Tok Aduka menyusuri tebing lembap
menuju ke bawah sebatang pohon rendang. Daunnya merimbun meredupkan suasana. Laluan
di celahan akar pokok sebesar sepuluh pemeluk itu direntasinya. Laluan itu
menuju ke kediaman kaum jembalang. Selama ini pohon besar itu mejadi kubu kuat
Buragas dan pengikutnya berlindung. Kelam dan tersisih dari keindahan dunia.
Kawasan itu jelas kawasan takluk yang dikuasai jembalang.
Bauan hanyir mula menusuk ke hidung.
Cebisan tulang belulang berselerakan di lantai. Dikuisnya dengan hujung kaki.
Tok Aduka melihatkan sekeliling andai ada susuk jembalang yang dapat
dilihatnya. Jelas kawasan itu kosong tidak berpenghuni. Kemana perginya
jembalang teman setongkolnya itu?
“Tolong aku..” sayup. Suara itu
terdengar dari kejauhan. Berbisik tidak bergema di ruangan kelam itu. Dari
celahan akar banir yang berselirat di ruangan itu. Langkahnya dibawa menyusuri dinding
ruang menuju ke arah sisi yang lebih gelap. Sunyi dan lembap.
“Buragas..??” anak matanya terpaku
pada sekujur tubuh yang terbaring di balik sebuah kurungan. Tika dihampirinya,
apa yang disangkanya tadi meleset jauh. Tok Kelana terbaring lesu dengan hujung
kaki dan lengannya ditambat. Terkujur tidak bermaya. Hanya lenggok kepala
terdaya untuk digerakkannya.
“Kau..pembelot..!” getus Tok Kelana.
Kelibat Tok Aduka yang berdiri di hadapan kurungan jelas dapat dilihatnya. Seorang
sahabat yang menikamnya dari belakang kerana diracuni sifat tamak. Dendam dan
kebencian sekadar menjadi api yang memarakkan lagi perasaan itu.
“Kau rupanya..bagaimana keadaanmu di
kediaman barumu ini..??” sindir Tok Aduka sambil mencangkung berteguhkan pada
palang kurungan. Senang hatinya melihatkan musuh dirinya itu terseksa.
“Usah kau khuatir Kelana..anak dan
isterimu kujaga rapi..malah kubelai helai rambut mereka seperti mana kau
lakukan terhadap mereka dahulu..” sambung Tok Aduka lagi dengan senyum yang
meleret.
“Bangsat..!!” menggelupur Tok Kelana
meronta. Terik wajahnya bersulam api kemarahan yang menyala. Sindiran itu
merobek tangkai hatinya. Seakan jantung berhenti berdegup mendengarkan
kata-kata itu.
“Kau tak akan mampu untuk menewaskan
aku lagi Kelana..bersemadilah kau disini sementara aku menyudahkan semua
rancanganku..saat semuanya sudah terlaksana nanti, aku pasti kau turut akan
tersenyum lega..” tuturnya terhenti seketika. Senyuman terukir penuh sinis.
“Kerana kau turut akan ditemani oleh
roh anak dan isterimu juga akhirnya..namun hanya selepas tubuh mereka aku lapah
seperti binatang ternakan..!” ujarnya disusuli tawa yang membingitkan.
Kekejaman seolah telah sebati dengan dirinya. Hati kian gelap dirasuk dakwat
hitam yang membukat.
“Kenapa kau sanggup berpaling tadah
Aduka..! apa kesalahan aku pada dirimu..?!” serak suara Tok Kelana kian
terdengar jelas. Walau dia merasakan tiada lagi harapan untuk dia mengubah
segalanya. Namun, selagi nyawa dikandung badan, pasti dia akan memikirkan cara
untuk menamatkan segala kekusutan itu.
“Huh..” Tok Aduka mendengus geram.
Berdiri semula dengan pandangan masih tidak dialihkannya dari Tok Kelana.
“Terlalu mudah untuk kau lupakan
kisah yang lalu bukan Kelana..?? bagaimana aku melihat sendiri Seroja dibawa
pergi manusia selama-lamanya..dan bagaimana akhirnya dia meninggalkan kita
selamanya..kau lupa semua itu..?!”
“Kerana itu kau pendamkan dendam
selama ini..?? pemergian adik kandungku sendiri bersama manusia, itu yang kau
ratapi..??”
Tok Aduka mengeluh berat. Sia-sia untuk dingatkan lagi perkara itu. Seroja telah lama tiada. Yang tinggal
hanyalah perasaan kasih dan sayangnya terhadap Seroja. Dipendam dek kerana
cintanya itu dihalang. Kononnya Seroja bukan ditakdirkan untuknya. Masih
terngiang kata-kata ayahanda Tok Kelana itu di cuping telinganya selama ini.
“Biar sahaja aku lunaskan segala
hutangku terhadap manusia..sesungguhnya kau tidak akan memahami walau aku
terangkan padamu berulang kali..!” bentak Tok Aduka. Palang kurungan
dihentaknya kuat melepaskan kemarahan yang bangkit dalam dirinya. Wajah Tok
Kelana ditenungnya seketika. Cukuplah sampai disini sahaja persahabatan antara
mereka. Laluan hidupnya kini telah terpesong jauh.
“Kau masih punya masa untuk mengubah
segala yang telah kau rosakkan Aduka..usah biarkan hasutan jembalang mengaburi
kau..” Tok Kelana tuturkan dengan cermat. Hati rakannya itu perlu
dilembutkannya semula. Kezaliman yang telah dilakukannya itu cukuplah dia
sahaja yang merasa. Usah dibiar menular pula kepada kaum siluman yang lain.
Tautan pandangan antara mereka untuk
terakhir kalinya. Renungan Tok Aduka berisi dendam, renungan Tok Kelana
bersiramkan kasih. Dua sisi yang nyata begitu sukar untuk disatukan.
“Tidak..ini adalah perjalananku..”
ucap Tok Aduka sebelum berlalu pergi. Tekadnya telah terabadi dalam jiwa.
Keindahan itu telah lama hilang dalam dirinya. Diusungnya dendam selama ini
dalam keperitan yang jerih hendak dipikulnya. Tidak mungkin dia berpaling
semula.
Tok Kelana mengeluh. Hujung kepala
disandarkan ke dinding kurungan. Resah. Apalah nasib keluarganya, apalah nasib
kaumnya. Kembali terpalit kenangan lama, peristiwa perbalahan antara siluman
dan manusia kembali meruntun jiwanya.
Seroja. Perginya tanpa kerelaan.
Dihalau pergi oleh ayahnya dahulu dek kerana kemahuannya bersama manusia.
Disumpah dan dilaknat kaum siluman sehinggakan permusuhan itu berlarutan
sehingga kini. Semenjak pemergian ayahnya dahulu, pernah jua dia cuba memujuk
Seroja untuk kembali bersama mereka. Namun desakan cinta membataskan segalanya.
Seroja tetap dengan pendiriannya. Kekal bersama manusia dan matinya juga
sebagai manusia.
Aduka dan Seroja. Teman sepermainan
sedari kecil. Riang mereka seperti anak kecil yang lain. Bergelumang dan
berkubang bersama anak manusia. Tanpa disangka, Aduka menaruh perasaan cinta
pada Seroja. Namun cintanya terhalang dek tegahan ayahandanya Seroja. Nasibnya
lebih malang pabila akhirnya Seroja dibawa pergi manusia.
“Mungkin kerana itu Aduka
berdendam..” bisik Tok Kelana perlahan-lahan. Matanya dipejam rapat. Jika
dahulu dia berkeras, pastinya segala ini tidak akan berlaku. Dalam kelam dia
bertafakur. Mengenangkan segalanya.
Tok Aduka ralit membelek seketul
tengkorak kera ketika dia mendengarkan hiruk pikuk dari luar ruangan kelam itu.
Dengusan-dengusan jembalang jelas memecahkan keheningan. Laluan ke ruangan itu
diperhatikannya berbekalkan sedikit kesamaran. Obor api yang tergantung di
dinding ruangan itu tidak mampu menerangai keseluruhan kawasan.
Satu persatu jembalang kecil
menuruni anak tangga laluan itu menuju ke arahnya sedang berdiri. Terlihatkan Tok
Aduka berdiri sendirian, wajah mereka mencemik sambil menghunuskan
lembing-lembing ke arahnya. Tok Aduka mereka kepungi dengan rengusan.
“Bodoh..!!” libasan cemeti hinggap
ke tubuh jembalang kecil di sekeliling Tok Aduka. Masing-masing berpeleseran
lari dek libasan Buragas terhadap diri mereka itu. Buragas muncul dari puluhan
kelompok jembalang yang berkumpul. Wajahnya membengis sambil mengheret hujung
cemeti.
“Mereka dahagakan darah
siluman..maafkan sahaja mereka Aduka..” ucap Buragas sambil anak matanya
melirik ke arah kelompok jembalang kecil. Jembalang suruhannya untuk melakukan
segala kerja terkutuknya.
“Tidak mengapa..” punggungnya
dilabuhkan ke batu berdekatan dinding. Pehanya diusap mengusir hama dan habuk
yang beterbangan hinggap pada pakaiannya.
“Bagaimana Aduka..?? berapa lama
lagi harus aku menunggu untuk kau perangi kaum manusia itu..?? apa lagi yang
masih bermain di dalam fikiran kau..??” Buragas sekadar mundar mandir di
hadapan Tok Aduka.
“Aku perlukan masa..tidak semudah
itu untuk aku yakinkan kesemua pahlawan silumanku..mereka masih lagi ragu-ragu
dengan segala perancanganku..” keluh Tok Aduka resah. Walau jembalang ada
berjanji padanya, mereka akan membantu dalam serangan itu, namun dia tidak
boleh mengambil mudah kekuatan manusia.
“Hrrrr…hrrrr..” Buragas menderam
menahan amarah. Hulu cemeti digenggamnya erat.
“Kau tidak wajar memaksa aku
sebegini..! rancangan ini aku telah susun sebaik mungkin..hanya masa akan
menentukan agar ia terlaksana..kau perlu ingat semua itu Buragas..tanpa aku dan
kaum silumanku, kau belum tentu lagi dapat laksanakan apa yang kau impikan..!” tegas
Tok Aduka bila dilihatnya wajah Buragas mula menerik. Dia yakin jembalang itu
mula jengkel dengan dirinya. Namun dek kerana terpaksa, Buragas tetap perlu
menuruti segala perancangan Tok Aduka. Kerana hanya itu sahaja caranya untuk
dilihatnya kedua-dua kaum itu berbunuh sesama sendiri.
Dan dia…hanya sekadar menjadi api dalam
sekam. Membunuh tanpa perlu mengotorkan jemarinya sendiri.
“Baik..aku turuti segala kemahuanmu
Aduka..namun janjimu untuk menyerahkan seluruh keluarga Kelana padaku nanti,
usah kau lupakan..!” amaran itu tegas. Kerana perjanjian antara mereka
beruftikan nyawa Tok Kelana.
“Itu sudah pasti akan aku tunaikan..
cuma..” tutur katanya terhenti seketika. Teringatkan semula Dewi Siluman Bulan
yang telah dikurungnya di Gua Muluk.
“Isterinya Kelana, telah aku kerat
lidahnya..tidak mungkin lagi dia mampu untuk meratap atau merayu padamu saat
dirinya diseksa kelak..kerana betina sundal itu telah mengetahui akan segala
rancanganku..aku tidak mahu dia menghebahkan perkara itu pada yang lain..”
telus jawapan Tok Aduka. Buragas mengangguk.
“Namun dia pastinya masih mampu
untuk menjerit dan meraung ketika diseksa nanti bukan..??” sinis soalan Buragas
berserta senyuman meleret.
Pecah tawa antara mereka berdua.
Buragas mendengus kelapangan dada. Tok Aduka bertepuk riang. Pastinya
melihatkan seluruh keluarga Kelana itu diseksa akan menggembirakan mereka.
Seperti melihat ayam sembelihan menggeletek meminta nyawa!
Dekah tawa memecah keheningan. Tok
Kelana perlahan membuka kelopak mata. Hujung kepala dihempasnya perlahan ke
dinding kurungan. Meratapi tawa hilai yang terdengar itu. Segala perasaan
seolah dibongkah naik hingga menggelodak jiwa dan raganya.
“Apalah nasibnya keluargaku nanti..”
rintihnya tiada kesudahan.
Tahniah dik.
ReplyDeleteApa yang akak suka dgn cerita ni ialah sentuhan bahasanya. Sangat menarik.
Terdapat beberapa kesalahan bahasa dlm episod ini spt penggunaan dari tapi masih boleh dimaafkan.
Cuma, akak nak tanya...
1. dikuasi jembalang atau dikuasai jembalang.
2. Ayat "sia-sia lagi untuk diingatkan lagi perkara itu".
Akak cadangkan gugurkan satu perkataan "lagi" dlm ayat tu. Lebih menarik rasanya.
Tq kak ita..
ReplyDelete1. Saya pasti itu typo yg memang kelalaian saya..mmg dikuasai kak..^^
2. Setuju kak..perkataan lagi tu berulang..memang kalau buang 'lagi' selepas sia-sia tu, ayat akan jadi lg tersusun..
salah saya..maafkan saya..tq kerana tolong saya kak ita..^^