Friday, 8 May 2015

Dewi Siluman Senja 11

Seisi Gua Muluk bersedih atas kehilangan pemimpin yang mereka sanjungi selama ini. Tok Kelana yang hidupnya sentiasa memperjuangkan kelangsungan hidup kaum siluman sekian lamanya. Tidak pernah sekali siluman tua itu mengelak untuk mempertahankan nasib kaumnya yang sentiasa dirundung malang. Dia adalah seorang pejuang, seorang bapa dan seorang pemimpin yang pasti dirindui akan pemergiannya.

"Tiadakah cara untuk kita menyelamatkan Dewi wahai Aduka..??" Rayu Dewi Siluman Bulan pada Tok Aduka yang berdiri mengadap ratusan siluman di hadapannya. Ibu Dewi benar-benar bingung. Nyawa suami telah ditarik pergi, kini nyawa anaknya pula entah bagaimana keadaannya.

"Akan kami usahakan untuk menyelamatkan Dewi..usah kau risau Bulan..sedaya upaya kami, pasti nyawa anakmu itu akan kami pertahankan.." bicara Tok Aduka mendatar. Sesekali dia mengerling ke arah Juara yang sekadar berpeluk tubuh melihatnya dari kejauhan. Jelas ada kesedihan pada riak wajah mereka berdua. Walau hakikatnya mereka sedar, apa yang dibicarakan pada sekalian siluman tidaklah seperti apa yang telah terjadi. Memperlihatkan sedih walau di hati bertepuk riang kerana hajat sebenar kian terlaksana.

"Sampai bila kita perlu biarkan Dewi seorangan ditawan di sana..?? Sampai bila Aduka..!" ratap Dewi Siluman Bulan lagi. Linangan air mata sudah tidak mampu mengubati rawan dalam hatinya lagi. Sedu tangis sekadar menjadi halwa telinga pada setiap siluman yang mendiami Gua Muluk itu.

"Kita akan menyerang kaum manusia seperti mana mereka telah menyerang kita Bulan..hutang nyawa balasnya nyawa..hutang darah balasnya darah..!" getus bibir Tok Aduka. Hujung tongkat pusaka peninggalan Tok Kelana dihentaknya ke lantai gua. Semua di situ menjadi diam. Semua mata terarah pada ketua kaum yang menggantikan Tok Kelana itu. Wajah Tok Aduka yang bengis menjadi tatapan semua yang melihat.

"Dengarlah wahai sekalian siluman semua..! Manusia membuat onar di kala kita hidup rukun membawa diri ke belantara ini..sangka mereka kita berdiam selama ini kerana kita gentarkan mereka..sangka mereka kita berdiam diri kerana terlalu hormatkan mereka..sehinggakan nyawa kita seolah tiada nilai di mata mereka..Tok Kelana dibunuh kerana membantah kata mereka..Fawas dihumban ke dalam jeram kerana melawan tutur kata mereka..dan Dewi ditawan sebagai tanda kononnya merekalah yang berkuasa di atas dunia ini.."

Tok Aduka mulakan bicaranya mempengaruhi kesemua siluman yang kini di bawah jagaannya. Satu persatu fikiran siluman dihasutnya agar terus membenci manusia. Setiap butir kata disematnya dengan hasutan penuh kebencian terhadap kaum manusia. Segalanya demi mencapai impiannya untuk menjadi pemimpin yang terulung di kalangan siluman. Membawa kaumnya kembali berkuasa seperti dahulu kala.

"Tiada manusia yang mampu menumpaskan kita di tanah yang kita berpijak ini..hutang yang lama belum lagi terlunas, kini bencana yang baru pula mereka terbitkan..!" Tuturnya lagi terus menghasut. Bisik-bisik bicara halus mula kedengaran dari kalangan siluman yang berhimpun. Masing-masing mula dipengaruhi dengan kata-kata Tok Aduka.

"Kita kaum siluman tidak akan berdiam diri..satu-satunya pewaris Tok Kelana kini dalam genggaman mereka..sangka mereka kita akan berdiam diri saat Dewi mereka culik..tanpa mereka sedari bahawa kita mengumpul segala kekuatan yang ada, mengerah segala keringat yang tinggal, menzahirkan segala dendam lama yang berkubang untuk menewaskan mereka..setiap nyawa yang melayang pasti akan dibayar kembali dengan nyawa..!!" Lontar kata Tok Aduka kian bersemangat. Satu persatu wajah diperhatikannnya mula terbit perasaan kemarahan. Benih kebencian semakin ampuh ditaburnya pada jiwa setiap siluman di Gua Muluk itu.

"Ayuhlah bersamaku wahai siluman..kita perangi kaum manusia yang langsung tidak pernah menghormati kita sebagai kaum ulung di belantara ini..!!"

Kata-katanya disambut dengan laungan serta teriakan dari bawah. Kesemua siluman tidak kira yang kecil mahupun besar telah bersedia. Setiap pelusuk ruang yang dipenuhi siluman mula bercambah dengan semangat perang terhadap manusia. Tekad mereka hanya satu, untuk membalas dendam. Seperti mana yang dizahirkan Tok Aduka.

"Bilakah kita akan mula menyerang Tok Aduka..! Biar sahaja aku penggal satu persatu kepala manusia itu agar tiada lagi yang bernyawa di muka bumi ini..!!" jerit salah seorang siluman dari kelompok yang berhimpun. Tok Aduka tersenyum lebar. Pandangannya terkalih melihatkan Juara. Kedua-duanya bertukat pandangan dan tersenyum. Kemuncak kemarahan kian dirasai.

"Persiapkan segala senjata..saat mereka terleka..kita akan mula menyerang..!" jerit Juara membingitkan lagi isi Gua Muluk. Setiap butir kata Tok Aduka dan Juara pasti akan disambut dengan laungan penuh bersemangat daripada kaum siluman yang lain.

Tok Aduka melangkah turun dari batu besar. Langkahnya dituruti Juara dari belakang sambil anak mata melihatkan Dewi Siluman Bulan yang masih meratap kesedihan. Tok Aduka duduk bersandar melepaskan lelah di dinding gua dengan seribu kepuasan. Cita-citanya hampir terlaksana. Dendam lama terhadap kaum manusia pasti akan berjaya dilunasnya kelak.

"Aduka..selamatkanlah Dewi anakku itu wahai Aduka..aku khuatir jika dia berada lama di sana..pasti akan lebih hebat dugaan yang menimpanya Aduka..!" Dewi Siluman Bulan kian tidak ketentuan arah. Dia tidak sanggup kehilangan Dewi pula kali ini. Tidak sanggup dibiarkannya Dewi terseksa di dunia manusia sana. Cukuplah satu nyawa keluarganya direntap pergi. Tinggalkanlah satu lagi nyawa itu untuk dirinya.

"Telah kukatakan tadi Bulan..kami pasti akan menyelamatkan Dewi..!" Tok Aduka meninggikan suara. Wajah Dewi Siluman Bulan ditatapnya penuh amarah.

"Tetapi bila ketikanya Aduka..bila..??" hujung kaki Tok Aduka direnggut oleh Dewi Siluman Bulan. Dipautnya erat mintakan belas dari pemimpin yang menggantikan suaminya.

"Telah aku katakan nanti..!! Apa kau tidak mengerti..?!" tempik Tok Aduka terus sahaja menepis hujung kepala Dewi Siluman Bulan yang mendakap hujung kakinya. Runsing kerana isteri Tok Kelana yang tidak putus-putus merayu pada dirinya itu. Terjelepok tubuh itu menyembah bumi dengan ratapan tangis. Langkah Tok Aduka dibawa pergi jauh dari Dewi Siluman Bulan. Juara terkedu. Mengapa Tok Aduka bertindak sebegitu rupa pada Dewi Siluman Bulan??

"Bersabarlah ibu Bulan..Juara pasti akan menyelamatkan Dewi..itu janji Juara.." pautan ke arah tubuh Dewi Siluman Bulan membawanya berdiri. Juara tahu setiap pergerakan yang direncana Tok Aduka. Setiap perancangannya hanya untuk membebaskan belenggu kaum siluman daripada jajahan manusia. Tetapi mengapa pula dia bertindak sedemikian rupa hingga menidakkan kehendak Dewi Siluman Bulan? Tok Aduka telah berjanji padanya yabg Dewi akan diselamatkan kelak. Bukannya dibiarkan sahaja di dunia manusia.

"Tolonglah Juara..hanya itu sahaja anak dan pewaris keluargaku..selamatkanlah Dewi Juara.." sayu suara yang dititipkan dari bibir Dewi Siluman Bulan. Dia tidak mampu berbuat apa. Hanya mengangguk mengiakan permintaan ibu Dewi itu padanya. Saat Dewi Siluman Bulan kembali tenang, segera Juara melangkah mencari Tok Aduka yang menghilang entah kemana. Pelbagai persoalan berada dalam kotak fikirannya.

Susuk tubuh Tok Aduka yang berdiri di luar gua telah membawa Juara untuk mendekatinya. Berbalam cahaya senja kian lama kian menggelapkan suasana. Kemurungan kian terasa di sisi gua itu. Sekian lama sudah peristiwa lama itu dilupakan, kini ia berlegar kembali ke dalam ingatan kaum siluman. Dakyah palsu yang dilemparkan Tok Aduka berjaya mempengaruhi semuanya. Kini hanya menanti saat dan waktu, mereka bertempur di hujung sana.

"Tok..mengapa kau lakukan sedemikian pada Dewi Siluman Bulan..?? Bukankah kita telah berjanji yang kita tidak akan mengapakan lagi ahli keluarga Tok Kelana yang lain..?? Terutamanya Dewi..??" Juara berdiri bersebelahan Tok Aduka. Sekilas pandangan dilemparkan ke wajah Tok Aduka. Namun langsung tidak diendahkan Tok Aduka malah dia hanya berlalu pergi menjauhi Juara.

"Kau jangan menjadi terlalu bodoh Juara..setiap janji yang diucap tidak semestinya ditepati..kata-kata hanya penyedap rasa..namun niat tetap pelaksana bicara.." ujar Tok Aduka.

"Apa maksudmu Tok Aduka..?? Bukankah kita hanya merancang untuk menyerang manusia kerana dendam yang lama..kita takluki mereka untuk merampas kembali apa yang dahulunya milik kita..bila semuanya selesai, kita akan merukunkan kembali kehidupan kita seperti sedia kala..bukankah begitu Tok..??"

Sekadar gelengan dibalas Tok Aduka. Dia tersenyum tawar saat Juara berkata demikian. Entah mengapa anak muda itu masih belum mengerti akan niat sebenarnya.

"Kau terlalu muda untuk mengerti akan maknanya dendam wahai Juara..jika Kelana sendiri telah ku benci dari dahulu, maka keseluruhan keluarganya tetap akan mendapat tempiasnya..!"

"Tapi ini bukan seperti mana yang Tok katakan padaku dahulu..kita perangi manusia..bukannya kaum kita sendiri..!" Juara kian keliru.

"Tidak Juara..siapa sahaja yang mengahalang kehendakku, pasti akan aku tamatkan riwayatnya Juara.." nadanya mendatar namun penuh mendalam maknanya. Tok Aduka tidak bergurau. Juara jadi gumam. Untuk seketika, terdetik dalam dirinya apakah benar semua yang dilakukannya kini.

"Walaupun kita terpaksa menggadaikan nyawa kaum kita sendiri..??" soal Juara kali ini lebih tegas. Soal nyawa bukan lagi permainan. Cukuplah sekadar nyawa Tok Kelana dan Fawas yang direntap pergi. Bukannya nyawa siluman yang lain.

"Benar..siapa menghalang, akan kita hapuskan..!" Kata-kata Tok Aduka telah menjawab segalanya. Perjuangan itu bukan lagi perjuangan yang bersifat menegakkan maruah kaum siluman. Namun perjuangan Tok Aduka lebih kepada bersifat peribadi!

"Kau adalah anak didikku untuk sekian lamanya Juara..aku yakin kau pasti akan menurut setiap kata-kataku bukan..??"

Ditelan mati anak, diluah mati bapak. Juara berada di persimpangan. Dia jelas tertipu dengan segala yang dicanangkan Tok Aduka pada dirinya sebelum ini. Segalanya pincang setelah kuasa bertukar tangan. Ini bukan seperti apa yang difikirkannya. Namun budi menjadi racun yang membunuhnya perlahan demi perlahan dari dalam. Dek kerana curahan budi Tok Aduka terhadap dirinya selama ini, dia terpaksa akur. Akur dengan kehendak dan perancangan Tok Aduka yang nyata terpesong dari tujuan asalnya. Juara tertunduk tidak mampu memikirkan apa lagi.

"Baiklah tok.." turutkan kehendak walaupun dalam hati berbelah bahagi. Juara terjerat.
Kini segalanya tidak lagi mampu diundur.

"Aduka.." satu suara muncul dari celahan semak tempat Tok Aduka dan Juara berdiri. Suara itu dikenali Juara. Kemunculan Buragas di saat malam memadamkan cahaya, langsung tidak mengejutkannya. Kerana perjanjian antara Tok Aduka dan Buragas telah lama termetrai. Selama ini mereka berhubung tanpa diketahui sesiapa. Cuma selama ini Juara sengaja berlindung seolah tidak mengetahui apa-apa tentang jembalang. Semuanya untuk melaksanakan perancangan yang telah lama mereka rancangkan. Cuma kali ini, Buragas ternyata lebih berani untuk mendekati Gua Muluk tanpa rasa ragu lagi. Ketiadaan Fawas penjaga pintu Gua Muluk, memudahkan lagi kehadirannya ke gua itu.

"Berapa kali telah aku katakan padamu Buragas..jangan sesekali kau menghampiri penempatan ini tanpa kebenaran aku..!!" tempelak Tok Aduka lantas membawa pergi rakan subahatnya itu jauh daripada kawasan gua dan Juara. Tok Aduka gusar jika kegiatannya itu dihidu oleh mereka yang lain.

"Kau telah menjadi pemimpin di kalangan mereka..sepatutnya tiada apa lagi yang patut kau gusarkan Aduka..katakan sahaja pada mereka sekalian penduduk Gua Muluk bahawa kaum jembalang dan siluman akan bersatu demi menentang kaum manusia yang kita musuhi itu wahai Aduka.."

"Kau berkata seolah perkara itu semudah memetik bunga dari tangkainya wahai Buragas..tidak semudah itu untuk aku mempengaruhi mereka semua..aku pasti akan dikecam jika mereka mengetahui akan muslihat diriku ini..dan aku pasti akan ada yang memberontak lalu cuba untuk mengingkari tiap arahan yang aku berikan kelak..!"
Buragas mencemik muka saat kata-kata Tok Aduka sampai ke hujung telinganya. Pendirian Tok Aduka itu langsung tidak boleh diterima dirinya. Bagi Buragas, Tok Aduka terlalu lembab mengatur rencananya. Semakin lewat bermakna semakin jauhlah mereka daripada perancangan asalnya. Tok Aduka mengaturkan pelbagai helah untuk melunaskan dendamnya. Buragas sekadar pemangkin kepada kebangkitan itu. Namun dalam diam, dia turut punya rencana tersendiri.

"Jika ada yang mengingkari..bunuh sahaja mereka..!" Buragas bertegas. Jembalang sememangnya tiada perasaan belas pada sesiapa sahaja. Mereka berpegang kepada satu pegangan, ingkar bermakna menempah ajal.

Tok Aduka meneguk liur seketika. Walau dia tahu sememangnya itu adalah cara akhirnya jika ditentang kelak, namun dia tetap belum bersedia untuk melakukannya. Biarlah segalanya berjalan tanpa ada sebarang kekecohan yang berlaku di kalangan mereka. Segalanya perlu dilakukan secara berhati-hati. Umpama menghela rambut dari tepung, rambut tidak putus, tepung tidak terserak.

"Kau terlalu pengecut untuk semua ini..katakan padaku sampai bila harus kita menunggu..??" Nada suara Buragas diiringi sama dengan wajahnya yang mula membengis. Langkah mereka yang kian menjauhi Gua Muluk terhenti seketika di hujung tebing sempadan Gua Muluk. Buragas bernafas deras dengan anak mata menyeringai memerhatikan wajah Tok Aduka.

"Bersabar Buragas..sampai waktu, semuanya akan kulaksanakan satu persatu..biar berita kematian Kelana ini berlalu untuk seketika..selepas itu, barulah akan aku kerahkan segala tenaga yang ada untuk memerangi manusia..bersama-sama dengan orang suruhanmu Buragas.."

"Dan bagaimana pula dengan habuanku..??"

Pandangan mereka terus bertaut. Sesekali Tok Aduka melarikan pandangan kerana gentarkan Buragas. Habuan yang dipinta Buragas sebelum termetrai janji antara mereka sebelum ini, masih belum dilunaskannya. Janji tetap janji. Kerja telah dilakukannya. Maka habuannya tetap perlu dipersembahkan pada raja jembalang itu.

"Akan aku serahkan Dewi Siluman Bulan padamu kelak..aku berjanji Buragas.."

Kerana dendam kesumat dan hasad dengki, nyawa dipertaruhkan. Seperti nyawa itu tiada punya nilainya. Tok Aduka nyata kehilangan kewarasan fikiran. Dipermainkan jembalang sehingga memaksa dirinya melakukan sesuatu yang diluar batasan kehidupannya.

"Bagus..aku akan menanti saat itu.." Buragas berlalu pergi tanpa sebarang persoalan lagi. Langkahnya perlahan menuju ke belukar gelap diiringi gelak tawa yang memecah hening. Hatinya puas kerana Aduka ternyata terlalu mudah diperalat. Bayangan Tok Kelana yang diseksanya jelas terpampang dalam kotak fikirannya. Nanti saat Tok Aduka menyerahkan Dewi Siluman Bulan, isteri kepada Tok Kelana itu, pastinya seksaannya pada Tok Kelana akan menjadi lebih menghiburkan. Hilang Buragas dalam kelam meninggalkan Tok Aduka termanggu seorangan.

DEWI terpasung sendiri di jendela saat Musliha melangkah masuk ke dalam kamar. Lirik mata melihatkan Musliha yang baru pulang dari taman istana. Ada Musliha mengajaknya berjalan di taman, namun ditolaknya atas alasan tidak sihat. Walhal, Dewi sebenarnya berhati runsing. Perihal Fawas menjadi persoalan dalam kotak fikirannya.

"Kenapa dengan kau Senja..?? Sakit lagi tangan kau..??" Ucap Musliha terus sahaja melihatkan balutan di lengan Dewi. Jika ada pendarahan, Tabib Fansuri mengarahkan dia untuk membantu Dewi menukarkan balutan itu.

Dewi menggeleng tanpa kata lalu terus membawa tubuh berbaring di atas katil. Hela nafas perlahan  seolah mengeluh akan sesuatu hal yang merunsingkan. Musliha jadi bingung dengan apa yang dilihatnya. Seolah Dewi ada menyorokkan sesuatu dari pengetahuannya.

"Kalau tak ada apa-apa, takkan kau mengeluh..??" soal Musliha lagi lalu melabuhkan punggung di bucu katil.

"Kau juga adalah tetamu di istana ini Musliha..mengapa kau tidak pulang ke kampung halaman kau sendiri Musliha..?? Apa kau tidak merindui keluargamu..??" soalan Musliha enggan diulas Dewi, malah dia pula yang membangkitkan persoalan pada Musliha. Tiada apa yang perlu diceritakan tentang dirinya pada Musliha itu. Segalanya perlu dirahsiakan.

"Rindu..aku rindukan semuanya di tempat asalku.." ringkas sahaja jawapan dari Musliha. Dia tidak mahu membebani Dewi dengan segala cerita dari zamannya sendiri pada gadis itu. Kerana dia yakin, pasti tiada siapa yang akan memahami.

"Kau pasti rindukan ibu dan bapamu bukan..??" soal Dewi lagi mengutuskan senyum. Kerana dia juga turut rindukan keluarganya di Gua Muluk.

Musliha mengangguk mengiakan sahaja kata-kata Dewi. Anak mana yang tidak rindukan ibu dan bapa. Anak mana yang tidak dambakan belaian kasih dan sayang keluarga tercinta. Setiap butir kata yang terucap di bibir seorang ayah seolah pemangkin pada diri setiap anak untuk terus berjaya dalam kehidupan. Setiap elusan manja tapak tangan seorang ibu pada anaknya seolah satu pemberi semangat pada si anak untuk terus mengecap bahagia pada hari yang mendatang. Cuma pada mereka yang masih berpunyakan ayah dan ibu, butir kata dan elusan manja itu mungkin mampu mereka kecapi lagi. Berbeda pula pada yang telah kehilangan kedua-dua watak penting dalam kehidupan manusia itu, hanya memori lama sahaja mampu dijadikan semangat untuk terus berjuang meneruskan hidup. Dan Musliha, hanya punya memori lama terhadap ayah dan ibunya.

"Mengapa kau tidak pulang sahaja Musliha..??" wajah tenang Musliha diperhatikan Dewi.

"Kerana jika aku pulang sekalipun, belum tentu ada tangan yang akan melambai ke arahku saat aku melangkah menghampiri..tiada kucupan kasih yang akan ku terima andai kakiku kunjung tiba di rumahku nanti..tiada lagi pelukan manja dilepaskan ke tubuhku saat aku menjengah ke tangga rumah..segalanya kosong disana..tiada apa-apa.."

Renungan Musliha yang terpaku melihatkan jendela kamar itu menghadirkan rasa bersalah pada Dewi. Ada sesuatu yang cuba disampaikan Musliha tapi dia tidak pasti. Lidahnya kelu hendak bertanyakan persoalan. Namun digagahinya jua untuk mengetahui jawapan apa di sebalik kata-kata Musliha itu.

"Ayah dan ibumu sudah tiada Musliha..??" elusan jemari lembut mengusap perlahan bahu Musliha. Seakan tersentak dari lamunan, Musliha alihkan pandangan melihatkan Dewi di sebelahnya. Dia tersenyum lantas sekaan pada kelopak matanya membuang pergi air mata yang mula bergenang. Rindu pada arwah ayah dan ibunya kembali bernaung dalam fikiran. Entah mengapa sesekali tika teringatkan kedua orang tuanya itu, air matanya tumpah sendiri tanpa dia sedari.

"Maafkan aku Musliha.." tubuh itu dipeluk Dewi. Seerat mungkin seolah cuba membuang segala dosa yang diciptanya tadi. Benar-benar rasa bersalah itu ada pada Dewi. Bukan mengungkit hal yang telah lama, tetapi dia sesungguhnya tidak mengetahui tentang hal itu.

"Saat ibu masih bersama denganku dahulu dia selalu berpesan..bila dia sudah tiada nanti, janganlah ditangisi ketiadaannya..kerana pasti jiwanya meronta di atas sana melihatkan aku derita membawa diri keseorangan di bawah sini.." tersekat-sekat butir kata yang diucap Musliha.

"Kerana tiada ibu di dunia ini yang sanggup melihat anaknya hidup menderita Musliha.." Dewi cuba menenangkan Musliha yang kian bersedih.

"Aku hidup sendiri..bertemankan rakan-rakan yang sentiasa ada bersamaku..kepada merekalah aku mengadu..kepada merekalah aku dambakan kasih dan sayang.." wajah Raihan pula menjengah ke minda. Selama ini lelaki itulah yang selalu menjaga dirinya saat dalam kesusahan. Tidak pernah dia mengeluh, tidak pernah dia berkata tidak pada kemahuannya. Raihan seperti abang yang sentiasa peka menjaga adik-adiknya dalam setiap nafas yang terhela.

"Saat Raihan pergi meninggalkan aku..aku rasakan seolah dia akan pergi untuk selamanya..detik hatiku berkata seolah dia tidak akan kembali lagi mendapatkan diriku lagi selepas ini.."

Dewi kian celaru tidak mampu berkata apa-apa lagi. Sekadar memeluk erat meredakan segala gundah Musliha yang bersarang. Biarlah persalinannya basah dek air mata yang mengalir itu asalkan penderitaan di jiwa Musliha berjaya diusirnya pergi. Walaupun hanya untuk seketika.

Angin malam yang berpuput lembut menerobos ke arah jendela mendinginkan ruang kamar itu. Dewi dan Musliha duduk berdua berbicara soal hati. Untuk seketika mereka berdiam, membuai perasaan hingga tidak tersedar kemunculan Permaisuri Dahlia dari belakang. Terukir senyuman di bibirnya saat melihat kedua orang anak angkatnya itu erat bersama. Pasti mereka berhubung baik fikir Permaisuri Dahlia dalam hatinya. Dia hanya membiarkan Dewi dan Musliha berdiam diri di kamar itu. Telah terlalu lama dia mendambakan kehadiran puteri di dalam istana itu. Kini semuanya sudah terlihat di depan matanya. Dewi dan Musliha menghiasi istana itu walaupun hanya untuk seketika.
Kerana tiba saatnya nanti, pasti mereka akan pergi meninggalkan dirinya jua kelak. Permaisuri Dahlia melangkah meninggalkan pintu kamar dengan pelbagai perasaan dalam dirinya.

"Sudahlah Musliha..usah kau menangis lagi..ingat pesan ibumu dahulu..dia pasti tidak mahu melihat kau meratapi ketiadaannya.." kedua belah bahu Musliha digenggam rapat Dewi. Wajah kusam Musliha ditatapnya. Basah pipi Musliha disekanya dengan jari. Membuang pergi semua kesedihan yang dibuangnya melalui air mata itu.

"Jika ditakdirkan suatu masa nanti..akan aku bawakan kau berjumpa dengan ibu dan bapaku..kau pasti akan senang dengan mereka..kerana kasih sayang mereka, seperti jua kasih sayang ibu dan bapamu yang kau pernah terima dahulu.." Dewi utuskan senyum. Dia sendiri berasa sangsi dengan apa yang dikatakannya. Namun demi memujuk lara hati Musliha, biarlah sahaja kata-kata itu ditentukan dengan masa kelak. Jika ada ketentuan, pasti apa yang dikatakannya itu akan terlaksana.

"Betul..?? Janji kau akan kenalkan aku dengan ibu dan bapamu..??" Musliha tersenyum riang. Apa salahnya punyai ibu dan bapa yang berlainan. Asalkan dia punyai tempat bermanja seperti dahulu. Walaupun dia tahu kasih sayang itu pasti tidak sama.

"Aku berjanji.." ucap Dewi tanpa rasa sangsi.

Dia berjanji kerana tidak mengetahui. Dia berjanji kerana merasakan semuanya berjalan seperti biasa. Dia berjanji kerana pasti ibu dan ayahnya menanti kepulangannya di Gua Muluk. Tanpa Dewi sedari bahawa bala sedang menimpa kedua ibu dan bapanya di sana. Memungkinkan dia untuk sebasib dengan Musliha kelak.

No comments:

Post a Comment