SATU
"Aras hubungan kita hanya sekadar teman.." Dewi menyelak hujung rambut yang terbuai dek lenggokan angin. Matanya sinis memerhatikan lagak Fawas yang masih tercegat memaku mata memerhatikannya. Bibir diherotkannya sedikit. Menanti jawapan balas si penjaga Gua Muluk yang acap kali cuba mendekatinya.
"Tapi sampai bila perlu berteman..??" Fawas lelaki lurus. Dia tidak pernah memahami erti kata yang ditutur Dewi. Bagi dirinya, tiap kata Dewi adalah hiburan baginya. Tutur kata itu seolah pemangkin yang memacu dirinya. Andai Dewi senyap mengunci mulut. Dia jadi gundah.
"Mungkin hingga ikan di laut mula berterbangan di udara.." Dewi berhenti menghela lembut nafasnya.
"Dan mungkin juga hingga unggas di rimba mula berenang di lautan.." sambung Dewi semula. Pandangan masih tidak dianjaknya. Dalam diperhatikan telaga mata milik Fawas. Rungkaian kata yang ikhlas hanya mampu ditafsir melalui satu pandangan mulus milik si pemunya. Bukan sekadar dari kemanisan ucap kata yang dipalu bertalu tiada henti.
Fawas si penjaga Gua Muluk hanya mengerutkan wajahnya. Dia tidak mengerti. Entah kenapa tiap kali dia cuba mendekati Dewi, semakin jua Dewi mengusirnya untuk pergi jauh. Kini Dewi memintanya pula menantikan ikan dan unggas bertukar haluan. Agar dia dapat diterima bukan hanya sebagai seorang rakan. Mungkin.
"Bila ikan akan terbang..??"
"Dan bila pula unggas akan mula berenang Dewi..??"
Fawas cuba merapati Dewi. Tombak runcing yang diusungnya ke hulu ke hilir diletakkan di atas sebiji batu besar di hadapan pintu Gua Muluk. Dia perlukan jawapan dari Dewi. Sekurang-kurangnya dia punya anggaran masa. Suatu masa yang memungkinkan segalanya. Suatu masa yang dirinya akan diangkat darjat dari hanya sebagai pengawal pintu gua kepada pemilik hati si penghuni gua. Mungkin.
Tapi persoalannya bila?
"Fawas...Fawas.." Dewi menggelengkan kepala sambil anak mata dihunusnya melihat lantai bumi. Kenapalah Fawas terlalu teruja untuk semua ini. Mana mungkin segala itu akan terjadi. Ikan tetap ikan. Unggas tetap unggas. Mana mungkin ikan mampu terbang dan mana mungkin unggas mampu berenang. Puas cuba ditepisnya setiap permintaan Fawas. Tiap kali itu juga Fawas seperti tidak pernah hendak berhenti dengan angannya.
Dunia dia dan Fawas terlalu jauh bedanya. Hakikat yang sukar dijelaskan Dewi. Namun tetap ia perlu ditelan walau pahit sekalipun. Itu kata ibunya Dewi Siluman Bulan.
"Kau memang tak pernah kenal erti putus asa kan Fawas..??" Soal Dewi berganjak sambil membelakangi Fawas. Rimbunan pohon belukar yang melingkari belantara hijau diperhatikannya. Jauh pandangan matanya dibuang. Sesekali lintasan si cenderawasih yang turut menghuni belantara itu menjadi tatapan matanya. Burung misteri yang katanya penghuni syurga. Yang katanya berdiam di celahan awan. Yang bila jatuhnya ke lantai bumi hanya untuk menamatkan riwayatnya.
"Tidak Dewi..kerana aku mendapat pesan..usaha tidak pernah akan mengecewakan..kerana itulah aku tidak pernah berputus asa Dewi.."
Dewi berpaling.
"Walaupun aku sentiasa mengatakan tidak..??" Dewi tinggikan tona suaranya. Dia perlu bertegas. Dengan Fawas, dia perlu mengetepikan segala perasaan yang menghuni di lorong hatinya. Dia tidak boleh menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan untuknya. Nahas akibatnya nanti. Fawas bakal menerima akibat jika kehendak itu tetap mahu diteruskannya jua.
Fawas meneguk liur. Luncuran laju menyusuri anak tekak dirasakan pahit. Namun tidak sepahit bingkisan kata Dewi yang menerobos cuping telinganya. Hadaman kata itu meneroka masuk ke luhur hatinya. Nyata Fawas kecewa. Pedih yang sukar ditafsir.
Fawas hanya menekur lantai bumi. Dia kebuntuan kata. Walhal dia bukanlah seorang yang mudah berserah tanpa usaha. Sedaya mampunya dia akan mencuba walaupun ada getir yang menanti. Tiada salah baginya menzahirkan apa yang terbuku di fikiran. Kenapa perlu disimpan?
"Fawas..??" Dewi menegur perlahan bila memerhatikan Fawas hanya mati bicara. Dia tahu ada detik hati Fawas yang bersulam kecewa. Tetapi pendirian tetap perlu diteguhnya kukuh. Tidak tetap tidak. Aturan yang telah ditetapkan oleh Adi Siluman, perencana Aturan Muluk kesepuluh harus dipatuhinya. Telah lama aturan itu dipatuhi oleh segenap penghuni Gua Muluk sejak kewujudan mereka di gua itu. Mana mungkin Dewi berani mengingkari arahan yang telah termaktub.
"Aku mengerti Dewi.." Fawas angguk perlahan.
Dewi jatuh kasihan. Riak wajah muram Fawas menjelaskan segala. Benar ada sengsara di balik kata-katanya itu. Terlalu lama telah dikenalinya Fawas. Sejak dari mereka kecil, mereka berteman hinggalah ke dewasa kini. Saat tika tiada nafsu menyelongkari minda semasa kecilnya, hinggalah kini pabila gelora nafsu mula memberontak.
Segalanya meningkah berubah, beredar bersama detik masa.
"Aku yakin kau semestinya arif tentang aturan yang telah termaktub..tak begitu Fawas..??"
Fawas hanya mengangguk seperti tadi. Mulut dikunci rapat. Hanya membiarkan hatinya sahaja menerima tutur kata Dewi.
"Fawas..jawablah..kau janganlah diam begini..bersalah aku rasanya.."
Muka diangkat sambil senyuman dipahat manis di bibir. Dia tidak perlu pamerkan hati yang diruntun sedih pada riak wajahnya. Cukuplah ia disimpan sahaja di dalam hati. Apa yang bersarang di hati, biarlah ia kekal di hati. Tiada guna lagi dipaksa.
"Kau mahu ke Telaga Air Biru kah Dewi..??" Fawas segera menukar kata bualnya. Dia tidak mahu lagi mengheret suasana suram itu menjadi lebih keruh. Cukuplah sekadar ia terhenti dia saat itu sahaja.
"Ya..kau bukan tak tahu, memang tiap kali purnama menjengah tiba..aku akan ke Telaga Air Biru..apa kau lupa..??" Dewi turut menguntum senyum. Walau tiada manisnya yang kelihatan, namun diusahakan jua agar Fawas tidak menaruh syak yang bukan-bukan lagi.
"Kau nak aku temankan kau kesana..??"
"Kalau kau temankan aku..siapa pula yang akan jagakan pintu gua..??"
Fawas berdehem. Sebenarnya dia hampir sahaja terlupa akan tanggungjawab yang diamanahkan padanya. Dia perlu menjaga pintu Gua Muluk daripada dicerobohi sesiapa. Selama ini , itulah tugasnya. Dia dikekang sama sekali untuk meninggalkan tempat itu tanpa sebab. Andai Gua Muluk dicerobohi, akibat yang buruk bakal menantinya.
"Angkara senyuman manismu, aku hinggakan terlupa akan segalanya Dewi..pesona tiada banding yang kau miliki, menerbangkan aku melayang angan.."
Dewi hanya tertawa kecil. Dia tahu yang Fawas selalu berjenaka dengannya. Kadangkala apa yang diucapkan Fawas, sering sahaja mengusik hati kecilnya. Ada sahaja alasannya yang nenghiburkan hati.
"Sudahlah Fawas..aku pergi dulu ya..ke Telaga Air Biru.." Dewi menuruni barisan batu yang disusun bertangga. Langkah dibawanya perlahan menyusuri denai sambil mengalunkan bait lagu yang hanya sayup didengari Fawas. Anak mata Fawas terus mengintai Dewi yang kian menghilang di celahan rimbunan belukar.
"Kau pesona di hatiku.." bisik Fawas sendirian.
*****
ASHURI termenung memerhatikan puluhan anak kecil yang bermain dan tertawa riang di balik Pancuran Indera. Gelak tawa anak kecil sambil diselangi nyanyian mendayu dayang istana sedikit menghiburkan hatinya. Pancuran air yang menyinar membias sinar mentari sentiasa sahaja memukau mata sesiapa sahaja yang memandang. Larian anak kecil yang menghadirkan bingit di sekitar itu menjadi halwa telinga Ashuri. Dia tertawa seorangan.
Istana Indera Sakti yang dihuninya sejak dari lahir, tidak pernah lekang dengan gelak tawa dan ceria menyilang. Segalanya tampak indah seolah tiada duka yang menduga. Rakyat jelata hidup sejahtera. Pemimpin berdaulat bersama menjaga Rukun Indera. Cacat dan cela tidak pernah wujud dalam perjalanan kota itu dek kerana kewibawaan pemimpin yang dijulang. Segalanya disusun mengikut apa yang dititip rapi di dalam Rukun Indera. Panduan yang menjadi pedoman di Indera Sakti.
"Ashuri..jauh termenung..??"
Ashuri mengilas pandang ke belakang. Sinar wajah ibunda tercintanya dilihatkan penuh senyuman.
"Bonda rupanya..Ashuri cuma melihatkan rakyat kita bermain riang bonda.." Ashuri bangkit dari duduknya dan memimpin Permaisuri Dahlia untuk mendekatinya.
"Cantik bonda hari ini.." Ashuri menawarkan tempat duduknya pada Permaisuri Dahlia. Dia hanya berdiri di sisi ibunya.
Hilai tawa anak kecil yang berlari mengelilingi Pancuran Indera menghadirkan kuntuman senyum di bibir Ashuri dan Permaisuri Dahlia. Keduanya melambai ke arah jelata yang baru menyedari gelagat mereka sedang diperhatikan. Semuanya terhenti. Mereka menunduk memberikan hormat kepada kedua penghuni Istana Indera Sakti itu.
"Bonda.." Ashuri mengelus lembut jemari ibundanya. Pandangan Permaisuri Dahlia terus sahaja singgah menatapi wajah anakanda bongsunya itu.
"Ya Ashuri..??"
"Damaikah kita sekarang..??" Soal Ashuri. Pandangannya masih dilemparkan jauh melihatkan Pancuran Indera. Namun riak wajahnya, seakan punya gulana. Persoalan yang mengundang resah di benak fikiran Permaisuri Dahlia.
"Mengapa Ashuri..?? Seperti ada yang tidak kena dengan soalanmu itu.."
Ashuri menghela nafasnya sedalam mungkin. Dihembusnya perlahan sambil jemari dilepaskan dari genggaman ibundanya. Ada sesuatu yang menganggu jiwanya. Tak daya lagi hendak disimpan menjadi duri yang menghiris relung hatinya. Dia perlu mengatakannya.
"Ashuri..??" Permaisuri Dahlia resah. Ashuri melangkah sedikit ke hadapan. Jelas ada sesuatu yang cuba disampaikan puteranya itu. Dan yang lebih pasti, perkara yang berlegar di fikiran anaknya itu jelas menggusarkan dirinya.
"Adakah damai kita dapati di sini..?? Kerana hati merasakan terkurung..terseksa di balik sangkar yang bertatahkan berlian..yang indahnya hanya di luaran..namun ratap tangis menghuni isi dalamnya.."
Permaisuri Dahlia bingkas bangun. Bahu Ashuri dirangkulnya kemas. Kata-kata Ashuri benar telah merentap tangkai hatinya. Hati ibu mana yang tidak tersentuh kala anak yang dikandung dan dibelainya selama ini merintih seolah terseksa. Hati ibu jelas terpanggil untuk meredakan segala yang menjadi gundah. Andai ada batu yang menghalang kegembiraan si anak, rela dia bermandi peluh mengalihkan besar batu agar kegembiraan terus dapat mengalir mencurahi diri anaknya itu.
"Jangan pernah berkata begitu Ashuri..apa anakanda tidak pernah gembira tinggal di sini..?? Di samping bonda dan ayahanda..??"
Bukan itu dijadikan alasan untuk berkata begitu. Bukan kegembiraan yang pernah hadir di dalam istana itu yang menjadi punca. Tiada cela selama ini kasih sayang yang dicurahkan oleh bonda dan ayahandanya untuk dijadikan alasan bermuram. Jauh sekali ditepisnya alasan itu dari bernaung dalam diri.
"Tidak bonda..bukan itu maksud anakanda.." jawab Ashuri perlahan.
"Katakan Ashuri..apa yang masih tidak lengkap di istana ini..sedaya mampu akan bonda sediakan agar diri anakanda terus gembira.."
Ashuri berpaling melihatkan wajah bondanya yang kini muram. Rasa bersalah menyelongkar masuk ke dalam diri. Bukan niat mengguris perasaan. Hanya cuba mengatakan apa yang tersirat.
"Tidak bonda..segalanya lengkap tersedia..mungkin hanya perasaan Ashuri yang sering sahaja menidakkan keindahan itu.." Ashuri enggan meneruskan niat katanya. Dia hanya tertunduk tertewas dek renungan kasih dipamerkan Permaisuri Dahlia. Rasa bersalah itu menyerap lantas menghentikan segalanya. Biarlah sahaja derita itu bersarang dalam diri.
Biar disisipnya jauh di lubuk hati. Biar tersimpan rapi terus bersemi. Rasa gundah yang bersarang ditelannya pahit. Menahan rimas menggelodak tersemai menjadi barah. Suatu masa terlerai menjadi parah.
Ashuri mendakap kemas jemari Permaisuri Dahlia. Langkah kaki dibawanya berjalan menuju ke Taman Istana. Memimpin bawa Permaisuri Dahlia menyusuri anak tangga menuju ke Taman Istana.
Kuntuman mekar bunga pelbagai rona jadi penghias. Memukau mata sesiapa sahaja yang melihat. Redup pohonan memayungi dua insan yang berjalan beriringan mengelilingi taman itu.. Wajah sugul Permaisuri Dahlia diperhatikan Ashuri. Jelas kesedihan itu masih belum berlalu pergi. Sekuntum mawar putih yang memekar dipetiknya. Dihulurkan kudup bunga itu pada bondanya.
"Indah mawar tiada seri..hilang dibawa layangan sepi.." ucap Ashuri perlahan. Permaisuri Dahlia makin tidak keruan. Apa sebenarnya yang cuba disampaikan Ashuri? Mainan kata-kata Ashuri benar-benar menggetarkan jantungnya.
"Jangan pernah bermain kata..tajam kata kalanya lebih tiris menikam dibanding pedang.." jawab Permaisuri Dahlia.
Jawapan itu menghadirkan tawa Ashuri. Merah merona mukanya menahan gelak lantaran kata yang diucap Permaisuri Dahlia. Entah mengapa tiap kali dia bermadah, bonda pasti akan menelah katanya dengan kesedihan.
"Bukan itu maksud Ashuri bonda.." Ashuri masih tertawa kecil. Dia menekup perut menahan tawa yang pecah tak mampu dibendungnya.
"Ashuri maksudkan yang mawar itu tidak akan indah berseri andai pemunya diri bermuram durja..seri mawar itu hilang bersama sedih yang bonda pamerkan..cuba bonda tersenyum..Ashuri pasti mawar itu menjadi indah seindah dirimu bonda.."
Permaisuri Dahlia tersenyum sendiri. Mawar yang dipegangnya diusap perlahan. Perihal nakal si anak yang mengusik dirinya sering sahaja menghadirkan senyum. Madah pujangga yang dirasakan pedih sebenarnya penuh helah. Yang tersirat dan hanya difahami oleh si penutur kata.
"Senyuman bonda sahaja sudah cukup untuk menghadirkan tenang di istana ini.." ucap Ashuri tenang.
"Ada sahaja caramu untuk mengusik bonda.."
"Apa sahaja akan ku lakukan andai itu mampu hadirkan senyum buat dirimu bonda.." bisik hati Ashuri. Bondanya hanya seorang. Selagi mampu dia mengekalkan senyuman itu kekal di wajah Permaisuri Dahlia, apa sahaja sanggup dilakukannya.
"Mana ayahanda bonda..?? Selalunya petang sebegini, bonda berjalan berdua bersama ayahanda di taman..tapi hari ini, bonda seorangan.."
"Ayahanda ada di kamar..katanya tidak berapa sihat..mungkin kerana tidurnya tidak nyenyak kebelakangan ini.."
Berkerut dahi Ashuri mendengarkan kata Permaisuri Dahlia. Seingat dirinya, pagi tadi semasa santap bersama, Tuanku Rasturi kelihatan tegap dan segak seperti biasa. Tiada tanda ada sakit singgah pada dirinya.
"Tapi bukankah tadi ayahanda sihat sahaja bonda..??" Soal Ashuri.
"Benar..cuma menjelang petang, tika bonda menyediakan minum petangnya, ayahanda mengatakan yang dia tidak sihat.."
Jarang sekali ayahnya mengadu tidak sihat. Kerana selama ini Tabib Diraja, Kekanda Halsi menjaga perihal kesihatan mereka sekeluarga dengan tertib sekali. Segala pemakanan dijaga rapi. Bila sesekali ayahandanya gering menahan derita kesakitan, itu sahaja sudah cukup untuk mendebarkan Ashuri.
"Kalau begitu..biar Ashuri ambilkan air Telaga Air Biru untuk ayahanda..bolehkan bonda..?? mungkin ayahanda akan beransur pulih selepas meneguk air dari telaga itu.." Ashuri meminta izin untuk ke Telaga Air Biru yang berada di selatan istana.
Permaisuri Dahlia menggeleng. Dia gusar. Bukan tidak diizinkan Ashuri untuk ke telaga itu. Namun biarlah sahaja Tabib Diraja yang menguruskannya. Itu tugasnya. Bukan tugas si Putera Bongsu Indera Sakti.
"Biarlah sahaja Tabib Diraja menguruskan hal itu Ashuri..bukan anakanda.." Permaisuri Dahlia cuba menidakkan keinginan Ashuri. Dia khuatir. Kerana telaga itu punya sejarah yang tersendiri. Kerana telaga itulah, kekanda kepada Ashuri pergi meninggalkan mereka selamanya. Telaga itu menyimpan beribu kepahitan yang sukar ditelan Permaisuri Dahlia.
"Bonda..Ashuri telah besar panjang..pandailah Ashuri menjaga diri..janganlah dikenang perkara yang lalu bonda.." Ashuri tetap berdegil. Dia tahu hati bondanya masih tak mampu dirawat. Kesedihan itu masih berkalang.
Permintaan itu tak mampu dihalang lagi oleh Permaisuri Dahlia. Walaupun peristiwa 20 tahun dulu masih berlekuk di hatinya, rintihan si anak yang berkeras mahu mencarikan penawar untuk ayahandanya sukar ditepis. Dia hanya merelakan sahaja permintaan Ashuri. Walau gusar itu tetap ada dalam dirinya.
"Pergilah Ashuri..bawakan pengawal untuk mengiringi anakanda ke sana..pulanglah sebelum senja berlabuh..agar resah bonda tidak dibawa hingga ke malam.." hanya itu sahaja mampu dituturkan Permaisuri Dahlia. Dia tidak mahu mengekang segala keinginan Ashuri. Kerana anak itu, bukan lagi si kecil yang perlu ditimangnya lagi. Ashuri telah dewasa dan wajar membuat pilihan dirinya sendiri. Asalkan pilihan itu tidak memudaratkan dirinya.
*****
LALUAN air jeram mengalir di celahan jari Dewi Siluman Senja. Sesekali anak jarinya digodek melarikan pasir halus yang termendap di dasar sungai. Nyanyian merdu burung berlagu petang itu menyamankan suasana. Merbah berterbangan berpasang-pasang lalu hinggap di pohon renek berdekatan jeram. Leka memerhatikan sesusuk tubuh yang sering sahaja mendatangai jeram itu tiap kali purnama bersilih ganti.
"Burung kelicap..terbangnya rendah..mengintai madu..di pohon rendang.." Dewi berlagu sambil mengocakkan air dengan jarinya.
Alam dirasakan indah. Seli siulan unggas bersama teriakan kijang di kejauhan memecah hening. Deruan air jeram berlagu bersama desiran angin buatkan hati tertawan tak mahu berganjak. Suasana yang bezanya ketara jika dibandingkan dengan Gua Muluk tempat kediamannya. Tiada anak air yang membolehkannya bermain. Hanya sekadar tempatnya berteduh dari hujan dan panas. Jika tidak kerana Tok Siluman Kelana yang menghalangnya dari ke situ setiap hari, sudah tentu jeram itu akan jadi kunjungannnya saban hari.
Dari tempatnya melabuhkan duduk, dapat dilihatnya Telaga Air Biru yang duduk diam di atas bukit berdekatan jeram. Ditutupi pohonan renek mengelilingi telaga itu, membataskan penglihatan pada sesiapa yang melihatnya. Andai tersalah langkah, risau terjerumus ke dalam telaga yang gelap gelita itu.
Kata Tok Siluman Kelana, telaga itu telah wujud beratus tahun lamanya. Air yang terisi di dalam telaga itu bukanlah dari jeram yang mengalir. Air yang terisi asalnya dari titisan embun yang menitis masuk lalu memenuhi telaga itu. Kata Tok Siluman Kelana juga, air yang memenuhi telaga itu mampu untuk menawarkan penyakit andai betul cara ia dikendalikan. Bukan sebarangan Tabib yang mampu menggunakan air itu untuk dijadikan penawar. Perlu ilmu yang mencukupi meliputi langit dan bumi, barulah air itu mampu ditawarnya.
"Malam dingin..embun menitis..titik ke bumi..ditelan hilang.." Dewi terus sahaja berlagu menghiburkan hati. Renangan si ikan mengelilingi hujung kaki yang diunjam ke dasar sungai diperhatikan. Sesekali patukan halus ikan ke jari kakinya menghadirkan rasa geli yang mengundang tawa Dewi.
"Kenapa kau patuk kaki aku wahai ikan.." ucap Dewi geram. Dia mengocak muka air untuk mengusir pergi si ikan jauh-jauh.
Susup sasap dari celah belukar di hadapannya menggamit anak mata Dewi. Seolah ada sesuatu yang bergerak menghampiri Telaga Air Biru yang berdekatan dengan jeram itu. Dewi hanya memerhatikan sahaja menunggu tiba apa yang bakal muncul dari celah semak belukar itu. Mungkin sang kancil meranduk belukar untuk menghirup air jeram fikirnya. Namun telahannya meleset.
"Manusia..??" bisik Dewi sendirian. Dua susuk tubuh jejaka yang tegap diperhatikannya sedang mematahkan ranting-ranting halus yang menghalang laluan mereka. Dapat dilihat jelas oleh Dewi dua orang jejaka itu bersusah payah membelah belukar. Namun yang lebih merisaukannya, andai dua orang jejaka itu tidak menyedari bala di hadapan mereka itu. Telaga Air Biru yang melopong ditutupi semak belukar yang menjalar mungkin menjadi jerat yang tidak disangka mereka.
"Ashuri..apa kau yakin telaga itu ada di sini..??" Rungut Tantira. Panglima istana yang diarahkan untuk menemani Ashuri ke Telaga Air Biru. Langkahnya dibesarkan sambil memijak-mijak pohonan menjalar yang menghalang lauannya. Ashuri hanya mengekori dari belakang.
"Aku pasti Tantira..di sinilah tempat mainku sewaktu kecil dahulu..masakan aku boleh lupa jalannya..mungkin kerana luput dek zaman dan kerana tiada siapa yang dibenarkan datang ke sini lagi sejak peristiwa hitam dahulu..semak mula makin menebal.." jawab Ashuri sambil melihatkan sekeliling. Air jeram yang mengalir jernih diperhatikan Ashuri.
"Kita berehat dahulu Tengku..??" Tantira melangkah turun ke gigi air. Aliran air jeram ditadahnya dengan telapak tangan. Hirupan air jeram yang sejuk dan menyegarkan itu sedikit sebanyak melegakan anak tekaknya yang memang kehausan. Jarak antara Istana Indera Sakti dengan Telaga Air Biru tidak jauh mana. Namun dek kerana cerun dan anak bukit yang terpaksa mereka tempuhi, keletihan itu jelas dapat dirasai.
"Berapa kali harus ku katakan padamu Tantira..jangan digelar aku begitu..kau tahu yang aku tidak menyukainya..!" rungut Ashuri. Memang darjat antara dia dan Tantira terlalu berbeza. Tantira hanyalah panglima istana manakala dirinya adalah bakal pewaris takhta kerajaan Indera Sakti suatu hari nanti. Namun kepantangan Ashuri bila orang menggunakan gelarannya untuk berkata-kata dengannya.
Tantira terdiam seketika. Memang berulang kali sudah dirinya ditegah untuk menggunakan gelaran Tengku terhadap Ashuri. Namun lidah anak kebanyakan sepertinya, kadangkala celupar melawan kata. Arahan Ashuri sering kali dilupakannya.
"Maafkan aku Ashuri..namun aku hairan..kenapa kau asyik sahaja menidakkan gelaran yang sepatutnya kau gunakan..?? Bukan semua manusia mendapat peluang sebegitu..gelaran Tengku adalah untuk golongan diraja berdarah putih seperti kau..apa kau tidak suka..??" Soal Tantira untuk kesekian kalinya. Jawapan yang sering diungkapkan Ashuri jika ditanya soalan sebegitu adalah, aku selesa dengan namaku sahaja, tanpa Tengku. Sungguh mudah dia bermadah memberikan jawapan.
Ashuri bertinggung bersebelahan Tantira. Raut wajahnya hanya tersenyum. Air jeram dikocaknya perlahan. Lantas dicedok dan disuanya ke mulut. Puas dihirupnya sejuk air jeram itu, mulut dikesatnya dengan lengan baju. Sempat dia mendengus puas.
"Darjat dan pangkat tidak kubawa mati..tertinggal mati siapa tak peduli.." Ashuri membalas bersahaja. Tantira tertawa besar dengan jawapan yang diberikan Ashuri.
"Kenapa kau tergelak wahai Tantira..??"
"Kerana kata-kata yang kau ungkapkan itu..hanya sesuai untuk golongan kerdil seperti diriku Ashuri..bukan untuk dirimu.."
Ashuri bangkit berdiri. Dia mengerut dahi mendengarkan tawa Tantira.
"Apa maksudmu Tantira..?? Jelaskan.."
"Aku golongan jelata yang tak punya apa Ashuri..andai aku pergi meninggalkan dunia ini, belum tentu lagi akan ada yang mengenangkan aku..namun jika engkau yang pergi..sekalian rakyat akan berduka..sekalian rakyat akan meratap sedih dengan pemergian kau..patah nama kau akan tetap diingati oleh sekalian rakyat jelata..tetapi bukan aku.." jelas Tantira tiada berselindung. Memang itu yang menjadi nyata. Antara bangsawasan dengan marhaen jelas ada beza yang ketara.
"Ahhh sudahlah Tantira..aku malas mahu berbalah denganmu..ayuh..kita teruskan mencari Telaga Air Biru..hari hampir senja..nanti gelap, susah pula untuk kita pulang ke istana.." Ashuri memanjat naik tebing yang memisahkan antara gigi air dengan cerun bukit. Matanya meliar mencarikan mulut Telaga Air Biru yang mungkin terselindung di sebalik semak yang menaik.
"Ayuh sini..aku tarik kau naik.." Ashuri menghulurkan tangannya untuk menarik naik Tantira yang terkial-kial seorangan mengais tanah. Tebing yang curam itu menjadi sukar untuk membawa dirinya naik. Saiz badannya yang sedikit gempal agak menyulitkan keadaan.
"Kau cari di sekitar pohon cemerai itu Tantira..aku cari di sekitar rimbunan buluh itu.." Ashuri menunjukkan ke arah kanan. Mengarahkan Tantira untuk mencari mulut telaga yang mungkin terselindung. Hari yang kian malap menyukarkan lagi keadaan.
Dewi hanya tertawa melihatkan telatah dua orang jejaka yang asyik sahaja berbual dan bertelagah sesama sendiri. Bual bicara dua orang teman itu didengarinya satu persatu. Yang seorang asyik bermadah. Yang seorang lagi asyik sahaja dengan gelak tawanya.
"Memang manusia perangainya pelik-pelik.." Dewi menggeleng dan tertawa. Hujung kakinya masih lagi diunjam jauh ke dasar sungai. Anak matanya terus sahaja memerhati Ashuri dan Tantira yang terkial-kial menebas semak seperti mencari sesuatu.
"Adakah mereka mencari Telaga Air Biru..?? Jika benar telahanku, pasti ada seseorang di perkampungan mereka yang dilanda sakit tenat..kerana itulah mereka memerlukan air embun yang bertakung di telaga itu.." Dewi berfikir seorangan. Dia mendapat satu akal. Jarang sekali dia bertembung dengan manusia. Sesekali bertembung, teringin jua dia merasa untuk menyakat nakal dua orang jejaka itu.
Tantira tergamam. Leka dia menebas dan tercari-cari Telaga Air Biru, halus suara wanita menyanyi merdu ditangkap telinganya secara tiba-tiba. Dia berpaling. Suara yang seolah datangnya dari jeram di belakangnya. Puas matanya mencari namun langsung tidak dapat dilihatnya sesiapa di situ. Senja yang makin kelam turut membataskan penglihatannya. Susuk Ashuri yang terbongkok-bongkok di sebalik rimbunan buluh dapat dilihatnya jelas. Namun bukan Ashuri yang mendendangkan lagu merdu itu. Dia yakin suara itu milik seorang wanita.
"Ashuri..!" Tantira menjerit perlahan. Menggamit perhatian Ashuri yang sedang leka.
Ashuri berpaling melihatkan Tantira. Kepalanya dianggukkan bertanya mengapa. Kerana Tantira dilihatnya seakan dalam kebingungan.
"Kau dengar apa yang aku dengar..??" Soal Tantira sambil menunjukkan ke arah aliran jeram. Ashuri menoleh dan memasang telinga.
"Pedihnya diri kutahan derita..dipangkas-pangkas dipijak lalu..lulur hatiku berkata seksa..membiar diri dicantas manusia.."
Jelas suara mendayu wanita seolah melontar puisi derita itu didengari Ashuri. Kedua-duanya terpaku. Siapakah gerangan yang bermadah itu?
No comments:
Post a Comment