denganmu.." bisik Dewi perlahan. Dewi menoleh ke belakang. Dapat dilihatnya Ashuri bergegas berlari menuju ke arah jeritan Tantira. Dewi menginjak sedikit ke tepi. Dia hanya memerhatikan sahaja langkah Ashuri menghampiri telaga itu.

"Tantira..!!" jerit Ashuri terus sahaja melutut di tepian telaga. Dapat diperhatikan Tantira sedang bermandi keringat cuba keluar dari situ. Dahan yanh dipautnya semakin lama semakin menyendeng seperti mahu tergelincir dari dinding telaga.

"Tolong aku Ashuri..!" Tantira mendongak melihat ke atas. Dapat dilihatnya Ashuri cemas sedang memerhatikannya.

"Bertahan Tantira..! Aku carikan akal untuk mrmbawamu ke atas semula..!" Ashuri melihat keliling. Ranting-ranting kayu yabg mereput menyembah bumi segera dicapainya. Andai mampu dihulurkan pada Tantira untuk dijadikan pengalan membawa naik Tantira.

"Pegang erat pada kayu ini Tantira..! Aku cuba tarik kau naik ke atas..!" Sebatang kayu dihulurkan ke dalam telaga. Ashuri perlu pantas. Andai terlewat, gusar Tantira akan menjadi korban di dalam telaga itu. Nyawa Tantira kini seperti di hujung tanduk!

Dewi hanya memerhatikan sahaja Ashuri yang keseorangan membantu Tantira. Dia mundar mandir di belakang Ashuri. Sesekali dijengahnya ke dalam telaga melihatkan Tantira. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia tiada ikhtiar untuk membantu Tantira dan Ashuri.

"Maafkan aku manusia..aku tidak sengaja.." rintih hati Dewi keresahan.

"Ranting ini tak akan bertahan Ashuri..! Carikan ranting lain yang lebih teguh..!" jerit Tantira bila ranting pertama yang dihulurkan Ashuri terus patah saat digapainya. Kayu yang telah lama mereput. Mustahil kayu itu mampu menariknya naik ke atas.

Mendengarkan kata-kata Tantira. Segera Ashuri berlegar mencarikan kayu lain yang lebih teguh. Dia gundah. Dalam hati berbisik agar Tantira tidak mengalami apa-apa.

Prapp!

Dahan kayu yang dipaut Tantira seolah sudah mahu patah. Ashuri makin gelisah saat terdengarkan patahan kayu itu. Tantira makin cemas. Dewi tidak henti mundar mandir melihatkan Ashuri yang makin tidak keruan.

Ashuri kembali melutut di mulut telaga. Sebatang kayu dibawanya bersama. Kali ini kelihatannya lebih teguh berbanding kayu yang pertama. Dihulurnya masuk ke dalam telaga. Namun kayu itu terlalu pendek. Tantira tak mampu menggapainya. Dia hanya menggeleng ke arah Ashuri yang gumam tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukannya. Ashuri menumbuk tanah. Dia kecewa.

"Gunakan selendang ini untuk menarik temanmu naik.."

Dewi terpaksa. Melihatkan saat getir yang sedang dialami Ashuri, Dewi terpaksa menghulurkan selendang yang membaluti hujung kepalanya kepada Ashuri. Selendang itu diletakkan ke atas bahu kiri Ashuri. Terpisahnya selendang itu dari dirinya, bermakna Dewi telah melanggar Aturan Muluk yang pertama. Aturan yang selama ini dipegang teguh oleh semua siluman penghuni Gua Muluk. Aturan pertama yang melarang tegas kaum siluman untuk mendedahkan peribadi mereka kepada kaum manusia. Kini aturan itu dilanggar Dewi tanpa berfikir panjang. Tanpa berfikir akan bencana yang bakal menimpanya.

Ashuri pantas berpaling. Suara wanita yang berada tepat di belakangnya benar-benar menghadirkan debar di dadanya. Satu selendang berwarna kuning keemasan terletak rapi di atas bahunya. Bauan semerbak kemboja  menyelinap terus meneroka hidungnya. Ashuri terpana melihatkan kecantikan wajah yang dimiliki wanita itu. Jelas nyata dia bukanlah dari Indera Sakti.

Uraian ikal rambut yang disanggul benar-benar melihatkan keayuan si pemilik wajah. Raut wajah yang berseri tanpa sebarang cela dihiasi alis mata yang benar-benar memukau. Bibir yang merah merekah sambil mempamerkan senyuman menawan itu terus sahaja mematikan kerdipan anak mata Ashuri. Matanya sendiri seolah disengkang tidak mahu berkelip. Dan bola mata si pemilik wajah itu benar-benar menggetarkan tangkai jantungnya. Anak mata yang merenungnya itu terlalu menawan. Redup memandang dihiasi anak mata yang berwarna biru. Jelas dia bukan sebarangan wanita. Ashuri meneguk liur memandangkan keindahan di hadapannya itu. Sendi tubuhnya kaku dek melihatkan indah seri di hadapannya itu.

"Bantulah temanmu itu dengan selendangku.." ucap Dewi sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah selendang yang diletakkan di atas bahu Ashuri. Seakan terpanah dek halilintar, Ashuri tersedar dari lamunannya. Selendang yang diberikan Dewi segera dicapainya. Sempat dia mengangguk dan membalas senyuman dari Dewi.

"Tantira..! Sambut selendang ini..!" selendang itu segera dihulurkan kepada Tantira setelah dipintalnya menjadi seperti tali. Mujur panjang selendang itu dapat digapai Tantira tanpa sebarang masalah. Terkial-kial dia berpaut dan melangkah naik berpaksikan selendang itu. Tiba di permukaan, kedua-duanya bernafas lega. Tantira meraup mukanya yang kebasahan dek peluh. Ashuri juga begitu. Mujur tiada perkara yang buruk terjadi pada Tantira. Kalau tidak, Ashuri pasti tidak akan memaafkan dirinya sendiri.

"Terima kasih.." Ashuri bangun dan berpaling semula ke belakang. Ucapan itu harus diucapkan pada wanita yang menghulurkan bantuan saat dia benar-benar memerlukan.  Namun raut muka Ashuri berubah saat dilihatnya semula ke belakang. Wanita yang memberikannya pinjam selendang berwarna kuning keemasan tadi telah tiada.

"Mana perginya..??" Ashuri melihatkan di sekelilingnya. Dia mencari-cari wanita yang telah membantunya tadi. Puas dilihatnya dalam kelam senja itu namun langsung tidak kelihatan langsung bayangnya.

"Siapa Ashuri..??" Tantira bangun dan berdiri di sebelah Ashuri. Dia turut melihatkan di sekeliling kawasan itu. Mencongak lihat apa yang dicari Ashuri.

"Ini..wanita pemilik selendang ini..dia yang memberikan padaku agar dapat ku tarik kau keluar dari telaga itu..tapi entah mana pula perginya.." selendang milik Dewi digenggam rapi Ashuri.

"Wanita..??" soal Tantira tergamam. Kembali dia teringatkan peristiwa sebelum dia terjatuh ke dalam telaga gelap itu. Andai benar apa yang dikatakan Ashuri, bermakna dia bukannya berkhayal tentang alunan suara dan usikan-usikan yang dialaminya tadi.

"Ya..wanita..indah wajahnya langsung tak dapat kugambarkan padamu Tantira..terlalu indah.." bicara Ashuri mengulum senyum. Selendang yang digenggamnya dibawa ke pangkal hidung. Semerbak bauan kemboja menyusuk kembali. Tantira hanya berdiam diri. Dia mula merasakan tidak senang dengan apa yang dikatakan Ashuri.

"Entah-entah.." bisik Tantira perlahan pada Ashuri. Namun kata-katanya terhenti seketika.

"Entah-entah apa Tantira..?? Katakan.."

"Tiada apalah Ashuri..ayuh..hari semakin gelap..Telaga Air Biru telah kujumpai..sesudah kita menimba naik air telaga ini, kita harus segera pulang ke istana..aku gusar Permaisuri Dahlia akan menjadi risau.." Tantira terus sahaja menukar perbualannnya. Dia tidak mahu meneruskan kata-kata dengan apa yang terlintas di fikirannya.

"Betul juga apa kau katakan itu Tantira..ayuh.." selendang yang diberikan Dewi diikatnya ke pinggang. Segera dia membantu Tantira yang sedang menurunkan timba kecil bertalikan rotan untuk menceduk air telaga itu. Namun fikiran Ashuri masih menerawang jauh memikirkan perihal wanita yang hadir sementara bersamanya tadi.

"Siapakah dia..??" bisik Ashuri sendiri.

DEWI melangkah laju menuju ke arah Gua Muluk. Berhati-hati dia melangkah dalam samar malam itu tanpa sebarang bantuan cahaya. Hatinya dilanggar resah. Fikirannya bolak-balik memikirkan tentang selendang yang diberikan pada Ashuri tadi. Apa yang perlu dijawabnya pada Tok Kelana Siluman andai diketahuinya selendang itu tidak lagi bersama dengannya. Dan yang lebih merisaukannya, apa yang akan dikatakan oleh Tok Kelana Siluman andai diketahuinya selendang itu kini telah terjatuh milik pada seorang manusia. Apakah hukuman yang bakal menantinya?

"Dewi..??" satu suara garau menegurnya dari celahan semak denai laluannya untuk kembali ke Gua Muluk. Dewi terhenti dalam gelap bumin itu. Dia hanya berdiri tegak menunggu gerangan siapa yang menegurnya. Muncul seorang jejaka yang amat dikenalinya dari celahan semak itu.

"Abang Juara..! Nasib baik Dewi berjumpa dengan abang.." Dewi bernafas lega. Tidak menyangka akan bertemu dengan Kelana Siluman Juara di situ. Adalah temannya untuk seketika dalam gelap itu.

"Apa yang Dewi lakukan seorangan dalam gelap ini..Dewi ke mana..??" soal Juara sambil menyelitkan busur panah ke belakang badannya. Dia turut memerhatikan sekeliling. Risau andai Dewi diekori oleh jembalang hutan yang berkeliaran kala senja itu.

"Dewi dari jeram di hulu sana..di Telaga Air Biru.."

Juara berpeluk tubuh. Pandangannya memerhatikan Dewi tanpa berkalih saat Dewi menerangkan perihalnya.

"Kenapa baru senja baru melangkah pulang..bukankah pesan Tok Kelana, jangan sesekali berkeliaran di belantara saat senja menghampiri..apa Dewi tidak mengingati pesanan Tok Kelana..??" tegas Juara.

Mencuka muka Dewi bila Juara memarahinya. Dia tahu dia telah melakukan kesalahan. Tapi dia tidak sengaja melanggar arahan yang telah diberikan Tok Kelana. Dia punya masalah yang tersendiri yang tidak dapat diterangkan pada sesiapa pun. Lebih-lebih lagi pada Tok Kelana.

"Hmm..tapi abang Juara boleh sahaja berlegar di kala senja..kenapa pula Dewi tak boleh..??" rungut Dewi. Muncungnya dihalakan panjang ke hadapan. Dia berpeluk tubuh tidak berpuas hati setelah dimarahi Juara.

Juara tertawa. Ngomel manja Dewi benar mengusiknya. Bukan sengaja dimarahinya Dewi. Namun kerisauan itu tidak dapat dibendungnya. Kerana risaulah kemarahan itu terpaksa dilepaskan. Namun saat Dewi mula mencebik bibir memasamkan muka, amarah Juara mula berlalu. Mana mungkin dia memarahi Dewi berlebihan.

"Abang Juara ini lelaki Dewi..abang punya kudrat dan senjata andai abang ditimpa musibah di dalam belantara ini..tiada apa yang dirisaukan oleh Tok Kelana andai abang Juara tidak pulang sekalipun ke gua kediaman kita itu..namun andai Dewi yang ditimpa bencana, apa yang mampu Dewi lakukan..?? Berlari selaju mungkin pulang ke gua..begitu..??" sengaja Juara mengusik Dewi yang tidak mahu langsung menatap wajahnya. Pandangannya dibuang jauh menghala ke arah lain. Dewi merajuk tidak minta dipujuk.

"Dewi kutiplah batang kayu yang berlerak di lantai hutan..Dewi jadikanlah senjata..andai ada yang menggangu Dewi..Dewi pukul kepalanya kuat-kuat biar ia mati.." rungut Dewi sambil kakinya menguis dedaun yang gugur ke lantai bumi. Juara tertawa besar. Sesekali dilihatnya rajuk Dewi yang umpama nak kecil itu, ada juga lucunya.

"Jadi Dewi merasakan bantuan abang tidak diperlukanlah kini..??"

"Tidak..!" Dewi menjawab bersahaja.

"Kalau begitu Dewi pulanglah sendiri ke gua..abang Juara mahu masuk semula ke dalam belukar mencari bekalan makanan..hati-hati berjalan pulang ya.." Juara menahan tawanya. Sengaja dipusingkan badan mengarah ke belukar selepas dikatakannya pada Dewi. Dapat diperhatikan wajah mencuka Dewi yang tadinya mencuka membawa rajuk kini menjadi resah terpinga-pinga. Dewi berpaling semula melihatkan Juara. Dia menghentakkan kaki kegeraman ke arah Juara.

"Abang Juara..! Janganlah begini..temankanlah Dewi pulang ke gua..!" rengek Dewi yang kini terpaksa mengalah. Ejekan Juara ternyata berhasil. Mendengarkan rengekan Dewi terus sahaja letus tawanya meledak tanpa dapat ditahannya lagi. Disangkanya Dewi seberani apa yang dikatakannya. Rupanya tidak. Hanya berkata besar kononnya tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengiringinya pulang.

"Abag Juara..! Janganlah tertawakan Dewi..!" bahu Juara ditampar kuat oleh Dewi. Marah benar dirinya bila ditertawa sebegitu.

"Haaa...haa..baiklah..marilah..abang temankan Dewi pulang..asalkan upahnya lumayan..apa sahaja abang sanggup lakukan untuk Dewi.." Juara mengarahkan Dewi untuk berjalan di hadapannya. Dia mengekori dari belakang agar segala tindak tanduk di hadapan Dewi dapat diperhatinya dengan jelas. Biar dia melindungi Dewi dari belakang.

"Upah..??" soal Dewi tidak pasti dengan permintaan Juara. Langkah kakinya terus sahaja dibawa ke hadapan sambil seaekali menoleh ke belakang melihatkan Juara yang mengekori.

"Nyanyikan lagu merdu sepanjang perjalanan kita pulang ke Gua Muluk..agar terhibur abang dengan lunak suara Dewi itu.." jelas Juara tersenyum. Permintaan yang tidaklah seberat mana pun hendak dilaksanakan Dewi.

"Gurindam malam penyembuh duka..sunyi nan sepi melabuh tirai..biduan lalu tidak diendah..gelora jiwa mengenang kisah..selendang kuning menjadi tanda..pautan hati kubawa pergi.."

Dewi dan Juara meredah denai terus menghala ke arah Gua Muluk. Lantunan merdu irama yang dialunkan Dewi menjadi teman sepanjang perjalanan mereka. Tidaklah jauh perjalanan itu. Namun cukup terkesan di hati Juara. Dia hanya tersenyum. Lenggok Dewi diekorinya hingga ke pintu Gua Muluk. Fawas hanya memerhati dalam gelap ketibaan Dewi Siluman Senja bersama Kelana Juara dari kejauhan.