Monday, 20 April 2015

Dewi Siluman Senja 9

"Ada penceroboh di gerbang istana Tengku..! Katanya ingin mengadap Tuanku Sultan mengabarkan perihal bencana yang bakal menimpa Indera Sakti..!" munculnya seorang hulubalang istana yang termengah-mengah membawakan perkhabaran dari gerbang istana. Semua di situ saling berpandangan. Raja Rasturi sedang berehat di kamar diraja. Mana mungkin saat ini dia mahu diganggu.

"Ashuri..bonda merasakan tidak sedap hati..biar sahaja Tantira menguruskan hal yang terjadi di gerbang istana itu.." jemari Ashuri digenggam erat. Ketegangan makin dirasai saat hiruk pikuk jeritan manusia dan lagaan pedang berbunyi nyaring terlepas di udara. Pekikan suara dari kejauhan yang kedengaran dari gerbang istana itu didengari seram oleh Permaisuri Dahlia.

"Tidak bonda..masakan anakanda hanya mampu membiarkan sahaja perkarangan istana ini dicerobohi begitu sahaja..mungkin pembawa berita itu benar-benar punya hal yang mustahak untuk disampaikan pada ayahanda..adalah menjadi tanggungjawab anakanda untuk memikul tanggungjawab itu sementara ayahanda beradu di kamar.." akur dengan kata-kata Ashuri, jemari yang menggenggam dilepaskan pergi. Ashuri berlari pantas menuju ke gerbang istana yang kini dipenuhi dengan hulubalang istana sedang berkawal. Tantira mengetuai hulubalang istana yang selama ini menjadi anak buah di  bawah seliaannya.

"Siapakah gerangan penceroboh ini Tantira..??" wajah penceroboh yang berlumuran darah diperhatikan Ashuri agak lama. Dia cuba mengecam wajah yang hampir sahaja tidak dikenalinya itu. Tiga orang hulubalang istana yang tercedera akibat diserang dek penceroboh itu, turut dipapah menuju ke arah istana untuk dirawat. Parang dan pedang yang digunakan oleh penceroboh itu berselerakan di atas tanah.

"Penceroboh ini namanya Jalak tengku..namun orang ini sering sahaja membuat onar di dalam Indera Sakti..semua yang dijumpainya pasti akan diganggu..sudah ramai yang mengadu padaku sebelum ini tentang perihal buruk si Jalak ini..namun baru hari ini aku berkesempatan untuk bersua muka dengan sirinya.." rengus Tantira bernafas laju. Dadanya berombak melepaskan lelah akibat berkejar menuju ke gerbang istana.

"Bukankah Jalak ini akalnya sedikit pendek berbanding kita dan yang lain-lain..?? maksudku, dia ini fikirannya agak tidak waras..yakni tidak mengerti aturan manusia kebiasaan seperti kita.."

"Benar tekaan Tengku itu..sememangnya dia ini seorang yang tidak waras tengku..namun hari ini entah mengapa pula dia bertindak seberani begini..menyerang istana tanpa ada rasa gentar.."

Jalak mengerang saat belakang badannya ditekan kuat. Tiga orang hulubalang istana terpaksa digunakan untuk menundukkannya. Tindak tanduknua yang makin mencurigakan memaksa dirinya direbahkan walaupun tanpa kerelaannya. Wajahnya didongakkan ke atas melihatkan Ashuri yang melihat. Darah yang meleleh dari celahan bibir menitik membasahi tanah.

"Tengku Ashuri..mengikut amalan patik..kita bakal dilanda bencana tidak lama lagi Tengku..! Wajarlah kita bertindak untuk memusnahkan kesemua musuh yang berada di sekeliling kita ini..!" jerkah Jalak lantas meletuskan tawanya. Sesekali dia meludahkan darah yang terempang di balik bibirnya. Membukat kemerahan darah itu mengalir meresap ke dalam tanah.

"Usah kau mengarut menabur fitnah..! Tidakkah kau mengerti bahawa sesiapa yang mengadu domba tanpa sebarang bukti yang nyata hukumannya adalah dipenjarakan..?? Kita tidak punya sebarang hak untuk menyerang lalu membinasakan jiran-jiran yang bersempadan dengan kita..!" Ashuri bertegas terhadap Jalak yang semakin lemah dibelenggu tali pengikat.

"Kurunglah aku..! Penjarakanlah aku..! Sehingga suatu masa kau sendiri akan merayu padaku untuk membantumu menyelamatkan Indera Sakti..!!" Kuatnya ledak tawa Jalak si penceroboh istana itu hinggakan mengundang Permaisuri Dahlia dan sekalian yang melihat dari kejauhan untuk datang dengan lebih dekat. Musliha tetap menanti sendirian berhampiran pintu istana. Dia khuatir andai saat Dewi terjaga dari pengsannya, tiada pula sesiapa di sana menemaninya.

"Bawakan penceroboh ini ke dalam kurungan istana..!" Perintah Ashuri itu lantas sahaja dituruti tanpa bantahan daripada sesiapa. Tabib Fansuri dan Tantira sekadar melihat Jalak berlumuran darah diusung menuju ke sisi kiri istana. Di celahan dua lereng benteng bukit, terbinanya beberapa kurungan yang dibina khas untuk mengurung musuh Indera Sakti. Di situlah Jalak bakal diam sementara sehinggalah mendapat perkenan Raja Rasturi untuk dibebaskan.

"Tengku..patik merasakan perkara ini semakin merumitkan..entah mengapa firasat patik mengatakan...." Tabib Fansuri terdiam untuk seketika. Jarinya dimainkan berulang kali seolah meratib tentang sesuatu.

"Mengapa wahai tabib..?? Katakan apa yang bernaung dalam fikiranmu itu.."

"Firasat patik merasakan seolah ada benarnya kata-kata si Jalak itu..mungkin benar katanya bahawa kita bakal dilanda bencana kelak.." Tabib Fansuri enggan berselindung lagi. Sejak beberapa hari yang lepas, semenjak kemunculan Raihan dan Musliha ke Indera Sakti, dia telah mula merasakan kejanggalan terhadap beberapa perkara. Mengikut amalannya, Tabib Fansuri yakin seseorang itu dihantar tentulah bersebab. Bukanlah berniat hendak menuduh Raihan dan Musliha sebagai perisik yang dihantar musuh, namun hatinya berat mengatakan ada sesuatu tentang kemunculan dua orang manusia itu.

Entah mengapa pula hari ini, muncul pula seorang gadis yang masih diragui dari mana asal usulnya. Datang masuk ke istana tanpa ada sebarang bantahan dari sesiapa. Semudah itu gadis itu melangkah masuk. Dan kini, si Jalak yang akalnya tidak sewaras manusia biasa itu pula menceroboh ke dalam istana melahirkan rasa gundahnya tentang keamanan Indera Sakti. Kononnya perkampungan itu bakal diserang musuh untuk seketika waktunya nanti.

Ashuri mengeluh perlahan. Pandangannya dibuang jauh melihatkan binaan istana yang tersergan indah. Masakan kata-kata orang yang tidak waraa seperti Jalak itu hendak ditelannya bulat-bulat. Tanpa diselidiknya terlebih dahulu, tidak mungkin perintah untuk melakukan serangan terhadap jiran Indera Sakti akan diucapnya. Setiap keputusan haruslah berteraskan bukti dan kesahihan berita, bukannya sekadar bersandarkan perasaan di jiwa.

"Jika hidup bertuankan perasaan, pasti segala yang direncana tidak akan terlaksana.." ucap kata Ashuri, adakalanya terpaksa dihadam Tabib Fansuri tanpa banyak persoalan. Ashuri adakalanya rimas dengan beberapa pandangan yang dirasakan tidak kena pada waktunya. Jika asyik merasakan tidak selesa dengan setiap tindakan, mana mungkin apa yang dirancang mampu terlaksana. Setiap tindak tanduk akan punya risikonya. Begitu jugalah dengan setiap keputusan yang dibulatkan. Pasti akan ada risiko yang menanti.

"Usah kalian hanya merasakan resah dengan setiap apa yang terjadi..tidak semestinya setiap perkara yang berlaku membawa petanda buruk..mungkin itu hanya sekadar kebetulan..dan mungkin itu mungkin hanya sebagai perjalanan yang perlu kita tempuhi dalam rantai riwayat kita sebagai manusia.." umum dikatakan pada sekalian yang berada disisinya. Semua di situ sekadar mengangguk menerima setiap butir kata yang diucapkan Ashuri.

"Baiklah Tengku.." Tabib Fansuri berundur lantas meminta izin untuk keluar istana mencarikan akar kayu untuk mengubati Dewi. Sementara menunggu Tantira pergi mendapatkan Bunga Kudup Nyawa dari Lembah Cahaya, Dewi tetap perlu dirawatnya sementara menanti kepulangan Tantira kelak. Jika tidak, pasti Dewi tidak mampu bertahan dengan lebih lama.

"Tengku..izinkan patik mengikuti Tabib Fansuri..??" Raihan teruja untuk mengikuti tabib istana itu mencarikan penawar dari hasil hutan berdekatan istana. Andai ada rezekinya, pasti dapat jua dia belajar sedikit sebanyak ilmu perubatan lama daripada Tabib Fansuri itu.

"Pergilah Raihan..aku izinkan.." dengab senyuman yang melebar, Raihan segera berlari merapati Tabib Fansuri yang hampir sahaja hilang dari pandangannya. Langkah tabib tua itu diekorinya dari belakang tanpa sepatah kata.

Langkah perlahan Tabib Fansuri meredah denai di tepi istana perlahan-lahan diikuti Raihan. Sesekali anak matanya meliar melihatkan sekeliling. Semenjak kehadirannya ke dunia asing ini, itulah kali pertama dia keluar dari pintu istana. Tujuannya dalam masa yang sama adalah untuk cuba mencari jalan keluar dari kawasan itu. Sesekali ada jua terlintas dalam fikirannya bahawa dia dan Musliha tersesat ke alam bunian. Kerana telah banyak kali dibacanya di dada akhbar akan misteri kehilangan pengembara yang meredah hutan akibat disorok bunian. Tapi dia cuba menyanggah teori itu buat seketika, kerana apa yang sedang dialaminya ketika itu tidak serupa sama sekali dengan apa yang pernah dibacanya sebelum ini.

"Katakan padaku sejujurnya..apa mahumu datang ke Indera Sakti..??" tona suara Tabib Fansuri agak mendatar didengari Raihan. Dia yakin bahawa tabib tua ini bukan sebarangan orangnya. Raihan tidak boleh berbohong. Dia perlu jujur menyatakan segalanya.

"Kami sekadar menumpang sementara di istana..dalam masa yang sama kami berusaha untuk mencari jalan pulang ke tempat asal kami.."

"Bagaimana harus aku mempercayai tiap katamu itu..?? Tanpa sebarang bukti yang nyata..pasti aku tidak akan mempercayai setiap ulas katamu.." tingkah Tabib Fansuri terus berjalan tanpa mengendahkan Raihan yang mengekorinya. Dia langsung tidak menoleh melihatkan ke belakang. Apatah lagi untuk bertukar pandangan.

"Bukti apa pulak aku nak bagi ni..?? Kalau aku cerita pasal Malaysia..nanti dia kata aku merepek..kalau aku cakap pasal Hang Tuah bersaudara, nanti dia katakan pulak tak pernah lagi didengarinya cerita tentang pahlawan melayu itu..hailahhh..ape akal aku ni.." adakalanya untuk memperkatakan tentang sesuatu yang di luar batasan fikiran manusia, merupakan sesuatu yang rumit. Raihan mencari akal untuk menggunakan apa yang berada di sekitarnya untuk dijadikan bahan bukti bahawa kewujudan dia dan Musliha bukanlah dari zaman itu.

"Mungkin setibanya nanti di istana, akan hamba buktikan pada Tabib akan kepandaian manusia dari zaman kami.." pujuk Raihan kerana kebuntuan akal. Dia langsung tidak mempunyai sebarang alasan untuk dibuktikan perihal dirinya pada Tabib Fansuri. Adalah lebih molek jika Musliha ada bersamanya. Kerana gadis tomboy itu lebih petah berbicara dan akalnya lebih panjang.

"Hmmmm.." Tabib Fansuri tidak mahu mengheret perbualan itu dengan lebih panjang. Sesuatu perlu dicarinya dari celahan semak itu untuk dijadikan ubatan herba. Anak matanya meliar melihatkan andai ada terlihatnya pokok senduduk putih yang tumbuh meliar di belukar itu.

"Carikan aku daun senduduk putih jika benar kau amat mahir dalam selok belok hutan.." arahan Tabib Fansuri diamatinya berulang kali. Nama daun yang tumbuhnya meliar itu tidak lagi asing dari matanya. Kerana ibunya sering menggunakan daun itu untuk mengubati penyakit darah tinggi ayahnya. Daun yang direbus lalu diberi minum untuk mengurangkan risiko penyakit tiga berangkai yang dewasa ini makin menukar melanda masyarakat di Malaysia umumnya. Namun Raihan masih tidak mempercayai adakah benar daun yang kononnya mempunyai tahap oksidan tinggi itu mampu menawarkan pelbagai penyakit. Dia perlu menanyakan kepada tabib tua itu untuk mengukuhkan teori yang dikeluarkan oleh saintis pada zamannya.

"Apakah sebenarnya kebaikan daun senduduk putih itu Tabib..??"

Tabib Fansuri menghela nafas seketika. Dia duduk bertinggung di atas sebiji batu sambil cuba melepaskan lelah akibat meredah semak.

"Daun senduduk putih" titip bicara Tabib Fansuri memulakan kata-katanya.

"Kudup bunga putih berkelopak kasar..daunnya direneh bersama air mendidih untuk menawarkan bisa racun dalam badan..daun yang dilenyek lalu ditampal ke arah luka, akan meredakan bengkak dan menghentikan aliran darah..itulah gunanya daun senduduk putih itu.." terang Tabib Fansuri sambil merenung lama wajah Raihan. Dari raut wajah lelaki itu, dapat dilihatnya ada persamaan antara mereka berdua. Namun kesangsian itu tetap sukar hendak ditolaknya pergi. Dia masih cuba mencari, dimanakah kebenaran setiap kata yang diucapkan anak muda itu.

"Bagaimanakah rupanya keadaan di Lembah Cahaya itu Tabib..??" Soal Raihan sambil dirinya leka mencari daun senduduk putih di sekitarnya. Mendengarkan sahaja kata-kata Tabib Fansuri akan perihal lembah itu ketika di istana, telah mengelodakkan jiwa muda dalam dirinya. Jiwa yang sentiasa mendambakan cabaran dalam kehidupan.

"Laluan ke Lembah Cahaya penuh liku dan cabaran..permulaan perjalanan, denai yang berseliratkan pohon berduri dan rotan hutan perlu ditempuh..setiap selekoh harus diteliti..kerana andai tersalah di suatu persimpangan, maka laluan yang kau tempuhi akan menuju ke arah kesengsaraan yang sukar hendak digambarkan..golongan jembalang sentiasa menggunakan laluan itu untuk dijadikan perangkap kepada manusia..manusia diperalat hinggakan tersesat di dalam belukar itu.." ingatan lama kembali bertaut dalam dirinya. Mengingat kembali suatu ketika dahulu sewaktu mudanya, Tabib Fansuri sendiri pernah meneroka hingga ke Lembah Cahaya mencarikan herba dan akar kayu untuk dijadikan penawar penyakit.

Dia berdehem melepaskan sekat di kerongkong sebelum menyambung butir katanya.

"Di pertengahan antara laluan denai yang berliku itu..adanya sebuah tasik yang airnya menghijau hingga menampakkan dasar..sayup dari kejauhan dapat dilihat di tengah tasik itu, hanya kabus tebal yang meliputi dari siang hinggalah ke malam hari..tasik itu kelihatannya seperti tiada bersempadan..pernah dahulu adanya sekumpulan manusia mencabar diri mendayung ke arah kabus itu, namun tiada siapa pernah pulang semula ke daratan selepas mendayung sampan menuju ke sana..ada kisah lama yang mengatakan kawasan itu berpuaka dan didiami oleh seorang pawang tua..kerana berang kawasannya diceroboh, habis semua yang melalui kawasannya itu dilenyapkan begitu sahaja.." sambung Tabib Fansuri semula. Makin bernafsu Raihan dengan penceritaan Tabib Fansuri itu. Anak tekaknya bergerak menelan liur. Bukan risaukan segala kepayahan yang perlu ditempuh, namun cabaran serta pengalaman itu yang menjadi damba pada dirinya.

"Di pesisir tasik itu adanya sebuah laluan untuk membawa ke arah suatu tebing yang amat tinggi..lerengnya sentiasa lembab tidak pernah kering..tumbuhnya Lumut Tahi Kera menerangi kawasan itu kala malam menjengah tiba..namun rupa yang mengasyikkan itu tidak memungkinkan sebarang keindahan..kerana lereng itu didiami oleh puaka bukit yang bengis dan tidak berhati perut..andai ilmu tidak cukup di dada, pasti akan tersungkur di tengah jalan ditumpaskan puaka durjana itu.." Tabib Fansuri menghentikan ucap katanya bila dilihat Raihan tekah berhenti dari pencariannya. Leka dia mendengarkan cerita yang didengarkan kepadanya.

"Mengapa kau beria benar mahu mengikuti Tantira ke Lembah Cahaya..??" soalan Tabib Fansuri menghentikan lamunan Raihan. Ligat memikirkan alasan. Apa sebenarnya yang dimahukan jika meredah hutan? Apa istimewanya mengembara dalam belantara tebal?

"Hamba dilahirkan dalam kemodenan masyarakat..celiknya mata setiap hari, bertemankan lampu yang menerangi..tidak pernah mengenal apa ertinya hidup dalam kegelapan tanpa cahaya..setiap kali perut meragam minta disuap makanan pula, semuanya telah tersedia hanya perlu dipanaskan ke dalam kuali..tidak perlu mencari segala bahan untuk dimasak..segalanya telah tersedia dengan mudah sekali..ada kalanya hamba berfikir, bagaimana jika suatu hari nanti, semua kemewahan itu direntap pergi begitu sahaja..?? Saat itu hamba mungkin tidak punya sebarang pengalaman hidup dalam kesusahan..tidak ada ilmu mengenai alam, tidak ada ilmu mengenai ikhtiar hidup dan mungkin juga tidak ada ilmu mengenai apa-apa pun tentang erti kesusahan..jika masuk meredah belantara, semua itu berubah sama sekali..hanya berbekalkan pengalaman serta ilmu yang dibaca sepanjang masa, hamba cuba mencabar diri untuk mengikhtiarkan cara untuk terus hidup..mencari hasil hutan untuk dijadikan makanan, membina sendiri penempatan hamba menggunakan kayu hutan dan macam-macam lagi..namun tak semua orang berfikiran begitu..bagi mereka, untuk apa bersusah payah hidup kembali dalam kesusahan di kala kemodenan semakin memesat di zaman hamba.." Raihan terhenti menghela nafas panjangnya. Nadanya seolah bersalut kecewa.

"Kerana pemikiran itulah, ada sesetengah anak muda terutamanya, gagal dalam usaha kemandirian diri..gagal dalam usaha untuk terus hidup jika ditimpa kesusahan..kerana mereka sudah terbiasa hidup bertemankan peralatan canggih dan moden..dimanjakan dengan segala kemewahan hidup..hamba gusar, masyarakat akhirnya alpa dalam arus kemodenan hingga akhirnya memakan diri sendiri.."

Kemodenan bermulanya dari kepayahan. Namun kemodenan jugalah yang akhirnya menyusahkan manusia.

"Dan apa yang kau dapat setiap kali kau meredah segala belantara tebal ini..??" Soal Tabib Fansuri lagi. Raihan termenung seketika. Hanya satu jawapan yang bermain di fikirannya.

"Kepuasan.." perasaan puas itu hanya dapat dirasai kepada mereka yang benar-benar menikmati segala kepayahan itu. Sengsara dalam belantara, hanya pengembara sahaja yang tahu. Seksanya menongkah bukit meredah belukar, hanya pendaki sahaja yang tahu. Begitulah lumrah dunia, saat hidup mula dibayangi kesenangan, segala kesusahan lama mula dilupakan. Seolah jasa lama itu tidak pernah menabur bakti kepada arus kemodenan dewasa itu.

"Hanya semata kerana kepuasan diri..kau sanggup menyeksa diri..??" Makin galak soalan terpacul dari mulut Tabib Fansuri. Kata-kata anak muda itu walaupun ada butirnya tidak difahami, namun tegasnya nada itu berkata benar-benar memikat hatinya. Pendirian anak muda seperti itu ibarat seorang pahlawan yang tidak mengenal erti putus asa dalam perjuangan.

"Andai keseksaan itu mampu mengajar hamba ertinya kesusahan..hamba rela menempuhinya Tabib.."

Jawapan akhir Raihan menamatkan perbualan antara dua manusia berlainan zaman itu. Walaupun hakikatnya sukar difahami oleh Tabib Fansuri, namun dia yakin, anak muda bernama Raihan ini pastinya seseorang yang mempunyai peribadi tinggi. Anak muda ini pastinya telah menikmati segala apa yang dikehendakinya. Sehingga suatu masa mung dia terfikir sendiri..'apa sebenarnya tujuan aku hidup di dunia ini..??'
Tabib Fansuri akur dengan setiap jawapan yang diberikan Raihan. Lantas dibiarkan sahaja Raihan meranduk semak mencarikan daun senduduk putih untuk dijadikan penawar pada Dewi. Lama dia menanti sambil menikmati nyaman angin petang, Raihan menjerit dari celah belukar mendapatkan dirinya.

"Hamba dah dapat daun senduduk putih Tabib..!" Pohon renek yang direntap Raihan dibawanya menghampiri Tabib Fansuri. Setelah diteliti dan dibersihkan daun itu, Tabib Fansuri bingkas bangun lalu memeluk erat bahu Raihan.

"Ayuh kita pulang ke istana.." ujarnya lalu melangkah pergi menuju ke Istana Indera.

No comments:

Post a Comment