Tok Kelana mengepalai perjalanan menyusuri denai menuju ke Telaga Air Biru. Fawas dan Juara memapah Dewi yang telah sedarkan diri sejak diberi herba penawar dari Tok Kelana. Tok Aduka turut mengiringi mereka ke kawasan jeram yang menjadi persempadanan antara manusia dan siluman itu. Langkah diatur penuh rapi kerana gusarkan andai ada musuh yang mengintai dan mencari peluang untuk menyerang. Kerana jembalang sentiasa berkeliaran mencari peluang untuk membinasakan kaum siluman.
"Kita nak kemana abang Juara..??" lemah ucap kata Dewi. Pucat di wajah jelas kelihatan. Semalaman sudah dia menahan perit akibat diracun oleh jembalang.
"Kau akan ke dunia manusia Dewi..kau akan diubati di sana.." Juara sekadar mengatakan apa yang perlu. Kerana yang lebih tahu tentang perihal itu hanyalah Fawas dan Tok Kelana. Dua siluman itu sahaja yang tahu apa sebenarnya rancangan mereka ke sana.
"Tak usah bercakap banyak Dewi..kau masih tidak cukup kekuatan..perjalanan kita akan mengambil masa yang panjang..kau berehatlah sekarang.." Fawas pula bersuara cuba memujuk. Dia tahu Dewi mula resah dek kerana terkekang pergerakannya. Luka di lengannya dibalut dengan daun senduduk yang telah dilumuri dengan herba untuk mengurangkan bisa luka.
"Lepaskan aku..!" Dewi meronta. Dia merengus agar Juara dan Fawas tidak lagi memapahnya seperti anak kecil.
"Dewi..kau belum cukup kuat untuk berjalan sendiri..tubuhmu masih dipenuhi racun..kau harus berehat.." sekali lagi Fawas cuba menasihati.
"Benar kata Fawas itu Dewi..biar kami papah kau hingga ke Telaga Air Biru.." Juara turut menyokong kata-kata Fawas.
"Ahhh..!!" Dewi meronta keras lalu ditolaknya Fawas sehingga terjatuh di celahan semak. Juara masih cuba bertahan sambil memaut teguh bahu Dewi.
"Lepaskan Dewi abang Juara..!" rontaan Dewi kali ini lebih kuat. Dalam terpaksa, Dewi dilepaskan jua dari pautan. Dewi cuba meneguhkan kakinya untuk berdiri sendiri. Segala sendi dirasakan seperti tiada bersambung. Darah yang mengalir dalam badan seolah bergelodak ingin memancut keluar. Bahang dalam tubuh dirasakan seperti ada unggun yang menyala membakari dalam tubuhnya. Dewi mengerang cuba melawan kesakitan.
"Usah dilawan sakit yang terasa Dewi..makin kau melawan, makin kuat racun itu akan membunuhmu.." Tok Aduka kasihan melihatkan Dewi yang bersusah payah sendirian mahu berdiri. Juara dan Fawas yang cuba memapahnya semula turut ditolak ke tepi. Dia tidak mahu dibantu. Sakit itu biar dia sendiri yang menanggung.
"Dewi tahu apa yang Dewi rasakan Tok Aduka..Dewi boleh melawannya.." Tok Aduka sekadar menggeleng. Perangainya tidak tumpah seperti ayahnya sendiri fikir Tok Aduka. Degil!
"Kita berehat sebentar disini.." ucap Tok Kelana. Keadaan Dewi melengahkan lagi masa untuk mereka menuju ke sempadan. Tok Aduka merapati Tok Kelana. Dia dilambung resah. Keputusan terakhir Tok Kelana yang membelakangi Aturan Muluk benar-benar meresahkannya.
"Fikir sehabis masak Kelana..aku cuma gusarkan peristiwa lama akan kembali terjadi..lebih-lebih lagi pabila manusia di sana mengetahui siapa Dewi dan Fawas sebenarnya.." pujuk Tok Aduka kesekian kalinya. Minta agar Tok Kelana membatalkan hasratnya untuk melepaskan Dewi dan Fawas ke dunia manusia.
"Pilihan ini yang terbaik Aduka.." pendek jawapan Tok Kelana. Pandangannya dialihkan melihat ke arah Dewi yang ditemani Fawas dan Juara. Dewi tersandar lesu ke dinding batu besar bersebelahan jeram. Juara dan Fawas hanya berkawal melihatkan sekeliling. Denai itu suram, tiada bunyian unggas yang kedengaran. Belantara yang sunyi bermakna ada sesuatu yang tidak kena dari kebiasaan.
"Kau tidak boleh memecahkan rahsia tentang kaum kita kepada manusia..mereka tidak boleh tahu akan kedatangan kamu kesana sebagai kaum siluman..kamu akan berdalih seperti seorang manusia..jangan sesekali pernah menyebut tentang perkara yang mereka tidak ketahui.." Tok Kelana menujukan kata-kata itu kepada Fawas. Tanggungjawab yang dipikulnya bukan ringan. Dewi harus dipastikan dirawat sehingga sembuh dan rahsia tentang mereka juga perlu ditutup rapi.
"Andai mereka bertanya akan asal usul kami Tok Kelana..apa yang perlu kami katakan..??"
"Katakan sahaja asalmu dari perkampungan kecil di balik bukit..kau dan Dewi sedang meranduk belukar untuk mencari rotan..lalu diserang jembalang sehingga melukai Dewi.." terhenti bicaranya sebentar melepaskan batuk. Fawas tekun mendengar amanat dari Tok Kelana.
"Mereka pasti akan membantumu..cuma satu pesanan diriku, jangan pernah sekali pun kau hebahkan kepada mereka tentang perihal kita yang sebenar.."
Begitulah pesanan Tok Kelana sejak dari semalam padanya. Fawas mengingati tiap bait pesanan Tok Kelana dan disematnya dalam diri. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
"Seperkara lagi Fawas..jika kau mengalami sebarang musibah ketika di sana, datanglah ke Telaga Air Biru dan serulah namaku..akan segera aku ke sana untuk membantumu sekiranya perlu.." kata akhir Tok Kelana sebelum dia bingkas bangun semula. Perjalanan mereka diteruskan sehingga ke Telaga Air Biru.
Setibanya di jeram berhampiran dengan Telaga Air Biru, semuanya terhenti apabila melihatkan lambakan dedaun layu bertaburan di lantai bumi. Sebatang pohon hutan yang selama ini meneduhkan dan menjadi penanda kepada Telaga Air Biru meluruhkan daun sehingga tiada yang berbaki di rantingnya. Petanda yang tidak disenangi Tok Aduka. Pelik kerana pohon lain di sekeliling itu elok sahaja berdaun dan berputik bunga. Hanya pohon bersebelahan telaga itu sahaja kelihatan seolah mati tiada berdaun.
"Kelana..apakah tandanya semua ini..aku tidak merasakan ini adalah langkah terbaik untuk kita..rancanganmu itu seharusnya kita batalkan..aku benar-benar risaukan ini adalah petanda kita akan dilanda musibah..kita harus menjauhi manusia.." Tok Aduka berbisik bersebelahan Tok Kelana. Tidak pernah dilihatnya kejadian sebegitu rupa. Dia yakin itu adalah petanda dari alam. Alam cuba mengatakan sesuatu kepada mereka dengan caranya yang tersendiri.
Tok Kelana mengambil masa yang agak lama untuk memutuskan apa yang dilihatnya. Namun dia tetap berbelah bahagi. Jika dilepaskan Dewi ke dunia manusia, maka terputuslah sementara perhubungan antara dia dan anaknya itu. Terputus hubungan bererti dia tidak berupaya melindungi diri anaknya itu sebaik mungkin. Dia hanya mampu berharap agar perkara buruk tidak lagi menimpa Dewi selepas ini bila dia berada di sana.
"Aku yakin dengan keputusanku Aduka..daun yang gugur ini mungkin satu petanda..namun aku nekad, jika sebarang bencana menimpa kaum siluman kita selepas ini, aku akan bertanggungjawab penuh ke atas segalanya.."
"Tapi yang kau pertaruhkan ini adalah nyawa kami..! Siluman yang selama ini setia bersama kau..apa kau mahu lihat kami bergelimpangan bermandi darah semata kerana ingin mengikuti kehendak kau menyelematkan Dewi..??" Tok Aduka naik berang. Dia masih cuba mempertahankan Aturan Muluk yang telah termaktub.
"Tiada tapi lagi Aduka.." keluh Tok Kelana menepis.
"Tok..benar kata Tok Aduka..marilah kita ikhtiarkan cara yang lain asalkan Dewi dan Fawas tidak diapa-apakan di dunia manusia nanti..Juara turut merasakan tidak enak dengan petanda ini..sememangnya kita tidak wajar berhubung lagi dengan golongan manusia yang durjana itu.." Juara mencelah menyatakan pendapatnya pula. Hatinya turut dilambung resah.
"Kau tidak tahu menahu akan perihal manusia Juara..! Usah kau berkata perkara yang tidak pernah kau ketahui..kau masih mentah..!" herdik Tok Kelana ke atas Juara.
Untuk seketika suasana di Telaga Air Biru itu menjadi tegang. Perbalahan antara Tok Aduka dan Tok Kelana meleret daripada semalam hingga ke hari ini. Juara pula menyokong segala pendapat Tok Aduka. Segala itu menjadi celaru di mata Dewi. Dia tahu segala yang direncanakan adalah untuk kebaikan dirinya. Tapi apa guna jika pertalian sahabat bertukar menjadi musuh dek kerana dirinya.
"Biarlah Dewi pergi seorangan ke sana..sesudah sahaja selesai Dewi berubat, Dewi berjanji akan segera pulang ke tempat asal kita..Dewi juga turut berjanji tidak akan bercerita apa kepada mereka tentang kita..usahlah kita bertengkar kerana hal yang remeh seperti ini.." Dewi yang sejak dari tadi hanya membatukan diri turut mula bersuara. Perbalahan itu makin merunsingkan dirinya. Dia tidak mengerti mengapa hal itu menjadi semakin rumit antara Tok Kelana dan Tok Aduka.
"Aku hanya khuatir Kelana..bukan menidakkan segala perintahmu..namun jika perintah itu adalah punca kepada kemusnahan kaum kita, wajar aku maju ke hadapan untuk menghalang niatmu.." Tok Aduka menyambung hujahnya lagi dan kali ini benar-benar menggetarkan tangkai hati Tok Kelana. Adakah Aduka mengatakan bahawa dia adalah pemimpin yang kejam fikirnya.
"Tidak..! Keputusanku tetap muktamad..!" Usai berkata demikian, tongkat pusakanya dihentak ke lantai bumi. Raut wajahnya menampakkan bengis yang tidak mampu dikawal lagi. Dia nekad. Anaknya itu tetap perlu diselamatkan walau apa cara sekalipun.
Langkah diatur satu persatu di celahan Juara dan Tok Aduka. Nafasnya berombak laju memikirkan jalan terakhirnya. Fikirannya ligat memikirkan kata akhirnya. Keputusan terakhir terletak di tangannya. Penjaga Aturan Muluk yakni pemimpin kaum siluman Gua Muluk. Tok Kelana menghela nafas panjang saat berhadapan dengan Dewi dan Fawas.
"Aku lepaskan hijab atas dirimu berdua dari pandangan manusia..bebaslah kamu mengembara ke sana..pulanglah kamu ke asalmu setelah urusanmu selesai..!" Selendang milik Fawas dan Dewi direntap Tok Kelana. Selendang yang menjadi hijab pelindung kaum siluman kini tidak lagi mendampingi diri mereka. Terlihatlah mereka pada pandangan manusia selama mana selendang itu berpisah dari mereka. Daun mati yang gugur ke bumi berterbangan saat tongkat pusaka Tok Kelana dihentak ke bumi buat kali kedua. Dia nekad. Fawas dan Dewi harus dilepaskan ke dunia manusia.
"Pergi..!!" tengking Tok Kelana ke arah Dewi dan Fawas. Dia berpaling mengadap Juara dan Tok Aduka yang membelakanginya. Tongkat pusaka dikepangnya melintang mengawasi Fawas dan Dewi. Kali ini, tiada siapa akan mampu menghalangnya. Termasuklah Tok Aduka. Fawas berlari anak sambil memapah Dewi. Sesekali dikerlingnya lihat ke belakang. Jelas Tok Kelana seorangan cuba melindungi dirinya dan Dewi.
"Kita harus pantas lagi Dewi.." Fawas memaksa Dewi untuk mempercepatkan langkahnya. Biar semakin jauh mereka dari kawasan itu, semakin cepat Dewi akan dirawat. Melihatkan Tok Kelana seorangan di belakangnya mula melahirkan rasa tidak senang dalam hatinya. Entah mengapa hatinya berat mengatakan ada sesuatu akan terjadi pada siluman tua itu selepas ini. Namun dia enggan berpatah semula kerana amanah yang dibekalkan padanya harus dilaksanakan sebaik mungkin.
"Mengapa ayahku lagaknya seperti mahu berperang Fawas..??" suara Dewi lemah. Namun diusahakan jua melangkah menjauhi mengikuti rentak langkah Fawas.
"Aku tak pasti..namun yang jelas, Tok Aduka seperti tidak senang dengan keputusan ayahmu Dewi.."
Mereka terus berlari semakin menjauhi kawasan itu. Denai yang terbuka luas memudahkan lagi mereka untuk berlari pantas. Sempat dijengahnya melihat ke puncak bumi. Awan gelap mula berarak menggelapkan suasana. Sinar sang mentari ditutup awan gelap. Rintik hujan mula menerpa turun membasahi tubuhnya. Hatinya makin berdebar dengan keadaan itu. Langkahnya terhenti bila tiba di suatu selekoh. Bayangan yang menerpa di hadapan mereka telah merencatkan perjalanan itu. Fawas tergamam. Dewi mengeluh berat.
"Jembalang.." ulas kata yang terpacul di mulut Dewi saat melihatkan Cempaka Sari berdiri tepat berhadapan dengan mereka. Pawang jembalang yang menjadi orang kanan Buragas untuk melakukan setiap kerja terkutuk itu berada tepat menghalang laluan Fawas dan Dewi. Mereka terhalang laluan. Hanya satu cara untuk meneruskan perjalanan, seseorang harus menentang Cempaka Sari.
"Kau percayakan aku Dewi..??" Tutur kata Fawas mendebarkan Dewi. Namun dia sekadar mengangguk mengiakan. Aliran deras jeram diperhatikan Fawas seketika. Hanya itu sahaja cara yang terbaik untuk menyelamatkan Dewi.
"Maafkan aku Dewi.." tubuh Dewi segera ditolaknya ke arah tebing jeram. Dewi berguling jatuh lalu terus mendiami aliran deras jeram. Dia dihanyutkan pergi meninggalkan Fawas keseorangan berhadapan dengan Cempaka Sari.
"Bijak pilihanmu anak muda..tak kusangka kau memilih untuk mati semata-mata untuk menyelamatkan dara siluman itu.." Cempaka Sari tergelak kecil mempersendakan tindakan Fawas. Cemeti halus dihayunnya menyilang di hadapan Fawas. Lembing hitam jadi senjata untuk Fawas mempertahankan dirinya.
"Selagi darah masih mengalir dalam tubuh ini..tiada siapa yang mampu mendekati Dewi.." ucap Fawas menghunuskan hujung lembingnya ke arah Cempaka Sari. Nyawanya menjadi taruhan tika berhadapan dengan Cempaka Sari. Jembalang itu nyata dalam kelasnya sendiri. Fawas tidak mampu menduga apakah helah jembalang betina itu terhadap dirinya.
"Bersedialah untuk mati.." ujar Cempaka Sari lantas menghayun cemetinya hinggap membaluti leher Fawas.
TOK KELANA bernafas lega melihatkan Dewi dan Fawas telah hilang dari pandangannya. Tok Aduka dan Juara diselam rasa resah. Pemergian Dewi dan Fawas telah merencatkan segala perancangan. Tok Aduka mengeluh berat.
"Aku tidak menyangka kau benar-benar sanggup membelakangi Aturan Muluk yang telah kau ikuti selama ini Kelana..kerana satu nyawa kau sanggup mengkhianati Aturan Muluk yang kau tetapkan..selama ini segala yang aku rancangkan menjadi semakin rumit..!" kata-kata Tok Aduka benar-benar berbeza dengan dirinya sebelum ini. Perancangan apakah yang telah direncanakan sehingga sanggup membelakangi Tok Kelana?
"Saat dari kita dihalau pergi kaum manusia, aku fikirkan kau menaruh dendam pada mereka..aku merasakan yang kau akan membalas dendam ke atas mereka suatu hari nanti Kelana..dendam yang telah lama kita pendamkan sehingga ke hari ini.."
Wajah Tok Kelana berkerut dengan kata-kata Tok Aduka.
"Apa sebenarnya yang cuba kau katakan wahai Aduka..??"
To Aduka mendongak wajah melihatkan Tok Kelana.
"Kerana kau berhati lembut terhadap manusia, kita dipijak dan terasing di bumi sendiri..! Saudara mara kita dibunuh dahulu tanpa ada pembalasan daripada kita..isteriku mati dipanah manusia..anakku mati ditikam manusia..nyawa mereka melayang tanpa ada pembalasan dari kita..!" Tok Aduka mengungkit kisah lama. Suatu peperangan antara siluman dan manusia seketika dahulu dijadikan buah mulutnya.
"Dan kini kau menjalin hubungan semula bersama manusia..!!" jerit Tok Aduka berhadapan dengan Tok Kelana.
"Aduka..! Segala itu angkara jembalang yang menjadi batu api antara kita..kau juga tahu bahawa jembalanglah yang membunuh keluargamu..bukannya manusia..!" Tok Kelana menegakkan kebenaran yang sememangnya terjadi suatu ketika dahulu.
"Ahh..karut..!!" Tok Aduka menempelak kata-kata Tok Kelana.
"Kerana kita percayakan manusialah kita dipijak dan tidak dilindungi akhirnya..kerana kedegilan kau menidakkan bantuan manusia kita jadi sebegini..!" sambung Tok Aduka lagi. Hilang sudah rasa hormatnya pada Tok Kelana. Dirinya kini dibelengu kisah lama.
"Tidak Aduka..jembalang sengaja menggunakan senjata manusia untuk mengelirukan kita..kau perlu ingat yang selama ini kita menyendiri bukan kerana risaukan kelibat manusia..tetapi demi menjaga keharmonian belantara ini jua.."
"Karut..! Usah kau kaitkan perihal jembalang dalam persengketaan antara kita dan manusia..!"
Rintik hujan makin melebat turun. Tok Kelana berdiri membelakangi jeram. Deras air yang mengalir makin menderu saat hujan kian melebat. Kuyup keseluruhan tubuhnya menahan percikan air hujan yang membasahi bumi.
"Kelanaaaaaa..!" garau suara yang muncul dari celah semak di kiri tubuhnya amat dikenali Tok Kelana. Sudah terlalu lama tidak didengarinya suara itu.
"Buragas..!" Jembalang itu muncul merapati ketiga-tiga siluman itu. Di belakangnya diekori puluhan jembalang kecil yang menjelirkan lidah sambil mengheret senjata milik mereka. Langkah mereka terhenti saat Buragas berhadapan dengan Tok Kelana.
"Sudah terlalu lama kita tidak berjumpa Kelana.." Buragas memerhatikan Tok Kelana dengan pandangan tidak berkelip. Wajahnya penuh bernafsu melihatkan siluman tua itu. Musuh lamanya yang sentiasa diingatinya. Dendam lama dibawanya bersama untuk dilangsaikan.
"Selama ini kau bersetongkol bersama jembalang Aduka..??" Soal Tok Kelana bila melihatkan Tok Aduka langsung tidak berganjak tika Buragas menghampirinya.
"Kerana kelemahanmu Kelana aku berpaling..aku telah berjanji dengan jembalang agar hutang lamaku pada manusia dilunaskan..!"
Buragas tertawa besar. Nyata kealpaan Tok Kelana kerana mempercayai Tok Aduka selama ini menjadi bahan jenakannya. Terlalu mudah siluman tua itu diperdayakan.
"Bermakna memang kau yang sengaja merancang segala ini..?? Kerana itulah kau gusar tika aku membuka laluan antara siluman dan manusia..kerana kau tahu hanya manusia sahaja mampu membinasakan jembalang..!" Tok Kelana dapat akhirnya mengagak permainan Tok Aduka. Baru kini dapat difahaminya mengapa Tok Aduka berkeras menidakkan kemahuannya menghantar Dewi berubat di dunia manusia. Rupanya segala perancangannya akan terbantut jika manusia terlibat sama dalam kejadian itu.
"Benar Kelana..! Namun aku tidak gentar..kerana kini Cempaka Sari pasti telah menyiat-nyiat kulit Dewi dan Fawas di hujung sana..aku yakin mereka tidak akan bertemu dengan manusia..!" Berdekah tawa Tok Aduka dan Buragas mengenangkan nasib dua siluman yang sedang bertarung nasib dengan pawang jembalang itu.
Tok Kelana dikelilingi puluhan jembalang kecil. Juara mendekati Tok Kelana sambil menghunuskan pedangnya. Nyawa pemimpin kaumnya itu perlu dilindungi.
"Juara..kita tidak akan membiarkan petualang itu mengadakan kacau bilau kepada kaum kita..!" Tok Kelana menggenggam hulu tongkat pusakanya seerat mungkin. Nyawanya mungkin melayang hari ini. Namun dia tidak akan berserah mudah sebegitu sahaja.
"Baik tok.." ujar Juara berdiri bersebelahan dengan Tok Kelana. Matanya menyorot sipi melihatkan Tok Kelana yang telah bersedia untuk bertindak.
Hujung pedang dihayunnya deras ke arah tongkat pusaka Tok Kelana lalu menerbangkan tongkat itu jauh darinya. Juara tersenyum sinis. Tok Kelana bertambah bingung.
"Juara..??" Soal Tok Kelana tidak percaya.
"Ya..Juara juga adalah petualang yang kau maksudkan tadi wahai Kelana.." berderai lagi tawa antara kesemua yang mengelilingi Tok Kelana. Segalanya sudah jadi nyata. Jelas sudah siapalah pengkhianat di kalangan siluman yang selama ini berlindung atas wajah mulus. Namun hati masing-masing telah bertukar hitam dihasut jembalang.
"Aku percayakan kau seperti anakku sendiri Juara.." keluh Tok Kelana.
"Kerana kelemahan itulah kau terlalu mudah untuk ditumpaskan Kelana..kau tidak tahu membezakan antara musuh dengan rakanmu sendiri..!" Tok Aduka menggapai erat tongkat pusaka milik Tok Kelana. Dia tersenyum girang di bawah hujan yang mencurah turun.
"Segala perancanganku selama ini jadi rosak kerana sikapmu Kelana..aku menyangka bila Dewi aku cederakan, kau tidak mampu untuk berbuat apa..tapi tak kusangka kau sanggup membelakangi Aturan Muluk lalu bergantung pada manusia..segalanya jadi rosak bila kau memutuskan sebegitu..!"
"Itu bermaksud..kau memang sengaja ingin membunuh Dewi..?!" Herdik Tok Kelana.
"Benar..kerana aku mahu kau melihat sendiri kesengsaraan anakmu mati di hadapanmu..saat kau kemurungan itu akan kau kuhasut untuk mengadakan kacau bilau di belantara ini..ketika itulah aku akan melunaskan dendamku pada manusia..!"
"Pembelot..!"
Belum sempat Tok Kelana menghabiskan kata-katanya, Juara telah menghayun hujung pedangnya ke arah kepala Tok Kelana. Tersembam siluman tua itu ke lantai bumi berlumuran darah. Aliran air hujan membukat berona merah mengalir ke dalam jeram. Semua yang ada di situ tertawa kepuasan. Buragas paling teruja. Musuhnya itu kini dalam genggamannya.
"Kau berhak lakukan apa sahaja pada dirinya Buragas..pastikan dia tidak kembali ke Gua Muluk..ingat perjanjian kita..!" Tegas Tok Aduka lantas mendongakkan wajah Tok Kelana yang tidak sedarkan diri.
"Akulah pemimpin agung siluman Gua Muluk..!" berderai tawanya melihatkan wajah bekas rakan karibnya itu berlumuran darah. Kini rakan menjadi lawan. Kerana dendam itu memungkinkan segalanya. Juara turut tersenyum melihatkan Tok Aduka.
Cempaka Sari muncul dari arah denai sambil mengheret cemeti halusnya. Buragas dan Cempaka Sari bertukar pandangan. Sesuatu dibisikkan pada Buragaa saat mereka bertentang muka.
"Bodoh..!" tempik Buragas penuh kebencian. Cempaka Sari berundur menjauhi. Hujung cemetinya yang berlumuran darah dibasuh dengan laluan air hujan yang mengalir.
"Dewi terlepas dari genggaman Cempaka Sari.." ucap Buragas pada Tok Aduka. Keresahan kembali membaluti wajahnya.
"Tak mengapa..akan kuuruskan hal itu nanti.." ucap Tok Aduka lalu bangun mendepani Juara.
"Kau pasti tahu apa yang perlu dilakukan.." ucapnya. Juara sekadar mengangguk.
Buragas berlalu pergi meninggalkan Tok Aduka dan Juara sambil mengheret Tok Kelana. Belukar diranduk dalam hujan meninggalkan kawasan Telaga Air Biru itu. Meninggalkan Juara dan Tok Aduka di hujung jeram itu.
"Tahniah tok.." ucap Juara tersenyum lebar.
"Tanhiah kerana tok kini adalah ketua pemimpin kami kaum siluman.." terbahak-bahak mereka tergelak lalu bergerak pulang menuju ke Gua Muluk. Sesuatu perlu direncanakan setibanya nanti mereka ke Gua Muluk. Helah perlu mereka kemukakan pada sekalian kaum siluman tentang kematian Tok Kelana, Fawas dan Dewi di tangan manusia. Hebahan perkara itu perlu dibangkitkan agar semua siluman menaruh dendam dan akan menuntut bela atas kematian tiga siluman itu. Perancangan Tok Aduka tampak cerah disamping Juara yang sentiasa mendampinginya.
No comments:
Post a Comment