Tuesday, 21 April 2015

Dewi Siluman Senja 10

Bunyi kokok ayam jantan dari kejauhan memecahkan keheningan pagi di Indera Sakti. Rintik embun pagi yang hinggap di setiap pelusuk bumi membiaskan cahaya sang mentari yang mula memancarkan cahaya pagi itu. Satu persatu kuakan tingkap Istana Indera dibuka luas dayang istana untuk melalukan angin memasuki ruang istana.

Di halaman pintu istana telah bersedianya Tantira dan Raihan serta hulubalang istana yang akan meredah denai dan belantara di luar sana. Segala kelengkapan dan senjata turut dibawa bersama. Arahan Ashuri agar Bunga Kudup Nyawa dipetik di Lembah Cahaya perlu dituruti. Sebelas nyawa dipertaruhkan hanya kerana seorang gadis dambaan hatinya berada dalam keadaan tenat menanti ajal. Semua perancangan diatur Ashuri hanyalah kerana si dia dambaan hati..Dewi Siluman Senja.

"Beta berharap kalian semua selamat pergi dan selamat pulang semula ke istana ini..berwaspadalah dengan setiap dugaan yang bakal kalian tempuhi.." Raja Rasturi berkenan melepaskan pergi semua pahlawan istananya di kala pagi masih lagi muda itu. Ashuri berdiri bersebelahan Raja Rasturi dengan mimik wajah yang sedikit muram. Keresahan. Dia tidak gusarkan pahlawan istana yang dilepaskannya pergi ke Lembah Cahaya itu, namun perihal Raihan yang turut mengikuti telah menerbitkan rasa resah dalam dirinya.

Setelah diyakinkan oleh Tabib Fansuri bahawa Raihan sewajarnya dibenarkan untuk mengikuti Tantira atas alasan agar dia dapat mencari jalan pulang semula ke tempat asalnya, barulah terbuka pintu hati Ashuri untuk melepaskan Raihan turut bersama dalam pengembaraan itu. Walaupun pada mulanya, Ashuri dan Musliha membangkang keras hajat yang dinyatakan Raihan itu. Namun terpaksa akur setelah Raihan berjaya meyakinkan Ashuri bahawa dia bersedia untuk menempuhi segala ranjau ke Lembah Cahaya.

"An..kau balik sini nanti tau..kalau kau tak balik, takkan aku nak terus tinggal dekat sini sorang-sorang.." Musliha tertunduk layu. Tidak mampu hendak ditumpukan anak matanya melihatkan Raihan yang berhadapan dengannya. Saat itu dirasakan seperti akan bermulanya episod baru bagi dirinya. Tinggal sendiri di satu zaman yang amat asing baginya. Suatu zaman yang dimana entah tahunnya. Musliha masih tidak mampu membiasakan dirinya dengan keadaan itu. Lebih-lebih lagi tanpa Raihan di sisi.

"Aku pergi bukan lama pun..ikutkan kata Tabib..mungkin dalam masa dua minggu, kami akan sampai ke sini semula.." bicaranya terhenti melihatkan Musliha yang tertunduk.

"Tapi..itupun kalau nyawa aku masih panjang.." mendatar nada suara Raihan mengundang rasa resah dalam diri Musliha. Perihal mati pula dibangkitkan Raihan saat dia dirundung gelisah akan kehilangannya.

"An..!!" tumbukan dilepaskan ke arah dada Raihan. Geram bercampur kesedihan. Saat terpisah, segala perasaan benci dibuang jauh ke tepi. Walau wajah itu sering sahaja menghadirkan rasa meluat pada dirinya selama ini, namun adakalanya tanpa Raihan di sisi, segalanya seakan berubah. Segala kebencian bakal diolah menjadi kerinduan.

"Tak payah la nak emo sangat kau ni..sakit kau tau tak..!" Dadanya diusap sekadar ingin menunjukkan keperitan yang sengaja dibuat-buat. Raihan tersengih sendiri membuang resah dalam dirinya.

"Tau pun kau takut bila aku tak ada kan..?? Kalau aku ni ada je menempel dengan kau..asyik nak cari paaaaasal je dengan aku..ini aku baru nak pergi masuk hutan dua minggu..kau dah nak cengeng-cengeng..steady la beb..kata jiwa kental.." sengaja Musliha diusiknya dengan jenaka. Semoga suasana yang sedikit muram itu tidak berterusan. Nekad Raihan tetap utuh. Tiada apa yang dapat menghalangnya daripada pergi mengikuti kata hatinya. Walau Musliha bertegas menghalangnya sekalipun.

Jarak antara mereka hanya beberapa jengkal. Musliha yang masih menunduk tidak mahu mendongakkan wajah menghadirkan getus rasa gundah di benak Raihan. Mungkinkah jenakanya terlalu kasar untuk dihadam Musliha fikirnya. Atau mungkinkah gadis itu benar-benar meratapi kehilangannya sementara ke dalam hutan kelak?

"Leha..??" bisik Raihan perlahan lalu dagu Musliha ditopangnya untuk mendongak melihatkan dirinya. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, gadis yang selama ini segala perilakunya kasar ibarat anak jantan itu tidak seperti kelakuan biasa.

"Kenapa kau menangis ni Leha..??" anak mata Musliha dilihatnya telah berkaca. Air mata yang cuba diempangnya tidak lagi mampu disekang. Tumpah akhirnya tak mampu ditahan oleh Musliha. Esakannya dalam kesyahduan hanya dia yang mengerti puncanya. Pemergian Raihan itu dirasakan seolah tidak akan ada kembalinya lagi selepas ini.

"Boleh tak kau tak payah pergi An..??" dalam keesakan sedu tangisnya Musliha merintih. Merayu agar Raihan membatalkan hasratnya untuk pergi jua ke Lembah Cahaya.

"Tapi.." Raihan langsung gagap untuk meneruskan kata-katanya. Pertama kali sepanjang dirinya mengenali Musliha, itulah kali pertama dirinya melihat gadis itu menangis teresak-esak. Dan dia tidak menyangka, tangisan itu adalah untuk dirinya.

"Kau tahu kan aku tak ada siapa lagi dah kat dunia ni..?? mak aku dah tak ada..ayah tak ada..adik beradik tak ada.." bola mata yang berkaca terus menatap Raihan sepuas hatinya. Anak mata itu seolah tidak mahu melarikan pandangan ke mana-mana. Biar ia kekal sementara masih mampu wajah itu ditatap.

"Aku cuma ada kau seorang je yang betul-betul memahami aku An.." sambung Musliha tersengguk-sengguk mengesat air matanya.

"Leha..janganlah cakap macam tu..bersalah aku rasanya.." pujuk Raihan sambil jarinya membuang pergi air mata Musliha yang berlinang di pipi.

"Sebab tu aku tak nak kehilangan kau pulak An..kalau kau dah tak ada..aku tinggal sendiri nanti An.."

Alam seakan mengerti. Hening seluruh alam seolah meratapi detik tangisan yang melanda Musliha. Dia tidak mampu lagi mengawal kesedihan itu.

"Aku janji aku akan balik semula dekat sini..lepas tu aku janji aku akan bawak kau balik kemana tempat asal usul kita..aku berjanji.." Raihan cuba meyakinkan Musliha. Entah kenapa kali ini lain pula debaran yang dirasakan saat wajah polos itu diperhatikan. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan di sebalik kedukaan wajah itu namun entah apa. Mungkin suatu perasaan yang Musliha sendiri sukar hendak luahkan. Tapi..tidak mungkin tingkah Raihan dalam hatinya.

"Kalau....kalau kau tak balik..??" tersekat-sekat Musliha mengucapkannya.

Helaan nafas perlahan Raihan seolah cuba meregut pergi kedukaan dalam dirinya sendiri. Dia tidak boleh tewas! Anak jantan tidak akan berundur sebelum berjuang. Segala perasaan ditolaknya ke tepi. Raihan tetap nekad.

"Aku janji aku akan balik Musliha..jangan kau risau.." ucap Raihan kedua kalinya lantas sekalung rantai yang sentiasa menjadi penghias di lehernya, dihulurkan kepada Musliha.

"Rantai ini aku akan ambil semula lepas aku balik dekat sini nanti..pastikan kau jaga rantai ni elok-elok..paham..??" Kalung rantai pemberian ibunya kini menjadi hak milik sementara Musliha. Hukuran kalung itu bertukar tangan. Perlahan helai rambut Musliha diraup Raihan. Dia bencikan perasaan itu!

"Aku pergi dulu.." ucap kata akhir dari Raihan sebelum dia berpaling meninggalkan Musliha. Harapannya agar Musliha kekal tabah dengan apa jua yang bakal ditempuhinya nanti. Moga-moga sepanjang pemergiannya, Musliha dijaga rapi oleh penghuni istana itu. Dan sekembalinya dia semula ke istana itu kelak, Musliha akan menyambut kepulangannya dengan senyuman manisnya. Harapnya..

Tiada lagi kemampuan Musliha untuk menghalang. Keputusan telah dibulatkan Raihan. Relalah dia melepaskan Raihan berlalu pergi walaupun hatinya sendiri diliputi keresahan tidak berkalang. Kalungan rantai pemberian Raihan digenggam erat. Hanya anak matanya melihatkan pemergian Raihan sehingga hilang dari pandangan.

"Janji dengan aku..kau mesti balik An.." Musliha berkata dalam hati lantas kalungan rantai milik Raihan itu dikucupnya. Semakin jauh, bayangan Raihan serta hukubalang yang lain hilang dari pandangannya.

DEWI perlahan membuka kelopak matanya yang tertutup rapat. Perit dirasakan saat sinaran mentari menerjah anak matanya. Dia menjengah ke arah seluruh bilik yang begitu asing baginya itu. Binaan kayu yang menutupi ruang itu seakan sebuah tempat perteduhan yang berbeza dengan penempatan lamanya. Dalam kesakitan, Dewi cuba memaksa diri untuk duduk di atas katil tempat pembaringannya itu.

Sedaya mungkin cuba diingatinya semula apa yang telah terjadi hingga membuatkan dia terdampar disitu. Keseorangan di dalam sebuah bilik yang mewah pada pandangan matanya. Kali terakhir diingatinya, dia bertembung dengan seorang jejaka di tebing sungai selepas dihanyutkan arus deras jeram. Saat dia cuba melarikan diri, entah mengapa dia gagal mengimbangi diri akibat kesakitan di kepala yang teramat sangat.

Jika tidak kerana Fawas menolaknya jatuh hingga ke dalam jeram, pasti semua itu tidak akan terjadi. Pasti dia tidak akan terpisah daripada Fawas hingga terpaksa keseorangan. Saat Fawas bertarung cuba menewaskan Cempaka Sari, dia pula dihanyutkan arus deras menuju entah kemana. Dewi mengeluh berat mengenangkan nasib dirinya.

"Fawas.." Dewi mula terbayangkan rakan karibnya itu. Entah apa yang berlaku antara dia dan Cempaka Sari. Entah apa akhirnya pertarungan itu.

Dewi mengerling melihatkan luka di lengan kanannya. Bisanya masih terasa namun balutannya yang menutupi luka itu seakan baru. Pakaian yang dikenakan ke atas dirinya juga seakan berlainan dengan apa yang dipakainya sebelum itu. Untuk seketika, Dewi termenung memikirkan apakah sebenarnya yang terjadi pada dirinya.

Leka dia mengelamun cuba memikirkan segala hal yang terjadi, perlahan daun pintu biliknya duduk diam itu dikuak dari luar. Ashuri muncul di balik pintu dengan sebaris senyuman di wajahnya.

"Kau sudah tersedar..mujur kau tidak apa-apa.." ucap Ashuri lantas melangkah masuk ke dalam kamar tetamu istana itu. Wajah Dewi dilihatnya berkerut. Mungkin jua resah kerana kini dia berdepan dengan seseorang yang tidak dikenalinya.

"Siapa kau..!" tempik Dewi cuba mengusir Ashuri daripada mendekatinya. Matanya meliar cuba mencari laluan keluar. Sebuah anak tingkap yang terbuka di tepi bilik itu menjadi sasarannya. Jika jejaka itu cuba untuk mengapakan dirinya, dia nekad untuk terjun menerusi anak tingkap yang terbuka luas itu.

"Namaku Ashuri..kau kini selamat di bawah jagaanku..usah khuatir.." Ashuri cuba berlembut. Langkahnya perlahan dibawa merapati Dewi yang masih terduduk di atas katilnya.

"Aku tidak perlukan penjaga..! Lepaskan aku..!" tempik Dewi kesekian kalinya. Detak jantungnya semakin kencang bila Ashuri seperti tidak mengendahkan amarannya.

"Usah begitu..aku tidak berniat untuk mengapakan dirimu..aku hanya ingin membantu.." pujuk Ashuri lagi namun kali ini dia berundur beberapa langkah ke belakang. Melihatkan Dewi seakan merasa terancam dengan kehadirannya itu.

"Apa yang berlaku Ashuri..??" Kemunculan Permaisuri Dahlia dan Musliha di pintu kamar itu sedikit melegakan hati Dewi. Akhirnya ada juga perempuan di sekelilingnya.

"Ahhh..anak ini sudah tersedar dari pengsannya.." lebar senyuman Permaisuri Dahlia tatkala melihatkan Dewi merenung tidak berkedip ke arahnya. Segera dia menuju lalu duduk di bucu katil sambil mengusap perlahan hujung kaki milik Dewi.

"Usah kau risau wahai anak muda..kau bersama kami, orang yabg baik-baik disini.." ucap lembut Permaisuri Dahlia. Ashuri dan Musliha sekadar memerhati. Sesekali pandangan Dewi teralih melihatkan Ashuri yang sekadar tersengih di balik lindungan tubuh perempuan berusia di hujung kakinya itu.

"Disini..?? Tapi dimana..??" soal Dewi sedikit kebingungan.

"Di Indera Sakti.." jawab Permaisuri Dahlia ringkas. Senyuman dibibir tetap terukir manis.

"Indera Sakti..?? Bukankah itu adalah tempat yang ayahanda menyuruhku dan Fawas tujui..?? Agar dapat lukaku ini disembuhkan..??" Dewi berteka teki dalam hati. Separuh jiwanya merasakan lega setelah mengetahui dia berada di tempat yang betul, namun separuh lagi jiwanya seakan digoncang gelora memikirkan beberapa hal yang mendukacitakan.

"Siapa namamu anak muda..?? Dan dari mana asal usulmu..??" soalan Permaisuri Dahlia sedikit mematikan lamunan Dewi. Perkara pertama yang terlintas di fikirannya adalah pesanan ayahandanya, Tok Kelana, sebelum dia dilepaskan ke dunia manusia.

"Jangan pernah kalian dedahkan tentang siapa sebenarnya diri kalian yang sebenarnya pada kaum manusia.." terngiang ucap kata itu di cuping telinganya. Arahan itu perlu dituruti Dewi.

"Namaku Senja..asalku dari sebuah perkampungan kecil di sebalik bukit sana.." hujung jarinya menunjukkan ke suatu arah yang menghala ke rimba. Sebuah bukit yang terletak jauh dari pandangan mata diarahkan Dewi. Melalui tingkap bilik, sayup kelihatannya sebuah bukit tersergam disimbah cahaya mentari.

"Apa yang membuatkan kau berjalan sejauh ini sendiri Senja..?? Apa kau tidak takutkan diancam binatang buas dan musuh di dalam hutan..??" Perlahan bahu Dewi dipautnya. Tubuh itu dipeluk lalu dahinya dikucup lembut Permaisuri Dahlia. Dewi tiada sedikit pun menghalang. Namun mula merasakan selesa untuk bersama dengan perempuan tua yang memeluknya itu.

Dewi sekadar menggeleng laju. Naluri keibuan Permaisuri Dahlia benar-benar berjaya melembutkan hati Dewi yang tadinya berkeras untuk melarikan diri. Ketakutan yang dicerna dalam diri, akhirnya terluput dengan sendiri.

"Lupa hendakku perkenalkan.." getus Permaisuri Dahlia. Pandangan dialihkan melihatkan Ashuri dan Musliha yang sekadar berdiri diam tanpa kata.

"Anak gadis yang berambut pendek itu namanya Musliha..dia adalah rakan sebilik denganmu mulai hari ini..panggil sahaja dia Leha..dia juga adalah tetamu di istana ini seperti kamu Senja.." Musliha tersedak. Leha jugak?

"Dan di sebelah kanannya itu adalah anakku..Tengku Ashuri namanya..orangnya tegas dan perkasa, namun adakalanya terlalu ingin rasa dimanjakan seperti anak kecil.." merona merah wajah Ashuri. Bonda!

"Dan aku adalah Permaisuri Dahlia..permaisuri kepada pemimpin Indera Sakti yang bernama Raja Rasturi..kau boleh sahaja menggelarkan aku bonda..andai itu selesa pada dirimu Senja.." ucap Permaisuri Dahlia dibalas anggukan oleh Dewi. Satu persatu wajah itu diperhatikannya. Dia yakin, dia kini berada di tempat yang sepatutnya.

Pasti ayahandanya Tok Kelana merasakan lega jikalau mendapat tahu dia kini selamat di Indera Sakti. Tidak sia-sia dia berkeras untuk melepaskan Dewi ke dunia manusia untuk dirawat. Kerana manusia tidaklah seburuk yang disangkanya selama ini. Cuma kehilangan Fawas sahaja yang agak meresahkan Dewi. Anak matanya mengintai dari dalam kamar menuju ke luar. Jika ada terlihatnya kelibat Fawas.

"Bonda..Senja ada seorang kekanda yang menemani senja ketika di hutan..ada dia datang kemari bersama Senja..??"

"Maksudmu..kau tidak keseorangan..??" Celah Ashuri saat terdengarkan persoalan Dewi. Pertanyaan Ashuri dibalas dengan gelengan lemah.

"Tiada pula aku melihatkan sesiapa selain dari dirimu di jeram itu..saat aku menyelamatkan kau, kau hanya sendirian di dalam hutan.." sambung Ashuri semula untuk meyakinkan Dewi.

"Hmmm.." hanya keluhan dititipkan di bibir Dewi. Gundah di hati memikirkan perihal Fawas. Entah hidup ataupun mati dia di dalam hutan itu.

"Apakah benar di Indera Sakti adanya seorang tabib yang mampu merawat pelbagai jenis penyakit..??"

"Benar..mengapa..??" soal Ashuri.

"Kata ayahandaku, adanya seorang tabib disini yang bernama Tabib Fansuri..menurut katanya dia mampu merawatkan apa jua penyakit yang menimpa..boleh aku berjumpa dengannya..??"

"Maksudmu luka di lengan kananmu itu..??" Ashuri tujukan jari menunjukkan luka Dewi yang dibalut rapi dengan lumuran daun senduduk putih. Dewi melihat semula ke arah luka tusukan anak panah yang dilepaskan jembalang pada dirinya. Dia mengangguk mengiakan kata-kata Ashuri.

"Tabib itulah yang telah merawat lukamu itu..dia jugalah yang membalutnya dengan daun senduduk putih untuk mengurangkan keperitan yang kau alami.." jelas Ashuri bersungguh.

"Maksudnya kini aku telah sembuh..??" lebar senyuman Dewi saat Ashuri berkata tentang tabib yang merawat lukanya. Pandangan Ashuri terarah pada bondanya. Mohon Permaisuri Dahlia untuk perjelaskan segalanya kepada Dewi.

"Tidak Senja..lukamu ini akibat diracun oleh sejenis bisa yang amat dasyat..kau harus berehat di sini untuk suatu ketika sebelum hulubalang istana ini kembali daripada mencarikan penawar untuk dijadikan ubat..kau tidak boleh meninggalkan istana ini andai sayangkan nyawamu..racun itu terlalu berbisa.." kata-kata Permaisuri Dahlia kembali menghadirkan kemuraman di wajah Dewi. Kehampaan jelas terlihat dari riak wajahnya. Dia tegar untuk segera pulang ke Gua Muluk. Dia rindukan bondanya, ayahanda, Juara dan semua kaum siluman yang pasti sedang merisaukan dirinya itu. Fawas turut melingkar dalam fikirannya. Mungkin juga Fawas telah kembali pulang ke Gua Muluk fikirnya.

"Tapi berapa lama..??"

"Itu terserah kepada takdir hulubalang kami yang telah dihantar Ashuri untuk mencari penawarmu..andai tiada petaka yang menimpa, andai tiada nyawa yang melayang..pasti mereka akan tiba disini secepat mungkin.." jawab Permasuri Dahlia semula. Namun kali ini kerutan pula terpaut di wajah Musliha.

"Raihan.." getus hati kecil Musliha dilambung kembali kedukaan. Ashuri yang menyedari perubahan riak muka Musliha segera menenangkannya.

"Raihan pasti akan kembali..usah kau sangsikan ketangkasan Tantira ketika berjuang..aku pasti dia akan mengerah segala keringat untuk memastikan keselamatan Raihan..percayalah.."

Kata-kata Ashuri sedikit sebanyak berjaya menenangkan perasaan dukanya. Musliha tersenyum tawar melihatkan ke arah Ashuri. Anak raja ini benar-benar bijak berbicara. Musliha mengangguk kerana dia percaya, Raihan pasti akan kembali.

"Pasti Senja kelaparan..hampir seharian Senja terbaring tidak sedarkan diri..mari bonda bawakan Senja ke meja santapan..jamah sedikit makanan agar kau punyai tenaga.." jemari Dewi dielus lembut Permaisuri Dahlia sambil mengajaknya berdiri. Perlahan tubuhnya dipapah untuk dibawa bangun. Langkahnya perlahan terjingkit-jingkit kerana kesakitan di bahagian hujung kakinya.

"Aduhh.." rengek Dewi perlahan saat hujung kakinya dibawa melangkah. Permaisuri Dahlia memegang erat bahunya agar Dewi tidak terjatuh ke lantai.

"Biar aku bantumu melangkah.." Ashuri menawarkan diri untuk memapah Dewi. Pelawaan itu menjadi titik pertembungan dua anak mata yang dahulunya pernah bersatu untuk seketika. Ashuri tidak berkedip melihatkan sepasang anak mata yang pernah melayangkan perasaanya dahulu. Dan kini untuk kedua kalinya mereka bertentang mata. Namun Ashuri sedikit kecewa kerana anak mata itu tidak seperti dilihatnya dahulu. Mungkin sahaja akibat daripada racun yang merayap dalam tubuhnya itu fikir Ashuri. Anak mata Dewi diperhatinya sekadar berwarna hitam seperti jua miliknya. Namun wajah polos itu, tetap masih utuh keayuannya.

"Bukankah ini jejaka yang aku bantu ketika di Telaga Air Biru dahulu..??" bisik hati Dewi kala anak mata Ashuri terarah pada dirinya. Baru kini disedarinya siapa sebenarnya gerangan jejaka yang menyelamatkan dirinya itu. Anak raja rupanya. Patutlah ketika ditemuinya Ashuri dahulu, lagaknya segak tidak seperti orang kebanyakan yang lain. Pautan dua anak mata itu sekadar diperhatikan Permaisuri Dahlia penuh kehairanan.

"Ashuri..?? Senja..??" Kedua-duanya ditegur kerana mengelamun ketika saling bertentangan mata. Bagaikan dihempas ombak nan deras, Ashuri dan Dewi tersedar dari lamunan mereka berdua. Merona merah wajah Ashuri menahan malu dek kerana terleka membuai angan. Tangannya segera dihulurkan untuk memapah Dewi pergi ke ruang santapan.

"Usah..aku tidak selesa andai disentuh lelaki yang tidak aku kenali.." jawab Dewi lantas menepis pelawaan Ashuri. Jawapan itu sekadar berlalu di cuping telinganya. Malu kian memuncak saat pelawaannya untuk membantu ditolak mentah-mentah oleh Dewi.

"Tidak mengapa Ashuri..bonda boleh memapahnya..usah anakanda risau.." kedua-dua mereka terus melangkah meninggalkan Ashuri dan  Musliha berdua di dalam bilik itu. Ashuri mengeluh panjang melihatkan Dewi dipapah keluar bondanya.

"Hmm..kerana anak matamu itu, hati ini dibawa pergi tidak mahu hinggap kembali..raut wajahmu umpama keindahan alam yang tiada tolok bandingnya.." keluh Ashuri sendiri. Lengannya menghempas pangkal peha. Helaan nafas derasnya seolah diruntun kekecewaan yang bukan kepalang.

"Ehemm..!" tegur Musliha yang sedari tadi tercegat di belakang tubuh Ashuri. Anak raja ditegurnya tanpa malu.

"Musliha..! Aku fikir kau telah keluar bersama mereka..!" Ashuri cemas seketika saat berpaling ke belakang. Dia meneguk liur melihatkan Musliha yang tersenyum meleret-leret memerhatikan dirinya. Musliha pasti mendengar apa yang dikeluhnya tadi!

"Tengku...tengku...jangan gelojoh sangat tengku..." seloroh Musliha tertawa kecil. Tak disangkanya rupa-rupanya anak raja ini ada menyembunyikan sesuatu tanpa pengetahuan sesiapa. Patutlah beria benar dia mengarahkan semua hulubalang istananya ke Lembah Cahaya untuk mendapatkan penawar. Ada udang di sebalik batu rupanya.

"Bila masanya aku gelojoh..??" merah mukanya makin membukat. Andai ditoreh pasti memancut darah membuak-buak dari pipinya itu. Ashuri menggelabah saat Musliha mengenakan dirinya.

"Dari lagak tengku tadi patik dah dapat melihatkan ada sesuatu yang tengku sembunyikan...." meleret ucap kata Musliha. Ada berbaur sindiran di hujung katanya itu.

"Sembunyi..?? Di mana..?? Aku tidak menyembunyikan apa-apa dari pengetahuan sesiapa.." Ashuri berkeras untuk terus berdalih. Rahsia itu harus ditutupnya rapi.

"Rahsia di hati, tiada siapa yang tahu..tidak begitu tengku..??" Musliha kenyitkan mata.

Gulp!

Ashuri tewas. Bijak benar Musliha ini berkata. Ada penyesalan jua dalam diri Ashuri kerana tidak menyedari Musliha masih berada di belakangnya tadi. Musliha hanya menjungkitkan kening sambil jari telunjuknya terliuk-liuk mengarahkan ke arah Ashuri. Senyum yang tergores di bibirnya itu senyuman penuh muslihat!

"Tengku jatuh hati pada Senja yeeeeee..." mengekek gelak tawa Musliha. Buntang biji mata Ashuri.

"Aduh..!" Ashuri sekadar menepuk dahi sambil mengutus senyum di bibirnya.

No comments:

Post a Comment