Dewi menyepi diri di
dalam kamar tidurnya. Bersendirian meratap kehilangan. Relung hati dihempas
kebencian yang menggunung. Apa sahaja makanan yang dihantar padanya, pasti akan
ditepisnya ke lantai. Sejak Ashuri mengarahkan agar dia dikurung di kamar, tidak
pernah sekali pun dia datang menjenguk. Dia dibiarkan sendiri di dalam kamar
itu seperti tahanan perang. Hanya Tabib Fansuri dan Musliha sahaja dibenarkan
memasuki kamar itu untuk merawat luka di lengan atau menghantar makanan.
Selebihnya, hanya pengawal dan dayang istana sahaja yang menguruskan.
Pintu kamar terbuka luas saat dia
termenung mengenangkan pemergian Fawas. Musliha berdiri pegun di tabir pintu
sambil diekori pengawal istana. Dia turut dilambung duka. Entah mengapa Dewi
diperlakukan sebegitu oleh Ashuri. Tiada siapa yang ketahui. Pengawal diarahnya
menunggu di luar sementara dia menghantar makanan.
“Senja..makanlah..dari semalam kau
tak makan apa pun..” rayu Musliha dengan setatang makanan di telapak tangannya.
Kasihan melihatkan Dewi mendera dirinya seperti itu.
“Keluar..aku tak mahu sesiapa
menggangu..” ucapnya perlahan. Wajah Musliha yang bersimpuh di hujung katil
langsung tidak dipedulikannya. Jauh sekali hendak diajaknya berbual.
“Kalau kau tak makan nanti kau jatuh
sakit..” pujuk Musliha lagi. Lembut tuturnya agar hati Dewi menuruti
kata-katanya itu.
“Apa guna hidup andai tiada lagi
ertinya..dikurung seperti ayam sabungan, ditambat seperti lembu belaan..kau
menyukainya..??” bentak Dewi perlahan. Sudah dua hari dia diperlakukan sebegitu.
Segala tindak-tanduknya terbatas.
“Aku rasa Ashuri mesti ada sebab
yang tertentu..kalau tak, takkan dia tambat kau kan..?? takkanlah dia nak buat
kau jadi kambing golek pulak kan..??” seloroh Musliha. Dia sedar ketegangan itu
harus diredakan. Tidak mungkin dibiarkan berlarutan. Kelak yang binasa adalah
diri Dewi sendiri. Muslihat untuk memperdayakan Dewi difikirkannya pantas.
“Huh..!” Dewi palingkan wajah menatapi
Musliha. Mencuka wajahnya penuh tanda tanya.
“Apa maksudmu dengan kambing
golek..??”
“Alahh..kambing yang kena
putar-putar atas api tu..batang kayu runcing ditusuk dari punggung hingga
tembus ke mulut.. lalu dipanggang untuk diratah dagingnya..” Musliha menahan
ketawa. Kerana wajah Dewi dilihatnya mula berkerut mendengarkan kata-katanya
itu.
“Dan aku juga akan dijadikan seperti
kambing golek..??” soal Dewi cemas. Tidak menyangka manusia sekejam itu.
“Ha ah..untuk pesta di istana..”
Musliha beria mengangguk. Bibirnya dikemam. Dengan harapan wajahnya ketika itu
langsung tidak menampakkan yang dia sedang melakukan helah.
“Tapi hanya selepas kau mati,
barulah mereka akan menggolekkan kau..” sambungnya lagi.
Dewi terpempan. Air liurnya diteguk
entah keberapa kalinya. Kesat. Rasa marah telah berlalu pergi seketika. Kerana
rasa gundah pula telah mengambil tempat.
“Ta..tapi..aku masih lagi
hidup..belum lagi mati..” bidas Dewi untuk menenangkan diri.
“Kau pasti akan mati juga kalau kau
tak menjamah makanan Senja..” sepinggan makanan diacahnya kepada Dewi.
Permainan mindanya tampak seperti berjaya. Kerana Dewi seolah terpedaya dan
mula mempercayai dakyah palsunya itu. Dewi sekadar memerhatikan sepinggan ubi
kayu rebus yang dihalakan padanya. Teragak-agak.
“Baiklah..aku makan..tapi ini bukan
bermakna aku termakan dengan pujuk rayu kau..tetapi kerana aku perlu terus
hidup..supaya aku dapat terus memikirkan cara untuk keluar dari istana ini..”
pinggan di telapak tangan Musliha dicapainya. Ubi kayu rebus disuapnya
perlahan. Memang dia kelaparan, tapi sengaja dia menyeksa diri.
“Dan untuk mengelakkan kau dari
menjadi kambing golek di istana ini..” sambung Musliha semula dengan kenyitan
di hujung mata kirinya. Dewi mengangguk bersetuju. Kusyuk dilihatnya Dewi yang
mengunyah satu persatu ubi kayu rebus yang dibawanya ke dalam kamar itu. Ralit
dia mengupas kulit dan mengasingkannya di dalam pinggan. Musliha berdiam diri seketika
sementara membiarkan Dewi menghabiskan makanannya itu.
“Senja…siapa Fawas..??”
Suaan ubi kayu rebus ke mulut
terhenti setelah mendengarkan nama itu. Nama yang sememangnya amat dirindui
Dewi, kini meniti pula di bibir Musliha. Wajah itu diperhatikannya lama.
Pinggan yang terletak di atas ribaan diletakkan ke atas katil sebelum
pertanyaan itu dibalasnya. Seketika dia termenung.
“Sahabat..” ringkas jawapan Dewi
namun cukup mudah untuk difahami maksudnya.
Berjuta rakan di luar sana belum
tentu dapat melahirkan seorang sahabat. Sahabat yang tersenyum saat kita bergembira
dan berduka saat kita bersedih. Bukannya rakan yang sekadar bersorak tatkala
keriangan bersama dan mencemuh di saat kesusahan melanda. Dan Fawas adalah
sahabatnya. Yang akhirnya sanggup bekorban untuk dirinya.
“Sewaktu aku ke sini..dialah
penemanku..namun kami terpisah kerana diserang jembalang..dan kali terakhir aku
melihatnya, dia telah pun terkujur ditikam oleh Ashuri..” kembali diselubungi
kesedihan, air matanya menitis tanpa disedari.
“Dan pastinya dia adalah sahabat
yang sentiasa melindungi kau selama ini kan..??” celah Musliha. Dia memahami
isi hati Dewi. Cukup dia mengerti tentang apa yang bermain di dalam hatinya
saat itu. Kehilangan, kebuntuan, kesuraman. Kerana Musliha, dia turut merasakan
rasa yang sama. Seperti mana dia kehilangan Raihan ketika itu.
Dewi mengangguk lesu. Tubuhnya
dirangkul perlahan Musliha merapati ke tubuh. Denyut nadi Dewi dirasakan
berdenyut perlahan. Bahang tubuhnya juga dirasakan cukup aman.
“Denyut nadi kau masih bertahan
kerana adanya rindu, detap jantung kau masih berdegup kerana adanya cinta..”
bisik Musliha perlahan ke cuping telinga Dewi. Ketika itu dapat dirasakannya
seolah perasaan antara mereka menjadi satu. Keselesaan ketika itu, hanya dia
sahaja yang memahami.
Perlahan tubuh Musliha ditolak Dewi.
Kerdipan kelopak mata itu diperhatikannya. Tulus.
“Apa maksudmu Musliha..??”
Musliha sekadar tersenyum. Nafasnya
dihela lembut cuba menenangkan semula gelora hatinya yang turut berombak. Sengihan
di wajah cuba menenangkan untuk Dewi. Mungkin apa yang dibisikkannya tadi
terlalu mendalam maknanya. Jarang sekali dia berpuitis sebegitu. Mungkin juga
lidahnya sudah terlalu berkarat untuk berkatakan soal cinta.
“Istilah sahabat tidak pernah wujud di
antara dua lelaki dan wanita Senja..jika kau telah mengangkat Fawas selaku
rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, itu maknanya kau sudah selesa
bersama dengannya..terlalu selesa..”
Kerut semakin jelas kelihatan di
wajahnya. Dewi dambakan penjelasan yang lebih utuh. Bukan lagi teka-teki di
sebalik kata-kata.
“Ketika dia ada di sisi, pastinya
kau merasakan dunia seolah tidak mampu untuk mencarikkan kulitmu bukan..??”
soal Musliha.
Dewi mengangguk. “Benar..”
“Ketika dia mengucapkan kata-kata
padamu, pastinya itu adalah bait kata yang terindah pernah kau dengari
bukan..??” soal Musliha lagi.
Dewi teruskan mengangguk. “Benar.,”
“Dan pabila dia tiada di sisi, ia
adalah kekosongan yang amat menjerihkan untuk kau hadapi bukan..?? kehilangan
tempat bersandar saat kau keletihan, kelemasan seolah tiada udara yang mengisi,
kebuntuan di dalam kegelapan seolah tiada cahaya yang menerangi..” sambung
Musliha kali ini dengan sebaris senyuman terukir di bibirnya.
Untuk kesekian kalinya, kepala itu
diangguknya bersetuju.
“Benar..” ucap Dewi perlahan. Sayu.
“Itulah namanya cinta..yang hadirnya
tidak pernah kita sedari..adakalanya ketika perpisahan itu terjadi, barulah
kita tersentak dengan kewujudannya..ajaib bukan..??” pipi Dewi dielus lembut Musliha.
Terdiam Dewi tidak berkutik. Terpaku. Bagai ada badai yang menghempas wajahnya
ketika itu.
Lantas
segala memori Fawas bersamanya diungkap. Pahit maung mereka redah bersama
sedari kecil. Tanpa disedarinya, begitu besar pengorbanan Fawas terhadap
dirinya. Segalanya sanggup diharungi Fawas, asalkan kegembiraan dapat dia
berikan terhadap Dewi. Pengorbanan itu adalah yang paling agung. Yang tidak
pernah disedarinya selama ini.
Dewi
tertunduk layu. Semakin bingung jadinya dia dengan segala apa yang diperkatakan
Musliha. Mengapa setelah kehilangan barulah perasaan itu muncul? Di saat wajah
itu tidak mungkin akan dapat ditatapinya lagi. Di saat bahang tubuh itu tidak
dapat dirasakannya lagi. Di saat elus jemari lembut itu hanya sekadar mimpi
yang menghuni tidur malamnya. Mengapa?
“Tapi
Fawas telah pergi meninggalkan aku Musliha..tak mungkin dapat aku kembalikan
dia dalam riwayat ini..walaupun hati ini meronta merindukan dirinya..” biasan
mutiara jenih bergenang di kelopak matanya.
“Dia
pergi meninggalkan aku, dengan hanya kenangan yang dapat aku simpan di dalam
hati ini..” lelehan mutiara jernih itu turun melurut ke pipinya.
“Tidak..lelaki
seperti itu tidak mungkin tumpas semudah itu..kerana lelaki seperti Fawas itu,
pastinya mengusung semarak cintanya terhadap diri kau..walau tidak terluah,
namun tetap diabdikan dirinya untuk menagih cinta dari diri kau..” mutiara
jernih yang bergenang di dagu Dewi dikesat Musliha. Jangan biarkan air mata itu
menitis lagi. Kerana perpisahan itu belum ada kepastiannya lagi.
“Maksud
kau..yang ditikam Ashuri kelmarin, bukannya Fawas..??” sinar kegembiraan seolah
kembali mencerahkan harinya. Seri wajah berlampiaskan air mata terlihat jelas.
Dewi terpegun. Pandangan langsung tidak dikalihnya daripada Musliha yang
tersenyum melihatkan dirinya.
“Mungkin..aku
tak dapat katakan lebih daripada itu..tapi aku berjanji akan terus menyiasat
perkara itu untuk kau..dengan syarat, kau perlu terus hidup..” pinggan yang
berbaki ubi kayu rebus dicapainya semula. Kembali pinggan itu dihulurkan kepada
Dewi agar makanan itu dihabiskan.
Dewi
mengangguk laju. Walaupun harapan untuk melihatkan Fawas masih lagi hidup
seperti dikatakan Musliha adalah terlalu tipis, namun tiada salahnya dia
berharap. Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-katanya itu. Jika benar Fawas
masih lagi hidup di luar sana, maka dia juga perlu cekal untuk terus hidup.
Agar suatu masa, mereka akan bertemu kembali.
“Aku
terpaksa pergi dulu Senja..nanti bila petang, aku akan kembali ke sini semula..berjanji
dengan aku, kau jangan sesekali lakukan perkara yang bukan-bukan faham..??”
Musliha bangkit dari duduknya. Bergerak ke pintu. Dengan nasihat yang meniti di
bibir. Dewi mengangguk. Semestinya dia akan terus bertahan. Demi Fawas, segala
kata akan diturutinya.
Pintu
besar kamar dibuka luas Musliha. Ditutupnya kembali merapat. Dikuncinya dari
luar seperti apa yang telah diarahkan. Seketika dia termanggu di hadapan pintu
dengan keluhan yang terlalu berat untuk dia lepaskan.
Berkata
itu mudah, melaksana itu perit. Bibit-bibit nasihat dirinya terhadap Dewi tadi
disematnya dalam diri. Kerana entah mengapa bayangan Raihan seperti tidak mahu
pergi dari dirinya saat itu. Dibalut resah adakah wajah itu masih bernyawa di
luar sana?
“Bagaimana..??”
Ashuri menegur berbisik dari sisi dinding kamar. Dari tadi dia hanya menanti
sahaja di situ. Diarahkannya Musliha membawakan makanan, lalu cuba untuk
mencungkil rahsia yang disorokkan Dewi.
Musliha
mengurut dada melihatkan Ashuri yang menerpa ke arahnya. Seperti orang yang dahagakan
air dibawakan air lagak Ashuri ketika itu. Pinggan di tangannya dihulurkan
kepada Ashuri. Kosong, tiada berbaki. Ashuri melihatnya dengan senyuman.
Akhirnya Dewi mengalah.
“Benarkah
dia siluman..?? ada kau bertanya padanya tentang hal itu..??” soal Ashuri
tergesa-gesa.
“Tidak..aku
tak berani hendak bertanya lebih..” jawab Musliha menyandar tubuhnya pada
dinding istana.
“Namun
yang pasti..kita perlu mencari Fawas..hanya dia kunci kepada segalanya..”
sambung Musliha menutup segalanya. Ashuri terpempan. Mendengarkan segala
penceritaan Musliha membuatkan dia tersedar. Satu persatu telah diterangkan
Musliha. Sebagaimana Dewi menerangkan kepadanya tadi. Dan kini, jawapan akhir
terletak di tangan Ashuri. Kerana dia yang memulakan segala ini.
“Baik..akan
aku usahakan..namun, setelah hal ini aku rujuk terlebih dahulu kepada Tabib
Fansuri..” jelas Ashuri dengan tenang. Hanya pada Tabib Diraja itu sahaja dia pasti
akan mendapat jawapan.
No comments:
Post a Comment