Sunday, 4 January 2015

Bibik Aku.. Terminator [bab 30]

Ayda memerhatikan Sarah yang terbaring di katil. Sekali sekala dilihatnya Sarah seakan tersenyum tika tidurnya. Bantal yang dipeluk begitu erat didakapnya.

"Teruk betul angau Sarah ni.." Ayda bangun dari kerusinya. Diperhatikan jam di dinding hampir menunjukkan jam 6.00 pagi. Dia perlu melaksanakan satu misi terakhirnya di pulau itu. Sarah ditinggalkan sementara di dalam bilik itu, membiarkan dia terus tidur dibuai mimpi indahnya. Ayda terus melangkah menuju ke arah bilik Ku Syafiq.

Deringan lagu Kiroro Mirae dari telefon bimbit Sarah mengejutkannya dari tidur. Hampir jam 6.45 pagi. Terus sahaja dicapainya telefon itu. Penggera di telefonnya dimatikan segera. Andai dibiarkan terus berbunyi, dia pula yang terbuai dan terus lelap semula bila mendengarkan lagu yang mendayu itu.

Dah bangun ke belum agaknya abi ni..dah subuh ni..jangan pulak tak solat..

"Hmmm.." garau sahaja suara yang menjawab di hujung talian itu. Baru terjaga dari tidurnya.

"Kau baru bangun tidur ye..?? Bangun sekarang pergi gosok gigi..ambil wuduk lepas tu pergi sembahyang subuh..!" leter Sarah pada Syafiq.

Jangan ingat mudah sangat nak bercinta dengan aku..

"Haha..first time kena fire bertubi-tubi ni..kau meleter dekat aku ke..??" tergelak Syafiq mendengar leteran Sarah itu. Terus segar bugar matanya pagi itu.

"Bukan meleter..nasihat.."

"Yelah sayang..nak bangun dah ni.." Syafiq berpura mengeliat. Padahal dia masih lagi terbaring di atas katilnya.

"Tapi dah bangun awal-awal ni takde upah ke..??" usik Syafiq.

"Upah apa pulak ni..suruh bangun pagi pun kena bagi upah ke..??"

"Yelah..kiss kat pipi.." seloroh Syafiq tergelak manja.

Hamboi..tak dapat lah kalau itu kau mintak der..

"Pergi sembahyang subuh sekarang..!" lantang disebutnya Sarah. Syafiq tak boleh dimanjanya. Jangan diberi peluang walau cinta telah diberikan malam tadi.

"Baik bos..!" terus sahaja panggilan itu dimatikan.

"Senangnya dalam hati..pagi-pagi ada yang kejut.." berlagu Syafiq menuju ke tandas.

Termenung dia di tandas. Selama ini jarang sekali dia mengerjakan solat subuh. Solat fardhu yang lain pula kadang-kadang tonggang terbalik. Terdetik di hati kecilnya. Sarah seolah bakal mengubah corak hidupnya selepas ini.

Usai solat pagi itu, Syafiq termenung di luar koridor biliknya. Indah sungguh pagi yang mendamaikan di pulau itu. Udara segar berlegar di udara. Tiada hiruk pikuk seperti di kota.

Pintu biliknya diketuk bertalu. Segera dia melangkah ke arah pintu. Bila dibukanya, Ayda tercegat di hadapan pintu itu.

"Ehh..awal sangat kau datang bilik aku ni Ayda..??"

"Saya ingatkan awak tak bangun lagi..jadi saya nak kejutkan awak.."

"Dah..tadi lagi Sarah dah kejutkan saya.."

"Baguslah.." Ayda berpaling untuk beredar dari pintu bilik itu.

"Ayda.." Syafiq memanggil semula Ayda sebelum dia berlalu pergi.

"Ye Syafiq..??"

"Terima kasih bantu saya malam tadi.." ucap Syafiq memandangkan segala perancangannya malam tadi telah diatur Ayda. Si bibik milik Sarah itu.

"Saya hanya menjalankan tugas.." jawab Ayda dan terus berlalu pergi.

Sarah terus bersiap mengemas segala perkakasannya. Dia perlu meninggalkan pulau itu hari ini juga. Walaupun baru semalam sahaja di tiba di situ. Namun kehadiran Ku Syafiq telah merencatkan segala perancangannya untuk bercuti.

Tapi nasib baiklah si pomen ada je dengan aku..kalau tak..tak tahulah apa yang jadi..

"Sarah..awak nak sarapan dahulu..??" tanya Ayda sewaktu mereka berdua keluar bersama dari bilik itu.

"Tak nak..risau aku kalau terserempak dengan Ku nanti.."

"Itu semua saya dah uruskan..awak janganlah risau.."

Semua kau dah urus..?? apa sajalah yang kau dah buat ni Ayda..jangan sampai mati anak orang tu dah la..

Syafiq menanti di ruang lobi resort seperti diarahkan Sarah. Sempat dia membelek majalah yang bergantungan di ruang rehat itu. Pandangannya terganggu bila tiga orang pekerja resort tergopoh gapah seperti ada yang tak kena.

"Kenapa ni..??" Sarah menanyakan kepada FOO resort yang mengambil kunci biliknya di kaunter lobi. Syafiq pula diperhatikan sedang melangkah ke arahnya.

"Ada penghuni resort ni terkurung dalam bilik..terkunci dari luar..itu yang kelam kabut staff ke bilik dia tu.." terang salah seorang FOO kepada Sarah.

Spontan pandangan Sarah dialihkan pada Ayda di belakangnya. Keningnya diangkat memberi isyarat pada Ayda.

"Langau.." jawab Ayda selamba dan terus menarik pergi beg Sarah menuju ke arah teksi yang akan membawa mereka ke jeti.  

Perjalanan dari pulau ke jeti Kuala Besut mengambil masa 45 minit dengan menaiki bot laju. Sepanjang perjalanan, Ayda hanya duduk seorangan. Manakala Sarah tak sudah berkepit bersama Syafiq.

"Cinta dah berputik..kalau bot karam mesti tak sedar.." bisik Ayda seorangan.

Tiba di jeti segala barangan dipunggah keluar. Sarah menuju ke arah keretanya sambil diekori Ayda dan Syafiq.

"Ok Syafiq..aku hantar kau pergi stesyen bas ye..??"

"Kenapa..kau nak pergi mana..??"

"Aku nak balik kampung dulu..kau baliklah KL naik bas.."

"Aku balik sorang..?? Ayda..??"

"Ayda ikut akulah..balik kampung.."

"Aku nak ikut sekali..!" tersengih Syafiq terus sahaja menyorongkan beg bagasinya ke dalam bonet kereta Sarah.

Heii..tak malu ke nak pergi kampung orang..aku tak ajak..kau pulak tersorong-sorong nak pergi..

"Tapi mak bapak aku garang.." Sarah cuba membuat helah.

"Tak kira aku nak ikut.." jawab Syafiq membidas semula kata Sarah.

"Rumah aku kecil..tak muat nak tidur ramai-ramai.."

"Tak kira..aku nak ikut.."

"Rumah aku panas..takde aircond.."

"Tak kira..aku nak ikut.."

"Bapak aku tak suka orang bangun sembahyang subuh lambat-lambat.."

Menelan air liur Syafiq. Tapi dia nekad. Dia tetap akan mengikuti Sarah pulang ke kampung halamannya.

"Tak kira..aku nak ikut.."

Hisshh..degil betul..malulah aku nak tunjuk kau dekat family aku..ayoyo..

"Nah..kau drive lah..!" malas lagi hendak Sarah bertekak dengan Syafiq.

Terimalah nasib kau dekat kampung nanti..!

Syafiq memandu sepanjang  6 jam perjalanan itu. Sarah hanya duduk di sebelahnya melelapkan mata. Ayda pula duduk di belakang tanpa bicara.

"Ohh..kau buat aku jadi kuli ye.." Syafiq mengusik hidung Sarah yang sedang lena di sebelahnya. Namun tiada respon.

"Hmm..tidur mati.." bisik hati kecilnya.

"Wargghhhh...!!" Syafiq menjerit sekuat hatinya. Hon ditekan bertalu-talu. Seolah ada sebuah lori ingin melanggarnya dari hadapan.

"Woii...!!" kelam kabut Sarah memandang ke hadapan. Syafiq hanya tergelak di sebelahnya.

Ciss..terkena..

"Jangan main-main Syafiq..accident betul-betul nanti..!" rungut Sarah sambil membetulkan kaca mata hitamnya.

"Kita kat mana ni..kenapa berhenti..??" tanya Sarah bila melihatkan deretan bangunan kedai di sebelah kirinya.

"Dah sampai pekan Kuala Pilah..aku nak pergi beli baju..baju aku tak cukup.." lantas pintu terus dibuka Syafiq. Menuju dia ke kedai pakaian yang berada di seberang jalan besar itu.  

Dah sampai Kuala Pilah..?? Patutlah berderet kedai emas..

Memang pekan ini cukup popular di kalangan pemburu emas seluruh Malaysia. Ramai yang mengatakan emas yang dijual di pekan ini kebanyakannya lebih murah dari harga pasaran semasa. Bertahun lamanya cerita itu berlegar hinggakan menjadi buah mulut di kalangan penduduk setempat.

"Kalau nak boli omeh..poi pokan Pilah..murah.." teringat Sarah kata ibunya dahulu.

Setelah 20 minit berlalu, Syafiq muncul semula sambil membawa lima beg plastik yang dijinjingnya.

"Banyaknya..apa kau beli..??" tanya Sarah selepas Syafiq memasukkan semua barangan ke dalam bonet kereta itu.

"Buah tangan untuk bakal mertua..dengan baju aku sekali.."

Pandai betul kau nak ambil hati orang tua ye..hati aku dah kau curi..sekarang hati mak bapak aku pulak nak kau curi..?? Patutlah beria nak ikut aku balik kampung..

"Dah..kita gerak ye.." ucap Syafiq terus memandu kereta itu semula di atas jalan raya.

"Im coming Sri Menanti..!" jerit Sarah keriangan. Lama juga dia tak pulang ke kampung menjenguk ibu dan bapanya. Telefon dicapainya, mendail nombor rumah ibunya.

"Haaa..itulah kau..dah sampai Pilah baru kau nak bagitau mak kau nak balik kampung kan..!"

Aduh mak ni..cakap tak reti betul nak kecikkan volume suara tu lah..bingit..!

"Iyo mak..akak nak baliklah ni..laie 15 minit akak sampai yo.." ucap Sarah pekat dalam dialek Negeri Sembilan.

Tergelak Syafiq bila pertama kali mendengar Sarah berbahasa minang. Namun hatinya lebih gusar mendengarkan jeritan ibu Sarah di hujung panggilan tadi.

"Garangnya mak kau Sarah.."

"Haaa..nanti kau taulah langit tu tinggi ko rondah.." terangguk-angguk Sarah cuba menakutkan Syafiq.

"Tapi comellah kau cakap minang..cuba cakap, aku suka kau, dalam bahasa minang.."

"Den suko kau.." jawab Sarah.

"Amboi..kasarnya bunyi..lagi sekali Sarah.." dirasakan comel bila Sarah berdialog begitu.

"Den suko kau.." ucap Sarah semula.

"Lagi sekali.."

"Kau nak kono pijak..??" bulat mata Sarah memandang ke arah Syafiq.

Kau kenakan aku ye..takpe..kau tunggu dekat kampung nanti..aku kerjakan kau..

"Tu..masuk simpang tu..rumah aku dalam tu.." Sarah menujukkan sebuah simpang kecil. Selepas membelok, tersergam sebuah rumah minang yang masih berdiri teguh. Atap yang melengkok di kedua-dua hujung membentuk seakan tanduk kerbau menyerlahkan kesenian binaan lama masyarakat terdahulu. Masyarakat minang.

"Siapa yang dekat tangga tu Sarah..??" Syafiq menunjukkan seorang tua yang sedang leka mengasah parangnya di hujung tangga.

"Itu abah aku kalau kau nak tau.." jawab Sarah dan terus keluar dari pintu keretanya.

"Mati aku ni.." bisik Syafiq menelan air liur. Ayda juga telah keluar meninggalkan dia keseorangan di dalam kereta itu.

1 comment: