Sunday 24 May 2015

Dewi Siluman Senja 16

                Dewi menyepi diri di dalam kamar tidurnya. Bersendirian meratap kehilangan. Relung hati dihempas kebencian yang menggunung. Apa sahaja makanan yang dihantar padanya, pasti akan ditepisnya ke lantai. Sejak Ashuri mengarahkan agar dia dikurung di kamar, tidak pernah sekali pun dia datang menjenguk. Dia dibiarkan sendiri di dalam kamar itu seperti tahanan perang. Hanya Tabib Fansuri dan Musliha sahaja dibenarkan memasuki kamar itu untuk merawat luka di lengan atau menghantar makanan. Selebihnya, hanya pengawal dan dayang istana sahaja yang menguruskan.
            Pintu kamar terbuka luas saat dia termenung mengenangkan pemergian Fawas. Musliha berdiri pegun di tabir pintu sambil diekori pengawal istana. Dia turut dilambung duka. Entah mengapa Dewi diperlakukan sebegitu oleh Ashuri. Tiada siapa yang ketahui. Pengawal diarahnya menunggu di luar sementara dia menghantar makanan.
            “Senja..makanlah..dari semalam kau tak makan apa pun..” rayu Musliha dengan setatang makanan di telapak tangannya. Kasihan melihatkan Dewi mendera dirinya seperti itu.
            “Keluar..aku tak mahu sesiapa menggangu..” ucapnya perlahan. Wajah Musliha yang bersimpuh di hujung katil langsung tidak dipedulikannya. Jauh sekali hendak diajaknya berbual.
            “Kalau kau tak makan nanti kau jatuh sakit..” pujuk Musliha lagi. Lembut tuturnya agar hati Dewi menuruti kata-katanya itu.
            “Apa guna hidup andai tiada lagi ertinya..dikurung seperti ayam sabungan, ditambat seperti lembu belaan..kau menyukainya..??” bentak Dewi perlahan. Sudah dua hari dia diperlakukan sebegitu. Segala tindak-tanduknya terbatas.
            “Aku rasa Ashuri mesti ada sebab yang tertentu..kalau tak, takkan dia tambat kau kan..?? takkanlah dia nak buat kau jadi kambing golek pulak kan..??” seloroh Musliha. Dia sedar ketegangan itu harus diredakan. Tidak mungkin dibiarkan berlarutan. Kelak yang binasa adalah diri Dewi sendiri. Muslihat untuk memperdayakan Dewi difikirkannya pantas.
            “Huh..!” Dewi palingkan wajah menatapi Musliha. Mencuka wajahnya penuh tanda tanya.
            “Apa maksudmu dengan kambing golek..??”
            “Alahh..kambing yang kena putar-putar atas api tu..batang kayu runcing ditusuk dari punggung hingga tembus ke mulut.. lalu dipanggang untuk diratah dagingnya..” Musliha menahan ketawa. Kerana wajah Dewi dilihatnya mula berkerut mendengarkan kata-katanya itu.
            “Dan aku juga akan dijadikan seperti kambing golek..??” soal Dewi cemas. Tidak menyangka manusia sekejam itu.
            “Ha ah..untuk pesta di istana..” Musliha beria mengangguk. Bibirnya dikemam. Dengan harapan wajahnya ketika itu langsung tidak menampakkan yang dia sedang melakukan helah.
            “Tapi hanya selepas kau mati, barulah mereka akan menggolekkan kau..” sambungnya lagi.
            Dewi terpempan. Air liurnya diteguk entah keberapa kalinya. Kesat. Rasa marah telah berlalu pergi seketika. Kerana rasa gundah pula telah mengambil tempat.
            “Ta..tapi..aku masih lagi hidup..belum lagi mati..” bidas Dewi untuk menenangkan diri.
            “Kau pasti akan mati juga kalau kau tak menjamah makanan Senja..” sepinggan makanan diacahnya kepada Dewi. Permainan mindanya tampak seperti berjaya. Kerana Dewi seolah terpedaya dan mula mempercayai dakyah palsunya itu. Dewi sekadar memerhatikan sepinggan ubi kayu rebus yang dihalakan padanya. Teragak-agak.
            “Baiklah..aku makan..tapi ini bukan bermakna aku termakan dengan pujuk rayu kau..tetapi kerana aku perlu terus hidup..supaya aku dapat terus memikirkan cara untuk keluar dari istana ini..” pinggan di telapak tangan Musliha dicapainya. Ubi kayu rebus disuapnya perlahan. Memang dia kelaparan, tapi sengaja dia menyeksa diri.
            “Dan untuk mengelakkan kau dari menjadi kambing golek di istana ini..” sambung Musliha semula dengan kenyitan di hujung mata kirinya. Dewi mengangguk bersetuju. Kusyuk dilihatnya Dewi yang mengunyah satu persatu ubi kayu rebus yang dibawanya ke dalam kamar itu. Ralit dia mengupas kulit dan mengasingkannya di dalam pinggan. Musliha berdiam diri seketika sementara membiarkan Dewi menghabiskan makanannya itu.
            “Senja…siapa Fawas..??”
            Suaan ubi kayu rebus ke mulut terhenti setelah mendengarkan nama itu. Nama yang sememangnya amat dirindui Dewi, kini meniti pula di bibir Musliha. Wajah itu diperhatikannya lama. Pinggan yang terletak di atas ribaan diletakkan ke atas katil sebelum pertanyaan itu dibalasnya. Seketika dia termenung.
            “Sahabat..” ringkas jawapan Dewi namun cukup mudah untuk difahami maksudnya.
            Berjuta rakan di luar sana belum tentu dapat melahirkan seorang sahabat. Sahabat yang tersenyum saat kita bergembira dan berduka saat kita bersedih. Bukannya rakan yang sekadar bersorak tatkala keriangan bersama dan mencemuh di saat kesusahan melanda. Dan Fawas adalah sahabatnya. Yang akhirnya sanggup bekorban untuk dirinya.
            “Sewaktu aku ke sini..dialah penemanku..namun kami terpisah kerana diserang jembalang..dan kali terakhir aku melihatnya, dia telah pun terkujur ditikam oleh Ashuri..” kembali diselubungi kesedihan, air matanya menitis tanpa disedari.
            “Dan pastinya dia adalah sahabat yang sentiasa melindungi kau selama ini kan..??” celah Musliha. Dia memahami isi hati Dewi. Cukup dia mengerti tentang apa yang bermain di dalam hatinya saat itu. Kehilangan, kebuntuan, kesuraman. Kerana Musliha, dia turut merasakan rasa yang sama. Seperti mana dia kehilangan Raihan ketika itu.
            Dewi mengangguk lesu. Tubuhnya dirangkul perlahan Musliha merapati ke tubuh. Denyut nadi Dewi dirasakan berdenyut perlahan. Bahang tubuhnya juga dirasakan cukup aman.
            “Denyut nadi kau masih bertahan kerana adanya rindu, detap jantung kau masih berdegup kerana adanya cinta..” bisik Musliha perlahan ke cuping telinga Dewi. Ketika itu dapat dirasakannya seolah perasaan antara mereka menjadi satu. Keselesaan ketika itu, hanya dia sahaja yang memahami.
            Perlahan tubuh Musliha ditolak Dewi. Kerdipan kelopak mata itu diperhatikannya. Tulus.
            “Apa maksudmu Musliha..??”
            Musliha sekadar tersenyum. Nafasnya dihela lembut cuba menenangkan semula gelora hatinya yang turut berombak. Sengihan di wajah cuba menenangkan untuk Dewi. Mungkin apa yang dibisikkannya tadi terlalu mendalam maknanya. Jarang sekali dia berpuitis sebegitu. Mungkin juga lidahnya sudah terlalu berkarat untuk berkatakan soal cinta.
            “Istilah sahabat tidak pernah wujud di antara dua lelaki dan wanita Senja..jika kau telah mengangkat Fawas selaku rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, itu maknanya kau sudah selesa bersama dengannya..terlalu selesa..”
            Kerut semakin jelas kelihatan di wajahnya. Dewi dambakan penjelasan yang lebih utuh. Bukan lagi teka-teki di sebalik kata-kata.
            “Ketika dia ada di sisi, pastinya kau merasakan dunia seolah tidak mampu untuk mencarikkan kulitmu bukan..??” soal Musliha.
            Dewi mengangguk. “Benar..”
            “Ketika dia mengucapkan kata-kata padamu, pastinya itu adalah bait kata yang terindah pernah kau dengari bukan..??” soal Musliha lagi.
            Dewi teruskan mengangguk. “Benar.,”
            “Dan pabila dia tiada di sisi, ia adalah kekosongan yang amat menjerihkan untuk kau hadapi bukan..?? kehilangan tempat bersandar saat kau keletihan, kelemasan seolah tiada udara yang mengisi, kebuntuan di dalam kegelapan seolah tiada cahaya yang menerangi..” sambung Musliha kali ini dengan sebaris senyuman terukir di bibirnya.
            Untuk kesekian kalinya, kepala itu diangguknya bersetuju.
            “Benar..” ucap Dewi perlahan. Sayu.
            “Itulah namanya cinta..yang hadirnya tidak pernah kita sedari..adakalanya ketika perpisahan itu terjadi, barulah kita tersentak dengan kewujudannya..ajaib bukan..??” pipi Dewi dielus lembut Musliha. Terdiam Dewi tidak berkutik. Terpaku. Bagai ada badai yang menghempas wajahnya ketika itu.
Lantas segala memori Fawas bersamanya diungkap. Pahit maung mereka redah bersama sedari kecil. Tanpa disedarinya, begitu besar pengorbanan Fawas terhadap dirinya. Segalanya sanggup diharungi Fawas, asalkan kegembiraan dapat dia berikan terhadap Dewi. Pengorbanan itu adalah yang paling agung. Yang tidak pernah disedarinya selama ini.
Dewi tertunduk layu. Semakin bingung jadinya dia dengan segala apa yang diperkatakan Musliha. Mengapa setelah kehilangan barulah perasaan itu muncul? Di saat wajah itu tidak mungkin akan dapat ditatapinya lagi. Di saat bahang tubuh itu tidak dapat dirasakannya lagi. Di saat elus jemari lembut itu hanya sekadar mimpi yang menghuni tidur malamnya. Mengapa?
“Tapi Fawas telah pergi meninggalkan aku Musliha..tak mungkin dapat aku kembalikan dia dalam riwayat ini..walaupun hati ini meronta merindukan dirinya..” biasan mutiara jenih bergenang di kelopak matanya.
“Dia pergi meninggalkan aku, dengan hanya kenangan yang dapat aku simpan di dalam hati ini..” lelehan mutiara jernih itu turun melurut ke pipinya.
“Tidak..lelaki seperti itu tidak mungkin tumpas semudah itu..kerana lelaki seperti Fawas itu, pastinya mengusung semarak cintanya terhadap diri kau..walau tidak terluah, namun tetap diabdikan dirinya untuk menagih cinta dari diri kau..” mutiara jernih yang bergenang di dagu Dewi dikesat Musliha. Jangan biarkan air mata itu menitis lagi. Kerana perpisahan itu belum ada kepastiannya lagi.
“Maksud kau..yang ditikam Ashuri kelmarin, bukannya Fawas..??” sinar kegembiraan seolah kembali mencerahkan harinya. Seri wajah berlampiaskan air mata terlihat jelas. Dewi terpegun. Pandangan langsung tidak dikalihnya daripada Musliha yang tersenyum melihatkan dirinya.
“Mungkin..aku tak dapat katakan lebih daripada itu..tapi aku berjanji akan terus menyiasat perkara itu untuk kau..dengan syarat, kau perlu terus hidup..” pinggan yang berbaki ubi kayu rebus dicapainya semula. Kembali pinggan itu dihulurkan kepada Dewi agar makanan itu dihabiskan.
Dewi mengangguk laju. Walaupun harapan untuk melihatkan Fawas masih lagi hidup seperti dikatakan Musliha adalah terlalu tipis, namun tiada salahnya dia berharap. Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-katanya itu. Jika benar Fawas masih lagi hidup di luar sana, maka dia juga perlu cekal untuk terus hidup. Agar suatu masa, mereka akan bertemu kembali.
“Aku terpaksa pergi dulu Senja..nanti bila petang, aku akan kembali ke sini semula..berjanji dengan aku, kau jangan sesekali lakukan perkara yang bukan-bukan faham..??” Musliha bangkit dari duduknya. Bergerak ke pintu. Dengan nasihat yang meniti di bibir. Dewi mengangguk. Semestinya dia akan terus bertahan. Demi Fawas, segala kata akan diturutinya.
Pintu besar kamar dibuka luas Musliha. Ditutupnya kembali merapat. Dikuncinya dari luar seperti apa yang telah diarahkan. Seketika dia termanggu di hadapan pintu dengan keluhan yang terlalu berat untuk dia lepaskan.
Berkata itu mudah, melaksana itu perit. Bibit-bibit nasihat dirinya terhadap Dewi tadi disematnya dalam diri. Kerana entah mengapa bayangan Raihan seperti tidak mahu pergi dari dirinya saat itu. Dibalut resah adakah wajah itu masih bernyawa di luar sana?
“Bagaimana..??” Ashuri menegur berbisik dari sisi dinding kamar. Dari tadi dia hanya menanti sahaja di situ. Diarahkannya Musliha membawakan makanan, lalu cuba untuk mencungkil rahsia yang disorokkan Dewi.
Musliha mengurut dada melihatkan Ashuri yang menerpa ke arahnya. Seperti orang yang dahagakan air dibawakan air lagak Ashuri ketika itu. Pinggan di tangannya dihulurkan kepada Ashuri. Kosong, tiada berbaki. Ashuri melihatnya dengan senyuman. Akhirnya Dewi mengalah.
“Benarkah dia siluman..?? ada kau bertanya padanya tentang hal itu..??” soal Ashuri tergesa-gesa.
“Tidak..aku tak berani hendak bertanya lebih..” jawab Musliha menyandar tubuhnya pada dinding istana.
“Namun yang pasti..kita perlu mencari Fawas..hanya dia kunci kepada segalanya..” sambung Musliha menutup segalanya. Ashuri terpempan. Mendengarkan segala penceritaan Musliha membuatkan dia tersedar. Satu persatu telah diterangkan Musliha. Sebagaimana Dewi menerangkan kepadanya tadi. Dan kini, jawapan akhir terletak di tangan Ashuri. Kerana dia yang memulakan segala ini.
“Baik..akan aku usahakan..namun, setelah hal ini aku rujuk terlebih dahulu kepada Tabib Fansuri..” jelas Ashuri dengan tenang. Hanya pada Tabib Diraja itu sahaja dia pasti akan mendapat jawapan.


Saturday 23 May 2015

Dewi Siluman Senja 15

            Tok Aduka menyusuri tebing lembap menuju ke bawah sebatang pohon rendang. Daunnya merimbun meredupkan suasana. Laluan di celahan akar pokok sebesar sepuluh pemeluk itu direntasinya. Laluan itu menuju ke kediaman kaum jembalang. Selama ini pohon besar itu mejadi kubu kuat Buragas dan pengikutnya berlindung. Kelam dan tersisih dari keindahan dunia. Kawasan itu jelas kawasan takluk yang dikuasai jembalang.
            Bauan hanyir mula menusuk ke hidung. Cebisan tulang belulang berselerakan di lantai. Dikuisnya dengan hujung kaki. Tok Aduka melihatkan sekeliling andai ada susuk jembalang yang dapat dilihatnya. Jelas kawasan itu kosong tidak berpenghuni. Kemana perginya jembalang teman setongkolnya itu?
            “Tolong aku..” sayup. Suara itu terdengar dari kejauhan. Berbisik tidak bergema di ruangan kelam itu. Dari celahan akar banir yang berselirat di ruangan itu. Langkahnya dibawa menyusuri dinding ruang menuju ke arah sisi yang lebih gelap. Sunyi dan lembap.
            “Buragas..??” anak matanya terpaku pada sekujur tubuh yang terbaring di balik sebuah kurungan. Tika dihampirinya, apa yang disangkanya tadi meleset jauh. Tok Kelana terbaring lesu dengan hujung kaki dan lengannya ditambat. Terkujur tidak bermaya. Hanya lenggok kepala terdaya untuk digerakkannya.
            “Kau..pembelot..!” getus Tok Kelana. Kelibat Tok Aduka yang berdiri di hadapan kurungan jelas dapat dilihatnya. Seorang sahabat yang menikamnya dari belakang kerana diracuni sifat tamak. Dendam dan kebencian sekadar menjadi api yang memarakkan lagi perasaan itu.
            “Kau rupanya..bagaimana keadaanmu di kediaman barumu ini..??” sindir Tok Aduka sambil mencangkung berteguhkan pada palang kurungan. Senang hatinya melihatkan musuh dirinya itu terseksa.
            “Usah kau khuatir Kelana..anak dan isterimu kujaga rapi..malah kubelai helai rambut mereka seperti mana kau lakukan terhadap mereka dahulu..” sambung Tok Aduka lagi dengan senyum yang meleret.
            “Bangsat..!!” menggelupur Tok Kelana meronta. Terik wajahnya bersulam api kemarahan yang menyala. Sindiran itu merobek tangkai hatinya. Seakan jantung berhenti berdegup mendengarkan kata-kata itu.
            “Kau tak akan mampu untuk menewaskan aku lagi Kelana..bersemadilah kau disini sementara aku menyudahkan semua rancanganku..saat semuanya sudah terlaksana nanti, aku pasti kau turut akan tersenyum lega..” tuturnya terhenti seketika. Senyuman terukir penuh sinis.
            “Kerana kau turut akan ditemani oleh roh anak dan isterimu juga akhirnya..namun hanya selepas tubuh mereka aku lapah seperti binatang ternakan..!” ujarnya disusuli tawa yang membingitkan. Kekejaman seolah telah sebati dengan dirinya. Hati kian gelap dirasuk dakwat hitam yang membukat.
            “Kenapa kau sanggup berpaling tadah Aduka..! apa kesalahan aku pada dirimu..?!” serak suara Tok Kelana kian terdengar jelas. Walau dia merasakan tiada lagi harapan untuk dia mengubah segalanya. Namun, selagi nyawa dikandung badan, pasti dia akan memikirkan cara untuk menamatkan segala kekusutan itu.
            “Huh..” Tok Aduka mendengus geram. Berdiri semula dengan pandangan masih tidak dialihkannya dari Tok Kelana.
            “Terlalu mudah untuk kau lupakan kisah yang lalu bukan Kelana..?? bagaimana aku melihat sendiri Seroja dibawa pergi manusia selama-lamanya..dan bagaimana akhirnya dia meninggalkan kita selamanya..kau lupa semua itu..?!”
            “Kerana itu kau pendamkan dendam selama ini..?? pemergian adik kandungku sendiri bersama manusia, itu yang kau ratapi..??”
            Tok Aduka mengeluh berat. Sia-sia  untuk dingatkan lagi perkara itu. Seroja telah lama tiada. Yang tinggal hanyalah perasaan kasih dan sayangnya terhadap Seroja. Dipendam dek kerana cintanya itu dihalang. Kononnya Seroja bukan ditakdirkan untuknya. Masih terngiang kata-kata ayahanda Tok Kelana itu di cuping telinganya selama ini.
            “Biar sahaja aku lunaskan segala hutangku terhadap manusia..sesungguhnya kau tidak akan memahami walau aku terangkan padamu berulang kali..!” bentak Tok Aduka. Palang kurungan dihentaknya kuat melepaskan kemarahan yang bangkit dalam dirinya. Wajah Tok Kelana ditenungnya seketika. Cukuplah sampai disini sahaja persahabatan antara mereka. Laluan hidupnya kini telah terpesong jauh.
            “Kau masih punya masa untuk mengubah segala yang telah kau rosakkan Aduka..usah biarkan hasutan jembalang mengaburi kau..” Tok Kelana tuturkan dengan cermat. Hati rakannya itu perlu dilembutkannya semula. Kezaliman yang telah dilakukannya itu cukuplah dia sahaja yang merasa. Usah dibiar menular pula kepada kaum siluman yang lain.
            Tautan pandangan antara mereka untuk terakhir kalinya. Renungan Tok Aduka berisi dendam, renungan Tok Kelana bersiramkan kasih. Dua sisi yang nyata begitu sukar untuk disatukan.
            “Tidak..ini adalah perjalananku..” ucap Tok Aduka sebelum berlalu pergi. Tekadnya telah terabadi dalam jiwa. Keindahan itu telah lama hilang dalam dirinya. Diusungnya dendam selama ini dalam keperitan yang jerih hendak dipikulnya. Tidak mungkin dia berpaling semula.
            Tok Kelana mengeluh. Hujung kepala disandarkan ke dinding kurungan. Resah. Apalah nasib keluarganya, apalah nasib kaumnya. Kembali terpalit kenangan lama, peristiwa perbalahan antara siluman dan manusia kembali meruntun jiwanya.
            Seroja. Perginya tanpa kerelaan. Dihalau pergi oleh ayahnya dahulu dek kerana kemahuannya bersama manusia. Disumpah dan dilaknat kaum siluman sehinggakan permusuhan itu berlarutan sehingga kini. Semenjak pemergian ayahnya dahulu, pernah jua dia cuba memujuk Seroja untuk kembali bersama mereka. Namun desakan cinta membataskan segalanya. Seroja tetap dengan pendiriannya. Kekal bersama manusia dan matinya juga sebagai manusia.
            Aduka dan Seroja. Teman sepermainan sedari kecil. Riang mereka seperti anak kecil yang lain. Bergelumang dan berkubang bersama anak manusia. Tanpa disangka, Aduka menaruh perasaan cinta pada Seroja. Namun cintanya terhalang dek tegahan ayahandanya Seroja. Nasibnya lebih malang pabila akhirnya Seroja dibawa pergi manusia.
            “Mungkin kerana itu Aduka berdendam..” bisik Tok Kelana perlahan-lahan. Matanya dipejam rapat. Jika dahulu dia berkeras, pastinya segala ini tidak akan berlaku. Dalam kelam dia bertafakur. Mengenangkan segalanya.
            Tok Aduka ralit membelek seketul tengkorak kera ketika dia mendengarkan hiruk pikuk dari luar ruangan kelam itu. Dengusan-dengusan jembalang jelas memecahkan keheningan. Laluan ke ruangan itu diperhatikannya berbekalkan sedikit kesamaran. Obor api yang tergantung di dinding ruangan itu tidak mampu menerangai keseluruhan kawasan.
            Satu persatu jembalang kecil menuruni anak tangga laluan itu menuju ke arahnya sedang berdiri. Terlihatkan Tok Aduka berdiri sendirian, wajah mereka mencemik sambil menghunuskan lembing-lembing ke arahnya. Tok Aduka mereka kepungi dengan rengusan.
            “Bodoh..!!” libasan cemeti hinggap ke tubuh jembalang kecil di sekeliling Tok Aduka. Masing-masing berpeleseran lari dek libasan Buragas terhadap diri mereka itu. Buragas muncul dari puluhan kelompok jembalang yang berkumpul. Wajahnya membengis sambil mengheret hujung cemeti.
            “Mereka dahagakan darah siluman..maafkan sahaja mereka Aduka..” ucap Buragas sambil anak matanya melirik ke arah kelompok jembalang kecil. Jembalang suruhannya untuk melakukan segala kerja terkutuknya.
            “Tidak mengapa..” punggungnya dilabuhkan ke batu berdekatan dinding. Pehanya diusap mengusir hama dan habuk yang beterbangan hinggap pada pakaiannya.
            “Bagaimana Aduka..?? berapa lama lagi harus aku menunggu untuk kau perangi kaum manusia itu..?? apa lagi yang masih bermain di dalam fikiran kau..??” Buragas sekadar mundar mandir di hadapan Tok Aduka.
            “Aku perlukan masa..tidak semudah itu untuk aku yakinkan kesemua pahlawan silumanku..mereka masih lagi ragu-ragu dengan segala perancanganku..” keluh Tok Aduka resah. Walau jembalang ada berjanji padanya, mereka akan membantu dalam serangan itu, namun dia tidak boleh mengambil mudah kekuatan manusia.
            “Hrrrr…hrrrr..” Buragas menderam menahan amarah. Hulu cemeti digenggamnya erat.
            “Kau tidak wajar memaksa aku sebegini..! rancangan ini aku telah susun sebaik mungkin..hanya masa akan menentukan agar ia terlaksana..kau perlu ingat semua itu Buragas..tanpa aku dan kaum silumanku, kau belum tentu lagi dapat laksanakan apa yang kau impikan..!” tegas Tok Aduka bila dilihatnya wajah Buragas mula menerik. Dia yakin jembalang itu mula jengkel dengan dirinya. Namun dek kerana terpaksa, Buragas tetap perlu menuruti segala perancangan Tok Aduka. Kerana hanya itu sahaja caranya untuk dilihatnya kedua-dua kaum itu berbunuh sesama sendiri.
            Dan dia…hanya sekadar menjadi api dalam sekam. Membunuh tanpa perlu mengotorkan jemarinya sendiri.
            “Baik..aku turuti segala kemahuanmu Aduka..namun janjimu untuk menyerahkan seluruh keluarga Kelana padaku nanti, usah kau lupakan..!” amaran itu tegas. Kerana perjanjian antara mereka beruftikan nyawa Tok Kelana.
            “Itu sudah pasti akan aku tunaikan.. cuma..” tutur katanya terhenti seketika. Teringatkan semula Dewi Siluman Bulan yang telah dikurungnya di Gua Muluk.
            “Isterinya Kelana, telah aku kerat lidahnya..tidak mungkin lagi dia mampu untuk meratap atau merayu padamu saat dirinya diseksa kelak..kerana betina sundal itu telah mengetahui akan segala rancanganku..aku tidak mahu dia menghebahkan perkara itu pada yang lain..” telus jawapan Tok Aduka. Buragas mengangguk.
            “Namun dia pastinya masih mampu untuk menjerit dan meraung ketika diseksa nanti bukan..??” sinis soalan Buragas berserta senyuman meleret.
            Pecah tawa antara mereka berdua. Buragas mendengus kelapangan dada. Tok Aduka bertepuk riang. Pastinya melihatkan seluruh keluarga Kelana itu diseksa akan menggembirakan mereka. Seperti melihat ayam sembelihan menggeletek meminta nyawa!
            Dekah tawa memecah keheningan. Tok Kelana perlahan membuka kelopak mata. Hujung kepala dihempasnya perlahan ke dinding kurungan. Meratapi tawa hilai yang terdengar itu. Segala perasaan seolah dibongkah naik hingga menggelodak jiwa dan raganya.

            “Apalah nasibnya keluargaku nanti..” rintihnya tiada kesudahan.

Friday 22 May 2015

Dewi Siluman Senja 14

            Gemerincing mata pedang berlaga sesama sendiri terdengar jelas di sisi kegelapan Gua Muluk. Siluman bertempur sesama sendiri beradu kekuatan. Tombak terhunus ke lantai gua. Pedang dan busur panah tersisip rapi di dinding gua. Sekian lamanya laman gua itu tidak dibanjiri siluman yang perkasa beradu tenaga. Suasana itu berbeza sekali sejak tampuk pemerintahan diambil alih  Tok Aduka. Sejak perkhabaran Tok Kelana yang kononnya dibunuh tanpa belas oleh manusia tersebar, api amarah mereka seolah dicabar. Selama ini menyepi diri dek kerana menuruti Aturan Muluk yang termaktub, ternyata manusia mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka itu.
            “Juara..!” jerit Tok Aduka yang sedari tadi sekadar jadi pemerhati.
            Terhenti langkah Juara yang ketika itu sedang beradu tenaga bersama teman seperjuangannya. Peluh di dahi dikesatnya. Pedang disarungnya semula ke dalam sarung yang tersisip di pinggangnya. Langkah dibawa merapati Tok Aduka yang menggamit dirinya. Selebihnya di laman gua itu sekadar memerhati langkah pahlawan siluman itu menongkah batu besar ke arah pemimpin mereka itu.
            “Kumpulkan seramai mungkin pahlawan di kalangan kita..persiapkan mereka dengan ilmu tempur yang utuh..manusia harus kita perangi secepat mungkin..” jelas Tok Aduka saat Juara berdiri tegak di hadapannya. Helaian janggut dilurutnya dengan wajah yang tegang. Jumlah pahlawan siluman yang dilihatnya itu masih belum memadai.
            “Tidak semuanya bersetuju dengan rancangan tok itu..ada sesetengahnya tetap ingkar dan masih menuruti arahan Tok Kelana dahulu..kata mereka bertempur dengan manusia seolah membunuh diri..kita pasti akan tewas..”
            Giginya meretap geram mendengarkan ulas kata Juara. Apa gunanya menjadi pemimpin jika arahan yang diberi diingkari?
            “Kerahkan semuanya untuk menuruti kata-kataku..! mereka yang ingkar kau bunuh sahaja..! aku pemimpin di kalangan kalian sekarang..! bukan lagi Kelana si bangsat itu..!!” tempik Tok Aduka berang. Merah padam wajahnya memerhatikan Juara.
            “Tapi tok..ini bukannya seperti mana yang tok rancangkan dahulu..” bantah Juara. Tidak. Semua ini tidak mungkin berlaku. Mana mungkin nyawa siluman semudah itu untuk ditariknya pergi. Bermusim lamanya mereka telah hidup aman bersama, bergurau senda dan saling membantu. Kini, semudah itu pula hendak ditarik nyawa mereka dari tubuh. Tidak mungkin!
            “Apa kau masih tidak mengerti dengan perintahku Juara..?? atau mungkin juga kau masih tidak mengerti dengan takdir hidupmu lagi..?? kau aku besarkan, kudidik dengan ilmu kepahlawanan sejati, agar suatu hari nanti kau akan berbakti semula pada diriku..apa kau terleka selama ini..??”
            Tok Aduka membuang pergi kemarahan yang membelenggunya tadi. Jiwa anak muda seperti Juara mudah tersentuh dengan kata-kata seperti itu. Bahu tegap Juara dipautnya erat. Tubuhnya digoncangkan perlahan.
            “Aku adalah pemerintah kaum ini sekarang..bukan lagi si Kelana pengecut itu..ayuh kita perangi manusia durjana itu..kita hapuskan segala apa yang telah mereka bina selama ini hingga menjadi abu..!”
            Juara diam diri tidak membalas apa. Benar. Lelaki tua itu banyak berjasa padanya selama ini. Namun adakah segala kemahuan durjananya itu harus dituruti? Juara bingung.
            “Baiklah tok..” Juara tertunduk akur. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Walau hatinya berat, digagahinya juga.
            “Bagus..! tidak sia-sia aku mendidik kau selama ini..!” cukup mudah untuk Juara dipengaruhinya. Anak muda itu terlalu mentah. Namun darah muda itu jugalah yang bakal ditagihnya untuk bergolok bergadai asalkan cita-cita bodohnya terlaksana.
            “Kita akan mendapatkan Dewi di istana itu nanti..selepas sahaja dia diserahkan kepada Buragas, aku akan pastikan Dewi tidak diapa-apakan oleh jembalang itu..aku yakin Buragas tidak ada menaruh minat terhadap gadis kesayangan hati kau itu..biar sahaja nyawa Kelana yang ditariknya pergi dihadapan mata anak dan isterinya sendiri..” Tok Aduka tertawa puas. Rancangan serampang dua matanya itu pasti akan berjaya. Dengan bantuan jembalang. Tiada apa yang mustahil. Tanpa dia sendiri sedar, jembalang juga punya rencana yang tersendiri.
            “Baiklah tok..” Juara akur bagai lembu yang ditusuk hidungnya. Saat Tok Aduka beralih dari hadapannya, satu susuk tubuh berdiri pegun di bawah batu besar tempat mereka berbual. Mencuri dengar apa yang dikatakan mereka sepanjang masa.
            “I..ibu Dewi…” nadanya terketar. Wajahnya dibalut rasa cemas. Dewi Siluman Bulan seakan terkaku tidak berganjak. Kakinya seakan dipaku ke lantai gua. Dadanya seolah dilanggar bah yang menggila. Mendengarkan sahaja perbualan Juara dan Tok Aduka itu sudah mampu untuk menggoncang perasaannya. Tok Aduka turut mengalih pandangan melihatkan Dewi Siluman Bulan yang sekadar tercegat.
            “Kau..kau..” bola matanya sudah berkocak. Tubuhnya menggigil menahan deram. Jarinya dituding mengarahkan Tok Aduka.
            “Kau yang merancang semua ini Aduka..?? bermakna suamiku masih lagi bernyawa dan.. dan.. disembunyikan jembalang untuk diseksa lalu dibunuh..??”
            “Celaka..! bagaimana aku boleh tidak sedar dengan kehadiran betina ini..!” bentak Tok Aduka dalam hatinya. Rahsia antara dia dan Juara telah terbongkar. Kaum siluman tidak boleh tahu akan perihal ini!
            “Kurungkan Dewi Siluman Bulan..!” arah Tok Aduka tegas. Juara tergadah. Dia kini di pertengahan. Antara kekejaman dengan belas ihsan.
            “Segera Juara..!” bentak keras Tok Aduka saat dilihatnya Juara terpinga-pinga melihatkan dirinya. Tersentak dengan arahan itu, segera Dewi Siluman Bulan dihampirinya. Tubuhnya dirangkul kemas, pergelangan tangannya digenggam rapi lalu direbahkan ke lantai gua. Tersembah wajah dengan air mata yang mengalir deras.
            “Kau tidak akan terlepas dari kejahatan yang kau lakukan ini jahanam..!! nyawa ahli keluargaku kau lanyak seperti tiada nilainya..!!” rontanya makin menggila. Terjerit-jerit Dewi Siluman Bulan menggemparkan seluruh isi gua. Berlari anak-anak kecil siluman  mendengarkan jeritan itu. Batu besar yang melindung pemandangan, membataskan penglihatan mereka untuk melihat. Perihal apakah yang terjadi di sebalik batu besar itu.
            “Potong lidahnya Juara..aku tidak mahu dia menceritakan segala hal yang didengarinya tadi pada siluman yang lain..” Tok Aduka melutut bersebelahan Juara. Mulut Dewi Siluman Bulan telah ditekup rapat. Kepalanya didongakkan.
            “Tapi tok..??” Juara ragu-ragu. Arahan itu terlalu berat untuk dilaksanakannya.
            “Hati kau terlalu lembut..!!” usai berkata demikian, dengan wajah yang cemas, rahang gigi Dewi Siluman Bulan dikopaknya luas. Sebelum mereka yang lain tiba di sebalik batu itu, lidah Dewi Siluman Bulan harus ditetaknya!
            “Segera Juara..! atau kau dan aku bakal mati diamuk siluman..!” rahsia itu bakal terbongkar andai Juara lewat dengan keputusannya. Terdesak. Juara kini tersepit dihimpit pelbagai perasaan. Tanpa berlengah, seperti harimau yang memburu tanpa rasa belas, lidah Dewi Siluman Bulat dikerat terputus. Dicampaknya lilisan lidah itu dari genggamannya.
            “Bersabar Dewi..! usah kau perlakukan dirimu sebegini..!” tempik Tok Aduka berpura cemas. Saat satu persatu siluman muncul dari balik batu melihatkan mereka, akalnya pantas memikirkan helah.
            “Mengapa dengan Dewi Siluman Bulan..?? mengapa Juara..??” bergegas siluman-siluman, teman Dewi Siluman Bulan mengelilingi dirinya yang terbaring berlumuran darah. Bibirnya merah berlumuran darah. Mengalir ke dagu menitis ke lantai. Dia hanya mengerang menggulingkan tubuh menahan kesakitan yang amat dahsyat.
            Juara kaku. Tidak punya jawapan. Tangannya masih menggigil. Wajah Tok Aduka diperhatikannya meminta segala jawapan.
            “Datangnya tadi ke arah kami merayu-rayu agar anaknya di istana manusia itu diselamatkan segera..aku menidakkan kehendaknya sementara kerana aku khuatir kita masih belum bersedia..entah mengapa pula dia seperti menggila ingin membunuh dirinya..lalu Juara pantas merangkul tubuhnya untuk menyedarkan dirinya semula..” Tok Aduka menghela nafas berat. Wajahnya tetap berpura cemas.
            “Tanpa kami sangka..Dewi Siluman Bulan nekad menggigit lidahnya sendiri sehingga terputus..” sambung Tok Aduka lemah. Namun hatinya bertepuk riang. Satu persatu wajah siluman yang kebingungan diperhatikannya.
            “Tapi mengapa Bulan..?? mengapa kau bertindak seperti ini..??” rintih sahabatnya yang memangku. Tubuhnya masih meronta menahan keperitan. Wajah Tok Aduka diperhatikannya dengan pandangan penuh kebencian. Jarinya menuding ke arah pembelot itu. Berwajah siluman berlidahkan biawak!
            “Untuk sementara..adalah moleknya Dewi Siluman Bulan dikurungkan di dalam kurungan..aku khuatir kelak dia akan bertindak dengan lebih merbahaya..aku tidak mahu dia membunuh dirinya pula selepas ini..” keluh Tok Aduka. Wajah Juara diperhatikannya. Kepala dianggukkan mengarahkan agar Dewi Siluman Bulan dibawa pergi ke kurungan gua. Dikurung bukan kerana kegilaannya, namun dikurung kerana cuba menyembunyikan rahsia.
            Semuanya di situ berundur memberi laluan kepada Juara. Tubuh Dewi Siluman Bulan dipapah dibawa ke kurungan. Sahabat yang bersedih akur dengan perintah Tok Aduka. Langkah Juara mereka turuti. Hingga ke pintu kurungan.
            Dari kejauhan kedengaran Tok Aduka bertempik memperingati sekalian siluman yang mengelilinginya ketika itu.
            “Kita harus bersatu.. kerana manusia, kini kita bagai dilanda bermacam petaka..satu persatu mendiami kita mendatangkan bencana..ayuhlah siluman semua..! kita hapuskan manusia keparat di hujung belantara ini bersamaku..!” tempik Tok Aduka disambut hingar. Kesemuanya kian bersemangat. Azam berkobar ditiup semangat perang.
            Tubuh Dewi Siluman Bulan diletakkan di dalam lantai kurungan. Wajah itu sembab menangis tak henti. Darah yang masih mengalir di bibir cuba dikesat Juara namun ditepis kasar. Dia tidak berniat untuk mencederakan Dewi Siluman Bulan. Namun desakan Tok Aduka mengaburi matanya. Dia terjerat.
            Wajah itu ditatapnya penuh hiba. Melihatkan wajah itu mengingatkan dia terhadap Dewi Siluman Senja. Wajah itu hampir seiras. Termenung Juara seketika. Teringat akan janjinya terdahulu ketika bersama. Yang dia akan melindungi walaupun hingga ke titisan darahnya yang terakhir. Walaupun pedang telah tersusuk ke tubuh, tetap dia akan melindungi. Begitulah janji yang disemainya dahulu. Kerana kasih dia berjanji, kerana cinta dia bertekad.
            Juara bangun tegapkan langkahnya. Matanya ditutup rapat. Nafasnya dihela lembut walau sisi dada berombak deras. Jemari digenggamnya erat menegangkan urat. Wajah didongakkan ke langit gua.

            “Apa yang telah aku lakukan..??” getusnya di dalam hati. Di sisi kebaikan yang masih berbaki jauh di lubuk hati yang paling dalam, Juara berbisik. Tidak tersedar, aliran bahang mengalir perlahan dari kelopak mata yang ditutup rapat, menyusuri pipi lalu jatuh menitis ke lantai gua. Tangisan pahlawan itu gugur akhirnya tanpa kerelaan.

Thursday 21 May 2015

Miyoko : kelaparan

Bismillahirahmanirahim..

Minggu lepas aku outstation ke Johor. Dah la gaji belum gaji. Bos aku pulak mengada-ngada pergi hantar aku kursus jauh-jauh. Kecelakaan apa entah yang dok merasuk dia, aku pun tak paham. Why always me?? Puaka betul boss aku tu.

Dengan wajah sebal, hati yang tak berapa nak ikhlas pergi kursus, aku hadap jugak ke Johor. Bawak kereta, isi minyak penuh-penuh, dengan harapan cukuplah minyak tu untuk pergi balik ke Seremban. Puaka betul boss aku tu.

Dijadikan cerita lepas habis kursus, aku pun menggelabah puyuh nak balik Seremban. Masa tu dah lewat petang. Pukul 7.00 dah aku rasa. Maklumlah, kursus tak ada supply makan minum. Semua kena sendiri. Tak ada istilah berak cangkung makan payung. Guna ongkos sendiri nak makan kau tau tak! Kebulur aku jadinya. Puaka betul boss aku tu.

Aku belek-belek beg duit, ngam-ngam untuk bayar tol. Adalah baki lagi dalam berkupang-kupang. Nate beruk betul. Aku dah bajet baik punya, mintak-mintak cukup sampai hujung bulan, last-last kene caras jugak. Merudum terus bajet bulan tu. Duit dah terlebih pakai pasal nak pergi kursus punya hal. Sekarang ni dah tak ada langsung duit kertas yang boleh aku genggam lagi. Puaka betul boss aku tu.

Sampai dekat RNR Pagoh, aku exit masuk ke hentian. Hentian kemain besar kedabak, tapi tak ada ramai orang yang singgah. Sunyi. Kalau ada pun, dua tiga bijik kereta je. Itupun mamat sepet Singapore yang punya. Masuk Malaysia nak beracing je tu. Puaka betul boss aku tu.

Aku bukan berhenti nak makan. Tapi nak terkucil. Puas aku tahan dari tol Skudai, sampailah ke Pagoh, at the end tak boleh tahan jugak. Terpaksa jugak aku melepaskan segala yang menggelodak dalam perut dekat hentian tu. Puaka betul boss aku tu.

"Abang..! Tunggu sikijam..!!" mat bangla mana pulak yang menjerit panggil aku ni? Mujibur ke Habiburrahman?? Bila toleh, sekali ada sorang mamat bangla bawak penyapu berlari dekat aku. Aku dah pikir lain je masa tu. Ini silap haribulan kalau dia tak pau aku duit, mesti nak tumpang kereta aku pergi mana-mana exit. Kes naya ni. Bau ketiak dia tu yang aku tak tahan, bukan apenya. Puaka betul boss aku tu.

"Yinni abang punya kunci kereta..tadi tinggal sana kereta..saya angkat, bawak mari sama abang.."

Perghhh! Rasa macam kena smash dengan Lee Chong Wei. Kelemahan aku, aku suka bersangka buruk. Padanlah muka aku. Orang tu niat punya baik, sudahnya aku tuduh bukan-bukan. Kereta aku tak ada alarm. So kunci kena manual. Terlupalah tadi tu masa aku tengah leka dok belek handphone. Nasib baik mat bangla tu ada. Puaka betul boss aku tu.

"Ohh..thank you haa.." aku angguk, senyum sikit, aku blah.

"Sama-sama kasehhhh abang.."

Aku toleh belakang semula. Mat bangla tu dah usap-usap batang penyapu dia. Muka tersipu-sipu malu macam anak dara kena pinang. Matanya lirik-lirik selalu, mukanya manis-manis ayu. Pffftttt..tiba-tiba lagu Rahimah Rahim tu menggelodak dalam tengkorak aku. Semacam aku tengok mat bangla tu. Meremang! Puaka betul boss aku tu.

Cepat-cepat aku lari masuk toilet. Entah kebinatangan apa agaknya mat bangla tu pandang aku macam nampak awek arab tengah menggelek agaknya. Bernafsu sungguh aku tengok dia pandang aku. Haiishhh..seram mak nok. Puaka betul boss aku tu.

"Damm..!!"

Ahh sudah. Aku terdengar bunyi pintu tandas kena hempas kaw-kaw. Masa tu aku dah dalam jamban. Memburan. Kepala dah mula pikir yang bukan-bukan. Ini silap-silap mat bangla tadi dah masuk pintu sebelah, lepas tu buat rancangan sulit nak skodeng aku. No way! Puaka betul boss aku tu.

Aku dongak. Pandang ruang atas jamban yang tak beratap tu. Masa tu lagi aku menyumpah. Tak pasal-pasal PLUS kena maki dengan aku. Kenapa diorang tak tutup jamban ni betul-betul! Itu salah satu cara untuk lelaki seperti aku diganggu secara seksual oleh orang lain. Kalau ada orang mengintai aku tengah berak dalam jamban ni macam mana? Aku teruna lagi tau tak? Puaka betul boss aku tu.

Tapi mujur. Sepuluh minit aku bertapa dalam jamban tu, sepuluh minit jugaklah aku tak diapa-apakan. Syukur Malaysia masih aman! Cepat-cepat aku cebok, pakai seluar, terus keluar dari jamban. Terpinga-pinga pandang kiri kanan. Kalau-kalau mat bangla tadi ada lagi. Negative. Enemy down! Aku tak nampak sesiapa pun dalam tandas tu kecuali diri aku sendiri dan bayang-bayang aku dekat cermin tandas.  Puaka betul boss aku tu.

Baru aku nak melangkah, tiba-tiba aku jadi kaku. Belakang aku... ada benda yang aku rasa aku teringgal. Tiba-tiba aku berdebar. Dub..dab..dub..dab.. berkocak beirama sendu. Entah kenapa aku rasa berat nak toleh ke belakang semula. Tapi aku terpaksa jugak. Puaka betul boss aku tu.

Aku toleh. Aku terlihatkannya. Terapung-apung. Berketul-ketul. Dalam mangkuk jamban. Sekali lupa nak flush jamban daaa. Berenang kuak lentang siap summersault lagi diorang dalam swimming pool kecik diorang tu. Puaka betul boss aku tu.

"Shhrashhh...!!"

"Ambik kau..! damailah dikau disana.." aku kepit hidung sambil tersengih. Bau yarabbi! Puaka betul boss aku tu.

Masa nak keluar tandas, aku terdengar macam ada bunyi bisik-bisik. Semacam ada orang berborak. Aku jengah kepala dekat pintu tandas, mat bangla tadi tengah syok berborak dengan sorang laki mat salleh. Badan sado, tinggi lampai, kulit putih. Azablah kau mat bangla kalau itu selera kau. Puaka betul boss aku tu.

Aku dengan tak ada rasa apa-apa, melangkah melintasi mat bangla dengan mat salleh tadi tu. Aku tunduk tak nak bersemuka dengan mat bangla cleaner tu lagi. Hati ini telah dilukai mak! Mat bangla dah ada mat salleh. Deng! Guane demo hok katang-katang gitu demo nok ejah? Puaka betul boss aku tu.

Lega hati aku. Kiranya hampir selamat dah tu bila dah lepas. At least aku dah menuju pergi dekat kereta. Lalu je sebelah van yang jual-jual kat tepi hentian tu, aku terpandang roti.

"Kiokkkk...!"

Hamboi kau. Dan dan tu kau berbunyi kan? Aku baru teringat dari tengahari tadi aku tak makan. Tak ada duit punya pasal, aku tahan je lapar sampailah ke malam. Bila dah pandang makanan, automatik cacing-cacing kerawit dalam perut mula berkeroncong mendendangkan irama merdu. Puaka betul boss aku tu.

Belek-belek wallet dekat poket belakang, rasanya macam ada lagi duit aku berkupang-kupang dalam tu. Yezza! Ngam-ngam ada lima kupang. Punyalah riang masa tu. Aku tak tau nak cakap macam mana happy dia. Rasa macam kau pergi bulan, bukak helmet apollo tu, lepas tu kau jerit..Kumbaya..!! Puaka betul boss aku tu.

Aku pandang juntaian-juntaian makanan dekat keliling van putih tu. Ada kacang, ada keropok, ada roti, ada macam-macamlah. Kau rasa nak tau detail, pergi tengok sendiri. Puaka betul boss aku tu.

Aku capai satu roti. Aku memang kenal sangat roti tu. Sebab memang aku  selalu makan kalau time aku tak ada duit. Harga dia memang ngam-ngam lima kupang. Dengan duit syiling dua kupang dua keping, sekupang sekeping, aku terus letak dekat atas tapak tangan brader yang jaga van tu. Puaka betul boss aku tu.

Tapi yang aku pelik, brader tu pandang aku semacam. Muka kerek je. Mata kejap kecik kejap besar. Apa salah aku? Nak beli roti bayar pakai duit syiling pun salah ke? Masa tu dah rasa macam pemintak sedekah dah. Betul-betul rasa macam orang hina pasal bayar pakai duit syiling. Dah itu je aku ada. Takkan nak bayar pakai daun pulak baru kau puas hati? Puaka betul boss aku tu.

"Enam puluh sen bang.." brader tu cakap meleret. Macam mat ganja.

"Aik..?? Sebelum ni 5 kupang je..??" memanglah aku tau. Makanan ruji aku tu!

"GST bang.."

Perhhh..masa tu rasa sekali lagi macam kena smash dengan Lee Chong Wei. Harga barang tak naik, harga barang tak naik. Habis apa yang turun? Puaka betul boss aku tu.

"Sekupang je bang..saya tak cukup duit ni..ini je ada.." nak tak nak terpaksa jugak aku merayu. Sekupang punya hal. Takkan Melayu tak boleh tolong Melayu kan? Puaka betul boss aku tu.

"Uhh..uhh.." brader van tu geleng kepala. Pejam mata. Tanda tak boleh. Dia ingat dia buat muka Gwiyomi tu aku tak ada rasa nak cepuk? Sekupang punya hal pun nak kira! Puaka betul brader van tu.

Terpaksa aku letak balik roti tu. Kerana cukai aku berlapar. Aku kelip-kelio mata kat brader van tu pun, dia bolayan aku. Kalau aku awek yang pakai legging sendat-sendat, rambut curl-curl, confirm-confirm dia bagi sebakul terus roti dekat aku. Jadah betul! Puaka betul brader van tu.

"Lima kupang boleh beli apa je ni bang..??" masa tu memang dah rasa macam Rohingya. Mintak sedekah kehulu kehilir. Makanan ada, tapi nak makan tak boleh. Silap-silap brader van ni halau aku dari situ pasal tak ada duit. Puaka betul brader van tu.

"Ini.." dia letak satu coklat coki-coki atas telapak tangan aku. Ya ampun..!! Ada jugak makanan untuk aku malam tu..!! Rasa macam dapat jongkong emas berketul-ketul masa tu. Aku kucup-kucup coki-coki tu berkali-kali. Buat gaya macam Usain Bolt menang gold medal olimpik. Terharu. Puaka betul brader van tu.

"30 sen.." muka mintak penyepuk dia tayang dekat aku. Macam aku fakir sangat dia buat macam tu. Dia nak hulur balance dekat aku, 2 kupang, aku dengan gaya gentlementnya cakap dekat dia keep the change je. Mana tau kot dua kupang tu boleh topup-topup dia nak pergi haji ke nanti kan? Win!  Puaka betul brader van tu.

Aku lompat-lompat, pergi semula dekat kereta kancil turbo type r aku tu dengan coki-coki di tangan. Sampai sebelah pintu kereta, dengan tak sabarnya, aku tenung coki-coki tu dalam-dalam. This is my treasure aku bisik dalam hati. Tiba-tiba terasa macam ada orang cuit pinggang aku. Puaka betul brader van tu.

Dan kisah seramnya bermula!!

Seorang budak kecil, umur dalam lingkungan lima tahun berdiri sebelah aku. Terkebil-kebil melihatkan aku. Aku teguk air liur. Dia cuit-cuit pinggang aku.

"Miyoko lapar.." perlahan suaranya. Tersekat-sekat. Suara dia semacam ada kesakitan yang ditahannya.

"Miyoko dengan siapa ni..??" Budak kecik macam tu dibiarkan sendiri dalam gelap. Tak terjaga. Dekat highway pulak tu. Kalau kena culik lepas tu kena kerat 15 nanti?? Disalahkan penculik. Padahal mak bapak sendiri yang lalai sampai terbiar budak kecik tu merayau-rayau.

"Miyoko sorang-sorang.." dia tertunduk. Anak patung kecil yang dia bawa diusapnya.

"Mak dengan ayah mana..?? Biar uncle hantar dekat mak..tak elok jalan sorang malam-malam ni.." aku pandang keliling. Ada dua buah kereta yang parking jauh-jauh. Ini mesti kes mak bapak tak larat nak drive. Lepas tu park kereta dekat tepi highway. Dibantainya berdengkur. Anak kebulur dibiarkan.

"Mak takde..ayah takde.." bulat biji mata dia perhatikan aku. Berkaca-kaca mata dia. Dalam samar tu, aku dapat tengok dia macam menangis. Tapi aku tak pasti. Sebab malam tu gelap sangat. Berbalam-balam muka budak tu pandang aku.

"Ni jalan sorang-sorang ni, nanti mak marah..tak takut ke nanti hantu datang tangkap adik..??" sengaja aku bergurau. Sekurang-kurangnya bagi hilang air mata dia yang berkocak tu. Kesian tengok budak-budak kecik macam tu merengek-rengek. Siapa tak kesian, memang celakalah orang tu.

"Hi hi hi.." comel je bila dia dah tergelak. Umpan aku mengena la tu.

"Nak..!" dia halakan jari pada genggaman tangan aku. My coki-coki! My precious!

Kau bayangkan, kau nak terkentut, lepas tu kentut tu tak keluar-keluar jugak. Kau teran-teran sampai merah muka. Tetap jugak tak keluar. Berpundat angin dalam perut kau. Seksa kan?

Hahh..macam tu lah rasanya bila budak Miyoko ni mintak coki-coki aku. Dah la sekeping je. Tiga posen aku beli tu!

"Tapi..ni abang punya dik.." walau terpaksa, aku relakan juga  berat aku nak ucapkan, tapi aku terpaksa. Maaf jika aku tak sempurna.

"Hek hek hek.." aduhai. Dia dah main air mata pulak. Siap rengek-rengek manja lagi. Ditunjal-tunjal hujung jari kaki dia dekat jalan tar tu.

"Ehh..budak ni tak pakai kasut..??" terdetik dalam hati aku masa tu. Ini mesti orang susah ni. Memang betul dia tak makan-makan lagi agaknya.

"Miyoko kenapa tak pakai kasut ni..?? Tak sakit ke kaki..??" aku siap usap rambut dia. Curly separas dagu. Dia dongak. Pandang aku. Dia geleng.

Sah. Ini memang orang susah ni. Agak-agaknya rumah dia sekitar hentian tu agaknya. Pasal dah lapar sangat, dia merayau cari makanan. Dengan tak berselipar, kaki hitam legam, dibawanya berjalan tah kemana-mana.

Aku sebagai lelaki melayu terakhir abad ini, dengan rela hati, aku hulurkan coki-coki yang aku beli tadi. Apa guna pakai baju kemeja, bertali leher, tapi nak tolong orang macam tu pun susah kan? Sebak. Tapi aku bangga. Kerana didikan mak aku dari kecik agar sentiasa membantu orang dalam kesusahan aku amalkan jugak akhirnya. Tersenyum lebar budak tu. Dicampaknya anak patung kecil dia pasal nak capai coki-coki yang aku hulurkan. Sah. Memang dah lapar tahap cipan budak ni.

"Adik balik rumah tau..abang nak kena jalan dah ni.." puncanya aku dah lapar sangat. Lagipun budak tu aku tak tahu anak siapa. Kalau aku angkut bawak balik nanti, silap-silap orang tuduh aku menculik pulak. Budak tu mengangguk tanda faham.

Aku naik kereta, terus drive nak keluar dari hentian. Sebelum jauh, aku toleh dekat cermin sisi kereta nak tengokkan budak Miyoko tu buat kali terakhir.

"Ehh..dah hilang..??" Sekelip mata tak sampai lima saat pun, budak tu dah tak ada dekat tempat dia berdiri tadi. Dalam hati menyumpah, dah dapat apa dia nak, terus cabut tak  ingat dunia. Mengeluh aku tahan lapar mengenangkan coki-coki aku tadi. Tak apalah, janji perut budak tu teralas sikit.

Tapi yang jadi pelik, sepanjang perjalanan dari Pagoh sampai ke Seremban, aku rasa highway tu sunyi je. Kereta pun tak banyak. Kalau ada pun lori dengan bas. Itupun berdesup-desup dekat lane tiga. Masing-masing jadi Shumacher bila dah malam.

Dan satu yang aku pelik, tiap kali ada kereta yang potong aku, akan pandang aku semacam. Apa kes? Gelabah jugak masa tu. Rasa macam most wanted person pulak. Nak kata muka aku macam Osama, tak pulak. Tapi chill, aku keep on driving buat tak paham je. Walaupun aku dapat rasa, semacam ada sesuatu yang tak kena.

Sampai dekat tol Seremban, masa tu pukul 11.00 malam dah. Kereta kancil turbo type r biasalah. Bawak 100km/h je dah bergegar macam nak runtuh. Aku bawak slow asalkan selamat. Pasal tu lambat sampai Seremban.

Bila nak bayar tol, dengan duit yang aku dah reserve siap-siap tu, akak yang jaga tol tu pandang aku tak berkelip. Terkulat-kulat muka dia pandang aku.

Ahh sudah..apa benda yang menumpang aku ni..?? Banyak dah aku dengar cerita orang kena sakat dekat highway. Kena tumpanglah, kena kacau lintasanlah, nampak bayanglah..macam-macam lagilah. Pegi google kalau nak tahu lebih.

Waktu gate tol dah naik, aku pun nak jalan, akak tu panggil aku dengan muka terpaksa.

"Dik.."

"Ye kak..??"

"Adik memang suka susun coki-coki berderet dekat wiper ke..??" dia siap tuding jari dekat wiper kereta aku.

Aku terus keluar dari kereta. Tak peduli dah kereta yang tengah beratut belakang aku masa tu. Aku tengok betul-betul dekat wiper.

Sah! Ada 1000 coki-coki kene selit dekat wiper aku!

Aku jadi bingung. Siapa punya kerja semua ni? Aku kutip semua coki-coki tu, aku balik rumah, bukak roti paun yang terhidang atas meja, aku cicah roti tu dengan coki-coki yang 1000 tu.

Kenyang aku.

Tamat..^^

Wednesday 20 May 2015

Dewi Siluman Senja 13

“Siapa kau yang sebenarnya..?? Apa yang telah kau hasut gadis yang tidak bersalah itu tadi..??” Jalak sekadar tersandar di dinding kurungan. Ashuri mencekak pinggang memerhatikan dengan perasaan bengis. Perasaan amarah cuba dibuangnya ke tepi. Pesan bondanya tetap disemat dihati.
“Kau masih mentah untuk mengetahui akan segala hal..kau tidak layak..” ujar Jalak sinis. Sedikit pun wajah Ashuri tidak ditatapnya. Menunduk menekur lantai kurungan.
            “Dan aku juga tidak akan teragak-agak untuk terus menamatkan riwayat kau jika kau terus berdalih..” ugut Ashuri tegas. Jika soalannya itu terlalu sukar hendak dijawab Jalak, mungkin tusukan keris ke tubuh akan menjawab segalanya.
            “Adakah keberanian itu..??” wajahnya didongakkan melihat Ashuri. Helaian rambut menutupi sebahagian wajah. Senyumannya meleret sinis. Barisan gigi kehitaman jelas terpampang. Ashuri berundur.
“Kau bukannya Jalak..! Siapa kau..!” hulu keris yang tersisip di pinggang digenggam kemas. Ashuri bersedia untuk segala kemungkinan. Ternyata selama ini yang dikurungnya itu bukanlah Jalak yang disangkanya kehilangan waras akal. Hanya tubuh berupakan Jalak si petualang, namun akalnya menandakan bukan.
Hulubalang yang sedari tadi hanya berdiri di luar kurungan, mula menghampiri Ashuri. Menghimpit anak raja itu dari sebarang ancaman. Hujung tombak runcing telah dihalakan lurus. Anak panah telah tersedia untuk bertindak sekiranya perlu. Jalak menjadi sasaran.
Tawanya berdekah melihat perubahan wajah Ashuri. Riang hatinya kerana semudah itu anak raja itu diperdayanya selama ini. Tanpa menyangka bala apakah sebenarnya yang bakal ditimpa oleh kerajaan yang ditadbirnya itu. Kononnya bakal pengganti raja, tapi ilmu tidak cukup di dada.
“Apa kau fikir gadis itu sengaja dihantar kesini untuk berubat..?? kau tidak pernah terfikir yang mungkin gadis itu hanyalah seorang pengintip..?? yang mungkin diutus untuk memporak perandakan kerajaan ini..??” Jalak bangkit dari duduknya. Berdiri tegak mengadap Ashuri yang terdiam dengan kata-katanya.
“Gadis itu adalah keturunan siluman yang selama ini menyimpan dendam terhadap manusia..rancangan demi rancangan dipersiapkan rapi untuk menyerang kalian semua..lalu pengintip dihantar untuk memusnahkan kalian dari dalam istana terlebih dahulu..kerana apabila isi di dalam istana telah diruntuhkan, pastinya lebih mudah urusan mereka untuk menakluk semula istana ini..!” berdekah semula letus tawanya melihatkan wajah Ashuri yang terkulat-kulat mendengar butir bicaranya.
“Dusta..!” bentak Ashuri. Mungkin sahaja apa yang diperkatakan Jalak itu hanya sekadar omongan kosongnya. Mungkin sekadar fitnah yang ditaburnya untuk menutupi segala kesalahannya awal tadi. Tidak mungkin Senja adalah pengintip bisik hatinya. Dan tidak mungkin juga, Senja adalah kaum siluman yang telah lama lenyap.
“Dahulunya siluman dan manusia hidupnya rukun di istana ini..jerit dan tawa anak-anak manusia bermain bersama anak siluman terdengaran di sana sini..segalanya tampak indah..seolah tiada langsung kepincangan yang terserlah..kerana kebijaksanaan pemerintah yang mengemudi ketika itu..namun dek kerana sifat tamak manusia, siluman disingkirkan pergi..!” Jalak terjahkan tubuh maju ke hadapan. Mujur ada ikatan yang membelenggu kedua pergelangan tangannya. Ashuri langsung tidak dapat dihampirinya.
“Siluman membawa diri dengan hati yang luluh, kerana diusir pergi.. hutan belantara mereka huni untuk sekian lamanya..tinggallah hanya seorang siluman di istana..lalu dijadikan permaisuri untuk mempertahankan kedaulatan istana itu..!” Jalak berundur merapati dinding. Bersandar dengan senyuman. Sinis.
“Atas alasan pastinya siluman tidak akan menyerang mereka selagi adanya ‘tebusan’ itu di tangan raja yang memerintah..!” sambung Jalak semula. Kali ini senyumnya meleret.
Gelora dalam hatinya yang menggelodak ditahan. Api kemarahan mula membakarnya dari dalam. Susuk Jalak yang tersandar bersenang lenang di hadapannya tika itu benar-benar menyakitkan hati. Namun sedikit sebanyak apa yang dikatakan Jalak itu tetap bernaung di fikirannya. Selama ini tidak banyak perihal siluman yang diketahuinya. Apatah lagi bonda dan ayahanda sekadar berdalih bila ditanyakan persoalan itu. Mungkinkah ada benarnya kata-kata yang ditabur oleh Jalak itu? Berbunyi seakan sindiran namun seolah ada kebenarannya. Masakan bergoyang pokok jika tiada angin yang bertiup.
“Ternyata kau tidak mengetahui tentang segala hal ini bukan..??”
“Ti..tidak..” jawab Ashuri ringkas. Tersekat-sekat butir katanya. Umpan Jalak ternyata mengena. Begitu rapuh pegangan Ashuri detik hatinya.
“Mahukah kau tahu apakah rahsia yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan kau..??”
Hanya anggukan dibalas Ashuri.
Jalak meronta. Kedua lengannya dikepang separas dada. Wajah Ashuri ditenungnya dalam-dalam. Anak mata mengerling ke arah pergelangan tangan yang dibalut ikatan.
“Lepaskan ikatannya..” arah Ashuri tanpa berlengah. Hulubalang berpandangan sesama sendiri. Lepaskan ikatan bermakna Jalak akan bebas berbuat apa. maka rumitlah tugas mereka andai berlaku apa-apa yang tidak diingini.
“Sekarang..!” tempik Ashuri kerana arahannya dilengahkan. Bergegaslah dua orang hulubalang terkial-kial membuka ikatan Jalak. Dengan sebaris senyuman, Ashuri dihampirinya. Hujung bahu anak raja itu dipautnya kemas.
“Kau ternyata bukan seorang yang tuli dengan kebenaran..kau peka dengan segala permasaalahan..” bisik Jalak.
“Ceritakan padaku apa yang kau tahu tentang sejarah lalu..” Ashuri berpaling. Melangkah keluar dari kurungan yang kelam. Langkah dibawanya menyusuri laman istana sambil diekori rapat Jalak. Hulubalang yang mengawasi tetap berwaspada. Mengekori dari jauh langkah perlahan Ashuri itu.
“Sewaktu siluman meninggalkan Indera Sakti dahulu, termetrainya satu perjanjian  di antara mereka..segala yang direncanakan hanya diketahui oleh para pembesar kedua-dua keturunan itu..kerana perjanjian itulah siluman menghilangkan diri tidak menampakkan rupa kepada manusia lagi..” Jalak berjalan beriringan bersama Ashuri. Setiap patah kata itu didengarinya dengan teliti.

“Maksud kau..Rukun Indera itu adalah perjanjian antara siluman dan manusia..??”
“Benar..dan siluman pula menggelarkannya Aturan Muluk..kandungan yang sama seperti Rukun Indera, melarang keras beberapa perkara agar manusia dan siluman tidak bertembung di luar sana..”
Ashuri terpana seketika mendengarkan perihal itu. Dia tahu Rukun Indera diatur untuk kesejahteraan rakyat yang bernaung. Namun yang tersirat di sebalik aturan itu sememangnya terbatas dek akalnya. Langsung dia tidak menyangka adanya isi yang tersirat di sebalik Rukun Indera itu.
“Apa kaitannya  pula dengan keturunan istana yang kononnya menjadikan seorang siluman sebagai tebusan..?? siapakah gerangan yang bertindak sebegitu..adakah aku mengenalinya..??” bertubi-tubi soalan dari Ashuri.
“Perjanjian itu tidak semudah itu untuk dimetrai..merasakan bahawa suatu hari nanti mungkin akan ada siluman yang menyerang meraka semula, raja manusia yang memerintah ketika itu mengarahkan seorang puteri di kalangan siluman untuk ditawan.. walhal ketika itu sebenarnya, si raja manusia itu dan puteri siluman tersebut sememangnya telah lama memadu cinta..malah hasrat puteri siluman itu untuk mengahwini raja manusia itu juga dibantah sekeras-kerasnya.. hal itu telah membangkitkan kemurkaan pada pemerintah siluman kerana kedegilan anak kandungnya itu..katanya lagi, manusia dan siluman tidak mungkin boleh bersatu..”
“Lalu apa yang terjadi..??”
“Puteri siluman itu diusir pergi..tinggallah dia bersama manusia..”
“Semudah itu..??”
“Tidak..nyawa tetap balasnya nyawa..setiap yang diambil harus ada galang gantinya..satu perjanjian sulit di antara mereka pula disepakatkan..” jawab Jalak ringkas. Ashuri diam tidak berkutik. Dalam kepala ligat mencantumkan satu persatu cebisan kata-kata Jalak untuk mendapatkan penjelasan yang lebih nyata. Detak jantung berdegup kencang. Aliran darah ke muka seakan ombak yang menerjah deras. Fikirannya terarah kepada seseorang. Bonda!
“Dan yang menjadi galang gantinya adalah kekanda sulungku sendiri..?? dikorbankan di Telaga Air Biru oleh bondaku demi memenuhi kehendak perjanjian sulit di antara mereka itu..??”
Jalak mengangguk dan tersenyum.
“Kononnya diceritakan padamu sebelum ini, kekanda sulungmu itu mati dek terjunam ke dalam Telaga Air Biru bukan..??” Jalak berteka-teki. Fikiran Ashuri yang sedang berselirat itu benar-benar mudah untuk dipengaruhinya. Makin keliru Ashuri, makin bertepuk dia di dalam hati.
“Benar..” Ashuri mengangguk mengiakan. Apakah semua itu sekadar kata nista yang diceritakan padanya selama ini?
Ashuri menggenggam erat hulu kerisnya. Giginya meretap kemarahan. Meluap api kemarahan dalam dirinya saat itu. Tidak menyangka sebegitu sekali ayahanda dan bonda memperdayakan dirinya selama ini. Kehilangan kekanda kononnya lemas hingga tidak dijumpai, padahal dijadikan pertukaran kepada kaum siluman. Seperti bahan sedekah. Mungkin juga sebagai korban untuk disembelih mereka!
“Dan puteri siluman itu adalah bondaku sendiri..??” tubuhnya telah mula menggeletar. Saat menantikan jawapan dari Jalak itu benar-benar dirasakan kosong. Alam seperti sengaja menjadi sunyi. Seolah terbias sama dek penceritaan yang dibawakan Jalak. Tunduk menantikan jawapan balas Jalak.
“Tidak..bukan Permaisuri Dahlia yang digelarkan puteri siluman itu..akan tetapi, nendamu sendiri Ashuri..bonda kepada ayahanda mu dahulu..dialah puteri siluman yang telah diusir pergi..”
Sungguh dia terkejut dengan perkhabaran itu. Namun yang lebih memeritkan tangkai hatinya, mengapa pula kekanda sulungnya dahulu yang dijadikan galang ganti? Apa salah keluarganya? Mengapakah darah dagingnya pula dijadikan mangsa dek perjanjian kaum terdahulu?
“Seharusnya yang menjadi korban adalah ayahandamu sendiri Ashuri..hasil perkongsian hidup puteri siluman dan raja manusia dahulu, maka terlahirlah seorang zuriat ke bumi ini..dan sumpah pemerintah siluman, anak sulung daripada benih yang terkandung di perut puteri siluman itu, harus diserahkan kepadanya..sebagai galang gantinya..” seakan memahami apa yang berbisik di benak Ashuri, segera dia menjelaskan apa yang masih tergantung.
            “Dek kerana kasih dan sayangnya nendamu pada ayahandamu itu, lalu dia merayu kepada pemerintah siluman agar bayi tidak bersalah itu tidak diambil pergi..lalu nendamu berjanji, sambungan zuriat yang akan dilahirkan oleh bayinya itu nanti, akan diserahkan kepada siluman..sebagai gantinya..” sambungnya semula dengan nada yang mendatar. Ashuri kian gelisah diperhatikannya. Kelam hati si anak raja itu dihasutnya, sedikit demi sedikit.
            “Tertewas dek pujuk dan rayu anak kandungnya sendiri, pemerintah siluman lantas mengalah dan bersetuju..di riwayat yang akan datang, barulah galang ganti itu diserahkan padanya..kerana tangisan puterinya itu benar-benar mengusik jiwanya..walaupun kebencian menanah dalam hati, namun sekelumit rasa kasihan mula terbit bilamana puteri siluman itu merayu menangis..”
            “Dan ayahandaku sekadar menurut kata nendaku..?? menyerahkan bulat-bulat pewaris sulungnya kepada siluman..??”
“Benar..demi menuruti kehendak nendamu, walau tidak rela, terpaksa jua dia menuruti..bayi sulung perkongsian hidup bonda dan ayahandamu, diserahkan sahaja kepada siluman untuk dijadikan korban..” Jalak tersenyum lebar di sebalik Ashuri. Hatinya bertepuk riang. Sudah pasti kisah itu akan terkesan di jiwanya. Sebagaimana anak kecil yang didodoikan dengan cerita dongeng, begitu juga perasaan itu akan hinggap di hati Ashuri.
            Hening seketika. Ashuri ligat memikirkan sesuatu.
            “Tidak mungkin..”
Ashuri tertunduk. Menggeleng. Tidak mungkin apa yang dikatakan Jalak itu harus diterimanya bulat-bulat. Hal sebegitu bukannya semudah itu untuk dihadamnya. Mungkin sahaja Jalak menabur fitnah. Sekadar bercerita di atas asas yang tidak kukuh. Selagi bukti tidak diperoleh, selagi itu kisah itu hanyalah satu dongeng di fikirannya.
            Berang. Jalak gumam dengan kata-kata Ashuri. Walau dia pasti,  kisahnya itu terpalit sedikit di ruang hati Ashuri, namun kata bidasnya yang terdengar, seakan masih tidak mempercayai akan penceritaannya tadi. Akal lain dicarinya.
            Tubuh Ashuri  ditolak dari belakang. Sepantas kilat Ashuri tegapkan langkah memperkuatkan kuda-kuda kakinya. Keris yang sedari tadi diusap, telah dihunus menghala ke arah Jalak. Lagaknya bersedia andai musuh menyerang.
            “Fawas..!!”
            Dari kejauhan suara itu terdengar. Dewi yang tersedar dari pengsannya, terus sahaja menerpa ke pintu istana tanpa sempat dihalang sesiapa. Tabib Fansuri tidak sempat menahan, dayang istana tidak sempat menerpa, malah Musliha sendiri tidak sempat merangkul tubuh Dewi yang berlari meninggalkan kamar. Dia berdiri di pintu istana melihatkan laman. Dari kejauhan terlihatnya Ashuri berdiri bersama seseorang. Pasti itu Fawas!
            Anak mata Ashuri terkalih sejenak melihatkan Dewi yang berlari ke arahnya. Terkial-kial dia menuruni tangga istana menuju ke laman istana. Tanpa disedarinya, Jalak telah menghampiri tubuhnya. Lengan Ashuri dipaut kemas. Dihalakan ke dadanya sendiri. Lalu menusuk keris di genggaman Ashuri ke arah dada kirinya. Jalak membunuh diri.
            “Fawas..!!” terpaan Dewi mendapatkan Fawas. Tubuh yang  berlumuran darah rebah ke bumi. Keris milik Ashuri terpacak tegak di dada kirinya. Membuak darah membasahi diri. Hujung kepalanya dipangku. Dewi menangis teresak-esak.
“Kau pembunuh..!!” bentak Dewi sekuat hatinya. Kelopak mata Fawas kian lama kian mengendur. Tubuhnya longlai tak mampu berkuat lagi. Nafasnya berombak berkeruh bagai kerbau disembelih.
            “Selamatkan dirimu..” ucap Fawas perlahan sebelum matanya tertutup rapat. Nafasnya kian perlahan. Detak nadi tidak terasakan lagi. Dewi meraung sekuat hatinya. Tubuh Fawas digoncangkan namun tiada reaksi. Hanya terpaku tidak berganjak.
            Ashuri terpinga-pinga. Mengapa tubuh yang terkujur layu itu bukannya Jalak seperti yang dilihatnya tadi. Kini sekujur tubuh entah siapa dipangkuan Dewi dengan kerisnya terbenam di dada. Wajah itu asing baginya. Namun dekat di hati Dewi. Dia berundur setapak demi setapak. Kekeliruan.
            “Tangkap si pengintip itu..kurung dia di dalam kamarnya..” ucap Ashuri perlahan-lahan. Teragak-agak. Hujung jari menudingkan Dewi yang masih sebak meratap kesedihan. Meluap-luap api amarah tidak mampu dibendungnya lagi. Seorang sahabat telah ditarik nyawanya oleh manusia. Benar kata ayahandanya, manusia sememangnya kejam!
            Tubuh Dewi dipaut kemas. Meronta dia minta dilepaskan. Wajah Ashuri ditatapnya penuh kehinaan. Andai punya dia kekuatan untuk melawan, pasti lumat diri musuhnya itu dikerjakan. Masih dilanda kehibaan melihatkan Fawas yang terkujur di tanah. Pandangannya kosong. Lidah kelu untuk bertutur. Kelam dan kian gelap. Dewi rebah dalam rangkulan pengawal yang memaut dirinya.
            “Kuburkan mayat ini..” Ashuri bertambah bingung. Melihatkan Fawas kenalan Dewi yang terkujur. Apakah sebenarnya yang terjadi? Apakah tindakannya itu tepat? Wajarkah Dewi dihukumnya sebegitu?
            “Hrrr…hrrr..”
            Dari kejauhan Cempaka Sari melihat. Tubuh tumpangannya selama ini terkujur kaku tidak bernyawa. Yang berbaki kini hanya semangatnya mendiami sisi kelam. Dia tersenyum dengan kejayaannya. Satu persatu insan di istana itu berjaya diperdayanya. Hanya dengan menuturkan kata, segala fitnah berjaya ditaburnya. Benih kebencian berjaya disemainya. Menanti hanya letusan api kemarahan di kalangan mereka. Manusia dan siluman tidak boleh bersatu!

            Cempaka Sari hilang dalam kesamaran. Membawa pergi kejayaan untuk dipalu. Kelak nanti Buragas pasti kan tahu. Ketika itu, dirinya pasti akan dipuja semula. Dan saat itu, hanya perang yang bakal disertainya. Cempaka Sari puas. Lenyap dia dalam cahaya yang berbalam-balam.