Pagi berselisih pagi, senja berselisih senja. Tanpa disedari Dewi, sudah hampir beberapa hari dia berada di Indera Sakti. Menjadi tetamu kepada istana tempat huninya golongan bangsawan wilayah itu. Walau sering ingatan pada keluarga menjengah tiba, terpaksa jua ditepisnya pergi. Demi menuruti kehendak ayah dan bonda yang mahu melihatnya sembuh seperti sedia kala.
Tanpa kelibat Musliha disisi, Dewi membawa langkah, menyusuri tebing di pinggir istana untuk membuang pergi rasa bosannya. Balutan di lengan kanan dirasakan mencucuk-cucuk. Luka itu masih belum ada kebahnya. Segala pantang serta perintah Tabib Fansuri telah diturutinya. Namun mereka tetap memerlukan Bunga Kudup Nyawa sebagai penawar terakhir pada lukanya itu. Dewi pasrah. Menurut Tabib Fansuri, andai Tantira tidak kembali tepat pada waktunya dengan membawakan bunga itu, mungkin dirinya tidak akan punya lagi harapan untuk terus hidup. Hari yaang cerah di luar, namun terasakan gelap dalam dirinya. Dewi mengeluh dan terus membawa langkah menyusuri tebing istana itu.
"Berikan aku makanan.." satu suara berbisik perlahan dari balik perdu buluh berhampiran tebing. Lamunan Dewi tersentak. Diperhatinya perdu buluh itu tidak berkelip.
"Siapa..??" tegur Dewi perlahan mengandaikan mungkin itu adalah penghuni istana yang ingin menyakatnya. Namun suara itu kembali senyap. Hanya desir angin melenggokkan batang buluh kedengaran di cuping telinganya.
"Aku...ini aku..." tersekat-sekat suara itu menyambung kembali butir bicaranya. Bibit kata seolah dalam keseksaan. Seolah memohon pertolongan yang amat sangat. Dewi kalihkan pandangan perhatikan sekeliling dirinya. Andai jika ada sesiapa yang berdekatan. Hulubalang ataupun penghuni istana lain yang boleh dipintanya pertolongan.
"Aku Fawas.." sepatah nama itu sahaja sudah mampu untuk menggoncang Dewi. Betapa dia gembira mendengarkan suara itu menyebutkan nama yang amat dirinduinya. Sungguh dia tidak menyangka Fawas masih lagi hidup selepas pertarungannya dengan Cempaka Sari dahulu.
Pantas sahaja Dewi berlari ke arah suara Fawas yang didengarinya. Puas dirinya bertanya akan perihal sahabatnya itu pada Ashuri sebelum ini, namun tiada jawapan pasti yang diberikan padanya. Hampir sahaja dia berputus asa bila mengenangkan pelbagai dugaan yang ditempuhi Fawas.
"Fawas..! Kau di mana..??" Anak mata menyelongkar lihatkan sekeliling tebing. Ada rekahan di antara tebing itu yang laluan ke dalamnya terhalang dengan batang-batang kayu tercacap teguh.
"Binaan apakah ini..?? Kelihatannya seperti kurungan.." getus Dewi dalam hati kala terlihatkan sebuah kurungan betul-betul di sebalik perdu buluh itu.
"Dewi.." suara lemah itu kembali kedengaran. Namun arah yang perlu ditujui Dewi adalah sisi dalam kurungan itu. Pandangannya mencerlung lihat ke dalam kurungan.
"Mengapa Fawas dikurung..?? Apa kesalahannya..?? Ternyata manusia tidak jujur berkata padaku..kata mereka Fawas tidak bersamaku..padahal mereka mengurungnya di balik kurungan ini..!" amarah Dewi pada Ashuri yang berdusta padanya. Segera palang kurungan itu Dewi hampiri. Diperhatikannya ruang kurungan yang ternyata kelam tiada langsung disimbahi cahaya. Satu susuk tubuh terlentang terkapai menggamit dirinya.
"Fawas..! Mengapa kau diseksa..??" hampir menitis air matanya melihatkan Fawas yang terkujur, dirantai bak binatang. Sebiji mangkuk dan tembikar berselerakan di lantai. Perlahan tubuhnya mengengsot menghampiri Dewi.
"Manusia bercadang untuk mempergunakan kau Dewi..lari..pergi dari sini..kembali semula ke Gua Muluk.." matanya layu. Ucap katanya lemah. Fawas gagahkan diri mengengsot sehingga pagar kurungan itu berjaya dicapainya.
"Aku diseksa kerana cuba mempertahankan kau..ternyata aku tidak mampu..manusia lebih kejam daripada sangkaan aku.." sambungnya semula. Batuk kecil dilepaskannya lantas mulut ditekup dengan telapak tangannya.
"Tidak Fawas..aku tak akan tinggalkan kau disini..!" Air mata tidak mampu lagi disekangnya. Melihatkan susuk tubuh yang kelihatan umpama mayat tidak terurus itu, sudah cukup untuk menghadirkan sebak dalam dadanya. Selama ini tubuh itu cukup gagah mempertahankan dirinya. Hujung jari Fawas digenggam Dewi. Dielusnya lembut melepaskan kerinduan.
Dia tahu Fawas adalah pelindung. Dia juga tahu Fawas sanggup melakukan apa sahaja demi dirinya. Tetapi mata yang melihat seksaan itu, jauh lebih terkesan di hati dan sanubarinya. Tidak sanggup dibiarkan Fawas begitu rupa.
"Ayuh..kita lari dari sini.." Dewi mengesat pergi air matanya yang mengalir. Anak pintu yang tertambat cuba dileraikan Dewi. Terkial-kial dia meleraikan ikatan yang tersimpul. Fawas hanya memerhatikan dengan senyuman melirik. Diam tidak berkutik.
"Apa yang kau lakukan Dewi..??" Ashuri muncul setelah terdengarkan suara seolah berbual berdekatan kurungan istana itu. Kebetulan dia melalui kawasan itu menghirup udara petang. Namun tidak disangkanya, Dewi bersetongkol bersama musuh kerajaannya itu untuk meloloskan diri. Ikatan kurungan cuba dileraikannya tanpa keizinan.
Wajah yang muncul dihadapannya kala itu, memang tiba tepat pada waktunya. Bibirnya meretap melihatkan Ashuri yang sedikit pun merasakan tidak bersalah dengan perbuatannya itu. Sekeji-keji haruan yang makankan anak, keji lagi si anak raja pendusta bicaranya. Lidah bercabang menghamburkan kata-kata manis selama ini. Sia-sia kepercayaan disemainya. Ternyata segala itu hanyalah sia-sia.
"Pendusta..!! kau katakan padaku Fawas tidak kau temui..tetapi ternyata kau sorokkan dia dari pengetahuanku..! Ada rencana lain yang kau titipkan rupanya..!!" tubuh Ashuri diterpanya bak harimau yang kelaparan. Bertubi-tubi tumbukan dilepaskan ke dada Ashuri. Dilepaskan segala amarah. Kebencian tersemi tidak mungkin diubati semula.
"Sabar Senja..! Apa maksudmu dengan Fawas..?? Aku langsung tidak tahu menahu akan perihal yang kau sebutkan ini..!" Ashuri mengundur beberapa tapak dek asakan Dewi. Cuba mengelak tanpa mencederakan Dewi yang menggila amukannya.
"Yang kau kurungkan itu adalah rakan baikku..! Kau katakan padaku bahawa dia tidak kau ketemui..! Apa sebenarnya yang cuba kau selindungkan..??" jeritan Dewi didengari oleh seluruh pelusuk istana. Berkejar hulubalang cuba melindungi Ashuri. Namun pantas tindakan itu dihalang Ashuri.
"Pantang anak jantan Melayu menyakiti wanita..berundur kalian..!" arahnya tegas ke arah hulubalang yang mula mengelilingi. Dewi melutut kepenatan. Hela nafasnya laju. Dadanya berombak kencang. Fikirannya ligat menyemai rasa benci terhadap Ashuri dan kaum manusia.
"Bertenang Senja..aku pasti ini adalah salah faham..biar aku terangkan satu persatu kekeliruan didalam fikiranmu itu.." pujuk Ashuri lembut. Dia melangkah perlahan menghampiri tubuh Dewi yang menggeletar menahan gelora.
"Kau pendusta.." butir kata bersulam tangisan. Hatinya bagai dirobek. Kepercayaan itu telah hilang!
Lengan baju telah dilumuri darah. Lelehan pekat darah mengalir turun membasahi lantai bumi. Titisan air mata langsung tidak disekanya. Dewi mengumpul semula segala kekuatannya untuk berdiri. Andai perlu dia perjuangkan nasibnya itu sendiri, sanggup dia bermandi darah asal nasib sendiri tidak tercela.
"Lenganmu berdarah Senja..ada eloknya kau berehat di kamar..biar sahaja hal ini aku uruskan sendiri.." pujuk Ashuri lagi masih berlembut. Kekeliruan itu cuba ditolaknya pergi. Bahu Dewi dipautnya lembut. Tubuh itu cuba dibawanya berdiri. Namun tidak sempat..
Dewi pantas menolak kasar tubuh yang merangkul dirinya itu. Wajah bengis terpamer menampakkan kemarahan.
"Sekali aku ditipu..tidak mungkin ada kedua kalinya..!" bingkas bangun semula dengan kekuatan yang berbaki. Keris di pinggang Ashuri jadi perhatian. Anak raja itu harus ditamatkan riwayatnya!
"Bertenang Senja..!" teriakan Ashuri disambut dengan terpaan Dewi ke tubuhnya. Longlai. Wajah polos Dewi tersembam ke dadanya. Matanya terkatup rapat perlahan demi perlahan. Ulas tangan yang kononnya menggenggam penumbuk tadi kian terlerai. Pendarahan yang terlalu parah di lengan kanannya, membuatkan Dewi langsung tidak bermaya. Dia tidak sedarkan diri. Terkaku lesu dalam dakapan Ashuri yang hampir sahaja dibunuhnya.
"Senja..!!" Tubuhnya digoncang. Namun tiada tindak balas. Nafasnya masih kedengaran. Lemah. Segera tubuh itu dirangkul Ashuri. Dibawanya berlari bergegas ke dalam istana.
"Perhatikan kurungan..! Jangan biar si durjana itu terlepas..! Aku mahu bersemuka sendiri dengan si Jalak penderhaka itu..! Entah apa yang dihasutnya kepada Senja..!" arah Ashuri pada hulubalang yang mengelilingi. Langkahnya dihayun laju membelah perkarangan istana. Tidak sanggup melihatkan Dewi sedemikian rupa.
Tubuh layu Dewi diletakkan di lantai kamar. Berkerumun dayang istana melihatkan Dewi yang berlumuran darah. Luka di lengan kanannya masih belum sembuh. Luka itu terkoyak semula dek perbuatan bodohnya tadi. Bertindak tidak berfikir panjang. Akhirnya mengundang bencana pada dirinya sendiri.
Tabib Fansuri bergegas memasuki ruang kamar selepas didengarinya kekecohan itu. Balutan di lengan Dewi dileraikannya. Herba ditaburnya untuk menghentikan aliran darah. Sekalian istana menjadi bingung. Penyebab apakah Dewi bertindak menggila.
"Tubuhnya banyak kehilangan darah Tengku..patik gusar dirinya tidak mampu bertahan lama.." ucapan lemah Tabib Fansuri berdesing di telinga Ashuri.
"Lakukan apa sahaja..!! asalkan nyawanya tidak melayang..!!" tengking Ashuri menghadirkan gerun mata yang memerhati. Selama ini tidak pernah dia meninggikan suara. Pekertinya molek seiiring perwatakannya. Budi bahasanya tinggi penuh kesopanan. Kali ini entah apa yang merasuk, segala itu seperti hilang dibawa angin.
"Baiklah Tengku.." Tabib Fansuri tidak terkecuali. Ternyata Ashuri tidak mahu kehilangan nyawa itu. Sedaya upaya diurusnya hal yang terbentang di hadapan matanya dengan tekun.
Ashuri mundar mandir di luar kamar. Dia tidak senang melihatkan Dewi yang rebah tidak sedarkan diri. Lebih lama dia berada di dalam kamar itu, bertambah perit rasa di hati.
"Argghhhh..!!" bentaknya lalu menghempas dinding istana.
"Sabarlah anakanda..bonda pasti, Tabib Fansuri akan melakukan segala yang termampu untuk menyelamatkan Senja..usah kau mengeluh demikian rupa.." pujuk Permaisuri Dahlia pada anaknya itu. Jelas dia ditekan perasaan amarah yang memuncak tinggi. Raut wajahnya sahaja sudah mampu menerangkan segalanya.
"Anakanda tak akan membiarkan si petualang itu mengapa-apakan Senja..!" lalu dia berpaling membelakangi Permaisuri Dahlia. Tubuhnya menggelatar menahan asakan amarah.
"Biar sahaja anakanda tamatkan riwayat si pembawa malang itu..!" sebilah tombak yang tercacap di dinding istana dicapai Ashuri. Tekad dia untuk membunuh. Biar sahaja nyawa yang tidak disenanginya itu pergi dek tusukan lembing di tangannya kala itu.
"Usah begitu Ashuri..!! Bukan begitu caranya hukuman dijatuhkan..usullah periksa..bertanyalah dahulu sebelum kau laksanakan hukum..rakyat mendukung kita selama ini kerana adilnya pemerintah..jangan kerana tindakanmu itu, terpalit najis yang tak mampu dibersihkan nanti.." lengan Ashuri dipaut kemas Permaisuri Dahlia. Namun rentapan Ashuri menjatuhkan Permaisuri Dahlia ke lantai istana. Terkial-kial dia cuba bangkit. Pangkal kaki Ashuri pula dipautnya tidak dilepaskan. Erat.
"Bonda merayu padamu anakanda..bonda merayu.." sambungnya semula dengan esak tangisan. Tidak mahu melihat anaknya itu dipalit sebarang dakyah. Dakyah yang akhirnya mampu membinasakan dirinya kelak.
Rayu si ibu ada bisanya. Tangis si ibu ada penawarnya. Bagaikan tersentak dari khayalan, tombak digenggaman terlucut jatuh. Bergolek ke lantai menyisir ke dinding. Ashuri berpaling lihatkan wajah ibu yang melingkar di pangkal kakinya. Menular rasa bersalah dalam diri. Menitis air mata ibu itu, umpama derhaka yang tidak mampu diampuni lagi.
"Maafkan anakanda bonda..hati ini terlalu kecewa..bagai ditikam-tikam saat melihatkan Senja demikian rupa..luluh hati ini tidak mampu anakanda tahan lagi bonda.." tubuh Permaisuri Dahlia dirangkul kemas. Dibawanya berdiri, dikesatnya air mata yang membasahi pipi.
"Bonda mengerti..tetapi, usahlah keputusan dibulatkan tanpa periksa..hanya itu pinta bonda padamu anakanda.." esak tangis belum berlalu. Pelukan erat Ashuri melurut ke lututnya. Wajah disembam ke pangkal lutut. Memohon ampun atas kesalahan.
"Sudahlah anakanda..sedikit pun bonda tidak terkesan dengan perbuatanmu itu..bangunlah..usah kau melutut demikian rupa.."
Ashuri bangun seperti diarah. Kucupan ikhlas dilepas ke dahi bondanya. Wajah itu ditenungnya seketika. Mujur ada Permaisuri Dahlia yang menghalang. Andai tidak, pasti perkarangan istana telah hanyir bermandikan darah dan keringat.
"Pergilah anakanda..periksalah segala punca Senja menjadi demikian rupa..gunalah akal untuk menjatuhkan hukum..usah dituruti kata nafsu.." pegangan ke bahu Ashuri dilepaskannya. Ashuri sekadar mengangguk mengiakan perintah bondanya itu. Semua mata yang memerhati seakan terpaku.
Ashuri berlalu meninggalkan istana menuju ke kurungan. Jalak si penderhaka harus disoal. Soal Dewi, biar hingga kering darahnya sekalipun, tetap akan dia berjuang mempertahankan si pesona hati itu.
No comments:
Post a Comment