Gemerincing mata pedang berlaga
sesama sendiri terdengar jelas di sisi kegelapan Gua Muluk. Siluman bertempur
sesama sendiri beradu kekuatan. Tombak terhunus ke lantai gua. Pedang dan busur
panah tersisip rapi di dinding gua. Sekian lamanya laman gua itu tidak
dibanjiri siluman yang perkasa beradu tenaga. Suasana itu berbeza sekali sejak
tampuk pemerintahan diambil alih Tok
Aduka. Sejak perkhabaran Tok Kelana yang kononnya dibunuh tanpa belas oleh
manusia tersebar, api amarah mereka seolah dicabar. Selama ini menyepi diri dek
kerana menuruti Aturan Muluk yang termaktub, ternyata manusia mengambil
kesempatan di atas kelemahan mereka itu.
“Juara..!” jerit Tok Aduka yang
sedari tadi sekadar jadi pemerhati.
Terhenti langkah Juara yang ketika
itu sedang beradu tenaga bersama teman seperjuangannya. Peluh di dahi
dikesatnya. Pedang disarungnya semula ke dalam sarung yang tersisip di
pinggangnya. Langkah dibawa merapati Tok Aduka yang menggamit dirinya.
Selebihnya di laman gua itu sekadar memerhati langkah pahlawan siluman itu
menongkah batu besar ke arah pemimpin mereka itu.
“Kumpulkan seramai mungkin pahlawan
di kalangan kita..persiapkan mereka dengan ilmu tempur yang utuh..manusia harus
kita perangi secepat mungkin..” jelas Tok Aduka saat Juara berdiri tegak di
hadapannya. Helaian janggut dilurutnya dengan wajah yang tegang. Jumlah
pahlawan siluman yang dilihatnya itu masih belum memadai.
“Tidak semuanya bersetuju dengan
rancangan tok itu..ada sesetengahnya tetap ingkar dan masih menuruti arahan Tok
Kelana dahulu..kata mereka bertempur dengan manusia seolah membunuh diri..kita
pasti akan tewas..”
Giginya meretap geram mendengarkan
ulas kata Juara. Apa gunanya menjadi pemimpin jika arahan yang diberi
diingkari?
“Kerahkan semuanya untuk menuruti
kata-kataku..! mereka yang ingkar kau bunuh sahaja..! aku pemimpin di kalangan
kalian sekarang..! bukan lagi Kelana si bangsat itu..!!” tempik Tok Aduka
berang. Merah padam wajahnya memerhatikan Juara.
“Tapi tok..ini bukannya seperti mana
yang tok rancangkan dahulu..” bantah Juara. Tidak. Semua ini tidak mungkin
berlaku. Mana mungkin nyawa siluman semudah itu untuk ditariknya pergi.
Bermusim lamanya mereka telah hidup aman bersama, bergurau senda dan saling
membantu. Kini, semudah itu pula hendak ditarik nyawa mereka dari tubuh. Tidak
mungkin!
“Apa kau masih tidak mengerti dengan
perintahku Juara..?? atau mungkin juga kau masih tidak mengerti dengan takdir
hidupmu lagi..?? kau aku besarkan, kudidik dengan ilmu kepahlawanan sejati,
agar suatu hari nanti kau akan berbakti semula pada diriku..apa kau terleka
selama ini..??”
Tok Aduka membuang pergi kemarahan
yang membelenggunya tadi. Jiwa anak muda seperti Juara mudah tersentuh dengan
kata-kata seperti itu. Bahu tegap Juara dipautnya erat. Tubuhnya digoncangkan
perlahan.
“Aku adalah pemerintah kaum ini
sekarang..bukan lagi si Kelana pengecut itu..ayuh kita perangi manusia durjana
itu..kita hapuskan segala apa yang telah mereka bina selama ini hingga menjadi
abu..!”
Juara diam diri tidak membalas apa.
Benar. Lelaki tua itu banyak berjasa padanya selama ini. Namun adakah segala
kemahuan durjananya itu harus dituruti? Juara bingung.
“Baiklah tok..” Juara tertunduk
akur. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Walau
hatinya berat, digagahinya juga.
“Bagus..! tidak sia-sia aku mendidik
kau selama ini..!” cukup mudah untuk Juara dipengaruhinya. Anak muda itu
terlalu mentah. Namun darah muda itu jugalah yang bakal ditagihnya untuk
bergolok bergadai asalkan cita-cita bodohnya terlaksana.
“Kita akan mendapatkan Dewi di
istana itu nanti..selepas sahaja dia diserahkan kepada Buragas, aku akan
pastikan Dewi tidak diapa-apakan oleh jembalang itu..aku yakin Buragas tidak
ada menaruh minat terhadap gadis kesayangan hati kau itu..biar sahaja nyawa
Kelana yang ditariknya pergi dihadapan mata anak dan isterinya sendiri..” Tok
Aduka tertawa puas. Rancangan serampang dua matanya itu pasti akan berjaya.
Dengan bantuan jembalang. Tiada apa yang mustahil. Tanpa dia sendiri sedar,
jembalang juga punya rencana yang tersendiri.
“Baiklah tok..” Juara akur bagai
lembu yang ditusuk hidungnya. Saat Tok Aduka beralih dari hadapannya, satu
susuk tubuh berdiri pegun di bawah batu besar tempat mereka berbual. Mencuri
dengar apa yang dikatakan mereka sepanjang masa.
“I..ibu Dewi…” nadanya terketar.
Wajahnya dibalut rasa cemas. Dewi Siluman Bulan seakan terkaku tidak berganjak.
Kakinya seakan dipaku ke lantai gua. Dadanya seolah dilanggar bah yang
menggila. Mendengarkan sahaja perbualan Juara dan Tok Aduka itu sudah mampu
untuk menggoncang perasaannya. Tok Aduka turut mengalih pandangan melihatkan
Dewi Siluman Bulan yang sekadar tercegat.
“Kau..kau..” bola matanya sudah
berkocak. Tubuhnya menggigil menahan deram. Jarinya dituding mengarahkan Tok
Aduka.
“Kau yang merancang semua ini
Aduka..?? bermakna suamiku masih lagi bernyawa dan.. dan.. disembunyikan
jembalang untuk diseksa lalu dibunuh..??”
“Celaka..! bagaimana aku boleh tidak
sedar dengan kehadiran betina ini..!” bentak Tok Aduka dalam hatinya. Rahsia
antara dia dan Juara telah terbongkar. Kaum siluman tidak boleh tahu akan
perihal ini!
“Kurungkan Dewi Siluman Bulan..!”
arah Tok Aduka tegas. Juara tergadah. Dia kini di pertengahan. Antara kekejaman
dengan belas ihsan.
“Segera Juara..!” bentak keras Tok
Aduka saat dilihatnya Juara terpinga-pinga melihatkan dirinya. Tersentak dengan
arahan itu, segera Dewi Siluman Bulan dihampirinya. Tubuhnya dirangkul kemas,
pergelangan tangannya digenggam rapi lalu direbahkan ke lantai gua. Tersembah
wajah dengan air mata yang mengalir deras.
“Kau tidak akan terlepas dari
kejahatan yang kau lakukan ini jahanam..!! nyawa ahli keluargaku kau lanyak
seperti tiada nilainya..!!” rontanya makin menggila. Terjerit-jerit Dewi
Siluman Bulan menggemparkan seluruh isi gua. Berlari anak-anak kecil siluman mendengarkan jeritan itu. Batu besar yang
melindung pemandangan, membataskan penglihatan mereka untuk melihat. Perihal
apakah yang terjadi di sebalik batu besar itu.
“Potong lidahnya Juara..aku tidak
mahu dia menceritakan segala hal yang didengarinya tadi pada siluman yang
lain..” Tok Aduka melutut bersebelahan Juara. Mulut Dewi Siluman Bulan telah
ditekup rapat. Kepalanya didongakkan.
“Tapi tok..??” Juara ragu-ragu.
Arahan itu terlalu berat untuk dilaksanakannya.
“Hati kau terlalu lembut..!!” usai
berkata demikian, dengan wajah yang cemas, rahang gigi Dewi Siluman Bulan
dikopaknya luas. Sebelum mereka yang lain tiba di sebalik batu itu, lidah Dewi
Siluman Bulan harus ditetaknya!
“Segera Juara..! atau kau dan aku
bakal mati diamuk siluman..!” rahsia itu bakal terbongkar andai Juara lewat
dengan keputusannya. Terdesak. Juara kini tersepit dihimpit pelbagai perasaan.
Tanpa berlengah, seperti harimau yang memburu tanpa rasa belas, lidah Dewi
Siluman Bulat dikerat terputus. Dicampaknya lilisan lidah itu dari
genggamannya.
“Bersabar Dewi..! usah kau
perlakukan dirimu sebegini..!” tempik Tok Aduka berpura cemas. Saat satu
persatu siluman muncul dari balik batu melihatkan mereka, akalnya pantas
memikirkan helah.
“Mengapa dengan Dewi Siluman
Bulan..?? mengapa Juara..??” bergegas siluman-siluman, teman Dewi Siluman Bulan
mengelilingi dirinya yang terbaring berlumuran darah. Bibirnya merah berlumuran
darah. Mengalir ke dagu menitis ke lantai. Dia hanya mengerang menggulingkan
tubuh menahan kesakitan yang amat dahsyat.
Juara kaku. Tidak punya jawapan.
Tangannya masih menggigil. Wajah Tok Aduka diperhatikannya meminta segala
jawapan.
“Datangnya tadi ke arah kami
merayu-rayu agar anaknya di istana manusia itu diselamatkan segera..aku
menidakkan kehendaknya sementara kerana aku khuatir kita masih belum
bersedia..entah mengapa pula dia seperti menggila ingin membunuh dirinya..lalu
Juara pantas merangkul tubuhnya untuk menyedarkan dirinya semula..” Tok Aduka
menghela nafas berat. Wajahnya tetap berpura cemas.
“Tanpa kami sangka..Dewi Siluman
Bulan nekad menggigit lidahnya sendiri sehingga terputus..” sambung Tok Aduka
lemah. Namun hatinya bertepuk riang. Satu persatu wajah siluman yang
kebingungan diperhatikannya.
“Tapi mengapa Bulan..?? mengapa kau
bertindak seperti ini..??” rintih sahabatnya yang memangku. Tubuhnya masih meronta
menahan keperitan. Wajah Tok Aduka diperhatikannya dengan pandangan penuh
kebencian. Jarinya menuding ke arah pembelot itu. Berwajah siluman berlidahkan
biawak!
“Untuk sementara..adalah moleknya
Dewi Siluman Bulan dikurungkan di dalam kurungan..aku khuatir kelak dia akan
bertindak dengan lebih merbahaya..aku tidak mahu dia membunuh dirinya pula
selepas ini..” keluh Tok Aduka. Wajah Juara diperhatikannya. Kepala dianggukkan
mengarahkan agar Dewi Siluman Bulan dibawa pergi ke kurungan gua. Dikurung
bukan kerana kegilaannya, namun dikurung kerana cuba menyembunyikan rahsia.
Semuanya di situ berundur memberi
laluan kepada Juara. Tubuh Dewi Siluman Bulan dipapah dibawa ke kurungan.
Sahabat yang bersedih akur dengan perintah Tok Aduka. Langkah Juara mereka
turuti. Hingga ke pintu kurungan.
Dari kejauhan kedengaran Tok Aduka
bertempik memperingati sekalian siluman yang mengelilinginya ketika itu.
“Kita harus bersatu.. kerana
manusia, kini kita bagai dilanda bermacam petaka..satu persatu mendiami kita
mendatangkan bencana..ayuhlah siluman semua..! kita hapuskan manusia keparat di
hujung belantara ini bersamaku..!” tempik Tok Aduka disambut hingar. Kesemuanya
kian bersemangat. Azam berkobar ditiup semangat perang.
Tubuh Dewi Siluman Bulan diletakkan
di dalam lantai kurungan. Wajah itu sembab menangis tak henti. Darah yang masih
mengalir di bibir cuba dikesat Juara namun ditepis kasar. Dia tidak berniat
untuk mencederakan Dewi Siluman Bulan. Namun desakan Tok Aduka mengaburi
matanya. Dia terjerat.
Wajah itu ditatapnya penuh hiba.
Melihatkan wajah itu mengingatkan dia terhadap Dewi Siluman Senja. Wajah itu
hampir seiras. Termenung Juara seketika. Teringat akan janjinya terdahulu
ketika bersama. Yang dia akan melindungi walaupun hingga ke titisan darahnya
yang terakhir. Walaupun pedang telah tersusuk ke tubuh, tetap dia akan melindungi.
Begitulah janji yang disemainya dahulu. Kerana kasih dia berjanji, kerana cinta
dia bertekad.
Juara bangun tegapkan langkahnya.
Matanya ditutup rapat. Nafasnya dihela lembut walau sisi dada berombak deras.
Jemari digenggamnya erat menegangkan urat. Wajah didongakkan ke langit gua.
“Apa yang telah aku lakukan..??”
getusnya di dalam hati. Di sisi kebaikan yang masih berbaki jauh di lubuk hati
yang paling dalam, Juara berbisik. Tidak tersedar, aliran bahang mengalir
perlahan dari kelopak mata yang ditutup rapat, menyusuri pipi lalu jatuh
menitis ke lantai gua. Tangisan pahlawan itu gugur akhirnya tanpa kerelaan.
No comments:
Post a Comment