"Kau la ni..! Heboh sangat nak ambil gambar burunglah, nak ambil gambar jeramlah..kan kita dah sesat sekarang ni..!"
"Apesal aku pulak..kau yang suruh aku temankan kau pergi ambil air jeram..nak buat air minum konon..kau ingat ni zaman purba ke nak minum air jeram..??"
"Ahhh..aku tak kira..engkau punya pasal jugak yang buat kita sesat macam ni..kalau aku tak ikut cakap kau tadi, mesti kita tak terpisah dari kumpulan kita tadi.."
"Aku jugak yang jadi punca..??"
"Memang..!"
"Huh..!"
Raihan dan Musliha saling berbalah menegakkan benang yang basah. Masing-masing tidak mahu mengalah. Saling tuduh-menuduh antara satu sama lain dalam saat getir itu.
Raihan dan Musliha adalah penuntut universiti yang sedang mengikuti eksplorasi untuk mendaki Bukit Pelanduk di pinggir hutan itu. Tujuan mereka adalah satu, untuk mencari tanda-tanda peninggalan arkeologi di sekitar kawasan itu terutamanya di dalam sebuah gua yang dikatakan berada di sekitar Bukit Pelanduk itu.
Dek kerana leka dengan keindahan hutan yang melalaikan mereka berdua, kedua-duanya terpisah daripada kelompok peserta yang lain. Puas sudah mereka cuba mengikuti denai yang mereka tempuhi awal tadi namun hampa. Mereka tetap berpusing-pusing dalam satu kawasan yang sama. Semakin jauh mereka tersesat di dalam belantara tebal itu.
"Haishh.." Raihan mengeluh berat. Dia menjeling melihatkan Musliha yang sedang tercangak-cangak melihatkan pokok hutan di kelilingnya. Sesekali butang kamera dipetik Musliha untuk merakamkan kenangan mereka di situ. Hutan hijau itu tidak seindah belantara konkrit di ibu kota. Segalanya nampak tenang di sini.
"Sudah-sudahlah nak bergambar tu..cuba kau cari akal sikit macam mana nak keluar dari sini..ini tidak, heboh dengan selfie melpie kau tu..!" rungut Raihan. Dia kebuntuan akal untuk mencari jalan keluar dari belantara itu. Dia kehilangan punca tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Hanya mampu mengeluh sambil menunggu andai ada rakan-rakannya dari pasukan eksplorasi itu untuk datang menyelamat.
Musliha hanya berdiam diri. Malas lagi hendak bertekak dengan Raihan. Asyik membebel sahaja dari tadi. Naik tersumbat lubang telinganya menahan leteran Raihan.
"Kau boleh senyap sekejap tak An..?? Aku tak boleh fikir kau tau tak pasal kau asyik membebel je dari tadi..semua tak kena dekat mata kau..macam mak nenek lah kau ni..!" Musliha menyumbat lubang telinganya dengan earphone. Sengaja membingitkan telinga dengan dendangan lagu yang diputarkan di corong radio. Cara itu sahaja dia dapat mengelak dari terus mendengarkan leteran Raihan.
"Haa..itulah dia..asal tension je sumbat telinga..asal tension je sumbat telinga.." bebelan Raihan kali ini langsung tidak didengari Musliha. Hanya duduk seorangan mengadap jeram yang sedikit keruh airnya yang mengalir. Mungkin dek kerana hakisan tanah di hilir sungai akibat hujan lebat malam tadi.
"Oi Leha..! Aku cakap ni kau tak dengar ke..??"
Musliha membatukan diri.
"Oi Leha oiiii...aku panggil kau ni..dengar ke tak..??" sekali lagi Raihan terus memanggil Musliha. Sakit hatinya bila Musliha tidak mengendahkannya. Namun Musliha tetap buat tak dengar. Dia hanya melenggok-lenggokkan kakinya di tepi batu jeram melayan dendangan lagu yang berkumandang di cuping telinganya.
Papp!
"Aduh..!!" Rengek Musliha. Belakang badannya diusap perlahan menahan sakit. Pantas dia menoleh ke belakang. Raihan mengekek tertawa. Batu kecil yang dilontarnya ke arah Musliha tepat mengenai belakang badannya. Balasan buat dirinya yang tidak endah akan kata-katanya.
"Lain kali orang bercakap dengar..bukan duduk diam sumbat telinga dengan earphone.." leter Raihan lagi lalu bangkit mengesat punggungnya yang berpasir. Matahari kian naik meninggi hingga mencengkam ubun-ubun kepalanya. Peluh renek yang mengalir di dahi akibat kebahangan dikesatnya. Musliha hanya memerhatikan sahaja gelagat Raihan dengan wajah yang mencuka.
"Sakitlah bodoh..!"
Raihan tertawa geli hati. Rengek Musliha tidak diendahkannya. Yang menjadi keutamaan dirinya sekarang adalah untuk mencari jalan keluar dari kesesatan mereka itu. Tidak sanggup bermalam berdua bersama Musliha. Khuatir akan terjadi pula perkara yang tidak diingini bila malam menjengah tiba. Bukan sekadar binatang buas di rimba itu sahaja yang menjadi persoalannya, malah dirinya sendiri juga ditakutinya. Gusar andai syaitan pula merasuk dirinya sendiri malam nanti. Dan tika itu tiada siapa yang mampu menyelamatkan Musliha. Kerana antara dua pasangan bukan muhrim seperti mereka di tengah-tengahnya adalah syaitan. Itu semua adalah risiko yang berlegar dalam kepalanya sendiri.
"Dah..jom kita susur ikut tebing jeram ni..kata orang kalau tersesat dalam hutan, ikut sahaja aliran sungai..mesti akan berjumpa dengan jalan keluar nanti.." ucap Raihan terus melangkah memanjat tebing jeram itu. Musliha hanya mengangguk akur dengan arahan Raihan. Sekurang-kurangnya Raihan cuba mencari ikhtiar untuk melepaskan mereka dari belengu itu.
Hampir sejam mereka menyusuri jeram yang dipenuhi bongkah-bongkah batu itu, akhirnya mereka tiba di satu kawasan yang sedikit lapang kawasannya. Raihan berhenti sambil membuka bekas minumannya. Dia meneguk laju kerana bahang panas tengahari itu benar-benar membuatkan tekaknya kering.
"Kita rehat dekat sini sekejap..letak beg kau dekat sini.." Raihan turut melurutkan beg galasnya dan meletakkan di atas lantai bumi. Dia memerhatikan keliling mencari teduhan redup untuk mereka melepaskan lelah. Satu bongkah batu besar yang diteduhi serimbun pokok hutan mendakap perhatiannya. Kawasannya agak landai dan redup untuk dijadikan tempat rehat mereka sementara.
"Kita rehat dulu dekat tepi batu besar tu Leha.." Raihan menunjukkan ke arah teduhan redup yang diperhatinya tadi. Wajah Musliha berkerut tidak berpuas hati.
"Aku tak sukalah kau panggil aku Leha..!" Muka dicemik memuncungkan bibir.
"Alaaaa comelnya kau buat muka itik macam tu..." usik Raihan tertawa kecil melihatkan telatah Musliha yang manjanya tidak bertempat itu. Namun bila makin galak ditenungnya wajah Musliha itu, makin dia terpesona pula dengan raut wajah itu. Comel.
"Apa tengok-tengok..!!"
Pek!
Dahi Raihan ditampar kuat Musliha. Merah menyala kesannya berbekas di dahi Raihan yang kebasahan dek peluh. Buntang biji matanya memerhatikan Musliha yang mengekek tergelak sambil cuba melarikan dirinya dari Raihan. Pukuk curi yang tak disangka Raihan.
"Sini kau..!!" Ugut Raihan terus mengejar Musliha yang terkedek-kedek berlari meninggalkannya dalam letus tawa. Dia tidak mahu Raihan membalas tamparan itu pada dirinya pula. Melihatkan kekar otot milik Raihan sudah dapat dibayangkan betapa sakitnya nanti andai tapak tangan Raihan itu hinggap di dahinya pula.
Musliha terus berlari menuju ke bongkah batu yang dikatakan Raihan. Hampir sahaja Raihan dapat menggapai tangannya tika mereka tiba di tepi batu besar itu. Leka bergurau tanpa disedari mereka berada tepat di atas satu lubang telaga lama yang telah ditinggalkan ratusan tahun lamanya. Hanya ditutupi ranting kayu dan dedaun layu yang berselerak di atas permukaan mulut telaga. Raihan terhenti langkahnya bila terdengarkan seolah bunyi rekahan kecil di telapak kakinya. Dia terus memasang telinga.
"Leha..jangan bergerak.." ucap Raihan cemas. Dia langsung tidak bergerak kerana risaukan sesuatu yang sedang dipijaknya. Derapan halus yang ditangkap anak telinganya mula menghadirkan gusar. Musliha terhenti. Dia berpaling merapati Raihan yang terbongkok-bongkok mengimbangi badannya.
"Kau apehal..??"
"Aku rasa kita berada pada tempat yang tak betul pada masa yang tak betul.." Raihan mendongakkan wajahnya memerhatikan Musliha. Kelihatan jelas anak tekaknya turun naik menelan air liur. Wajahnya cemas seperti melihatkan hantu.
"Ha ha ha..!" Musliha tergelak sambil memikirkan apalah helah Raihan kali ini. Mungkin hanya sekadar muslihat untuk mendapatkan dirinya. Mungkin dia berlari terlalu laju hinggakan Raihan tidak mampu mengejarnya. Dan kini diusahakannya pula muslihat lain untuk menjerat dirinya.
"Kau jangan nak cenekel lah An..kau sengaja nak buat helah biar aku rapat dengan kau..lepas tu kau nak tangkap aku kan..?? Nak tepuk dahi aku kan..??" sambung Musliha dan terus tertawa. Hanya mengejek Raihan yang masih menjadi batu tidak bergerak di atas rimbunan ranting kayu itu.
"Diamlah..! Aku rasa kita berpijak atas sesuatu ni..ada sesuatu kat bawah ranting kayu ni.." Raihan menuding jari ke arah bawah. Musliha turut melihatnya. Dia berdiri di atas selerakan ranting yang sama.
"So..??"
"Sooo..jangan buat pergerakan secara mengejut..aku risau kalau ini mungkin jerat yang dibina oleh orang asli dalam hutan ini.." ujar Raihan cuba menguis perlahan rating di kakinya satu persatu. Perlahan dia mengerjakannya.
Dan Musliha...
Terlompat-lompat menghentakkan kakinya di atas rimbunan ranting itu. Tidak percaya dengan kata-kata Raihan. Dia percaya itu hanyalah dakyah palsu Raihan cuba memerangkap dirinya.
"Jangan Leha..!!" pekik Raihan memecah hening belantara itu. Musliha terhenti. Tak disangkanya Raihan begitu serius. Disangkanya hanya bergurau seperti tadi.
"Yelah..!" Musliha berpusing membelakangi Raihan. Tubuh dipeluk rapat. Kaki dihentaknya sedikit melepaskan geram akibat dimarahi Raihan. Dan itu adalah perkara paling bodoh dilakukan Musliha.
Semena-mena ranting yang menutupi mulut telaga itu runtuh lalu membawa mereka berdua terjerumus masuk ke dalam sisi gelap telaga. Musliha terjerit-jerit meminta pertolongan kala tubuhnya melayang turun menanti saat menyembah lantai telaga. Suasana gelap telaga yang diselangi bauan tidak menyenangkan menyekat helaan nafasnya. Musliha dan Raihan terus melayang terjunam ke dalam gelap telaga yang bumin tidak bercahaya itu.
ASHURI berlegar di sekeliling istana. Pandangannya tercari-cari kelibat Tantira yang sedari tadi tidak dapat dilihatnya. Yang kelihatan hanya hulubalang istana berlegar berkawal di sekitar istana. Puas dijengahnya kepala namun bayang Tantira langsung tidak kelihatan.
"Anakanda mencari apa..??" tegur Permaisuri Dahlia yang muncul dari pintu besar istana. Tingkah laku Ashuri yang seolah cemas berdiri sendiri di hadapan pintu istana itu menghadirkan pelik di matanya. Jarang siang-siang begini Ashuri berada di istana. Selalunya dia akan menghilang selepas sahaja santapan pagi. Anak muda seperti Ashuri yang sering sahaja tidak pernah duduk diam, ada sahaja pekerjaan yang ingin dilakukannya.
"Bonda..Ashuri mencari Tantira..ada bonda lihatkan dia..??" Langkahnya mundar mandir di hadapan pintu istana.
"Ohh..tadi bonda ada terdengar titah ayahanda yang mengarahkan Tantira untuk ke hujung kampung kita ini.."
"Ke hujung kampung..?? Atas urusan apa wahai bonda..??" Ashuri langsung tidak tahu menahu akan titah Raja Rasturi itu. Kelazimannya setiap titah ayahandanya turut akan diketahui olehnya. Entah mengapa hari ini dia seolah dipinggirkan dari kebiasaan.
"Menurut pengawal yang berjaga di hujung sempadan kampung kita ini..mereka ada menangkap lima sahabat yang melalui laluan ke perkampungan kita ini..lalu ayahanda mengarahkan Tantira untuk pergi menyiasat siapakah gerangan yang telah melangkaui sempadan kita itu..mungkin ayahanda gusarkan andai ada musuh ingin datang menyerang perkampungan kita anakanda.." jawab Permaisuri Dahlia. Dia melangkah merapati Ashuri.
"Ashuri mahu kemana bersama Tantira..??" dia pasti andai Ashuri memerlukan Tantira, pastilah ia berkenaan sesuatu yang mustahak. Pasti ada sesuatu keinginan anakandanya itu yang dikehendakinya. Dan mungkin hanya Tantira sahaja yang boleh membantunya.
"Anakanda mahu ke Telaga Air Biru..cadangnya mahu mengajak Tantira menemani anakanda ke sana.."
Raut wajah Permaisuri Dahlia berubah muram. Dia tidak senang sekali dengan hajat Ashuri yang mahu pergi semula ke Telaga Air Biru itu. Walhal baru dua hari yang lepas dia kesana mengambil air penawar untuk Raja Rasturi yang sedang gering. Kala itu, dia terpaksa mengizinkan jua pemergian Ashuri ke sana walaupun tanpa kerelaannya. Kerana dia cukup gusar akan sumpahan di telaga itu. Peristiwa lalu kembali menggamit memori masa lampaunya.
"Apa lagi urusanmu hendak ke sana Ashuri..?? Bukankah telah berkali bonda katakan usah dihampiri kawasan itu..apakah susah benar dirimu untuk mengerti maksud kata-kata bonda..??" Permaisuri Dahlia tidak mampu mengekang kesedihan yang tiba-tiba sahaja menyelaputi dirinya. Ditambah lagi dengan keingkaran Ashuri yang tetap berdegil melawan kata-katanya. Hati seorang ibu mudah sahaja tersentuh bilamana seorang anak menjentik perasaannya.
"Bonda.." langkah diatur menghampiri Permaisuri Dahlia. Bahu bondanya itu dipaut perlahan Ashuri. Dia tahu kelakuannya telah menghadirkan sedih pada diri bondanya itu. Dagu dilampiaskan di atas bahu Permaisuri Dahlia. Sengaja Ashuri melagakan lembut pipinya mengenai pipi Permaisuri Dahlia. Rajuk bondanya itu perlu dipujuk.
"Maafkan Ashuri bonda..bukan niat mengingkar kata..nafsu melingkar pinta dibelai.."
Permaisuri Dahlia mengeluh. Jemari Ashuri yang hinggap di kedua belah bahunya itu diusapnya perlahan. Pandangannya dibuang jauh melihatkan taman bunga istana yang berada di perkarangan istana.
"Usah nafsu jadi pedoman..kelak binasa memakan badan.." ujarnya tertunduk. Air mata yang cuba disekangnya tidak mampu ditahannya lagi. Hatinya terlalu hiba. Peristiwa lama itu benar sukar dilupakannya. Saat anak sulungnya yakni kekanda kepada Ashuri hilang tanpa jejak di jeram itu, hatinya makin diruntun sedih. Mengingatkan itu sahaja sudah cukup untuk menumpahkan air matanya. Dia enggan peristiwa itu berulang kedua kalinya. Tidak mahu Ashuri pula menjadi mangsa telaga itu.
"Bonda..Ashuri telah besar panjang..pandailah Ashuri menjaga diri..saat muda inilah Ashuri perlu belajar tentang segala hal bonda..andai ayahanda sudah tiada nanti, pewaris takhta tentulah perlu diisi Ashuri..mana mungkin Ashuri mampu memikul tanggungjawab sebesar itu jika ilmu Ashuri tidak seteguh ayahanda.." Ashuri terhenti seketika menghela panjang nafasnya. Titis air mata Permaisuri Dahlia yang berlinangan di pipi dikesatnya.
"Barang yang lama usah dikenang bonda.." sambungnya semula. Pautan ke atas bahu bondanya itu dibawa mengadap dirinya. Dalam wajah bondanya itu diperhatikan Ashuri. Jelas dapat dilihatnya kemurungan itu terpamer di wajah Permaisuri Dahlia.
"Izinkan anakanda untuk pergi ke jeram sana bonda..??" pinta Ashuri semula. Dia tegar untuk kesana. Hatinya dialun rasa ingin tahu siapakah gerangan si gadis yang berjaya menambat hatinya. Walau cuba dinyahkan pergi wajah itu, ia tetap berlegar-legar dalam fikirannya.
"Tapi.."
"Tiada tapi bonda..boleh atau pun tidak..??" Belum pun sempat Permaisuri Dahlia menghabiskan kata-katanya, Ashuri terlebih dahulu mencantas kata bondanya.
"Ashuri..anakanda tahu betapa sayangnya bonda padamu bukan..??"
Ashuri hanya mengangguk.
"Dan Ashuri juga tahu betapa bonda tidak sanggup kehilangan Ashuri bukan..??"
"Benar bonda.."
Permaisuri Dahlia menarik nafasnya dalam-dalam. Wajah Ashuri ditatapnya penuh belas. Dia tidak mampu lagi untuk menghalang niat anak terunanya itu yang semakin hari semakin membesar menjadi dewasa. Dia berhak untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Andai ditegah sekalipun, belum tentu Ashuri akan mengikuti segala kata-katanya. Daripada Ashuri berkata nista padanya, adalah lebih baik dia mengizinkan sahaja pemergian anaknya itu mengikut kehendak dirinya.
"Pergilah Ashuri..hanya satu permintaan bonda, dalam apa jua tindakan anakanda, fikirlah semasak-masaknya sebelum keputusan dibulatkan..hanya itu permintaan bonda.."
Ashuri tersenyum gembira bukan kepalang. Dahi bondanya dikucup bertalu-talu. Tidak mempedulikan dayang-dayang istana yang mengiringi bondanya ketika itu.
"Terima kasih bonda..anakanda tidak akan lupa setiap nasihat yang bonda titipkan untuk anakanda.."
Ashuri pantas berlalu pergi meninggalkan perkarangan pintu istana itu meninggalkan Permaisuri Dahlia. Tika dia melintasi di sisi Permaisuri Dahlia, satu bauan yang amat dikenali Permaisuri Dahlia menerpa ke hidungnya. Permaisuri Dahlia jadi gumam seketika. Diperhatikan sekeliling kawasan itu. Bauan itu amat dikenalinya. Kemboja Sari bauan kegemarannya suatu ketika dahulu. Dan kini ia muncul kembali setelah sekian lama ia hilang dari hidupnya.
Mungkinkah...
Permaisuri Dahlia ligat membawa anak matanya melihatkan sekeliling. Dia mencari punca bauan yang tiba-tiba menerpa datangnya itu.
"Mungkin hanya perasaanku sahaja..tidak mungkin mereka berani muncul semula.." selanya sendiri dalam hati.
RAIHAN mengeluh. Kepalanya berdenyut terasa seperti mahu pecah. Matanya dibuka perlahan melihatkan sekeliling. Terjahan cahaya memeritkan bola matanya.
"Apa dah jadi ni..??" Raihan menolak badannya naik perlahan-lahan. Dia memerhatikan sekeliling kawasan itu. Masih lagi di jeram yang sama. Cuma, seperti ada yang pelik diperhatikannya. Seingat dirinya sebelum dia tidak sedarkan diri tadi, dia dan Musliha terjunam jatuh ke dalam satu lubang yang amat dalam dan gelap gelita. Tapi kenapa kini dia masih berada di permukaan lantai bumi? Bukannya di sisi lantai telaga?
Raihan mengurut kepalanya yang perit berdenyut tidak terhenti. Fikirannya melayang seketika mengingatkan sesuatu. Musliha!
Raihan cemas. Musliha tiada di sisinya. Puas dia membuntangkan mata mencari kelibat Musliha. Namun hampa kerana bayang Musliha langsung tidak kelihatan. Dia yakin yang Muslihan turut bersamanya terjunam ke dalam telaga itu tadi. Dan pasti jua Musliha berada di sekitarnya ketika itu.
"Leha..!!" jerit Raihan. Bergema belantara itu dengan pekikan suaranya. Tiung yang sedang leka mencari makan di lantai bumi bertempiaran terbang terdengarkan teriakan Raihan itu. Dia segera bangkit berpusing di sekeliling kawasan itu mencarikan Musliha.
"Leha..!!" sekali lagi jeritannya memecah hening. Namun tetap tidak bersahut. Raihan cemas. Adakah Musliha tidak bersamanya. Apa yang mahu dijawabnya nanti andai ada yang bertanyakan padanya.
"Oii.." sayup kedengaran suara Musliha di sebalik mulut telaga. Dia terbaring lama tidak sedarkan diri di sisi telaga itu. Terpisat-pisat dia bangun sambil mengesat tubuhnya yang dipenuhi pasir sungai. Raihan menghela nafas lega. Hampir sahaja tercabut jantungnya bila menyedari Musliha tiada di situ bersamanya. Segera dia berkejar mendapatkan Musliha yang duduk tersandar di tepi batu besar bersebelahan telaga itu.
"Leha..kau tak apa-apa..??"
"Okay..aku tak apa-apa..kau..??"
"Aku pun okay..cuma siku aku je luka sikit.." ujar Raihan cuba memapah Musliha bangun. Dia masih lagi keliru. Dimanakah sebenarnya mereka ketika itu.
"Bukan ke kita terjunam masuk dalam telaga ni tadi An..??" dia juga turut keliru. Lain benar dirasakan kawasan sekelilingnya itu. Mungkin masih di tempat yang sama, tapi mengapa seolah berbeza fikirnya.
"Entah..aku pun tak pasti Leha.."
Musliha berinjak sedikit dari celah batu besar yang menghalang pandangannya. Ditolehnya ke kanan, terpampang satu keindahan yang tidak pernah disaksikan seumur hidupnya.
"An..kau tengok tu.."
Raihan dan Musliha bertukar pandangan. Masing-masing saling menggosok anak mata. Saling tidak percaya dengan apa yang terpampang indah di hadapan mereka berdua itu. Terpegun seketika merenung jauh ke hadapan mereka.
"Kita dah sampai Alaska ke ni An..??" Musliha perhatikan sekeliling. Aneh sungguh kawasan itu seperti tidak pernah dilihatnya. Seingat dirinya tadi, dia dan Raihan terpisah dari rakan-rakan mereka yang lain dan terus tersesat jauh ke dalam belantara. Perkara akhir yang diingatinya, mereka berdua terjerumus ke dalam satu lubang yang amat dalam dan gelita. Selepas itu, segalanya menjadi gelap bumin.
Dan kini, mereka seolah berada dalam dunia yang berlainan. Udaranya nyaman. Hutan yang menghijau tidak seindah hutan yang biasa diterokainya. Panas terik mentari terasa sejuk tak seperti biasa. Dan yang paling mengujakan, terjunan air di hadapan mereka yang membiru airnya. Benar-benar mempesonakan.
"Kalau dah sampai Alaska..mestilah ada saljinya.." ucap Raihan pula. Dia turut merasakan janggal dengan persekitaran barunya itu. Di mana sebenarnya mereka ini hatinya berbisik.
"Hoi jembalang..!!" Satu suara bertempik dari kejauhan. Raihan dan Musliha berpaling melihatkan siapakah gerangan yang menggelarkan mereka jembalang.
Ashuri muncul dari celahan semak setelah terdengar pekikan suara manusia dari arah Telaga Air Biru. Bergegas dia kesana kerana menyangkakan ada insan yang berada dalam kesusahan. Mungkin jua gadis yang menghantui dirinya sebelum ini turut berada disana fikirnya. Namun fikirannya meleset pabila diperhatikan ada dua susuk tubuh yang langsung tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
"An..selamat kita An..ada pun orang dekat kawasan ni.." Musliha tersenyum saat melihatkan Ashuri muncul mendekati mereka. Raihan turut merasakan sama namun seperti ada kejanggalan bila dilihatnya lelaki di hadapannya itu. Berpakaian umpama kerabat diraja zaman dahulu kala, berkeris, bertanjak dan bercapal. Segak mengenakan busana melayu klasik umpama pengantin diarak ke pelamin.
"Bro..ada photoshoot kahwin dalam hutan ke bro..??" tegur Raihan lantas menghulurkan salam untuk berjabat tangan. Pantas Ashuri menepisnya dengan keras. Mukanya terik menahan amarah. Sebegitu berani golongan jembalang ini menghampiri kawasan yang telah diharamkan untuk mereka. Benar kata Tabib Fansuri padanya dahulu, golongan jembalang tidak pernah merasakan aturan yang telah ditetapkan untuk dipatuhi. Bagi mereka setiap aturan ataupun rukun yang telah ditetapkan adalah untuk menyusahkan golongan mereka. Kerana itulah golongan jembalang harus dihapuskan tanpa sebarang kata.
"Aku tidak berjabat dengan golonganmu..kalian hanya layak menjadi amukan kerisku sahaja..!!" ucap Ashuri lantas memasang kuda-kuda kakinya. Bersiap sedia untuk berentap melawan musuh yang melintasi kawasannya.
"Ehh..chill bro..chill.." Raihan undur setapak ke belakang. Raut wajah lelaki di hadapannya itu benar-benar dirasakan seperti mahu diamuknya belantara itu. Dia berdiri melindungi Musliha. Entah orang gila manalah yang berkeliaran di dalam hutan ini fikirnya.
"Benar kata Tabib..memang adab tidak ada dalam dirimu wahai jembalang..tiada rasa bersalah langsung tika kau gelarkan aku beruk..!!"
Raihan tercengang. Dia tidak menggelarkan lelaki di hadapannya itu beruk. Jauh sekali tidak beradab. Sedangkan salam yang dihulurnya tadi ditepis keras oleh lelaki melayu klasik itu.
"Dari mana asalmu wahai jembalang..?!" Ashuri menghunus kerisnya menghadap ke arah Raihan dan Musliha. Pandangannya tidak langsung dibiarkan leka. Sesekali dia menoleh ke sisi kanan dan kirinya. Andai ada jembalang lain yang cuba menyerangnya secara curi. Kerana jembalang punyai pelbagai helah pada hematnya.
"An...aku takutlah.." Musliha bersembunyi di belakang Raihan. Badannya dirapatkan di sebalik tubuh Raihan yang sasa. Risau andai orang gila yang bersenjatakan keris itu akan menyerang mereka.
"Bro..for your information..kami ni bukan jembalang okay..and for your further information, kami tersesat dalam hutan ini..kami cuba nak keluar dari hutan ini sebelum gelap..nasib baik kami bertembung dengan bro..kalau tak, tak tahulah apa nasib kami.." Raihan cuba bertoleransi secara baik dengan lelaki yang mengelilingi mereka itu. Dia tidak merisaukan dirinya. Tetapi Musliha yang tidak tahu menahu tentang selok belok hutan ini yang menjadi keraguannya. Andai apa-apa terjadi padanya, gusar Musliha akan kehilangan punca. Sebaik mungkin dia cuba bertahan agar tiada apa-apa yang terjadi antara mereka.
"Usah kau ucap bahasa jembalang padaku..!"
"Duhh..bahasa jembalang apa pulak ni..??" detik hati Raihan. Mula merasakan tidak sedap hati. Asakan Ashuri perlahan-lahan membawa dia dan Musliha merapati tebing jeram itu. Raihan tidak punya pilihan selain dari cuba mempertahankan dirinya dan juga Musliha. Fikirannya ligat memikirkan cara untul melarikan diri dari lelaki gila dihadapannya itu.
"Usah jadi penakut wahai jembalang..! Ayuh bertempur denganku..!" Ashuri menerpa ke arah Raihan. Raihan menolak Musliha hingga terjatuh ke tepi. Terpaan Ashuri pantas dikilas Raihan dengan jayanya. Ilmu taekwando yang dipelajarinya selama ini kini dipergunakan sebaik mungkin. Ashuri dibawanya sedikit ke kawasan lapang. Agar jauh dari kelibat Musliha.
Ashuri memerhatikan pergerakan Raihan. Puas ditenungnya langkah kaki yang diatur Raihan. Tidak pernah dilihatnya pencak silat sedemikian rupa. Raihan terjingkit-jingkit di atas pasir sungai sambil kedua belah tangan dihalakan ke hadapan. Bersedia untuk berdepan dengan serangan balas dari Ashuri.
"Tidak kutahu bahwa jembalang kini punyai satu pencak yang baru..aku harus berhati-hati..aku pasti jembalang ini bukan calang-calang jembalang.." detik hatinya. Ashuri kembali merapati Raihan. Langkah kakinya diatur selangkah demi selangkah menghampiri. Raihan tetap bersedia untuk menepis.
Terpaan Raihan terhadap Ashuri berjaya dipatahkan hanya dengan sekali elak. Pantas lengannya mengunci leher Raihan yang kini melutut menahan keperitan dek kekunci silat Ashuri. Dia mengerang menahan keperitan yang tidak terbayangkan itu.
"Berhenti..!!" Musliha menjerit dalam keseduan tangisnya. Tidak sanggup melihatkan Raihan diapa-apakan oleh lelaki yang bagai menggila menyerang itu. Pandangan Ashuri berkalih melihatkan seorang lagi lelaki yang hanya terduduk di atas pasir meraung melihat rakannya diasak kekunci silatnya.
"Wanita..??" bisik hati Ashuri. Tidak menyangka bahawa jembalang yang berambut pendek separas telinga itu adalah wanita. Tidak pernah selama ini dia melihatkan wanita berambut pendek seperti itu. Dalam pada dia merenung bengis ke arah Musliha, pandangannya terhenti melihatkan anak mata Musliha yang kebiru-biruan. Kekunci di leher Raihan segera dilepaskan. Tubuh Raihan ditolaknya kasar hingga tersembam mengadap pasir sungai.
"Apakah dia seperti gadis yang kulihat dahulu..?? Warna matanya itu persis benar dengan gadis itu.." soal Ashuri dalam hatinya. Perlahan dia merapati Musliha yang ketakutan. Dia perlukan kepastian. Siapakah sebenarnya gerangan orang asing yang berada di Telaga Air Biru itu.
"Maafkan hamba kerana berkasar..hamba sangkakan kalian adalah golongan jembalang yang sering mengadakan kacau bilau di kawasan ini.." ucap Ashuri menghulurkan tangannya untuk menarik naik Raihan. Rentapan marah dalam hatinya segera diusir pergi. Dia perlukan kepastian dari dua orang yang tidak dikenalinya itu.
"Tak apa bro.." ucap Raihan tersekat-sekat. Lehernya diusap untuk menghilangkan perit akibat dicengkam padu oleh Ashuri tadi. Musliha pantas menerpa ke arah Raihan.
"Hamba Ashuri.."
Raihan hanya menganggukkan kepalanya saat Ashuri memperkenalkan dirinya. Musliha kembali berlindung di belakang Raihan untuk melindungi dirinya.
"Aku Raihan..dan ini Musliha..kami tersesat dalam hutan ini..kami perlukan bantuan untuk keluar dari hutan ini..boleh bro tolong kami..??"
Ashuri mengerut dahi. Sudah dibilang namanya Ashuri, namun lelaki itu masih lagi menggelarkannya beruk.
"Tiada elok tuan hamba menggelarkan hamba beruk..panggil sahaja hamba Ashuri.."
Raihan menggaru kepalanya.
"Apa-apa jelah Ashuri..boleh kau tolong kami..??" Pinta Raihan tidak mempedulikan kata-kata Ashuri.
"Marilah..aku bawa kamu berdua ke istana..di sana nanti, kamu ceritakanlah segalanya padaku.." Ashuri mengatur langkah mendahului Raihan dan Musliha. Hari kian merunduk melewati petang. Mahu tidak mahu Raihan dan Musliha terpaksa jua merelakan ajakan Ashuri yang mengajak mereka ke istana miliknya. Asalkan ada tempat berteduh semalaman, sudah dikatakan baik. Daripada bermalam tanpa sebarang cahaya di dalam belantara tebal itu.
"Dia cakap apa dengan kau tadi Leha..??" Raihan berbisik perlahan ke arah Musliha. Langkahnya tetap menuruti di belakang Ashuri yang maju ke hadapan melalui denai di tengah belantara tebal itu.
"Entah..dia pandang mata aku tadi..lepas tu terus dia berhenti serang kau..dia takde cakap apa-apa pun dengan aku.."
"Hmmm.." Raihan hanya bermonolog dalam hati. Apa sebenarnya yang terjadi pada mereka. Adakah dia bermimpi? Pandangan dialihkan melihatkan anak mata Musliha. Cuba mencari jawapan di sebalik anak mata itu. Punca Ashuri menjadi tawar hati untuk terus menyerangnya tadi.
"Kau ni apehal tengah-tengah hutan pun nak pakai contact lens ni..??" soal Raihan terhadap Musliha. Dia tergelak kecil keraba baru kala itu dia terperasankan anak mata Musliha yang ditutupi kanta mata kebiru-biruan itu.
"Biar arr..!!" jawab Musliha tidak pedulikan ejekan Raihan. Mereka hanya terus berdiam diri mengikuti Ashuri hinggalah tiba ke perkarangan Istana Indera Sakti. Pandangan kedua-duanya terpegun. Keindahan persekitaran istana itu benar-benar memukau mata mereka. Binaan mirip istana lama zaman dahulu kala itu benar-benar dirasakan indah. Merasakan seolah berada di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala.
"Inilah istanaku.." ucap Ashuri melangkah masuk ke dalam perkarangan istana. Dari kejauhan dia dapat melihat lima orang anak teruna menuju ke arahnya. Selang melewati dirinya, lima anak muda itu tunduk menghormati dirinya. Ashuri sekadar membalasnya dengan senyuman terhadap lima jejaka yang tidak dikenalinya itu.
"Ashuri..kemana kau seharian tadi..??" tegur Tantira yang kebetulan mengiringi lima orang jejaka itu keluar dari pintu istana.
"Aku ke Telaga Air Biru tadi Tantira..puas aku mencarikan kau untuk diajak kesana.."
"Maafkan aku Ashuri..aku ke hujung kampung atas titah tuanku pagi tadi.."
Ashuri mengangguk perlahan kerana dia sudah tahu mengenai perkara itu dari mulut bondanya tadi. Raihan dan Musliha hanya duduk diam di belakang Ashuri sementara menanti Ashuri berbual bersama Tantira. Raihan semakin keliru. Semua orang yang dilihatnya sepanjang menuju ke istana itu, pakaian masing-masing seolah dari zaman dahulu kala. Segalanya nampak pelik. Dia hanya berdiam diri tidak mahu menanyakan lebih kepada Ashuri. Mungkin belum tiba waktunya untuk dia bertanya.
"Siapakah lima jejaka yang baru melintasi ku itu Tantira..??"
"Ahh..itulah anak muda yang aku jumpa di hujung kampung sana tadi..kata mereka ingin mencari guru untuk menuntut ilmu persilatan..sengaja aku bawakan ke istana ini untuk mengadap Raja Rasturi.."
"Dari mana datangnya anak muda itu..lagak gaya mereka seolah tidak melambangkan mereka dari kalangan kita.."
"Menurut kata salah seorang darinya, mereka dari Melaka..merantau jauh mencari guru untuk melengkapkan ilmu persilatan mereka.." Tantira terhenti katanya seketika.
"Seingat hamba namanya Hang Tuah..dan yang selebihnya hamba tidak ingat Ashuri.." sambung Tantira semula. Anak matanya dibawa melihatkan Raihan dan Musliha yang hanya berdiri diam di belakang Ashuri.
"Siapakah ini Ashuri..??" Tantira menunjukkan ke arah Raihan dan Musliha yang tidak dikenalinya. Janggal benar perilaku dua orang yang dibawa pulang Ashuri ke istana itu.
"Ohh..aku terlupa untuk perkenalkan padamu..ini rakan baruku yang aku temui di Telaga Air Biru tadi..katanya mereka tersesat di belantara tika menjelajah..lalu aku menawarkan mereka tempat berteduh untuk seketika.." jawab Ashuri lantas memperkenalkan Tantira kepada Raihan dan Musliha.
"Mereka dari Kuala Lumpur..apa pernah kau dengar negeri yang mempunyai nama sedemikian wahai Tantira..??"
Berkerut dahi Tantira. Tidak oernah seumur hidupnya mendengarkan nama negeri seperti itu. Dia hanya menggeleng menjawab kata-kata Ashuri.
"Tak mengapa..biar sahaja aku bertanyakan pada Raja Rasturi nanti.." ucap Ashuri lantas mengiringi naik Raihan dan Musliha ke pintu besar istana.
No comments:
Post a Comment