Zingggggggggg...!!
Dengungan bunyi itu membuatkan ketar makin menggila. Peluh semakin lebat membasahi. Dingin suhu ruang kecil itu dirasa seolah menghimpit dan terus mencengkam. Hanya samar-samar pandangan di ruangan itu.
Sesekali di hujung itu terdengar helaan nafas cemas. Seolah cuba melarikan diri dari sesuatu. Namun tidak pasti apakah ia.
Aku??
Hanya menunggu ketibaan bunyi yang nyaring itu.
Saat cahaya melintas masuk melalui ruangan yang dibuka luas itu. Aku mula dapat melihatnya. Ya. Runcing dan tajam hujungnya. Mungkinkah tamat riwayatku di sini??
"Tunggu..!!"
Ahh selamat..Suara itu tiba di saat genting itu..Sebelum aku dirobek tanpa belas..Sebelum aku di ganyang tika nafas masih kencang berlagu.
Tidak..
Aku tak sanggup meninggalkan ruang ini..kerana di sini aku mula kenal ertinya kehidupan..
"Engkau kenapa..??" Si jiran yang masih terduduk rapi mula bersuara. Kitai. Ya, itu namanya, Kitai. Kami baru sahaja berkenalan. Mungkin tak sampai sepurnama usia perkenalan itu. Sedangkan Kitai sendiri, telah lebih 26 tahun berada di situ. Kitai lebih dianggap sebagai hulubalang paling hadapan di kalangan kami. Ini riwayat keduanya. Dia juga pernah gugur sebelum ini.
"Aku takut..mungkin ini hari akhirku di sini.." tak salah andai aku melahirkan kegusaranku. Mungkin ini tika dan waktu yang sesuai. Saat mungkin nyawaku ditarik. Saat aku akan terpisah dari semua rakan-rakanku di sini. Mungkin tidak terlalu ketara andai aku menganggap mereka abang dan kakak yang sentiasa menemani aku semenjak aku lahir. Kerna aku, paling bongsu di kalangan mereka.
"Setiap yang datang..tak semestinya akan berkekalan Nacos.." Kitai seolah sengaja menghadirkan debar yang bisa menggoncang perasaan ini.
"Tapi kenapa mesti sekarang Kitai..?? Dan kenapa mesti aku yang terpilih untuk ini..??"
"Kerana kau adalah..The Choosen One..!" lantang Kitai bersuara. Nyaring membingitkan ruang kelam itu.
Aku masih ingat saat aku mula dilahirkan. Saat yang amat menggembirakan aku kerna itu adalah pertama kali aku mengetahui ruang hidupku. Walau selalunya kelam dan adakalanya terbit cahaya menerangi, namun itu lebih baik dari saat sebelumnya. Saat di mana aku tercari-cari di mana aku perlu bangkit. Tercari pautan untuk aku menjengahkan diriku.
Namun aku tak menyangka kehadiran aku amat tak disenangi. Mungkin juga aku tak pernah diundang.
"Kitai..adakah nyawaku untuk kedua kalinya..?? Seperti kau mungkin..??"
Kitai hanya duduk diam. Sesekali gegaran akibat hentakan dirasai. Aku seperti biasa hanya mengintai si Kitai yang duduk diam. Dia terlalu jauh di hadapan. Mungkin juga dia menanti saat untuk dirinya ditamatkan riwayatnya. Mungkin juga dia gentar seperti aku.
Tidak. Tak mungkin Kitai akan dimatikan seperti aku. Kerana dia adalah pahlawan. Dia adalah kesayangan Wan Abid. Penguasa ke atas diri kami. Kerana saat Wan Abid mengarahkan kami untuk berperang, Kitai adalah yang pertama akan menawarkan dirinya ke medan itu. Kitai terlalu disayangi. Mustahil dirinya akan ditamatkan riwayat.
"Kau tak punya harapan Nacos..kerana kau, kita kapan tewas di medan perang..!" Kitai tegas. Aku tak mungkin mampu melawannya. Tapi aku tetap akan memepertahankan nasib diriku hingga ke titisan darah yang terakhir.
Aku tak akan mengalah..!!
"Tapi aku pernah berjasa pada Wan Abid..!!"
"Apa jasa kau Nacos..?? Aku hanya melihat kau tak ubah seperti musuh dalam lipatan..!! Sering mengundang masalah di saat kami semua berasakan tenang..!"
"Betul..betul..kau perlu pergi Nacos..!" Suara-suara mereka yang ada bersamaku di ruangan itu turut bersuara. Aku tak menyangka rupanya mereka juga turut tidak senang dengan kehadiranku.
Ahh..semuanya sama sahaja..! sering sahaja aku dipersalahkan saat kami tewas di medan perang..!
"Aku turut bersama kalian di medan perang..sama-sama berjuang menewaskan musuh..! Adakah itu bukan jasa pada hemat kau Kitai..??"
"Ya..memang kau pernah berjasa.." Kitai tetap tegak tercacap rapi. Hulubalang barisan pertama yang tegap dan sentiasa membawa dan meniupkan semangat pada semua pahlawan. Rakan seperjuangannya.
"Tapi kau lebih membawa duka dan sengsara..!"
Cukup Kitai..tak perlu kau robek lagi perasaanku..
"Nacos..kau perlu tabah..engkau dipilih mungkin kerana engkau The Choosen One..jangan pernah kau menganggap kami sebagai musuh..anggap ini sebagai perjalanan hidup kau yang seketika bersama kami..mungkin ada riwayat kau di masa hadapan..kita mungkin akan bertemu lagi Nacos..percayalah.." Borap yang selama ini duduk diam di sebelahku pula bersuara.
Ya. Selama ini Borap sering menjadi pesaing rapatku. Kami bersama-sama berjuang. Selama itu jugalah aku cuba untuk berdiri sama tinggi dengannya. Bersiri sama gah dengan dirinya. Aku berusaha atas keringatku sendiri. Tanpa perlu bantuan sesiapa.
Tapi adakah itu salah di mata Wan Abid..??
"Borap..selama ini kau adalah rakan dan pembakar semangatku..aku cuba berjuang sehebatmu Borap..apakah kau turut gembira bila kau tahu aku akan pergi..??"
Biarlah yang lain mengatakan aku hanya menagih simpati. Kerna dia, sahabat yang paling rapat bersamaku. Borap adakalanya turut terpinggir di kalangan kami. Jelas dapat ku lihat semua itu.
Borap ibarat wira yang tidak didendang. Dia hanya pahlawan di hujung perbatasan. Memang jelas dapat kulihat adakalanya si penguasa, Wan Abid, memperlekehkan dan menidakkan usaha Borap. Jarang dia mendapat habuan yang setimpal dengan pengorbanannya. Namun Borap tetap bertahan.
"Aku tidak gembira Nacos..namun, telah menjadi lumrah di kalangan kita..yang lemah akan dihapuskan..!"
Itu bermakna kau turut bersetuju Borap..!
"Aku tidak lemah..aku kuat..malah aku turut sama berjuang bersama kau Borap..!"
Borap berdiam seribu bicara. Aku tahu, mungkin kau juga turut menidakkan kemahuanku untuk turut serta bersama kalian lagi. Jelas sudah takdir diriku ini.
Ahh..aku tak akan mudah mengalah..andai perlu aku berdepan dengan Wan Abid..aku akan lakukan..!
"Biar aku sahaja berdepan dengan Wan Abid..! Biar aku bersemuka dengannya..!"
"Cukup Nacos..!! Hentikan semua itu..!!" Kitai kembali bersuara.
Ahh..alang-alang nyawaku sudah tidak bernilai di mata Wan Abid..biar sahaja aku berjuang hingga ke titisan darahku yang terakhir..!!
"Kau akan mengundang bencana Nacos..! Bukan sahaja pada kau..tapi pada kami semua..! Hentikan..!" Kitai umpama sang pejuang yang cuba mempertahankan kubunya dari dirobek musuh. Dia tak mahu musuh menyerbu lagi tanpa belas kasihan. Kerana jika berlaku, pertumpahan darah bakal terjadi.
Aku meronta kali ini lebih kuat. Biar terlucut segala ikatan padaku. Biar lepas aku dari belengu ini.
Agar dapat aku bersemuka dengan Wan Abid..!
"Hentikan Nacos..!" Borap pula bersuara. Cahaya itu kembali di hujung perbatasan. Menerangi ruang gelap, kubu tempat kami bertahan.
"Teruskan.." bergema lontaran suara itu.
Wan Abid..Aku kenal itu memang Wan Abid.. Biar sahaja aku bertemu ruas dengannya..!
Zingggggg...!!
Perlahan musuh mula menyerbu masuk. Suasana yang tadinya gelap kini terang dek cahaya yang menerjah masuk. Kitai, Borap dan rakan-rakan lainku kini bertahan. Andai ada yang gugur di riwayat ini. Aku berjanji akan terus membelengu Wan Abid di riwayat yang akan datang.
Aku berjanji..!
Serbuan musuh bersama jentera-jentera berat menyukarkan kami untuk bertahan. Namun sasaran mereka adalah aku. Kerana aku yang memberontak. Sesekali aku melihat Borap turut terkena tempias serangan. Namun Borap cuba bertahan.
"Kitai..! Kenapa kau biarkan aku keseorangan melawan musuh..mana semangat pahlawan dalam diri kau..??"
"Maafkan aku Nacos..aku tak mampu.."
Bertubi-tubi serangan ku hadapi. Satu pun tidak bersisa mengerjakan aku. Aku cuba bertahan selama mungkin. Andai aku peroleh kemenangan, akan ku canang ke suluruh kaum kerabatku nanti. Akan ku tiupkan semboyan kemenangan saat aku menewaskan Wan Abid.
Kukkkk..!
Saat aku cuba bertahan dari serangan, aku terleka seketika dek membuai angan. Angan kala aku menumpaskan Wan Abid. Saat itu juga tusukan padu dilepaskan padaku. Membingkas naik darah mengalir membasahiku.
Adakah aku tewas..??
Perlahan merasakan diri ini semakin lemah. Borap hanya memerhatikan. Begitu juga Kitai. Mereka yang lain juga turut memerhatikan tanpa belas.
Apakah tiada belas kasihan kalian terhadap aku..??
Titisan darah yang membasahi membawaku pergi. Meninggalkan kubu, ruangan aku bertahan selama ini. Ruangan aku berjuang selama ini. Sampai masa, segala jasa dilupakan.
Kitai, kau tetap perwira di barisan hadapan. Namun jangan sekali engkau angkuh kala merobek musuhmu. Kerna keangkuhanmu itu bakal memusnahkan dirimu sendiri.
Borap. Kau tetap sahabatku. Walau kau berjuang sendiri. Namun kau cuba bertahan selama mungkin. Mendambakan dirimu untuk Wan Abid. Aku kagum dengan semangay kentalmu Borap.
Aku??
Biarlah aku pergi. Kerana aku bukanlah perwira seperti kalian. Aku hanya si lemah yang cuba berusaha melonjakkan diri ke atas. Namun ternyata aku tak mampu. Kehadiranku selama ini tak pernah dirai. Kehadiran aku hanya membawa nestapa.
Selamat tinggal semua..!
"Hah..inilah dia Encik Wan Abid..gigi geraham bongsu yang menyakitkan tu.." Doktor Wong mengangkat tinggi gigi geraham yang baru dicabutnya. Ditunjuknya pada Wan Abid.
"Eloklah tu doktor..hilang sengsara saya menahan sakit selama ni.." Wan Abid menarik nafas lega.
Gigi bongsu itu direndam ke dalam bekas sementara Doktor Wong merawat luka di geraham Wan Abid.
Aku masih bernyawa Wan Abid..!!
Walaupun aku kini tak punya harapan untuk terus bernyawa, tapi kau perlu ingat..suatu hari nanti aku mungkin akan kembali..aku akan terus menghuni ruang itu dan menghantui kau..!
Mungkin suatu hari nanti juga, Borap dan Kitai akan berjuang juga untuk diriku yang telah kau khianati Wan Abid..aku yakin saat dan waktu itu akan tiba..saat semua rakanku akan berganding bahu menumpaskan kau..
Hingga kau terpaksa bergantung pada POLIDENT suatu hari nanti..
Selamat tinggal Wan Abid..!
No comments:
Post a Comment