Thursday, 26 March 2015

Dewi Siluman Senja 5

Setangkai bunga kemboja yang mekar berbunga di luar Gua Muluk dipetik Dewi. Hatinya terlalu geram melihatkan puluhan bunga putih yang rimbun berbunga di pohon renek itu. Hampir saban hari bunga penghias di pintu gua itu dipetiknya. Usai dipetik, akan disisipnya ke celahan cuping telinga kanannya. Cukup dia teruja dengan keharuman bunga itu yang sentiasa sahaja menenangkan dirinya saat dirundung duka. Setangkai lagi dipetiknya dan dibawanya berjalan-jalan di sekitar gua sambil menyaksikan keindahan petang.

"Wahai bunga..aku kepingin jadi sepertimu..sentiasa mekar menghias alam..memukau setiap mata yang memandang..walau tiap hari kau dipetik, kau tidak pernah berputus asa untuk terus berbunga dan memekar menghiasi alam ini.." Dewi berbicara bersama bunga kemboja yang dipetiknya. Kudup bunga dibawanya rapat ke puncak hidung. Haruman bunga kemboja dihidunya dalam-dalam hingga tidak tersedar dirinya sedang diperhatikan dari kejauhan.

Dewi membawa langkahnya ke sisi kiri Gua Muluk. Amat jarang dia menuju ke sana. Tetapi entah mengapa hari ini hatinya terdetik mahu membawa langkah kakinya ke arah itu. Satu lembah yang hanya dijadikan tempat kaum siluman bercucuk tanam. Selama ini dari situlah punca mata rezeki kaum siluman mencari nafkah. Lumrah siluman hidupnya saling bantu menbantu, segala usaha dikerah mereka untuk bercucuk tanam di situ agar bekalan makanan untuk isi Gua Muluk berkesinambungan terus turun temurun.

Pernah suatu ketika dahulu diceritakan oleh Tok Kelana pada dirinya, kawasan itu dilanda kemarau hinggakan lembah itu tidak mampu mengeluarkan hasil. Kering kontang tidak berair hingga mematikan segala tanaman di lembah itu. Saat itu mereka dilanda kebuluran yang amat sangat. Mujur dengan kepintaran Tok Kelana yang mempergunakan segala hasil hutan untuk dijadikan sumber makanan mereka, berjaya mengelakkan kaum siluman dari terbiar kelaparan. Terutamanya anak-anak kecil dan kaum wanita yang duduknya hanya di dalam Gua Muluk. Kaum lelakilah yang akan mencari rezeki meredah hutan agar dapat menyediakan sesuap makanan buat keluarga tercinta.

Dewi duduk termenung di sisi anak tangga di kaki Bukit Pelanduk. Pandangannya dibuang jauh melihat deretan batas yang dikerjakan beberapa siluman dari kejauhan. Kudupan kemboja yang digenggamnya dijentik perlahan memutuskan bunga putih itu dari tangkainya.

"Apa tiada maknanya lagi bunga itu pada dirimu Dewi..??" satu suara berbunyi garau muncul dari belakangnya. Dewi berpaling melihatkan Tok Kelana dan Juara melangkah merapatinya.

"Ayahanda..!" ucap Dewi kala melihatkan Tok Kelana menghampiri dirinya.

"Dewi kebosanan ayahanda..duduk sahaja di dalam gua tidak bertemankan siapa, kerana itulah Dewi berjalan keluar menghirup udara sambil melihatkan siluman bekerja di kebun.." keluh Dewi bermuram durja. Wajah Tok Kelana tenang sahaja diperhatikannya. Juara pula hanya pamerkan sengih saat Dewi mengilas pandangan melihatkan dirinya.

"Huhh...!" Dewi menjeling deras. Dia merajuk dengan Juara kerana keengganan Juara yang tidak mahu menuruti kehendaknya semalam. Hajat hatinya ingin mengikuti Juara pergi berburu di dalam hutan. Namun Juara membantah keras. Katanya kaum wanita tidak molek dibawa mencari rezeki di hutan. Andai bahaya datang, risau mereka tidak berupaya melindungi diri. Jelingan Dewi disambut letus tawa kecil dari Juara. Perangai Dewi itu sudah cukup masak dikenalinya. Degil!

"Mengapa anakanda bermuram melihatkan Juara..?? Apa yang tidak kena pada dirinya..??" Tok Kelana berpaling melihatkan Juara pula. Rengus Dewi dirasakan seolah penuh rasa kebencian. Wajah Dewi berubah muram saat melihatkan Juara yang berdiri tegak tidak jauh dari mereka. Juara hanya tersenyum sambil menopang tangannya dengan busur panah.

"Benci..Dewi bencikan abang Juara..!" Ucapnya tidak mahu berselindung. Biar Tok Kelana tahu. Kalau boleh biar seisi Gua Muluk tahu yang dirinya membawa rajuk berpuncakan Juara. Juara berdekah ketawa dari kejauhan. Makin galak letus tawa itu, makin mencuka raut wajah Dewi.

"Ayahanda lihatlah..! Abang Juara tertawakan Dewi..dia langsung tiada perasaan belas terhadap Dewi..!" rungut Dewi. Segenggam penumbuk dihulurkan ke arah Juara. Hanya gelengan mampu dibalas Juara. Andai dilawan, risau batu pula dicampakkan Dewi ke arahnya. Anak manja Tok Kelana ini tidak boleh dibawanya bergurau, tersalah sedikit maka tersentuhlah dinding hatinya. Wanita tetap wanita, kasarnya tetap terbatas. Hati yang mulus milik wanita mudah sahaja tersentuh andai dilayan tidak kena cara.

Tok Kelana turut tertawa melihatkan gelagat anaknya itu. Dewi terlalu dimanjakan selama ini. Kian dia meningkat dewasa, kematangan itu berganjak seolah tidak seiringan dengan usianya. Sentiasa sahaja pinta dibelai dan dimanja dari seorang ayah atau ibunya sendiri.

"Apa anakanda tidak menyukai Juara..??" Tingkah Tok Kelana mematikan pandangan Dewi terhadap Juara.

"Tidak..!" Dewi merengus kasar.

"Bukankah Juara itu lelaki yang sering menjadi dambaan wanita dari kaum kita..ayahanda melihat tiada apa celanya pada Juara itu..peribadinya molek, rajin bekerja, wajahnya tampan..pendek kata segalanya lengkap pada dirinya itu..apa lagi yang membuatkan dirinya kelihatan tidak sempurna padamu anakanda..??"

Dewi melarikan anak mata menjeling ke arah Juara yang bersiul perlahan.

"Bukan main tinggi hidung kau dipuji ya..!" getus Dewi dalam hatinya geram. Kakinya dihentak menghempas lantai bumi. Terik mukanya mengenangkan keangkuhan Juara yang melambung dipuji Tok Kelana.

"Banyak yang tidak sempurnanya ayahanda..terlalu banyak..!" tegas Dewi. Tubuhnya dibawa merapati Tok Kelana. Bibir dibawa merapati cuping telinga Tok Kelana berbisikkan sesuatu.

Terbahak-bahak letus tawa Tok Kelana mendengarkan ngomelan Dewi yang beria menceritakan satu persatu perkara buruk tentang Juara. Puas dia tergelak, kepala digelengnya pula sambil mengusap janggutnya yang putih menebal. Dewi sekadar mencemik muka memandang Juara. Tika Juara menjungkit naik keningnya, Dewi mencibirkan lidah pula ke arah Juara.

"Dewi....Dewi...hanya itu alasanmu untuk membenci Juara..??" Tok Kelana masih tertawa kecil. Dewi bersungguh mengangguk mengiakan apa yang dikatakan pada Tok Kelana tadi.

"Kerana sifat tanggungjawab dan amanahlah Juara tidak membenarkan anakanda untuk mengikutinya berburu..banyak dugaan dan cabaran di luar sana yang masih anakanda tidak tahu..besar natijahnya jika Juara membenarkan jua anakanda mengikutinya..banyak anasir jahat di luar sana yang masih anakanda tidak ketahui..percayalah Dewi..bukan sengaja Juara menidakkan kemahuanmu..jika ayahanda berada di tempatnya, pasti jua ayahanda akan melakukan sedemikian rupa.."

Tok Kelana tetap mempertahankan pendirian Juara yang berusaha melindungi anaknya itu. Dia tahu Juara hanya berpegang teguh pada Aturan Muluk yang telah ditetapkan. Kepada Juara sahajalah tempatnya berharap untuk menjadi pemimpin di kalangan siluman suatu masa kelak. Selama ini kerukunan dan keamanan yang terbina adalah berpunca daripada kepatuhan kaum siluman terhadap Aturan Muluk yang telah ditetapkan. Tiada siapa pernah ingkar dengan arahan yang diberikan. Mereka hanya menyendiri dalam dunia milik mereka sendiri.

"Tapi Dewi telah meningkat dewasa ayahanda..Dewi juga punya keinginan sendiri untuk menjalani hidup Dewi sendiri.." Dewi tetap berdegil. Rungutannya manja meminta belas dari Tok Kelana. Hatinya pula pedih kala Juara dipertahankan Tok Kelana. Disangkanya setelah Juara diperburukkan sedemikian rupa, maka memuncaklah kemarahan Tok Kelana terhadap Juara. Namun sangkaannya meleset. Dirinya pula yang menerima kata nasihat dari Tok Kelana.

Tok Kelana berdehem panjang. Pandangan segera dibuangnya jauh melihatkan kebun di bawah anak Bukit Pelanduk itu. Dia berfikir sejenak. Ada benarnya kata-kata Dewi itu. Memang dia telah dewasa. Benar dia berhak untuk menjalani hidupnya sendiri. Namun hatinya membantah keras. Kerana kata-kata Dewi itu kembali mengingatkan Tok Kelana kepada seseorang. Seseorang yang telah lama hilang dari hidupnya.

"Seroja sudah cukup dewasa kanda..Seroja berhak menentukan pilihan Seroja..bukan lagi sekadar menurut kata-kata kanda semata..!"

Terngiang di fikiran Tok Kelana mengingatkan kata-kata adik kandungnya sendiri dahulu. Dek kerana kasih, permintaan adiknya itu diturutinya jua. Dek kerana tidak mahu melihat Seroja terus memberontak dan bermasam durja, keinginannya itu dilunaskan jua. Segalanya cuba dipenuhi demi kepuasan Seroja. Dan akhirnya Seroja pergi meninggalkan mereka tiada pulang kembali. Kerana menuruti segala kehendak Seroja, mereka terpisah untuk selamanya. Tanpa sedar air mata Tok Kelana mula berlinangan tika mengingatkan perihal adik kandungnya itu. Entah apa khabar dirinya sekarang.

"Ayahanda..??" Dewi menghampiri Tok Kelana dari sisi kanan. Jauh ayahnya itu termenung. Namun yang paling tidak disangkanya bila terlihatkan biasan halus cahaya yang membias di kelopak mata Tok Kelana. Ada air mata yang menakung menunggu masa sahaja untuk tumpah membasahi pipi.

"Ayahanda menangis..?? Tapi mengapa..??" Bertaut kening Dewi saat diperhatinya wajah muram Tok Kelana. Lebih menjadi resah di hatinya kala melihatkan ayahnya itu berlinangan air mata. Apa besar benarkah salahnya hingga mengguris perasaan ayahnya itu fikir Dewi.

Pantas Tok Kelana menyika pergi air mata yang menakung. Sedih yang cuba disembunyikan itu dihidu pantas oleh Dewi. Selama ini hal itu sekadar menjadi rahsia dirinya dan siluman tua di Gua Muluk itu. Kerana peristiwa itu jugalah, Aturan Muluk diatur untuk memastikan kaum siluman terbela nasib mereka. Namun perkara yang lepas tidak wajar dikenang semula fikirnya.

"Tiada apa Dewi..mungkin debu beterbangan memasuki mata ayahanda.." Tok Kelana berdalih. Usai berkata demikian dia tertunduk. Ligat fikirannya memikirkan sesuatu. Dewi dan Juara hanya terdiam tidak tahu untuk berkata apa.

Hening seketika sebelum Tok Kelana mengangkat muka memerhatikan Dewi yang langsung tidak mengalihkan pandangan dari memerhatikan dirinya. Keputusan dibulatkannya. Pandangan dialih ke arah Juara sebelum kembali semula melihatkan Dewi di sisinya.

"Kasih ayahanda dan bonda dibawa mati..tiada terniat melukai dirimu walau sekali.." Tok Kelana ucapkan perlahan ke arah Dewi. Namun Dewi tidak mengerti maksud kata-kata ayahnya itu. Dia terpinga-pinga.

"Ayahanda bukakan matamu agar anakanda dapat melihat segala yang terselindung selama ini..sudah tiba masanya  ayahanda bebaskan kamu dari kepungan Silau Mata.." wajah Dewi diraupnya perlahan-lahan. Juara hanya memerhati dengan penuh khusyuk. Dia lega kerana akhirnya Tok Kelana membebaskan jua kekangan ke atas Dewi yang selama ini tidak diketahuinya. Terlalu lama Dewi telah dipalsukan pandangan matanya. Tiba masa, segalanya kini perlu dirungkai. Satu demi persatu.

Usai raupan ke wajah Dewi dilurut Tok Kelana, dia berundur dua tapak ke belakang. Dewi masih lagi terpinga-pinga. Apa yang dimaksudkan dengan Silau Mata pun tidak difahaminya. Dia cuba berbicara namun lidahnya seakan kelu. Suara merasakan tersekat di kerongkong tidak terucap. Hanya mata terkebil-kebil melihatkan Juara dan Tok Kelana sedang tersenyum melihat dirinya.

"Apa sebenarnya yang terjadi..??" Dewi hanya mampu berkata dalam hati. Semakin dia keliru tika Juara tidak henti mengulum senyum melihatkan dirinya.

"Saat pandanganmu kubuka..maka bertempiaranlah pergi segala penipuan yang kucipta selama ini..terbanglah dikau mencari haluan hidupmu asalkan tidak melanggar aturan..kau aku bebaskan untuk menyelongkar segala isi alam..agar kau tenang tidak berkalung resah.." ucap Tok Kelana dan terus menghentak tongkat pusakanya ke tanah. Beterbangan unggas di rimba saat hujung tongkat itu mengenai tanah. Ketika itu jugalah tubuh Dewi merasakan bebas dari kekangan yang menghalang geraknya tadi.

"Ayahanda..??" Dewi melihat telapak tangannya. Dia turut melihatkan keliling badannya andai ada perubahan yang ketara terlihat.

"Kau kini bebas anakku..tiada lagi aku mampu mengekang kehendakmu..jika kau merasakan keliru, bertanyalah kau kepada Juara ataupun sesiapa sahaja di kalangan siluman di Gua Muluk..pasti ada yang akan menjawabnya untukmu.." ucap Tok Kelana kepada Dewi. Dewi sekadar mengangguk. Dia masih keliru namun cahaya kegembiraan mula jelas terpancar di wajahnya. Bebas bermakna dia tidak terkekang lagi untuk kemana-mana. Bolehlah dia pergi ke jeram di Telaga Air Biru setiap hari seperti keinginannya. Bermakna juga dia boleh kemana-kemana sahaja tanpa kerelaan sesiapa. Asalkan tidak melanggar Aturan Muluk.

Tok Kelana berpusing membelakangi Dewi. Dia melangkah menghampiri Juara lantas membisikkan sesuatu ke telinga Juara.

"Jagalah dia sepertimana kau menjaga nyawamu.." usai berbisik demikian, Tok Kelana terus berlalu meninggalkan Dewi dan Juara. Hilang sahaja bayangan Tok Kelana di celahan denai menghala ke Gua Muluk, terus sahaja Juara mendapatkan Dewi.

"Akhirnya kau bebas Dewi..!"

"Bebas..??"

"Ya..kau kini bebas beterbangan kemana sahaja yang kau kehendaki..!"

"Maksudmu Abang Juara..??"

Juara menyilangkan busur panahnya ke belakang badan. Tangannya dikepang mengembangkan dada. Perlahan dia terapung di udara mengikuti arah angin yang bertiup. Dia tertawa melihatkan Dewi yang tercengang memerhatikannya melayang di udara.

"Abang Juara mampu terbang di awangan..??" Soal Dewi seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Ya..semua kaum siluman mampu..termasuk juga kau Dewi.."

"Mengapa tiada siapa pernah mengatakan perihal ini padaku sebelum ini..??"

"Itu ajaibnya Silau Mata..kau dikaburi dengan pelbagai kepalsuan..semua itu adalah untuk kebaikan dirimu Dewi..namun hari ini kau telah dibebaskan..kau kini sama sahaja seperti siluman yang lain..!" Juara begitu teruja. Perlahan dia mendakap tubuhnya lalu turun semula ke lantai bumi.

"Cuba kau kepangkan tanganmu Dewi.." arah Juara. Dewi sekadar menuruti. Saat lengan dikepang luas, perlahan-lahan tubuhnya terasa melayang di udara. Hujung kakinya terangkat meninggalkan lantai bumi. Pertama kali dalam hidupnya, dia berada di awangan. Dalam kegusaran hati, Dewi tetap pamerkan senyuman.

"Ayuh..aku bawa kau ke Tunjuk Bumi..!" Juara menggapai telapak tangan Dewi lantas membawanya meluncur melintasi awan menuju ke arah Bukit Cempaka yang bersebelahan dengan Bukit Pelanduk. Kegirangan Dewi saat melihatkan keindahan belantara dari awangan. Segalanya tampak menghijau. Pohonan merimbun menutupi setiap ruang bumi. Aliran jeram yang melingkar di celahan bukit dilihatnya indah mengalirkan air kebiruan warnanya. Tampuk hitam bayang-bayang pokok hutan yang meninggi tumbuhnya turut menjadi santapan halwa matanya. Segalanya indah.

"Mengapa dari dulu Abang Juara tidak mengatakan tentang ini padaku..??"

Juara sekadar tersenyum. Lengannya rapat mengenggam erat jemari Dewi. Sepuluh jari bertaut menjadi satu. Juara merasakan itulah hari yang cukup indah baginya. Namun dia bertingkah dalam hati adakah Dewi turut merasakan sama apa yang dirasainya.

"Suatu masa, kau akan ketahui semuanya Dewi.." ucap Juara terus meluncur laju. Dewi sekadar mengangguk. Sejenak wajah Juara diperhatikannya dari sisi. Wajah itu penuh serinya. Benar kata Tok Kelana, Juara memang menjadi dambaan siluman di Gua Muluk. Peribadinya telah melambangkan dirinya. Tangkas, tekun dan tampan. Untuk seketika Dewi merasakan ada denyut di hatinya yang sukar untuk digambarkan mengapa.

"Lihat Dewi.." ucap kata Juara mematikan lamunan Dewi. Pandangan dialihkan melihat ke hadapan. Puncak bukit yang tidak diketahuinya di mana makin mendekat. Terbentang luas tiada berpokok. Hanya lapang selapang lapangnya. Juara meluncur turun terus menjejak bumi. Perlahan genggaman ke atas jemari Dewi dilepaskan. Nafas dihelanya lembut menghirup nyaman udara petang itu.

"Inilah Tunjuk Bumi.."

Dewi terpana. Kawasan yang landai tiada berpokok. Hanya kehijaun rumput segar menyilang naik bersaing sesama sendiri. Cahaya matahari yang menyinar turut tidak dirasakan bahang menyucuk kulit. Aliran kecil anak jeram berisi bongkah batu pelbagai saiz melintang di pertengahan padang itu. Kolam kecil yang menakung laluan air jeram menempatkan anak-anak ikan bermain riang. Lima ekor bangau putih terpacak kepalanya memerhatikan tetamu baru yang kunjung tiba ke Tunjuk Bumi. Kelopak teratai menghiasi permukaan kolam dan bila bayu bertiup perlahan, ikutlah ia lenggok bersama menongkah air. Dewi melihatkan Juara yang sentiasa berada di sisinya. Segaris senyuman tergores di wajah mulusnya.

"Indahnya kawasan ini Abang Juara..!" Dewi bertepuk tangan lalu berlari mengejarkan bangau yang berdiri di sisi kolam. Terpaan Dewi membuatkan semuanya berlalu pergi. Sekadar menghayun tangannya cuba menggapai semua udara segar. Dewi berbaring melepaskan lelahnya di atas hamparan hijau rumput.

"Bolehkah kita berehat sebentar di sini Abang Juara..??" Dewi mengepang kedua belah tangannya mengusap rumput di Tunjuk Bumi. Juara sekadar mengiakan. Biarlah Dewi menikmati keindahan yang baru dikecapinya itu. Biar dia jadi peneman saat hadirnya indah itu. Kerana telah lama disematnya dalam hati, apakan sahaja demi Dewi, sanggup sahaja dilakukannya.

Juara berdiri di tebing Tunjuk Bumi. Di sisi kirinya aliran air terjun bertingkat menyimbah ke kaki bukit. Membawa pergi punca air ke keseluruhan jeram. Di depannya pula terpampang belantara tebal menghijau tidak tercela. Dewi masih berdiam diri terbaring kesenangan. Liuk tubuhnya diperhatikan Juara memang benar sedang menikmati lembut rumput yang dihenyaknya.

"Rembang mentari dilindung awan,
Hangat menerik tetap dilawan,
Hidup sendiri tiada berteman,
Ternanti-nanti puteri kayangan.."

Dewi bukakan kelopak mata perlahan. Jarang sekali didengarinya Juara berpantun sebegitu. Entah mengapa sampai sahaja di Tunjuk Bumi, dia merasakan Juara seolah berubah sikap.

"Hidup sendiri tiada berteman,
Ternanti-nanti puteri kayangan,
Usah dinanti usah ditelan,
Ternoda hati perit menahan.."

Balas Dewi lalu bangkit dari pembaringannya. Hanya memerhatikan Juara yang leka di hujung tebing bukit itu. Sepoi angin bertiup membawa bersama helaian rambutnya menyisir lalu.

"Pedih kutahan walau ditepis,
Kerna hati terpaut sayang,
Kata terucap risaukan terguris,
Gundah hati puteri kan hilang."

"Hmm..boleh tahan juga hebatnya Abang Juara ini.." Dewi merapati Juara. Cuping telinga Juara dicuit manja. Juara sekadar tersenyum melihatkan telatah Dewi. Mungkin dia masih tidak lagi mengerti.

"Abang Juara..dimanakah itu..??" Anak matanya terlihatkan satu kawasan yang agak janggal dari hutan tebal itu. Tempatnya lapang. Punya halaman yang luas. Juga punyai sebuah binaan yang berdiri megah. Dari kejauhan dapat jua dilihatnya anak kecil bermain riang di pancuran air.

"Itulah Indera Sakti..kediaman kaum manusia.." ulas Juara turut melihatkan ke arah yang ditunjuk Dewi. Istana Indera Sakti yang berdiri megah di perkampungan itu menjadi lambang kemegahan mereka. Berbeza dengan kaum siluman yang hidupnya sekadar di dalam gelap Gua Muluk.

"Manusia..??" menyebut sahaja perkataan itu terus Dewi teringatkan jejaka yang diusiknya dahulu. Anak muda yang tampan dan segak. Mungkin dari keturunan yang baik-baik fikirnya. Sejenak itu juga fikirannya melayang mengingatkan selendang kuning kesayangannya yang berada dalam genggaman jejaka itu. Aku pasti akan mengambilnya kembali suatu hari nanti getus hati kecilnya.

"Dan disana adalah tempat tinggalnya kaum jembalang yang sering mengadakan kacau bilau di kawasan kita ini.." Juara menuding jari menunjukkan ke sebelah kiri bukit. Sebatang pohon besar meninggi naiknya mendongak awan jadi tatapan Dewi. Pohon yang cabangnya hanya di pucuk. Menjulang naik berakar selirat. Melihatkan itu sahaja sudah mampu menghadirkan seram di dada Dewi.

"Boleh kita ke sana Abang Juara..??" Dewi sengaja menempah bala. Keyakinannya memuncak bila difikir akan kemampuannya melayang di udara. Mustahil jembalang mampu untuk menangkapnya jika dia di udara.

Juara sekadar menggeleng. Bukan tidak membenarkan. Cuma beralasan untuk pergi di lain hari. Kerana hari makin merunduk menuju senja. Amanat Tok Kelana tetap perlu dijaganya. Tidak sesekali dia akan melampaui batas dalam tiap tingkah lakunya.

"Mungkin suatu hari nanti dinda.." Juara meneguk liur. Memang sengaja diucapnya begitu. Riak wajahnya cuba dikawal menghilangkan gemuruh yang menongkah naik.

"Dinda..??" soal Dewi. Setahu dirinya, andai tiada pertalian darah atau hubungan berkasih sayang, mana mungkin sebutan itu diucap di antara teruna dan dara. Namun mengapa Juara menggelarnya dinda tanpa sebab. Juara hanya pamerkan senyuman.

"Dewi umpama adik padaku..apa salahnya kalau aku memanggilmu dinda..tidak salah bukan..??" helah Juara segera menutup silapnya.

"Ada ada sahaja Abang Juara ini..ayuh kita pulang..??" Dewi tersenyum lalu berpaling membelakangi Juara. Air kolam disentuhnya dengan hujung kaki. Dewi berlagu riang meninggalkan Juara yang kematian punca.

"Suatu hari nanti..kita tetap akan bersama Dewi.." bisik Juara perlahan lalu mengekori langkah Dewi.

Dewi memutuskan untuk berjalan kaki sahaja kembali ke Gua Muluk. Dia berhajat untuk menikmati segala pemandangan di hutan Bukit Cempaka itu. Untuk pulang ke Gua Muluk, dua lurah bukit perlu mereka tempuhi. Perjalanan yang mengambil masa namun terus sahaja dipersetujui Juara. Kerana masa yang ada, bolehlah dia meluangkan masa bersama Dewi dengan lebih lama.

"Hati-hati Dewi.." langkahan Dewi menyeberangi kayu balak yang melintang di antara Bukit Cempaka dan Bukit Pelanduk diperhatikan oleh Juara. Gusar andai tergelincir, gaung dalam yang menanti di bawah. Dewi masih belum handal melayangkan dirinya. Risau benar Juara andai ada apa-apa yang terjadi pada diri Dewi. Langkah perlahan diuja Dewi hinggalah hinggap dia ke seberang. Sambil menantikan Juara sedang melintasi kayu balak, Dewi sekadar memerhatikan keliling andai dapat dilihatnya burung-burung beterbangan.

"Aduhh..!!" Dewi terbaring menekup lengan kanannya. Anak panah berwarna jingga terpacak dipohon yang berada di belakang tempat Dewi berdiri. Juara mempercepatkan langkah dan terus mendapatkan Dewi.

"Dewi..!!" Juara memapah Dewi yang mengerang menahan kesakitan. Anak panah yang terpacak di pohon diperhatikan Juara. Dia kenal pemilik anak panah itu.

"Tangkap kedua-dua siluman itu..!" Buragas terpekik mengarahkan puluhan jembalang yang mengekorinya untuk segera bertindak. Tongkat bertatahkan tengkorak kambing dihalanya ke hadapan mengarahkan semuanya untuk mara.

Juara bernafas laju. Jelas dapat dilihatnya segerombolan jembalang berkejaran menghampiri dirinya dan Dewi. Semuanya lengkap bersenjata tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang. Piala yang harus direbut adalah Dewi. Yang kini hanya dilindungi oleh Juara seorangan.

"Abang Juara..darah.." Dewi merengek perlahan di sebalik badan Juara. Anak panah yang dilepaskan jembalang tadi sipi mengenai bahu kanannya. Darah mengalir turun membasahi pakaiannya. Juara berpaling melihatkan Dewi yang wajahnya telah berubah pucat.

"Panah beracun..!" getus dalam hatinya. Juara perlu pantas bertindak. Dia tidak boleh bertegas untuk berentap dengan jembalang yang kian menghampirinya. Nyawa Dewi perlu diselamatkan terlebih dahulu.

"Abang Juara.." rengek Dewi kian sayu. Matanya kian tertutup rapat. Hela nafasnya turut terdengarkan perlahan.

"Ahhhh..!!" Juara menumbuk lantai bumi. Hatinya geram. Meretap giginya menahan marah sambil anak matanya menyorot penuh amarah melihatkan Buragas. Namun dia perlu berundur. Tubuh Dewi segera dipautnya kemas. Juara berpusing dan terus meluncur laju turun dari puncak Bukit Pelanduk itu. Titisan darah milik Dewi diperhatikan meninggalkan jejak untuk si jembalang. Juara perlu memikirkan akal untuk memesongkan laluannya kala jembalang masih lagi memburu dirinya dan Dewi.

"Andai aku biarkan mereka menjejaki darah Dewi..nescaya kediaman siluman turut akan mereka ketahui.." Juara berfikir panjang. Sesuatu perlu dilakukannya. Buragas dan jemabalang yang lainnya masih lagi berkejaran mengekori mereka dari kejauhan. Juara tekad. Dia perlu memesongkan laluan musuhnya itu.

Di balik perdu buluh berhampiran denai turunnya jalan ke Gua Muluk, Juara berhenti. Dia bertinggung sambil merebahkan tubuh Dewi ke lantai bumi. Wajah yang kian pucat terpamer di raut muka Dewi semakin meresahkan Juara. Dari kejauhan terdengar susup sasap jembalang makin menghampiri tempatnya merebahkan Dewi. Mereka menjejak melalui darah!

"Maafkan abang Dewi.." darah yang mengalir di lengan Dewi segera dihisap Juara. Dikumpulnya sebanyak mungkin darah milik Dewi dalam mulutnya. Usai berbuat begitu, Dewi segera ditutupnya dengan Lindung Alam. Lembaran kain yang digunakan oleh pahlawan siluman sepertinya untuk mengelakkan dari pandangan musuh terutamanya jembalang. Kerana Lindung Alam mampu mengaburi mata jembalang yang melihat, mampu menyekat segala deria rasa dan dengar milik mereka. Juara pantas meluncur menukar jejak yang ditinggalkan Dewi. Darah yang ditakung dalam mulutnya segera disembur ke arah berlainan. Agar jembalang terkeliru dengan helahnya itu. Segalanya berlaku secara pantas. Juara kembali mendapatkan Dewi yang disembunyikan di bawah Lindung Alam itu. Baru sahaja hendak dipapahnya Dewi pergi, kelibat jembalang dapat dilihatnya makin mendekati.

"Jahanam..!" Juara kembali menyelubungi dirinya dan Dewi dengan Lindung Alam. Lembaran lutsinar itu membenarkan Juara untuk terus melihat gerakan jembalang yang kian menghampirinya. Setompok darah milik Dewi benar-benar ada di hadapan mereka kala itu. Juara hanya mampu meneguk liur. Dewi terus senyap tiada berkata apa. Hanya hela nafas yang perlahan sahaja didengari Juara.

"Ke tepi..!!" Buragas terpekik mengusir kelompok jembalang yang mengelilingi tompokan darah milik Dewi.

Buragas terhenti betul-betul di atas tompokan darah Dewi. Tiga bonjolan anak matanya ligat mencarikan susuk tubuh sasarannya. Sesekali lidahnya terjelir menjilat angin menentukan arah. Dia kehilangan punca. Jejak dua siluman yang diburunya hilang tiba-tiba.

"Siluman celaka..!" Buragas menghentak berkali-kali kepalanya. Juara sekadar melihat tidak bergerak. Jarak dia dan Buragas hanya beberapa langkah sahaja. Andai Buragas melangkah ke kiri, pasti dia akan terpijakkan Lindung Alam lalu menyerlahkan apa yang terlindung. Juara bersedia dengan pedang kecil yang tersisip di lengan kirinya. Andai Buragas mengetahui kedudukannya, dia bersedia untuk menikam.

"Aku bersumpah akan mendapatkan anak si Kelana itu..dendamku tetap akan kuhitung..!" Pekik Buragas lalu mengusap kesan parut di wajahnya. Parut lama peninggalan Tok Kelana pada dirinya. Kerana itulah dendamnya tidak pernah padam. Perlahan Buragas membongkokkan diri dan menjilat tompokan darah milik Dewi.

"Ahhhhh...manis..!"ucapnya sambil mengusap bibir yang dipenuhi darah.

Buragas lalu melangkah ke arah kirinya. Seperti mendengarkan sesuatu yang berbunyi di perdu buluh. Buntang biji matanya melihat. Selangkah demi selangkah langkahnya diatur. Semakin dekat dia merapati Lindung Alam milik Juara. Pedang kecil milik Juara sudah tersedia.

Prapp!!

No comments:

Post a Comment