Thursday 4 June 2015

Bukit Putus : Penampakan 2

Sambungan daripada kisah yang lalu..

Penampakan 2

Hari telah pun larut malam. Diperhatikan ke arah jam, tepat menunjukkan jam 2.30 pagi.

"Allah..menyesal betul aku.." Shahrul mengeluh seorangan. Dalam kedinginan malam, dia memandu seorangan. Melepasi pekan Seremban, menuju ke Kuala Pilah.

"Kalau aku tau habis lambat macam ni..memang takkan aku pergi dinner tu.." keluhnya sendiri mengubat resah di hati.

Jamuan makan malam tahunan syarikat yang dihadirinya berakhir lewat. Leka bersembang, tidak menyangka waktu semakin suntuk merafak ke tengah malam. Hatinya berat untuk pulang terlalu lewat, namun dek desakan rakan sekerja, terpaksa juga dia relakan. Walaupun dia tahu, perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Pilah itu, pastinya bakal memahat sesuatu yang tidak diingininya.

Bukit Putus. Siapa tidak tahu akan jalan puaka itu. Terlalu banyak kejadian ngeri dan menyayat hati menyelubungi sejarah jalan bersimpang siur itu. Terlalu banyak kematian telah disaksikan di jalan itu. Dan kini, dia seorangan, membelah laluan itu menuju pulang ke rumah.

Radio dipasangnya kuat setibanya di hadapan ladang belimbing berhampiran Bukit Putus itu. Lampu jalan yang terakhir hanya beberapa meter sahaja dari keretanya ketika itu. Selepas dilepasinya lampu jalan yang terakhir itu, 8 kilometer seterusnya akan dilalui hanya dengan berbekalkan cahaya lampu keretanya sendiri.

"Bismillah.." Shahrul menelan air liur saat keretanya mula membelok melalui selekoh yang pertama. Di situ, pernah ada seorang penunggang motosikal yang mati digilis lori dahulu. Berkecai tubuhnya bersepah isi perut di atas jalan raya.

Dia harus cermat dan berhati-hati. Jalan itu terlalu sempit. Bila malam, selepas disimbahi embun jantan yang menitis, turapan jalan menjadi sedikit licin daripada kebiasaan. Shahrul tidak boleh terlalu gopoh memandu. Jika lalai, pasti kenderaan pacuannya akan terbabas di sisi jalan raya lalu terjunam ke gaung yang teramat dalam.

Ada yang pernah mengatakan, beberapa pemandu yang memandu lewat malam di kawasan itu diganggu oleh satu jelmaan. Cerita berkenaan jelmaan itu cukup popular di kalangan penduduk di sekitar kawasan itu. Jelmaan yang menyerupai seorang gadis cina, menanti di tepi jalan raya, dan melambai ke arah setiap pemandu yang melintasinya.

Namun, ada juga yang bernasib baik, jelmaan gadis cina itu menemani pula mereka sepanjang perjalanan sehingga ke penghujung Bukit Putus tersebut. Ada yang mengatakan, dia tidak mengganggu, hanya melihatkan kehadirannya di sisi-sisi biasan cermin kereta. Itu sahaja.

Shahrul tersentak saat lampu di dalam keretanya menyala secara tiba-tiba. Lama ia terpasang seolah ada pintu kereta yang tidak rapat.

"Takkanlah kot....." dia mengeluh berat. Kata orang yang pernah mengalami sendiri keadaan itu, kejadian lampu dalam kereta terpasang sendiri, adalah lumrah di kawasan itu. Lebih-lebih lagi jika 'dia' berada berdekatan.

Hampir enam selekoh telah dilaluinya, tidak semena-mena, lampu itu terpadam dengan sendirinya. Peluh renek segera membasahi dahi. Shahrul mengucap tidak ketentuan arah. Lutut serta merta menggeletar dengan sendirinya. Saat dia menoleh memerhatikan ke cermin sisi selepas terpadamnya lampu itu, kelihatan satu susuk tubuh, tertunduk di kerusi belakang keretanya.

Dia hanya diam tidak bergerak. Helaian rambutnya terurai menutupi wajah. Sesekali terbang pabila ditiup angin yang menerobos melalui cermin tingkap.

"Allahuakbar..keluarlah dari kereta aku ni..aku tak ganggu kau.." Shahrul terketar-ketar ketika mengucapkannya. Dia tahu, jelmaan gadis cina itu kini menumpanginya.

Kelajuan kereta kian berkurangan. Puas dihenyaknya pedal minyak untuk menambah kelajuan, namun tetap kenderaannya perlahan seperti tidak punya kuasa. Dilihatnya pada meter di papan pemuka. 40km/j.

Bisik-bisik halus mula kedengaran di cuping telinga. Jelmaan itu masih tercegat di belakang. Seolah merintih tidak jelas butirnya. Namun yang pasti, pelat cina dari bisikan itu tertangkap di telinga Shahrul.

Bisikan itu hanya datang sekali, namun terus sahaja ia berlalu pergi setelah Shahrul membelok ke suatu selekoh yang sedikit tajam. Bila dilihatnya lagi ke cermin sisi, jelmaan itu telah pun tiada. Untuk seketika, dia menghela nafas lega. Namun bila memikirkan kenderaan yang dipandunya itu masih terlalu berat, tidak seperti biasa, hatinya kembali dihuni resah.

Runut bunyi di corong radio kereta muka berdesit. Berbunyi seakan terganggu siarannya. Shahrul tidak langsung mengendahkan kejadian itu. Ketika itu, dia hanya menumpukan terhadap pemanduan. Sesekali ada juga dia menjeling ke sisi jalan, kalau-kalau jelmaan itu muncul lagi.

Namun, kegelapan malam membataskan penglihatannya. Cahaya simbahan lampu kereta tidak mampu menerangi keseluruhan kawasan itu. Shahrul meneka yang kini mungkin dia sudah berada di pertengahan Bukit Putus. Pergerakan kereta yang perlahan, melambatkan lagi perjalanannya.

Dupp!!

Bumbung keretanya seakan dihempas sesuatu. Serta merta bulu romanya kembali menegak naik. Batang tengkuk terasakan sejuk seperti ada air batu yang ditekap. Lampu hadapan kereta juga serta merta berkelip-kelip sendiri tanpa dia mengetahui apa puncanya. Ketika leka dia memikirkan apa pula bala yang menimpa dirinya kala itu, hujung telinganya seakan dihembus perlahan dari belakang. Dingin dan lembut hembusan itu.

"Allahuakbar..tolonglah jangan kacau aku lagi.." rintihnya semula. Rupa-rupanya jelmaan gadis cina itu kembali semula menumpangi di belakang kereta. Tetapi, kali ini wajahnya didongakkan melihat ke arah cermin sisi kereta itu.

Shahrul hanya mampu menjeling, tidak mampu hendak melihat lama ke arah cermin itu. Wajah di cermin itu menggerunkan. Kencang jantungnya berdegup. Bacaan ayat-ayat lazim yang dihafalnya juga tonggang terbalik dibacanya saat itu.

Sekali lagi Shahrul memberanikan diri, melihat semula ke arah cermin. Di dalam hati berdoa agar jelmaan itu telah hilang seperti awal tadi. Namun jangkaannya meleset. Jelmaan itu masih tercegat memerhatikannya.

Helai rambut tersingkap menampakkan rupa. Hanya sebelah wajah dapat dilihatnya, namun sudah cukup untuk terpahat di memorinya bagaimana rupanya jelmaan itu.

Kulit wajahnya pucat. Putih, langsung tidak menampakkan seri. Matanya terbeliak dan meruncing di hujung. Hidung kelihatan penyek seperti berlekuk. Lendiran seakan nanah mengalir turun daripada lekuk hidung itu. Dan di pipinya kelihatan seperti ada insang yang bergaris. Lima garisan membelah pipi membentuk seperti insang. Terbuka dan terkuncup menuruti helaan nafasnya. Bila mengembangnya garisan di pipi yang menyerupai insang itu, kelihatan ulat-ulat kecil melompat dan melingkari ruang dalam pipi itu. Saat terpandangnya batang tengkuk jelmaan itu, kulit tengkuk yang bersisik dan menggerutu makin mendebarkan hatinya.

"Astaghfirullah...!" tidak berani lagi Shahrul hendak melihatnya. Kerana saat dilihatnya wajah itu sudah mula menyeringai tersenyum padanya, hatinya kian tidak keruan. Lidah yang dijelirnya menampakkan lendiran seakan air ludah pekat. Meleleh hingga menitis ke bawah.

Serta merta ruang kereta itu dihuni bauan hanyir. Berselang seli dengan bauan colok cina. Shahrul redha dalam keterpaksaan. Perjalanan menghampiri ke hujungnya. Jika benar kata-kata orang yang pernah mengalami kejadian itu, jelmaan itu akan meninggalkan kereta yang mereka tumpangi setibanya di penghujung jalan itu.

Shahrul hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Bauan hanyir yang diselangi bauan colok cina mula bergerak hilang. Rintik kabus tebal pula hadir membataskan penglihatannya. Simbahan lampu kereta tidak mampu menyuluh jauh. Dirinya kian diselubungi resah. Untuk kesekian kalinya, dia menoleh ke cermin sisi untuk melihat semula ke belakang. Kosong.

Shahrul menghela nafas kelegaan. Mungkin jelmaan itu telah pergi. Selekoh yang terakhir kunjung tiba di hadapannya. Kabus tebal dirempuhnya perlahan-lahan. Di penghujung selekoh, betul-betul di atas garisan pembahagi jalan, jelmaan gadis cina itu berdiri tegak menghalang laluannya. Hampir sahaja keretanya tergelincir ke sisi jalan akibat brek yang ditekan mengejut.

Cahaya terus menerangi jelmaan itu. Dia berdiri tegak, namun tertunduk. Hanya lenggok tangannya seolah melambai ke arah Shahrul. Mengajak agar Shahrul merapatinya.

"Tolong aku.." kedengaran suara dari jelmaan itu menerpa dalam kesunyian jalan. Dia merapati, perlahan demi perlahan. Shahrul seakan terpaku tidak mampu berbuat apa. Tubuhnya kali itu langsung tidak mampu digerakkan. Hanya membiarkan jelmaan itu merapati keretanya lalu masuk ke kerusi di sebelahnya.

Jelmaan itu hanya duduk diam. Tidak berkata apa. Menampakkan sisi wajah, dan 'dia' tersenyum. Lelehan lendir dari bibir menitik ke pangkuannya. Kekuningan bercampur merah seakan darah. Batang tengkuk yang dipenuhi sisik-sisik halus dan menggerutu, menjelaskan lagi sisi seram wajah itu.

"Kau..temankan aku.." ucap lembaga itu dan memalingkan wajah. Tersenyum dengan jemari membelai pipi Shahrul ketika itu. Runcing kuku serta kesat jemari mengelus pipinya. Kulit tangan berkedut dan berlubang menampakkan tulang belulang. Pandangan seolah sengaja dipakukan untuk melihat wajah jelmaan gadis cina itu. Kali ini, wajahnya terserlah penuh.

Elusan jemari jelmaan gadis cina itu merayap ke tubuhnya pula. Runcing kuku menekan ke dada. Dan dia tersenyum. Menampakkan barisan gigi yang kehitaman. Hujung lidah terjelir mendekati wajahnya. Beliakan anak mata yang mula mengalirkan air mata darah, mula membayangi Shahrul. Dia tidak mampu menutup kelopak mata apatah lagi memalingkan wajah.

Kerdipan cahaya dari hujung selekoh mematikan lamunan Shahrul. Desitan bunyi brek yang ditekan kuat membingitkan laluan itu. Cengkaman tayar ke atas jalan raya, menghadirkan bauan hangit. Mujur, sebuah lori ayam sempat mengelak dari melanggar keretanya yang ketika itu tersangkut di tengah jalan raya. Tidak bergerak. Bergegas pemandu lori itu turun mendapatkan Shahrul yang terpinga-pinga kemamaian.

"Ehh dik..kenapa ni..?? Accident ke..??" terpaan pemandu lori itu menjengah ke cermin tingkap keretanya. Shahrul menggeleng. Namun tidak mampu berkata apa. Lidahnya seakan kelu tidak mampu untuk bercakap.

"Dah..dah..cepat jalan ni.." bonet keretanya diketuk sebelum pemandu lori itu beredar. Shahrul mengesat peluh di wajahnya. Melihat semula sekeliling kereta. Kalau-kalau jelmaan itu masih ada lagi. Setelah yakin, dirinya tidak lagi ditemani jelmaan itu, segera keretanya dialihkan menyusur ke tepi jalan raya. Agar lori di hadapannya itu, kembali mendapat laluannya semula.

Shahrul tersandar ke kerusi. Mengucap beberapa kali mengumpul kekuatannya semula. Membayangkan jelmaan itu sahaja sudah cukup untuk mendebarkannya. Stereng kereta dipaut erat.

Hon dari lori yang berselisih dengannya memeranjatkan Shahrul. Sempat diangkatnya tangan menggamit pada pemandu yang membantunya tadi. Jika tidak, pasti sesuatu yang lebih buruk akan terjadi.

Saat ekor lori melintasi di sisinya, dapat dilihatnya satu susuk tubuh berdiri di celahan muatan lori itu. Tersenyum dan melambai ke arahnya. Jelmaan gadis cina tadi!

Kini, lori itu pula ditumpanginya..

No comments:

Post a Comment