Tuesday, 7 April 2015

Dewi Siluman Senja 6

Juara bergegas meluncur turun meninggalkan tempat persembunyian dia dan Dewi. Pautan rotan dan anak pokok yang melingkari denai dirempuh deras oleh Juara. Buragas yang sedari tadi memburu dirinya dan Dewi segera berlalu pergi ketika mendengarkan patahan anak kayu di bawah anak bukit itu.   Sangkaan mereka itu adalah Juara yang sedang melarikan diri. Berkejar Buragas serta jembalang-jembalang yang lain mengejar ke arah itu pula. Peluang itu diambil Juara untuk segera melarikan diri dari terus diburu Buragas si jembalang.

Fawas dari kejauhan dapat melihat Juara berlari tergesa-gesa ke arah pintu Gua Muluk. Dewi berada dalam dakapannya. Pucat wajahnya seperti tiada darah yang mengalir. Tangannya terkulai berlumuran darah akibat dipanah dek jembalang durjana.

"Dewi..!" Fawas segera mendapatkan Juara yang jelas kepenatan. Dia melutut ke tanah sambil mencungap melihatkan Dewi yang masih berada dalam dakapannya. Wajah itu seperti tiada nyawa.

"Apa yang terjadi Juara..?? Mengapa Dewi berlumuran darah..??" Juara ditatapnya penuh geram. Hatinya bagai disiat-siat tika melihatkan Dewi seperti nyawa-nyawa ikan. Juara mengambil nafas panjang. Dadanya berombak kencang.

"Jembalang..! Kami diserang jembalang sewaktu menuruni Gua Pelanduk..! Kami diekori hingga satu waktu, aku berjaya melepaskan diriku Fawas.." tubuh Dewi digoncang sedikit oleh Juara. Nyata tiada perubahannya. Tetap sama. Dewi masih kaku tidak sedarkan diri.

"Jahanam..!!" Lembing hitam miliknya digenggan erat. Matanya merah menahan kemarahan. Segala rasa amarah dibawanya ke pangkal hati. Dendam pada jembalang dicanang semula hingga memundat. Fawas meretap gigi menahan geram.

"Biar sahaja aku hapuskan jembalang itu..!!" Terus Fawas berdiri. Berlari menuju ke arah tangga kaki Bukit Pelanduk. Juara hanya mampu memerhati. Tidak mampu menghalang.

"Jangan Fawas..! Pulang..!" Langkah derasnya terhenti bila suara Tok Kelana bergema menghalangnya dari memburu golongan jembalang yang melukai Dewi. Fawas hanya menghentakkan lembing hitamnya ke tanah. Arahan Tok Kelana benar-benar dikesalinya. Dia telah nekad untuk membalas dendam, namun dihalang.

"Bawakan Dewi ke dalam Juara.." bergema semula suara Tok Kelana dari arah dalam gua. Mengikutkan arahan yang diberi, Juara perlahan melangkah masuk membawa Dewi ke dalam perut gua.

"Aku bersumpah..akan aku hapuskan kau suatu hari nanti jembalang..!" Fawas kembali semula ke arah Gua Muluk. Langkah Juara diturutinya dari belakang.

Di dalam isi gua, Dewi Bulan berlari mendapatkan anaknya yang tidak sedarkan diri itu. Mata-mata yang lain hanya memerhatikan sahaja Dewi dipapah Juara hingga ke hadapan Tok Kelana. Siluman mula mengerumuni. Riuh sedikit terdengarkan bisik-bisik penghuni gua. Fawas turut meninggalkan pintu Gua Muluk. Jiwanya tidak tenteram andai perihal Dewi tidak diketahuinya.

"Angkara siapakah ini wahai Juara..??" Nada mendatar Tok Kelana mengiringi langkahnya menuju ke arah Dewi yang dibaringkan di atas lantai gua. Dewi Siluman Bulan, ibu kepada Dewi Siluman Senja meratap kesedihan di tepi anaknya itu. Sedu tangisnya jelas kedengaran memecah hening dalam Gua Muluk.

"Buragas..kami diserang oleh Buragas dan jembalang kecilnya ketika menuruni Bukit Pelanduk.." ujar Juara ringkas.

Anak mata Tok Kelana memerhatikan sekujur tubuh yang terbaring lesu. Dalam hatinya menggelodak api kemarahan. Dendam pada Buragas kembali menyala. Musuh yang selama ini berdiam diri di hujung belukar kembali semula. Dendam lama dibawanya bersama.

"Ketepi.." Tok Kelana bertinggung bersebelahan Dewi. Caritan luka kecil di bahu Dewi dilihat lalu diusapnya perlahan. Darah di telapak tangan dirasanya dengan lidah. Segera mimik mukanya berubah.

"Racun Seribu Lebah.." bisiknya perlahan. Usai berbisik demikian, dia bangkit lalu duduk seorangan di tepi dinding gua. Cahaya samar obor di dalam gua melindungi wajah sugulnya dari diperhatikan kaum siluman yang lain. Tok Kelana berfikir panjang.

Kaum jembalang sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis racun untuk membunuh musuh mereka. Setiap senjata yang dibina pasti akan disaluti dengan racun agar musuh dapat ditewaskan dengan mudah. Helah yang sekian lama telah diketahui Tok Kelana. Sejak dari dahulu itu sahaja helah yang digunakan jembalang. Namun jarang sekali Racun Seribu Lebah digunakan untuk menewaskan musuh. Kerana racun itu terlalu sukar untuk direneh. Hanya pawang jembalang sahaja mampu melakukannya dengan mengumpulkan pelbagai jenis bisa lebah untuk dijadikan racun. Pabila racun itu digunakan terhadap musuh, ternyata mereka tidak bermain-main untuk membunuh.

"Fawas.." kelibat Fawas dibalik puluhan siluman itu digamit Tok Kelana. Dipanggil mendekati untuk dikatakan sesuatu.

"Apa yang kau tahu tentang manusia..??"

Tiada jawapan. Sememangnya dia tidak langsung mengetahui tentang manusia. Kerana sejak dari kecil memang tidak pernah sekali dia bertemu dengan manusia. Apatah lagi cuba untuk mengenali diri mereka. Aturan Muluk menidakkan kehendaknya untuk bertemu dengan manusia. Fawas hanya mampu menggeleng.
"Bagus.." ucap Tok Kelana.

Fawas tidak mengerti dengan apa sebenarnya kemahuan Tok Kelana. Dewi dalam saat genting. Mengapa perihal manusia pula yang dititipkan di bibirnya?

"Semakin kurang pengetahuan kau tentang manusia..semakin selamat Dewi dalam jagaanmu nanti.." sambung Tok Kelana semula.

"Aku tidak mengerti Tok Kelana.."

"Hmm.." perlahan Dewi dirapati Tok Kelana semula. Raut wajahnya diusap perlahan. Renjisan air sedikit membasahi wajahnya. Semua yang berada di situ langsung tidak memahami apa yang sebenarnya cuba disampaikan oleh Tok Kelana.

"Dewi telah diracuni oleh racun yang amat berbisa..sejenis racun yang penawarnya hanya ada pada manusia..kerana itulah aku memutuskan Dewi perlu dilepaskan ke dunia manusia untuk dirawat..andai terlewat, nyawanya pasti akan melayang.." selesai berkata-kata, Tok Kelana menundukkan wajah. Dia terpaksa walaupun tidak merelakan. Riuh rendah sepelosok gua mendengarkan kata-kata dari ketua mereka itu. Selama ini siluman tua itu dihormati kerana pendirian tegasnya terhadap Aturan Muluk. Namun tidak pada hari ini. Siluman yang menegakkan aturan itu jugalah yang melanggar aturan yang telah ditetapkan.

"Tapi tok...!" Juara bersuara lantang di sebalik hiruk pikuk suara siluman yang lain. Wajah Juara dipandang lesu Tok Kelana. Kemudian dia menggeleng. Keputusannya adalah muktamad. Dia terpaksa. Kerana nyawa Dewi menjadi keutamaannya.

"Andai bencana ini terjadi pada siluman yang lain, tetap jua aku akan membelakangi aturan yang telah aku tetapkan..bukan kerana Dewi adalah anakku..tapi kerana setiap nyawa siluman adalah menjadi tanggungjawab diriku..!"

"Bukankah itu bermakna Tok Kelana telah mengingkari arahan Aturan Muluk..??" sinis saru suara dari celahan puluhan siluman. Yang lain turut berbisik berkata tidak jelas selepas soalan iti dilontarkan pada Tok Kelana.

"Benar..dan aku akan menanggung akibatnya.." jawab Tok Kelana. Fawas dan Juara saling berpandangan.

"Apa maknaya semua kata-katamu Tok Kelana..??" Soal Juara kali ini memerlukan kepastian. Jika benar kaum manusia sahaja punyai penawarnya, rela dia bersemuka meminta belas untuk mendapatkan penawar bagi Dewi.
Tok Kelana sekadar mundar mandir bersebelahan Dewi. Janggut putihnya diraup berkali-kali. Riak wajah dibayangi resah.

"Fawas akan menemani Dewi ke dunia manusia..pergilah kau ke Istana Indera dan berjumpalah dengan Tabib Fansuri..penawar bagi Racun Seribu Lebah hanya ada padanya..hanya dia seorang sahaja mampu mengubati Dewi..tiada yang lain.." ucap kata itu kali ini ibarat satu tamparan hebat ke atas Juara. Namun pada Fawas, inilah masanya untuk dibuktikan pada sekalian siluman di Gua Muluk bahawa dia bukan sahaja sekadar penjaga pintu gua. Amanah yang diberikan Tok Kelana akan dilaksanakan sebaik mungkin.

"Izinkan aku pergi bersama menemani mereka berdua Tok Kelana.." Juara menawarkan diri ikut bersama. Dia gusar Fawas tidak akan mampu melindungi Dewi sekiranya mereka ke dunia manusia.

"Tidak..aku tidak izinkan Juara.." serak suara Tok Kelana dirasakan menusuk terus ke pangkal hati.

"Tapi tok..!" Juara tetap bertegas.

"Tiada tapi lagi Juara..arahanku adalah muktamad..!" Juara terpempan dengan kata-kata Tok Kelana. Tidak berani lagi membantah. Dia hanya berundur kembali merapati Dewi yang matanya terkatup rapat. Wajah bundar Dewi diperhatikannya penuh hiba. Dia gagal melindungi Dewi dari ancaman musuh seperti diamanahkan Tok Kelana sebelum ini.

"Menitiknya embun di pagi hari..aku akan lepaskan kau dan Dewi dari hijab yang melindungi kita selama ini Fawas..pergilah kau ke dunia manusia..rayulah pada mereka agar mengubati racun yang mengalir dalam tubuh Dewi.." Fawas mengangguk. Arahan itu akan dilaksanakannya sebaik mungkin.

"Dan kau perlu pastikan yang manusia tidak mengetahui siapa sebenarnya dirimu dan Dewi..mereka tidak boleh tahu bahawa kalian dari golongan kaum siluman.." sambung Tok Kelana lagi.

"Tapi mengapa tok..??"

Tok Kelana berdehem seketika. Wajah-wajah siluman di hadapannya diperhatikan.

"Kerana manusia adalah kaum perosak.." hanya itu sahaja yang dikhabarkan oleh Tok Kelana sebelum dia duduk berdiam diri. Segala persoalan disekang tidak mahu dijawab Tok Kelana lagi. Biar sahaja rahsia itu jadi ingatan pada dirinya dan siluman tua yang lain. Fawas akur. Keutamaann dirinya sekarang adalah mempersiapkan dirinya sebelum berangkat ke perkampungan manusia yang tidak pernah dijejakinya sebelum ini.

Tika keadaan mula reda. Tika semua siluman mula meninggalkan ruangan perut gua dek kerana melihatkan Dewi yang dipanah racun tadi, Tok Aduka Siluman mula merapati Tok Kelana Siluman. Sejak dari tadi dia hanya menjadi penonton dan pendengar kepada setiap kata Tok Kelana sahabatnya itu. Masa diambilnya begitu lama untuk kembali menegur sahabatnya yang dilanda kemurungan itu. Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikirannya.

"Apa benar keputusanmu untuk melepaskan Fawas dan Dewi ke dunia manusia Kelana..??" Tok Aduka mula bersuara.

"Hmm.." garau suara balas dari Tok Kelana. Matanya terpejam rapat sambil hujung jemarinya mengusap hulu tongkat. Dia bersila di atas sebuah batu besar di tengah perut gua sambil menyendiri. Tidak mengendahkan Tok Aduka yang memerhatikannya sedari tadi.

"Bukankah itu adalah ancaman pada kita Kelana..?? Jika manusia mengetahui dimana penempatan kita, bukankah itu akan membawa petaka pada kita..??" Soal Tok Aduka lagi. Hal itu perlu diperhalusi. Setiap arahan yang melanggari Aturan Muluk perlu diperhalusi.

"Hmmm.." sekali lagi nada getar itu sahaja diperdengarkan oleh Tok Kelana. Dia masih ragu-ragu dengan keputusannya. Namun hanya itulah jalan terbaik untuk diri Dewi fikirnya. Tiada pilihan lain yang dapat difikirkannya.

"Kau tidak gusar andai Rasturi menuntut haknya kembali..??"

Mendengarkan sahaja nama itu telah menghadirkan retapan di gigi Tok Kelana. Wajah itu benar-benar diingatinya. Namanya benar-benar dipahat rapi dalam hatinya.

"Tak usah kau ingatkan aku lagi tentang nama itu Aduka..! Segala arahanku pada Fawas adalah muktamad..aku tidak akan membiarkan sahaja anakku itu mati diracuni..kau perlu tahu yang hanya Dewi sahaja mampu menyatukan kita semula..!" Tok Kelana bangkit dan berdepan dengan Tok Aduka.

"Tetapi mengapa mesti Fawas yang kau hantarkan..bukankah..."

"Cukup Aduka..!!" tempik Tok Kelana memecah hening gua. Kelibat tiga siluman dara yang lalu lalang di dalam gua sekadar memerhatikan sahaja adegan antara Tok Kelana dan Tok Aduka. Tidak pernah selama ini dua siluman tua itu bertengkar. Apatah lagi meninggi suara sesama sendiri.

"Aku tahu apa yang aku lakukan..dan segala yang aku lakukan adalah demi kebaikan kita, Siluman Gua Muluk.." kali ini Tok Kelana hanya berbisik. Dia beredar meninggalkan Tok Aduka lalu menghala ke pintu gua.

RAIHAN dan Musliha berjalan seiringan di taman istana. Masing-masing berpakaian indah mengenakan busana istana yang diberikan Ashuri. Titah Raja Rasturi agar melayan tetamu istana mereka itu sebaik mungkin, dituruti Ashuri.

Raihan diberikan persalinan melayu lama, berkeris dan bertanjak manakala Musliha ditata rias oleh Permaisuri Dahlia ibarat seorang puteri raja. Kedua-duanya dilayan bak tetamu agung di Istana Indera.

"Awak kat mana..awak awak kat mana.." Raihan berlagu riang. Musliha mengekek tergelak mendengarkan suara Raihan yang mendendangkan lagu.

"Kita kat Indera..kita kita kat Indera.." spontan jawapan Musliha lalu meletuskan pula gelak antara mereka berdua. Masing-masing masih tidak percaya. Apa sebenarnya terjadi pada mereka?

"Wahai hulubalang istana Hang Raihan..dimanakah diamnya kita sekarang wahai hulubalang..??" Musliha berlagak bagaikan puteri. Raihan dijadikan pula hulubalang pengikutnya.

"Ohhh..kita sekarang berada di negara pasir berdengung wahai tuan puteri.." jawab Raihan sekadar melayan telatah Musliha.
Letus tawa antara mereka berdua di taman itu sekadar dilihat Ashuri dari kejauhan.

"Oh ya tuan puteri..apakah benar tuan puteri mengatakan pada tuanku sultan bahawa kita datang ke sini untuk berdagang..??"

"Ya benar hulubalang..itu yang beta katakan tadi pada Raja Rasturi..mengapa..??" Mimik muka Musliha penuh keangkuhan. Jadi puteri raja perlulah angkuh fikirnya.

"Berdagang apa wahai tuan puteri..??"

"Emmm.." Musliha berfikir.

"Aaaa.." Raihan mengejek.

"Berdagang emas..." seloroh sahaja jawapan Musliha. Raihan masih cuba menahan tawa. Musliha terus dilayaninya.

"Berapakah harganya emas sekarang wahai tuan puteri..??"

"Owwww...aaaa...emmmm...kira-kira tiga ikat sawi wahai hulubalang.."

Kali ini jawapan Musliha langsung tak dapat diterima oleh Raihan. Sawi setanding emas harganya. Mana mungkin!

"Kau apehal emas kau samakan dengab sawi..kau ingat emas tu sama harga dengan sayur ke..??"

"Lahh..dah tentulah zaman dolu-dolu tak ada matawang lagi..kan dulu guna sistem barter..bagi satu barang untuk dapatkan barang yang lain..tak gitu..??" Musliha bijak pandai. Tapi tak sebijak Raihan. Kerana Raihan lebih panjang akalnya. Namun ada masanya, dia lebih rela mengalah tika bertengkar bersama Musliha. Kerana Musliha, si hati batu yang dalam hidupnya tidak mengenal erti mengalah.

"Hmmm..yelah..ambiklah kau menang..!"

"Yeayyyy..!!" Melompat keriangan Musliha. Hinggakan tercicir kudupan bunga kemboja putih di cuping telinganya. Membongkok dia sebentar mengutip bunga putih itu lalu disisipnya semula ke telinga.

"Cantik.."

"Kau cakap apa..??"

"Cantik..kau cantik bila pakai macam perempuan melayu terakhir ni..baju kurung, kain songket, berselendang..siap ada bunga lagi kat telinga.." Raihan pamerkan senyuman. Dia ikhlas. Kerana memang terserlah jelas keayuan gadis tomboy itu setelah menjalani dandanan dan sentuhan dari orang lama. Berbeza sebelum ini asyik sahaja Musliha mengenakan t-shirt, seluar jeans dan kasut Converse lusuh. Jantan!

"Auchh..malu i...ahak ahak.." tersipu malu Musliha bila sekali sekala kata pujian terhambur dari mulut Raihan.

"Asal puji je melambung..ape pun tak boleh..!" rungut Raihan dalam hatinya.

"An..let's get serious..kita dekat mana sebenarnya ni..aku dari semalam memang blur gila..aku rasa macam tak logik dek akal kita ni tercampak ke masa silam..macam cerita back to the future tu..langgar hukum alam kita ni kalau dah sampai melangkau masa..sebab mana ada orang boleh melangkau masa..betul tak..??"

"Hmm.." Raihan turut bingung. Dari semalam puas dipujuknya Ashuri untuk menceritakan tentang perihal Indera Sakti itu. Cuba diselongkarnya satu persatu rahsia yang tersembunyi agar dapat dicantumkannya hingga terlerai segala persoalan. Namun Ashuri tetap mengulang kata benda yang sama.

"Kau di Indera Sakti..wilayah kecil yang bersempadan dengan Melaka.."

Hanya itu sahaja yang diulang Ashuri. Dia sendiri tidak dapat mengatakan lebih kerana kata-kata Raihan pada dirinya semalam dianggap seperti kata bohong. Tiada satu pun cerita dari mulut Raihan dipercayai Ashuri. Kerana itulah dia masih berteka-teki dengan Raihan.

"Kalau betullah kita ni sekarang dekat zaman-zaman pahlawan melayu..kau rasa apa patut kita buat..??" Soal Raihan tidak menjawab pertanyaan Musliha. Musliha garu kepalanya yang dibaluti selendang.

"Hmmm...nak buat apa ek..??"anak mata dibawa melihat awan. Seolah ada jawapan di celahan awan biru itu.

"Kita update-lah status dekat Facebook..kata kita dekat zaman Hang Tuah..lepas tu letak hashtag, #jiwakacau #kauhaddoo #pray4us.."

Pek!

"Aduhhh..!" Belum sempat hendak dihabiskan kata-katanya, telapak tangan Raihan telah hinggap ke dahinya. Terjungkit-jungkit kening Raihan menahan marah. Soalannya dibalas dengan jawapan tak masuk akal oleh Musliha.

"Oi Leha..! Celah mana pencawang telefon ada dekat sini..?? Mana datangnya Facebook zaman dolu-dolu..batu bersurat adalah..!"

Musliha memuncung bibir.

"Lagipun barang-barang kita semua tertinggal dekat tepi sungai tu sebelum kita jatuh dalam lubang..mana nak ada handphone kau nak update status Facebook kau tu..kalau nak update status jugak..pergi dekat batu tu, conteng batu tu..tulis 'LEHA WAS HERE' besar-besar..!"

Tambah lagi seinci muncungan Musliha. Memetir Raihan memarahinya.

"Huh..!!" Musliha pusingkan badan. Tubuh dipeluknya rapat. Mengekek Raihan tergelak.

"Takkan ada aku nak pujuk kau de..!!" Perli Raihan makin memuncakkan rasa marah yang menyelubungi Musliha.

"Lelaki melayu tidak akan pernah membiarkan wanita dambaan hatinya menyemai rasa resah dan gundah dalam diri..hanya lelaki tidak berguna sahaja mengabaikan rajuk si wanita tidak dipujuk.." Ashuri muncul dari sisi kiri taman. Raihan terpinga-pinga, Musliha bergembira. Akhirnya ada juga yang menjadi tulang belakang kala Raihan mengenakan dirinya. Musliha tersenyum puas.

"Padan muka kau..!"

"Apehal pulak..?!"

"Kau lelaki melayu yang tak pandai jaga hati wanita..!"

"Ehhhhhhh...aku half Korea, half Malay.."

"Buwerkkk..!"

Memang pertengkaran itu langsung tak dapat dipisahkan antara mereka berdua. Ashuri tidak memahami butir kata yang diucapkan Raihan dan Musliha. Sekadar tercegat dan memerhatikan sahaja.

"Tengku..! Arahkan segala hulubalang tangkap jantan tak guna ni..masukkan dalam guni..campak dalam laut..!" Wajahnya mengadap ke arah Ashuri. Jarinya menuding ke arah Raihan. Meledak tawa Ashuri melihatkan kerenah tetamu istananya dari Kuala Lumpur itu.

"Sudahlah..usah kalian bertengkar lagi..bukankah tidak manis jika dilihat orang..kita bangsa melayu terkenal dengan adab dan kesopanan.." Ashuri merapati Raihan selepas berkata begitu. Bahu Raihan dipegangnya.

"Katakan padaku Raihan..bagaimana rupanya tempat tinggalmu di Kuala Lumpur itu.."

Raihan berdehem. Wajah Musliha diperhatikan sedikit lama. Kening dijungkit pintakan pendapat Musliha. Si gadis hanya mengangguk. Ceritakan sahaja. Mungkin itu isyarat dari Musliha.

"Zaman kami terlalu jauh berbeza dengan zaman ini tengku..kami tinggal di rumah batu, bekerja di pejabat tidak lagi di kebun, kami mempunyai kereta dan kapal terbang untuk bergerak kemana-mana, kami ada telefon untuk berhubung sesama sendiri dan macam-macam lagi.." ulas Musliha. Raihan sekadar mengangguk mengiakan. Ashuri terkebil-kebil.

"Dan di zaman kami waktu malamnya seperti siang..kami gunakan lampu untuk menerangkan malam, bukan lagi obor..kami gunakan sudu dan garfu untuk makan, bukan lagi menggunakan tangan untuk menyuap..dan yang terbaru, kami tidak lagi menggunakan pinggan dan mangkuk untuk dijadikan alas kepada makanan kami.."

Raihan terhenti menghela nafas. Ashuri masih terkebil-kebil dan Musliha mengerut dahi. Seingat dirinya sebelum terjerumus ke zaman lampau itu, pinggan masih lagi digunakan untuk dijadikan alas makanan. Apa sebenarnya yang cuba dikatakan Raihan ini fikirnya.

"Kami sudah mula menggunakan pasu untuk menjamah aiskrim.." seloroh Raihan. Mengingatkan aiskrim pasu yang menjadi topik hangat di zamannya sendiri.

"Ehh..sengal lah kau ni An..!!" Musliha ketawa terbahak-bahak. Tidak menyangka Raihan membangkitkan perihal aiskrim pasu hingga ke zaman ini. Dia yakin Ashuri pasti tidak memahami. Pasu belum pernah wujud dalam zaman itu. Jika ada, pasti segala pokok bunga di taman istana ini ditanam di dalam pasu.

"Cukup..!" Ashuri mengangkat tangan mengarahkan Raihan untuk berhenti berkata-kata. Apa yang dikatakan Raihan langsung tidak difahaminya.

"Mungkin kalian masih lagi dibayangi mimpi ngeri akibat tersesat di belantara..kerana itulah cerita yang kalian perdengarkan seakan karut dan tidak masuk akal.."

"Hmmm.." Raihan sekadar mengeluh. Musliha mengangkat bahu tanda berserah. Mereka sudah menjangka bahawa Ashuri pasti tidak akan memahami apa yang cuba mereka sampaikan.

"Takpelah tengku..mungkin suatu masa nanti, tengku akan memahami apa yang kami katakan.." Raihan sendiri tidak berminat untuk menceritakan tentang zamannya pada Ashuri.

"Tengku..dekat sini, kampung ini je ke yang ada tengku..?? Tak ada kampung lain..??" Musliha memainkan peranan mengubah haluan cerita.

"Tidak..banyak lagi perkampungan lain di sekitar kawasan ini..namun wilayah ini, semuanya di bawah tapuk pemerintahan Kesulatanan Melaka..kami bernaung di bawah kerajaan Melaka..kami dilindungi mereka dari ancaman musuh.." Ashuri terhenti.

"Namun di antara manusia, terdapat jua kaum jembalang yang sering mengadakan kacau bilau..dan juga kaum siluman yang katanya hidup bersembunyi di belantara sana..ada yang mengatakan bahawa kaum siluman dan jembalang sentiasa bersengketa.." jelas Ashuri lagi.

"Namun kami di sini tidak pernah bertemu dengan kaum siluman..mengikut kata orang yang terdahulu, siluman dan manusia pernah berhubung baik di suatu ketika, namun akibat perbalahan mereka terpisah dan tidak bersemuka hinggalah sekarang.." jelas Ashuri lagi. Raihan dan Musliha sekadar mengangguk.

"Fuyyoh..gila vaveng.." Raihan terpegun.

"Ha ahh..gila vaveng.." sokong Musliha pula.

Ashuri gelengkan kepala. Entah apa bahasa yang diucapkam dua sahabat itu.

"Tapi..boleh ke kita tengok kaum siluman tu tengku..??" Musliha ingin tahu. Dia yakin siluman yang dimaksudkan adalah bunian. Bunian yang hidupnya di belantara tebal. Seperti juga zamannya. Ada penceritaan yang mengatakan bunian itu masih wujud dan ada menghuni di belantara mereka.

"Hmm.." Ashuri berfikir sejenak. Dia tidak pasti. Selama ini dirinya tidak pernah didedahkan mengenai kaum siluman. Dia hanya terperangkap di dalam istana dan tidak dibenarkan keluar jauh dari kawasan istana. Sukar hendak dijawabnya soalan dari Musliha itu.

"Boleh.." jawab seseorang yang muncul dari belakang antara mereka bertiga itu.

No comments:

Post a Comment