Wednesday, 20 May 2015

Dewi Siluman Senja 13

“Siapa kau yang sebenarnya..?? Apa yang telah kau hasut gadis yang tidak bersalah itu tadi..??” Jalak sekadar tersandar di dinding kurungan. Ashuri mencekak pinggang memerhatikan dengan perasaan bengis. Perasaan amarah cuba dibuangnya ke tepi. Pesan bondanya tetap disemat dihati.
“Kau masih mentah untuk mengetahui akan segala hal..kau tidak layak..” ujar Jalak sinis. Sedikit pun wajah Ashuri tidak ditatapnya. Menunduk menekur lantai kurungan.
            “Dan aku juga tidak akan teragak-agak untuk terus menamatkan riwayat kau jika kau terus berdalih..” ugut Ashuri tegas. Jika soalannya itu terlalu sukar hendak dijawab Jalak, mungkin tusukan keris ke tubuh akan menjawab segalanya.
            “Adakah keberanian itu..??” wajahnya didongakkan melihat Ashuri. Helaian rambut menutupi sebahagian wajah. Senyumannya meleret sinis. Barisan gigi kehitaman jelas terpampang. Ashuri berundur.
“Kau bukannya Jalak..! Siapa kau..!” hulu keris yang tersisip di pinggang digenggam kemas. Ashuri bersedia untuk segala kemungkinan. Ternyata selama ini yang dikurungnya itu bukanlah Jalak yang disangkanya kehilangan waras akal. Hanya tubuh berupakan Jalak si petualang, namun akalnya menandakan bukan.
Hulubalang yang sedari tadi hanya berdiri di luar kurungan, mula menghampiri Ashuri. Menghimpit anak raja itu dari sebarang ancaman. Hujung tombak runcing telah dihalakan lurus. Anak panah telah tersedia untuk bertindak sekiranya perlu. Jalak menjadi sasaran.
Tawanya berdekah melihat perubahan wajah Ashuri. Riang hatinya kerana semudah itu anak raja itu diperdayanya selama ini. Tanpa menyangka bala apakah sebenarnya yang bakal ditimpa oleh kerajaan yang ditadbirnya itu. Kononnya bakal pengganti raja, tapi ilmu tidak cukup di dada.
“Apa kau fikir gadis itu sengaja dihantar kesini untuk berubat..?? kau tidak pernah terfikir yang mungkin gadis itu hanyalah seorang pengintip..?? yang mungkin diutus untuk memporak perandakan kerajaan ini..??” Jalak bangkit dari duduknya. Berdiri tegak mengadap Ashuri yang terdiam dengan kata-katanya.
“Gadis itu adalah keturunan siluman yang selama ini menyimpan dendam terhadap manusia..rancangan demi rancangan dipersiapkan rapi untuk menyerang kalian semua..lalu pengintip dihantar untuk memusnahkan kalian dari dalam istana terlebih dahulu..kerana apabila isi di dalam istana telah diruntuhkan, pastinya lebih mudah urusan mereka untuk menakluk semula istana ini..!” berdekah semula letus tawanya melihatkan wajah Ashuri yang terkulat-kulat mendengar butir bicaranya.
“Dusta..!” bentak Ashuri. Mungkin sahaja apa yang diperkatakan Jalak itu hanya sekadar omongan kosongnya. Mungkin sekadar fitnah yang ditaburnya untuk menutupi segala kesalahannya awal tadi. Tidak mungkin Senja adalah pengintip bisik hatinya. Dan tidak mungkin juga, Senja adalah kaum siluman yang telah lama lenyap.
“Dahulunya siluman dan manusia hidupnya rukun di istana ini..jerit dan tawa anak-anak manusia bermain bersama anak siluman terdengaran di sana sini..segalanya tampak indah..seolah tiada langsung kepincangan yang terserlah..kerana kebijaksanaan pemerintah yang mengemudi ketika itu..namun dek kerana sifat tamak manusia, siluman disingkirkan pergi..!” Jalak terjahkan tubuh maju ke hadapan. Mujur ada ikatan yang membelenggu kedua pergelangan tangannya. Ashuri langsung tidak dapat dihampirinya.
“Siluman membawa diri dengan hati yang luluh, kerana diusir pergi.. hutan belantara mereka huni untuk sekian lamanya..tinggallah hanya seorang siluman di istana..lalu dijadikan permaisuri untuk mempertahankan kedaulatan istana itu..!” Jalak berundur merapati dinding. Bersandar dengan senyuman. Sinis.
“Atas alasan pastinya siluman tidak akan menyerang mereka selagi adanya ‘tebusan’ itu di tangan raja yang memerintah..!” sambung Jalak semula. Kali ini senyumnya meleret.
Gelora dalam hatinya yang menggelodak ditahan. Api kemarahan mula membakarnya dari dalam. Susuk Jalak yang tersandar bersenang lenang di hadapannya tika itu benar-benar menyakitkan hati. Namun sedikit sebanyak apa yang dikatakan Jalak itu tetap bernaung di fikirannya. Selama ini tidak banyak perihal siluman yang diketahuinya. Apatah lagi bonda dan ayahanda sekadar berdalih bila ditanyakan persoalan itu. Mungkinkah ada benarnya kata-kata yang ditabur oleh Jalak itu? Berbunyi seakan sindiran namun seolah ada kebenarannya. Masakan bergoyang pokok jika tiada angin yang bertiup.
“Ternyata kau tidak mengetahui tentang segala hal ini bukan..??”
“Ti..tidak..” jawab Ashuri ringkas. Tersekat-sekat butir katanya. Umpan Jalak ternyata mengena. Begitu rapuh pegangan Ashuri detik hatinya.
“Mahukah kau tahu apakah rahsia yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan kau..??”
Hanya anggukan dibalas Ashuri.
Jalak meronta. Kedua lengannya dikepang separas dada. Wajah Ashuri ditenungnya dalam-dalam. Anak mata mengerling ke arah pergelangan tangan yang dibalut ikatan.
“Lepaskan ikatannya..” arah Ashuri tanpa berlengah. Hulubalang berpandangan sesama sendiri. Lepaskan ikatan bermakna Jalak akan bebas berbuat apa. maka rumitlah tugas mereka andai berlaku apa-apa yang tidak diingini.
“Sekarang..!” tempik Ashuri kerana arahannya dilengahkan. Bergegaslah dua orang hulubalang terkial-kial membuka ikatan Jalak. Dengan sebaris senyuman, Ashuri dihampirinya. Hujung bahu anak raja itu dipautnya kemas.
“Kau ternyata bukan seorang yang tuli dengan kebenaran..kau peka dengan segala permasaalahan..” bisik Jalak.
“Ceritakan padaku apa yang kau tahu tentang sejarah lalu..” Ashuri berpaling. Melangkah keluar dari kurungan yang kelam. Langkah dibawanya menyusuri laman istana sambil diekori rapat Jalak. Hulubalang yang mengawasi tetap berwaspada. Mengekori dari jauh langkah perlahan Ashuri itu.
“Sewaktu siluman meninggalkan Indera Sakti dahulu, termetrainya satu perjanjian  di antara mereka..segala yang direncanakan hanya diketahui oleh para pembesar kedua-dua keturunan itu..kerana perjanjian itulah siluman menghilangkan diri tidak menampakkan rupa kepada manusia lagi..” Jalak berjalan beriringan bersama Ashuri. Setiap patah kata itu didengarinya dengan teliti.

“Maksud kau..Rukun Indera itu adalah perjanjian antara siluman dan manusia..??”
“Benar..dan siluman pula menggelarkannya Aturan Muluk..kandungan yang sama seperti Rukun Indera, melarang keras beberapa perkara agar manusia dan siluman tidak bertembung di luar sana..”
Ashuri terpana seketika mendengarkan perihal itu. Dia tahu Rukun Indera diatur untuk kesejahteraan rakyat yang bernaung. Namun yang tersirat di sebalik aturan itu sememangnya terbatas dek akalnya. Langsung dia tidak menyangka adanya isi yang tersirat di sebalik Rukun Indera itu.
“Apa kaitannya  pula dengan keturunan istana yang kononnya menjadikan seorang siluman sebagai tebusan..?? siapakah gerangan yang bertindak sebegitu..adakah aku mengenalinya..??” bertubi-tubi soalan dari Ashuri.
“Perjanjian itu tidak semudah itu untuk dimetrai..merasakan bahawa suatu hari nanti mungkin akan ada siluman yang menyerang meraka semula, raja manusia yang memerintah ketika itu mengarahkan seorang puteri di kalangan siluman untuk ditawan.. walhal ketika itu sebenarnya, si raja manusia itu dan puteri siluman tersebut sememangnya telah lama memadu cinta..malah hasrat puteri siluman itu untuk mengahwini raja manusia itu juga dibantah sekeras-kerasnya.. hal itu telah membangkitkan kemurkaan pada pemerintah siluman kerana kedegilan anak kandungnya itu..katanya lagi, manusia dan siluman tidak mungkin boleh bersatu..”
“Lalu apa yang terjadi..??”
“Puteri siluman itu diusir pergi..tinggallah dia bersama manusia..”
“Semudah itu..??”
“Tidak..nyawa tetap balasnya nyawa..setiap yang diambil harus ada galang gantinya..satu perjanjian sulit di antara mereka pula disepakatkan..” jawab Jalak ringkas. Ashuri diam tidak berkutik. Dalam kepala ligat mencantumkan satu persatu cebisan kata-kata Jalak untuk mendapatkan penjelasan yang lebih nyata. Detak jantung berdegup kencang. Aliran darah ke muka seakan ombak yang menerjah deras. Fikirannya terarah kepada seseorang. Bonda!
“Dan yang menjadi galang gantinya adalah kekanda sulungku sendiri..?? dikorbankan di Telaga Air Biru oleh bondaku demi memenuhi kehendak perjanjian sulit di antara mereka itu..??”
Jalak mengangguk dan tersenyum.
“Kononnya diceritakan padamu sebelum ini, kekanda sulungmu itu mati dek terjunam ke dalam Telaga Air Biru bukan..??” Jalak berteka-teki. Fikiran Ashuri yang sedang berselirat itu benar-benar mudah untuk dipengaruhinya. Makin keliru Ashuri, makin bertepuk dia di dalam hati.
“Benar..” Ashuri mengangguk mengiakan. Apakah semua itu sekadar kata nista yang diceritakan padanya selama ini?
Ashuri menggenggam erat hulu kerisnya. Giginya meretap kemarahan. Meluap api kemarahan dalam dirinya saat itu. Tidak menyangka sebegitu sekali ayahanda dan bonda memperdayakan dirinya selama ini. Kehilangan kekanda kononnya lemas hingga tidak dijumpai, padahal dijadikan pertukaran kepada kaum siluman. Seperti bahan sedekah. Mungkin juga sebagai korban untuk disembelih mereka!
“Dan puteri siluman itu adalah bondaku sendiri..??” tubuhnya telah mula menggeletar. Saat menantikan jawapan dari Jalak itu benar-benar dirasakan kosong. Alam seperti sengaja menjadi sunyi. Seolah terbias sama dek penceritaan yang dibawakan Jalak. Tunduk menantikan jawapan balas Jalak.
“Tidak..bukan Permaisuri Dahlia yang digelarkan puteri siluman itu..akan tetapi, nendamu sendiri Ashuri..bonda kepada ayahanda mu dahulu..dialah puteri siluman yang telah diusir pergi..”
Sungguh dia terkejut dengan perkhabaran itu. Namun yang lebih memeritkan tangkai hatinya, mengapa pula kekanda sulungnya dahulu yang dijadikan galang ganti? Apa salah keluarganya? Mengapakah darah dagingnya pula dijadikan mangsa dek perjanjian kaum terdahulu?
“Seharusnya yang menjadi korban adalah ayahandamu sendiri Ashuri..hasil perkongsian hidup puteri siluman dan raja manusia dahulu, maka terlahirlah seorang zuriat ke bumi ini..dan sumpah pemerintah siluman, anak sulung daripada benih yang terkandung di perut puteri siluman itu, harus diserahkan kepadanya..sebagai galang gantinya..” seakan memahami apa yang berbisik di benak Ashuri, segera dia menjelaskan apa yang masih tergantung.
            “Dek kerana kasih dan sayangnya nendamu pada ayahandamu itu, lalu dia merayu kepada pemerintah siluman agar bayi tidak bersalah itu tidak diambil pergi..lalu nendamu berjanji, sambungan zuriat yang akan dilahirkan oleh bayinya itu nanti, akan diserahkan kepada siluman..sebagai gantinya..” sambungnya semula dengan nada yang mendatar. Ashuri kian gelisah diperhatikannya. Kelam hati si anak raja itu dihasutnya, sedikit demi sedikit.
            “Tertewas dek pujuk dan rayu anak kandungnya sendiri, pemerintah siluman lantas mengalah dan bersetuju..di riwayat yang akan datang, barulah galang ganti itu diserahkan padanya..kerana tangisan puterinya itu benar-benar mengusik jiwanya..walaupun kebencian menanah dalam hati, namun sekelumit rasa kasihan mula terbit bilamana puteri siluman itu merayu menangis..”
            “Dan ayahandaku sekadar menurut kata nendaku..?? menyerahkan bulat-bulat pewaris sulungnya kepada siluman..??”
“Benar..demi menuruti kehendak nendamu, walau tidak rela, terpaksa jua dia menuruti..bayi sulung perkongsian hidup bonda dan ayahandamu, diserahkan sahaja kepada siluman untuk dijadikan korban..” Jalak tersenyum lebar di sebalik Ashuri. Hatinya bertepuk riang. Sudah pasti kisah itu akan terkesan di jiwanya. Sebagaimana anak kecil yang didodoikan dengan cerita dongeng, begitu juga perasaan itu akan hinggap di hati Ashuri.
            Hening seketika. Ashuri ligat memikirkan sesuatu.
            “Tidak mungkin..”
Ashuri tertunduk. Menggeleng. Tidak mungkin apa yang dikatakan Jalak itu harus diterimanya bulat-bulat. Hal sebegitu bukannya semudah itu untuk dihadamnya. Mungkin sahaja Jalak menabur fitnah. Sekadar bercerita di atas asas yang tidak kukuh. Selagi bukti tidak diperoleh, selagi itu kisah itu hanyalah satu dongeng di fikirannya.
            Berang. Jalak gumam dengan kata-kata Ashuri. Walau dia pasti,  kisahnya itu terpalit sedikit di ruang hati Ashuri, namun kata bidasnya yang terdengar, seakan masih tidak mempercayai akan penceritaannya tadi. Akal lain dicarinya.
            Tubuh Ashuri  ditolak dari belakang. Sepantas kilat Ashuri tegapkan langkah memperkuatkan kuda-kuda kakinya. Keris yang sedari tadi diusap, telah dihunus menghala ke arah Jalak. Lagaknya bersedia andai musuh menyerang.
            “Fawas..!!”
            Dari kejauhan suara itu terdengar. Dewi yang tersedar dari pengsannya, terus sahaja menerpa ke pintu istana tanpa sempat dihalang sesiapa. Tabib Fansuri tidak sempat menahan, dayang istana tidak sempat menerpa, malah Musliha sendiri tidak sempat merangkul tubuh Dewi yang berlari meninggalkan kamar. Dia berdiri di pintu istana melihatkan laman. Dari kejauhan terlihatnya Ashuri berdiri bersama seseorang. Pasti itu Fawas!
            Anak mata Ashuri terkalih sejenak melihatkan Dewi yang berlari ke arahnya. Terkial-kial dia menuruni tangga istana menuju ke laman istana. Tanpa disedarinya, Jalak telah menghampiri tubuhnya. Lengan Ashuri dipaut kemas. Dihalakan ke dadanya sendiri. Lalu menusuk keris di genggaman Ashuri ke arah dada kirinya. Jalak membunuh diri.
            “Fawas..!!” terpaan Dewi mendapatkan Fawas. Tubuh yang  berlumuran darah rebah ke bumi. Keris milik Ashuri terpacak tegak di dada kirinya. Membuak darah membasahi diri. Hujung kepalanya dipangku. Dewi menangis teresak-esak.
“Kau pembunuh..!!” bentak Dewi sekuat hatinya. Kelopak mata Fawas kian lama kian mengendur. Tubuhnya longlai tak mampu berkuat lagi. Nafasnya berombak berkeruh bagai kerbau disembelih.
            “Selamatkan dirimu..” ucap Fawas perlahan sebelum matanya tertutup rapat. Nafasnya kian perlahan. Detak nadi tidak terasakan lagi. Dewi meraung sekuat hatinya. Tubuh Fawas digoncangkan namun tiada reaksi. Hanya terpaku tidak berganjak.
            Ashuri terpinga-pinga. Mengapa tubuh yang terkujur layu itu bukannya Jalak seperti yang dilihatnya tadi. Kini sekujur tubuh entah siapa dipangkuan Dewi dengan kerisnya terbenam di dada. Wajah itu asing baginya. Namun dekat di hati Dewi. Dia berundur setapak demi setapak. Kekeliruan.
            “Tangkap si pengintip itu..kurung dia di dalam kamarnya..” ucap Ashuri perlahan-lahan. Teragak-agak. Hujung jari menudingkan Dewi yang masih sebak meratap kesedihan. Meluap-luap api amarah tidak mampu dibendungnya lagi. Seorang sahabat telah ditarik nyawanya oleh manusia. Benar kata ayahandanya, manusia sememangnya kejam!
            Tubuh Dewi dipaut kemas. Meronta dia minta dilepaskan. Wajah Ashuri ditatapnya penuh kehinaan. Andai punya dia kekuatan untuk melawan, pasti lumat diri musuhnya itu dikerjakan. Masih dilanda kehibaan melihatkan Fawas yang terkujur di tanah. Pandangannya kosong. Lidah kelu untuk bertutur. Kelam dan kian gelap. Dewi rebah dalam rangkulan pengawal yang memaut dirinya.
            “Kuburkan mayat ini..” Ashuri bertambah bingung. Melihatkan Fawas kenalan Dewi yang terkujur. Apakah sebenarnya yang terjadi? Apakah tindakannya itu tepat? Wajarkah Dewi dihukumnya sebegitu?
            “Hrrr…hrrr..”
            Dari kejauhan Cempaka Sari melihat. Tubuh tumpangannya selama ini terkujur kaku tidak bernyawa. Yang berbaki kini hanya semangatnya mendiami sisi kelam. Dia tersenyum dengan kejayaannya. Satu persatu insan di istana itu berjaya diperdayanya. Hanya dengan menuturkan kata, segala fitnah berjaya ditaburnya. Benih kebencian berjaya disemainya. Menanti hanya letusan api kemarahan di kalangan mereka. Manusia dan siluman tidak boleh bersatu!

            Cempaka Sari hilang dalam kesamaran. Membawa pergi kejayaan untuk dipalu. Kelak nanti Buragas pasti kan tahu. Ketika itu, dirinya pasti akan dipuja semula. Dan saat itu, hanya perang yang bakal disertainya. Cempaka Sari puas. Lenyap dia dalam cahaya yang berbalam-balam.


No comments:

Post a Comment