Tok Kelana membuka kelopak mata perlahan. Kebas tangan dirasakan begitu perit. Juntaian hujung rambutnya yang memanjang diikat bersama seketul batu yang amat berat. Kepalanya didongakkan mengadap ke atas menyembah langit. Samar cahaya yang sipi memasuki ruang tempat kurungannya itu menerpa tepat mengenai raut wajahnya. Bahang yang terasa di wajah tidak dapat menandingi bahang dalam hatinya sendiri. Ditikam dari belakang oleh rakan yang amat dipercayainya sendiri lebih memedihkan jika hendak dibandingkan dengan cahaya yang menyimbah mukanya kala itu.
Ingatannya melayang mengingatkan Dewi. Anak kandungnya yang dihantar ke dunia manusia entah apa khabarnya sekarang. Hatinya diruntun perasaan kecewa kerana risaukan nasib yang menimpa kaumnya. Apakah tindakannya benar menjadi punca kepada segala kekalutan yang timbul? Adakah selama ini tindakannya berlembut hati terhadap manusia menyebabkan Aduka dan Juara berpaling tadah? Tok Kelana mengeluh berat.
Dia cuba menongkah wajah untuk melihatkan tubuhnya yang tidak dibaluti seurat benang. Namun berat batu yang mengikat hujung rambutnya telah menghalangnya berbuat demikian. Kepalanya tidak mampu didongakkan. Kaki dan tangan diikat teguh ke palang kayu yang tertusuk ke dalam tanah. Segalanya terkekang. Tok Kelana cuba melawan keperitan yang dialaminya kala itu. Hanya anak matanya sahaja mampu digerakkan ke kiri dan kanan melihatkan sekeliling. Ruangan kelam dan berbau hanyir itu sudah pasti adalah kediaman jembalang fikirnya.
"Hrrr....hrrr.." dengusan jembalang merapati dirinya. Tok Kelana menguatkan diri untuk mengangkat kepala namun masih tidak punya kekuatan. Jelingannya ke arah kanan memperlihatkan satu susuk jembalang mendekatinya dengan wajah penuh kebencian. Mungkin itu adalah jembalang yang diarahkan untuk mengawal dirinya fikir Tok Kelana.
Tok Kelana cuba meronta untuk melepaskan ikatan tali yang membelengu hujung kaki dan tangannya. Jembalang penjaga itu tidak menunggu lama untuk menghukum Tok Kelana yang cuba melepaskan dirinya. Libasan cemeti hinggap di depan badan Tok Kelana saat dia berbuat demikian. Hanya erangan menahan perit libasan itu sahaja kedengaran dari mulutnya. Tubuhnya menggigil. Giginya meretap menahan kesakitan bukan kepalang itu.
"Hrrr..hrrr.." jembalang penjaga makin bernafsu kala melihatkan Tok Kelana mengerang kesakitan. Erangan itu seolah nada indah di cuping telinganya. Sekali lagi libasan cemeti hinggap ke tubuh Tok Kelana lalu menerbitkan coretan halus di tubuhnya. Lelehan darah yang mengalir membasahi tubuhnya dijilat penuh bernafsu oleh jembalang penjaga.
"Bodoh..!!" Buragas muncul dari kegelapan sisi kurungan itu sambil mengherdik si jembalang yang leka menghirup darah milik Tok Kelana. Berang wajahnya melihatkan tawanan emasnya itu diperlakukan sebegitu tanpa arahannya.
"Hrrr...hrrr.." jembalang penjaga yang mulutnya berlumuran darah siluman berundur ke belakang menjauhi Buragas dan Cempaka Sari yang masuk berdua ke ruangan itu. Hujung cemeti Cempaka Sari pula melayang hinggap ke belakang tubuh jembalang penjaga itu.
"Tawanan ini bukan milik kau..! Ini adalah santapan akhirku setelah puas kuseksanya nanti..!" Herdik Buragas. Pandangan dialihkan pada Tok Kelana yang tegak diikat menghadap langit. Dia tersenyum melihatkan penderitaan itu. Puas!
"Selama ini kusimpan segala dendam..menunggu masa untuk kulunaskan..dan kini, akhirnya kau dalam genggamanku Kelana..!"
Saat Tok Kelana cuba meronta, Buragas merentap kasar hujung rambut Tok Kelana. Kepala Tok Kelana disentap kuat untuk melihatkan dirinya. Buragas meludah tepat mengenai wajah musuhnya itu.
"Sudah bertambat kau masih lagi mahu melawan..?!" Genggaman erat tangannya menyentak rambut di ubun-ubun Tok Kelana. Ikutkan dendam dan kemarahan yang meluap-luap, hendak sahaja disiatnya kulit musuhnya itu biar berpisah dari tubuhnya. Hendak sahaja dilapahnya daging Tok Kelana itu tika dia masih bernyawa.
"Dendam kau hanya padaku Buragas..usah kau kaitkan keluarga serta kaumku dalam persengketaan kita..!"
Buragas mendengus kasar mendengarkan kata-kata Tok Kelana. Sungguh kau masih belum mengerti fikirnya. Kepala Tok Kelana diunjamnya pula hingga memercikkan peluh yang membasahi muka. Tok Kelana hanya berserah. Andai nyawanya terpaksa dipertaruhkan demi keamanan kaum silumannya, dia sanggup berkorban.
"Aku mahu kau melihat sendiri aku menyeksa satu persatu nyawa siluman yang akan ku tawan..nyawa yang pertama akan kutarik pastinya nyawa anakmu sendiri..akan ku perlihatkan dihadapanmu betapa dia merintih memohon pertolonganmu..saat dia mengerang kesakitan menahan segala seksaan, kau hanya mampu memerhatikannya tanpa mampu berbuat apa..aku mahu kau rasakan penderitaan itu..!" Usai berkata demikian Buragas meledakkan tawanya. Bergema isi ruang kurungan itu dengan hilai tawanya.
"Kau bunuh sahaja aku Buragas..cabut nyawaku agar tertunai segala hutang lamaku..!"
"Usah kau berlagak angkuh Kelana..saat matimu bakal tiba..hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja..sebelum itu biarlah aku menikmati keindahan menyeksa dirimu..!"
Anak mata Tok Kelana hanya mampu mengerling melihatkan Buragas tertawa kesenangan hati. Dirinya sendiri bergelodak rasa marah tidak terperi. Hanya mampu meronta dengan lebih kasar untuk dia terjemahkan kemarahan di hati. Buragas makin galak tawanya melihat siluman tua itu kini terseksa. Cempaka Sari melibas cemetinya tepat mengenai tubuh Tok Kelana. Birat berselirat kelihatan jelas dek libasan bertalu-talu yang dilepaskan Cempaka Sari. Tok Kelana hanya mampu menahan dan mengerang kesakitan dek perbuatan pawang jembalang itu.
"Cukup..! Aku tidak mahu dia mati dengan terlalu mudah..!" libasan rakus Cempaka Sari dihentikan Buragas serta merta. Dia mahu menyeksa musuhnya itu sendiri. Dendam yang diperamnya selama ini hanya akan terlupus tika melihatkan rintihan Tok Kelana.
Seksaan jembalang pelbagai jenis caranya. Segalanya bertujuan untuk memastikan musuh mereka merintih dan memohon untuk diampunkan. Namun bukan keampunan yang menjadi dambaan Buragas, tetapi rintihan Tok Kelana yang menahan kesakitan akibat diseksa. Sebatang buluh yang telah diraut halus umpama mata pedang dicapai Buragas. Hujung jari Tok Kelana direntap lalu dikangkangnya luas. Buluh dililis perlahan di celahan antara jari manis dan jari hantu Tok Kelana. Perlahan hirisan itu hingga mengoyakkan celahan kulit di antara dua jari itu. Percikan darah menghambur keluar disertai teriakan Tok Kelana yang kesakitan. Makin kuat terikan itu menahan kesakitan, makin girang Buragas menikmati perlakuannya itu. Tok Kelana diseksanya sepuas hati.
"Aku akan pastikan anak dan isterimu turut merasakan penderitaan ini Kelana..aku akan pastikan..!"
Tok Kelana tidak mampu berbuat apa. Hatinya diruntun rasa sedih. Bukan meratapi keadaan dirinya, tetapi memikirkan perihal anak serta isterinya yang kini menjadi buruan Buragas. Terlintas di fikirannya untuk terus sahaja membunuh dirinya ketika itu. Tetapi kepantangan dirinya menyerah tanpa usaha dikerahkan terlebih dahulu. Dia tak punya pilihan. Kepada siapa hendak dia bergantung harap untuk membantu. Tok Kelana mengerah segala buah fikirannya memikirkan bagaimana untuk melepaskan diri sambil Buragas menikmati lelehan darahnya yang mengalir di celahan jari akibat dihiris buluh.
Buragas menghela kepuasan. Baki darah Tok Kelana yang terpalit di bibirnya dikesat. Cukup sudah buat ketika ini fikirnya. Masih ada rencana lain yang harus diuruskannya. Cempaka Sari sekadar mengekori Buragas meninggalkan Tok Kelana menahan seksa seorangan.
"Bagaimana caranya untuk kita mendapatkan Dewi itu Buragas..apa kau punya buah fikiran..??"
Kerana kealpaan Cempaka Sari, Dewi telah terlepas dari genggamannya. Watak penting dalam hidup Tok Kelana itu merupakan sasaran Buragas selama ini. Sekian lama diaturnya rancangan demi rancangan untuk menawan Dewi. Namun segalanya tidak pernah menjadi. Dara siluman itu terlalu sukar untuk ditawannya. Mujur dengan pelbagai helah yang direkanya berjaya menghasut Tok Aduka dan Juara untuk bersetongkol dengannya. Semuanya gara-gara sebuah dendam lama yang tersemat rapi dalam diri Tok Aduka. Dirinya diperalat oleh Buragas hingga berjaya menerobos masuk ke alam siluman. Juara sekadar kambing hitam yang menjadi batu loncatan Buragas untuk melaksanakan semua perancangannya. Kata-kata Tok Aduka berjaya memperalatkan Juara agar berjuang bersamanya. Namun ada jua kebijaksanaan Tok Aduka menyusun langkah tampaknya tidak berjaya. Kerana tindakan Tok Kelana yang akhirnya menggunakan manusia sebagai tukang rawat kepada Dewi amat mengejutkannya. Satu keputusan yang di luar jangkaannya. Satu keputusan yang telah mengubah segala rentak yang cuba diolah Tok Aduka.
"Aku punyai satu akal.." ringkas jawapan balas Buragas lantas dibisiknya sesuatu ke cuping telinga Cempaka Sari. Selesai berbisik, kedua-duanya tertawa memecah hening penempatan jembalang itu. Sekalian jembalang yang berada di sekeliling mereka hanya memasang telinga dan merengus saat hilai tawa itu kedengaran.
"Akan kulaksanakan perintahmu itu Buragas.." ucap Cempaka Sari lalu berlalu pergi. Buragas tersenyum sinis. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang Dewi kini mungkin berada di dunia manusia, peluang itu akan digunakannya untuk memecahkan lagi tali persaudaraan antara manusia dan siluman. Tali persaudaraan yang seakan retak hanya menanti belah itu akan diapikannya lagi. Biar musnah kedua-dua kaum itu dari muka bumi itu. Alang-alang mandi biar basah!
Pemergian Cempaka Sari hanya diperhatikan Buragas. Dia yakin pawang yang menjadi orang kanannya itu pasti tidak akan mengecewakannya kali ini. Perintah akhirnya, Dewi harus ditangkap dan diseksa seperti mana dia menyeksa Tok Kelana. Mungkin lebih hebat lagi agar Tok Kelana merintih padanya memohon keampunan. Tika itu barulah hatinya puas.
Buragas melangkah mendekati satu susunan kayu di sisi kiri tempat tinggalnya itu. Deretan senjata yang ditempa khas untuk memburu siluman dan kaum manusia yang lain telah tersedia. Hanya menunggu masa untuk dimandikan dengan darah. Seperti juga dirinya, senjata-senjata itu turut kehausan darah. Dua ketul tengkorak yang terletak rapi di atas satu susunan kayu berlapis itu dibeleknya. Diusapnya penuh kasih sayang lalu dikucupnya.
"Aku pasti akan membalas segala kejahatan yang dilakukan manusia dan siluman ke atas kaum kita..aku berjanji..!" dua ketul tengkorak itu diletaknya semula di tempat asal. Hatinya tiba-tiba dirundung perasaan benci yang mendadak tibanya. Sebilah pedang panjang dicapainya lalu dia menuju laju ke arah belakangnya semula. Dia menuju ke bilik kurungan Tok Kelana semula.
ASHURI merapati tebing jeram yang berlalu deras berhampiran istananya. Air yang jernih dikuaknya perlahan lalu diceduk dan disuanya ke mulut. Segar air yang mengalir itu berjaya menghilangkan dahaganya. Sesekali anak ikan seluang yang meliuk melawan arus diperhatikannya sambil tertawa kecil.
"Wahai ikan..air yang deras cuba kau lawan..tiada faedah, bala pula yang menyusul.." ucapnya perlahan lalu dikuaknya semula air jeram yang mengalir itu. Matanya meliar melihatkan keliling. Kelibat kera bergayut dari dahan ke dahan menggamit perasaannya. Unggas berkicau tidak seirama. Lolongan lotong sayup di kejauhan didengarinya cukup sayu. Hutan itu seperti merintih seolah ada sesuatu perkara buruk yang terjadi.
"Menurut kata Tabib Fansuri..andai kedengaran lolongan lotong sayu di dalam hutan, itu merupakan petanda buruk..petanda menyatakan ada seseorang yang kehilangan nyawa..petanda sesuatu musibah sedang melanda.." bisik Ashuri sambil mengesat mulutnya yang dilinangi air jeram. Setelah puas dia menghirup air jeram, dia bangun semula lantas mencapai busur panahnya yang diletaknya di belakang. Puas Ashuri meraba ke belakang tubuhnya namun busur panah yang diletaknya di atas batu itu tidak tercapai olehnya.
"Seingat aku, busur itu kuletakkan di atas batu ini.." Ashuri memalingkan muka melihatkan tempat letak busur panahnya. Tiada.
"Kemana pula perginya..??" pelik. Masakan busur panah boleh berjalan dengan sendirinya.
"Usah kau menapak lagi ke hadapan..atau kulepaskan anak panah ini tepat mengenai dadamu.." Ashuri terpempan. Seorang gadis yang kebasahan sedang menarik tegang busur panah miliknya. Sebilah anak panah tepat diarahkan padanya. Jika dilepaskan pasti akan tepat mengenai dirinya.
"Gadis ini..." Ashuri mengenalinya. Itulah gadis yang membantunya ketika Tantira terjerumus ke lubang Telaga Air Biru dahulu. Wajah itu amat dikenalinya. Mana mungkin raut wajah secantik itu dilupakannya sebegitu mudah. Namun kali ini dia jauh berbeza dari sebelumnya. Seri di wajah seolah hilang. Hanya pucat melesi seperti tiada darah yang mengalir.
"Usah cuba bermain senjata andai langkahmu sumbang tiada berseni.." amaran Ashuri pada Dewi. Jelas dilihatnya jari yang menarik tegang busur itu seakan menggeletar. Andai tersilap langkah, pasti anak panah meruncing itu akan menuju ke arahnya.
"Letakkan busur itu.." amaran Ashuri kedua kalinya. Dewi tetap berdegil. Bidikan ditalanya tepat ke arah Ashuri. Dia tidak peduli. Dirinya harus dilindunginya terlebih dahulu. Walau terpaksa nyawa seseorang dicabutnya.
Dewi melangkah setapak demi setapak berundur ke belakang. Kawasan itu langsung tidak pernah dijejakinya. Sejak ditolak Fawas hingga terjatuh ke aliran jeram, dia langsung tidak mampu menghampiri tepi tebing. Arus yang deras menyukarkan renangannya. Dari kejauhan hanya dapat melihat Fawas bertarus seorangan melawab jembalang yang menghalang laluan mereka.
"Di manakah kawasan ini..??" soal Dewi setelah dipastikan jaraknya dan Ashuri kian selamat. Busur dilenturkannya. Lengan kanannya yang kembali terluka ditekupnya dengan tapak tangan. Bisa yang melingkari tubuhnya semakin bermaharajalela dalam tubuh. Lelehan darah dari celahan jari yang menekup luka itu diperhatikan Ashuri.
"Kau terluka.."
Dewi mengerang kesakitan saat tapak tangannya menekup dengan lebih kuat ke luka itu untuk mengelakkan darah dari terus mengalir.
"Ini bukan urusanmu..! Jawab pertanyaanku..dimanakah aku berada sekarang..?!"
"Kau di Indera Sakti.."
"Bohong..!"
"Aku tidak berbohong..tiada gunanya untuk aku berbohong.."
Dewi membatukan diri. Dia menyandarkan kepala ke pokok yang menjadi tempat sandarnya. Luka dirasakan semakin menyengat. Anak matanya meliar mencarikan jalan untuk beredar dari kawasan itu. Dia harus menjauhi Ashuri. Mungkin lelaki itu adalah jembalang yang menyerupai manusia. Dia tidak mahu diperdayakan untuk kali yang kedua.
"Lukamu itu perlu dirawat.." ujar Ashuri pabila melihatkan darah dari lengan Dewi makin berjuraian turun menitik ke bumi. Parah luka yang dialami gadis itu fikirnya.
Tanpa peduli dengan kata-kata Ashuri, Dewi membuka langkah lalu terus berlari meninggalkan kawasan itu. Tebing tinggi jeram didakinya lalu meredah semak untuk melarikan dirinya. Namun langkahnya tidak sejauh mana. Pandangannya mula berbalan-balan saat dirinya memaksa untuk berlari. Pandangannya melayang melihatkan pokok dan tumbuhan renek di kiri dan kanannya. Dewi melutut menyembah bumi. Dia cuba bertahan. Pandangan yang semakin menggelap akhirnya membawa dirinya terbaring tidak sedarkan diri.
Ashuri bergegas berkejar ke arah Dewi yang terlantar di lantai bumi. Tubuhnya kuyup. Darah mengalir tidak berhenti dari luka di tangan kanannya. Tubuh Dewi segera dirangkulnya kemas lalu dibawanya ke Istana Indera. Dewi perlu dirawat.
"Pengawal..! Panggilkan Tabib Fansuri masuk ke istana segera..!" Pekik Ashuri setibanya dia ke istana. Dewi dibawanya masuk ke dalam kamar miliknya. Tubuhnya segera dibaringkan di atas tikar yang terbentang. Dayang istana masuk mengerumuni kamar Ashuri.
"Ambilkan air suam..tuam ke tubuhnya segera..!" Perintah Ashuri segera dituruti. Permaisuri Dahlia turut memasuki bilik anakandanya itu untuk menghulurkan bantuan. Saat dayang istana bertungkus lumus menukar persalinan Dewi yang kebasahan, Ashuri sekadar mundar mandir di hadapan pintu kamarnya. Dia resah andai sesuatu terjadi pada gadis itu.
"Bagaimanakah keadaan gadis itu bonda..??" terus sahaja diri ibunya diterpa saat melihatkan Permaisuri Dahlia melangkah keluar dari kamarnya.
"Anak itu terlalu lemah Ashuri..siapakah dia dan dari manakah asal usulnya..??"
"Anakanda tidak mengenalinya bonda..ketika Ashuri singgah ke tepi sungai untuk menghilangkan dahaga, dia muncul lalu mengugut anakanda.."
"Mengugut..??"
"Ya..seolah dia dalam ketakutan..seperti ada sesuatu yang menganggunya.." balas Ashuri. Kelibat Tabib Fansuri yang memasuki ruang istana mengalihkan perhatiannya.
"Tabib Fansuri..rawatlah gadis di dalam kamarku itu sehingga sembuh.." arah Ashuri lalu membiarkan Tabib Fansuri masuk seorangan ke dalam kamarnya.
Raihan dan Musliha bergegas memasuki istana tika melihatkan seperti ada kekecohan di dalam istana. Raihan berlari, Musliha mengekori.
"Kenapa ni Tengku..??" soal Raihan tercungap-cungap.
"Aku terjumpa orang dari kalangan kamu di tepi sungai tadi.."
"Kalangan kami..??" Musliha terkedu. Bermakna selain mereka berdua, ada lagi insan lain yang terjerumus ke dalam telaga itu rupanya.
"Mungkin kau akan mengenalinya saat kau melihat wajahnya..aku pasti.." yakin benar Ashuri dengan kata-katanya. Walhal dia tidak mengerti bahawasanya Dewi adalah kaum siluman yang dilarang mendekati manusia sebelum ini. Raihan dan Musliha bertukar pandangan. Tidak pasti siapakah yang dimaksudkan Ashuri.
Sekian lama menanti, Tabib Fansuri akhirnya menguak daun pintu kamar Ashuri untuk keluar. Dahinya berlapis memperlihatkan kerut. Dia menunduk memikirkan sesuatu.
"Gadis itu diracuni Tengku.." katanya ringkas. Namun riak muram tidak mampu dibuangnya dari wajah.
"Dan dia tidak mampu bertahan lama andai tidak dirawat segera.." sambungnya semula. Kali ini wajah didongakkan sedikit melihatkan wajah si putera raja itu.
"Aku yakin Tabib mampu untuk merawatnya..lakukan apa sahaja asalkan dia terselamat.." Ashuri seolah merayu. Kata-katanya itu ditangkap cuping telinga Permaisuri Dahlia. Siapa sebenarnya gadis ini di hati Ashuri fikirnya.
"Hamba boleh usahakannya Tengku..namun penawarnya terletak jauh dari penempatan kita Tengku.."
"Apa maksudmu..??"
Tabib Fansuri mengeluh berat. Dia hanya berlegar di hadapan Ashuri sambil mengurut janggutnya yang mengurai. Racun Seribu Lebah bukanlah sebarangan racun. Bisa yang diolah dari pelbagai jenis bisa dan dijadikan satu racun yang sukar disembuhkan. Dan penawarnya hanya satu, Bunga Kudup Nyawa.
"Patik memerlukan Bunga Kudup Nyawa..dan bunga itu terletak beratus batu jauhnya dari penempatan kita.." ucap Tabib Fansuri perlahan. Dia resah memikirkan perihal bunga misteri itu. Diamnya bunga itu di lereng bukit berbatu di Lembah Cahaya. Kawasannya lembab dan berlumut. Mekarnya bunga itu hanya di waktu tengah malam. Siangnya terlindung dek kerana mengecut hingga tidak ternampakkan dek mata. Dan paling digusarkannya, bunga itu ada penjaganya.
"Akan segera aku pergi untuk mengambilnya Tabib..khabarkan padaku dimanakah diamnya Bunga Kudup Nyawa itu..??"
Tabib Fansuri menggeleng. Ashuri tidak mengetahui akan bahayanya Lembah Cahaya itu. Pelbagai dugaan perlu ditempuh andai ingin menuju ke sana. Tersilap percaturan, nyawa galang gantinya.
"Lembah Cahaya.." ringkas jawapan Tabib Fansuri namun mula meresahkan Permaisuri Dahlia. Sudah terlalu lama tidak didengarinya nama lembah durjana itu.
"Jangan Ashuri..bonda tidak benarkan sesiapa pun kesana..terlalu bahaya anakanda.."
"Tetapi gadis ini dalam kemudaratan bonda..adakah sanggup bonda membiarkan sahaja dia terbaring menghitung waktu matinya..??"
"Tetapi anakanda.." rintih Permaisuri Dahlia cuba menghalang hasrat anaknya itu.
"Benar kata Permaisuri Dahlia itu Tengku..patik merasakan tidak wajar untuk Tengku ke sana mengambilnya sendiri..ia bagaikan menyerahkan nyawa kepada penjaga bunga itu Tengku.." larang Tabib Fansuri semula. Namun Ashuri tetap bertegas. Dewi harus dirawat!
"Izinkan hamba sahaja yang pergi mengambilnya tengku.." Tantira muncul menghampiri bersebelahan Raihan dan Musliha.
"Aku pun nak ikut.." ucap Raihan menawarkan dirinya. Dia melangkah setapak ke hadapan bersebelahan dengan Tantira. Musliha terkedu.
"Woi sengal..! Kau nak tinggalkan aku sorang-sorang dekat sini ke..??" Lengan baju Raihan dielak Musliha. Namun Raihan enggan mempedulikan asakan Musliha. Dia mahu cuba berbakti. Sekurang-kurangnya dapat juga dia menjelajah mengikuti Tantira nanti.
"Tidak Raihan..kau adalah tetamu di istanaku..aku tidak akan membahayakan nyawa tetamu kepada istanaku ini.." ucap kata Ashuri disambut dengan wajah mencuka.
"Tapi Tengku..aku ada sijil pendakian gunung..aku juga ada pengalaman meredah belantara walaupun tanpa peta..lagipun, aku bekas ahli Pengakap yang berdaftar..aku rasa, aku layak untuk menyertai ekspidisi ini.." rayu Raihan berkeras mahu mengikuti Tantira mencari Bunga Kudup Nyawa di Lembah Cahaya.
"Pffftt..!" Musliha menepuk dahi.
"Nak dicepuk kesian pulak..tapi kalau tak dicepuk, bangangnya menjadi-jadi.." bisik Musliha sendiri. Tangannya pantas menarik Raihan agar berundur ke belakang. Ashuri berfikir sejenak kala Raihan dan Musliha bertelagah sesama sendiri.
"Kau ingat laku sangat ke sijil kau dekat sini..??"
"Kau apa tau..!" herdik Raihan. Dia masih berharap agar Ashuri berlembut hati lalu membenarkannya pergi. Wajah Ashuri diperhatikannya tidak berkalih. Mereka saling bertukar pandangan.
"Tidak.." balas Ashuri ringkas lalu melangkah menghampiri Tantira.
"Sanggupkah kau pertaruhkan nyawamu untuk ke Lembah Cahaya Tantira..??" bahu Laksamana istana itu dipegangnya erat. Sungguh dia berharapkan agar Tantira benar ingin mengotakan janjinya itu.
"Nyawa tiada bererti jika aku gagal melindungi dirimu dari bencana Ashuri..biar sahaja aku pergi..kau lebih diperlukan di istana ini.." Tantira berbisik perlahan ke telinga sahabat karibnya itu.
"Jika benar katamu itu..berangkatlah dikau esok hari..bawalah seramai mana pengawal bersamamu..pulanglah secepat mungkin setelah Bunga Kudup Nyawa itu kau perolehi.."
"Patik menjunjung titah Tengku.." Tantira menunduk lantas berundur setapak ke belakang. Tabib Fansuri sekadar mampu menggeleng. Perintah telah dikeluarkan Ashuri. Dia tidak mampu menghalangnya lagi. Semuanya di situ terdiam tidak mampu berkata apa.
"Ada penceroboh di gerbang istana..!" jeritan pengawal di pintu istana memecahkan kebuntuan kala itu. Bergegas Ashuri melangkah ke pintu untuk melihat. Siapakah gerangan yabg berani mencerobohi istananya kala itu. Tantira mengekori rapat. Dari kejauhan dapat dilihatnya satu susuk tubuh sedang dikepung oleh pengawal istana. Tiga orang pengawal sudah terbaring mengadap bumi.
"Siapakah itu Tantira..??" Cemaa Ashuri melihatkan penceroboh itu bertarung menewaskan pengawal istananya satu persatu.
"Aku tidak mengenalinya Ashuri..biar sahaja aku cuba menangkapnya..!" usai berkata demikian, Tantira lantas bergerak laju menuju ke arah penceroboh istana yang lincah berpencak menewaskan satu persatu pengawal istana.
No comments:
Post a Comment