Langkah kaki ku tuju longlai ke ruang pintu. Punggung dihenyak sebentar ke pangkin di ruang garaj melepaskan lelah di dada. Sepoi angin dingin yang bertiup lembut petang itu, menyamankan.
Tersandar sebentar melayangkan angan di benak. Kekusutan duniawi cuba dilempar jauh. Kerana kusut, belum tentu membahagiakan.
Kicau burung tak seindah biasa. Hanya singgah sementara sebelum berlalu pergi. Meninggalkan aku termenung seorangan.
"Bilalah hidup nak senang ni..pagi pergi kerja, petang balik kerja.."
Nafas dihembus deras. Cuba pula membuang senak di dada tika memikirkan hal kerja. Namun, lega itu hanya sementara.
"Hutang sana nak bayar, hutang sini nak bayar..duit pun tak pernah cukup.." sekali lagi nafas itu cuba dihembus jauh. Andai mampu, biar roboh pintu pagar rumah itu dek hembusan nafasnya. Biar jelas terlihat kebuntuan yang menepu dalam benaknya.
"Haishhh.." mengeluh adalah fitrah manusia. Lebih kepada meratapi sesuatu kesedihan dan juga masalah yang dihadapi. Namun, ada juga yang mengeluh dek kerana kegembiraan dan kesenangan yang dikecapi.
Yang gembira, mengeluh gusar andai kata kegembiraan yang dikecapi bakal pergi.
Yang kesenangan pula, mengeluh kesah dek khuatir kemewahan bakal lenyap.
"Haila..dunia oh dunia.." mata menyorot melihatkan sang kucing melintas. Terlenggok melangkah seolah tiada punya masalah. Tika makan, engkau makan. Tika bermanja, engkau bermanja.
Kan elok kalau aku jadi kucing.Sentiasa tenang tanpa masalah.
"Abi..??" suara lembut bidadari hati itu menoktahkan lamunanku. Si isteri muncul di sebalik kuakan pintu rumah. Terserlah keayuan menyambut pulang sang suami yang pulang saban petang.
Redup mata yang memandang diri ini, meruntuhkan segala gelora yang membadai dalam hati. Kau punya persona tanpa kata. Hanya dengan melihatmu, telah mampu menjernihkan kolam hati yang kian pudar tak berwarna.
"Sayang.." aku cuba tersenyum. Namun hambar. Mungkin jelas dapat dilihatnya diri ini tak segagah biasa. Mungkin yang hanya dilihatnya cuma jasad tanpa nadi. Yang rohnya entah terbang ke mana.
"Kenapa ni..?? Balik kerja termenung dekat luar rumah pulak..abi tak sihat..??"
Lunak suaramu mendebarkan jantung ini. Berdegup pantas tanpa ritma. Seolah ingin keluar dari jasad. Dan terus mendakapmu erat dalam pelukan.
"Takde apa sayang..abi ambil angin kejap dekat luar ni.."
Aku yakin, kau benar faham apa yang bersarang dalam kotak hati ini. Walau cuba ku dalih beribu alasan, kau tetap dapat menjejakinya. Sukar untuk aku mengaburi matamu. Kerana jernih matamu itu, melihat terus ke pelosok hatiku.
"Banyak masalah ke abi..??" elusan lembut tangan isteri mendakap kemas jemariku. Dibelai manja lengan yang membanting tulang sekian hari demi sesuap nasi. Wajah yang kusam direnungnya tanpa kelip. Jelas nyata diri itu tidak seutuh biasa.
"Sikit-sikit je sayang..kerja, biasalah..mungkin abi penat kot.."
Jari yang berlalu lembut di lengan diperhatikan sahaja. Kedutan halus menampakkan anjakan usia yang tidak semuda dahulu. Usapan jemari itu tidak selembut saat dahulu.
"Sayang.." jari si isteri kucapai perlahan. Ku renung jauh dalam ke tapak tangan yang semakin kasar. Tangan yang saban hari menunaikan amanah sebagai si isteri. Mengerah keringat, bertungkus lumus di istana kecil milik mereka tanpa rungut.
"Emm..??" dia hanya memerhati saat aku bermain dengan jarinya. Cuba menilik apakah yang cuba diselindungkan oleh diri ini.
"Maafkan abi ye sayang.." jemari digenggam rapi. Seolah cuba menyerap segala kekuatan dari si isteri. Agar dapat diperkuatkan diri sehebat si pemuja dirinya.
"Kenapa pulak..abi tak buat salah apa pun kan..??"
Pada mata kau mungkin tiada salah. Tetapi nun jauh di lubuk hati ini, terpendam rasa bersalah tidak bertitik.
"Maaf kerana abi tak mampu sediakan kemewahan untuk sayang.."
Pandangan dialihkan pada isteri tersayang. Seri wajah yang tak pernah lekang dengan senyuman manis itu, menghilangkan segala gundah dalam diri. Sesak dada dirasakan tanpa nafas tadi, kembali berlalu lancar tanpa sekat.
Aku tak sehebat Shah Jahan yang mampu memberikan segala kemewahan pada si isteri.
Aku tak sehebat Shakespeare yang bijak mengatur kata membahagiakan si wanita.
Aku tak sehebat junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang sentiasa menggembirakan Aisyah RA.
Aku hanya suami yang masih tercari-cari perjalanan hidup untuk membahagiakanmu.Yang masih lemah perlu dipapah, yang masih kabur perlu dipimpin.
"Abi..bukan kemewahan yang sayang cari dalam hidup..cukuplah dengan apa yang kita ada sekarang..ini pun dah cukup bahagia sayang rasakan.."
Tidak. Mungkin katamu hanya sekadar untuk menenangkan diri sendiri.
"Selama kita hidup bersama, tiada apa cela langsung yang abi tinggalkan pada sayang..segalanya indah..susah sayang, abi tetap tempuh bersama..senang abi, abi kongsikan bersama sayang.."
Kerana kau selalu ada. Kerana kau tak pernah hilang dalam diriku ini walau sesaat. Bagaimana aku hendak menidakkan kehadiranmu sayang??
"Dan anugerah terindah dalam penghidupan sayang ini, adalah abi..yang sentiasa bersama walaupun saat getir yang kita lalui..abi tak pernah mengalah demi sayang.."
Hujung kepala si isteri dilandaskan ke pehaku. Jari yang menggenggam makin erat dipautnya. Kau terlalu tabah sayangku. Walau dugaan datang tidak bertepi, kau tetap teguh berdiri mengharunginya. Kerana ketabahan itu, aku terpesona. Kerana kecekalan itu, aku terus kuat.
"Sayang.."
"Emm..??"
"Apa yang buatkan sayang selalu kuat untuk abi..??"
Setiap peluh yang mengalir di dahimu, tak pernah kau kesalkan. Setiap perit jerihmu, tak pernah diselangi kata rungutan. Setiap hela nafas lelahmu, tak pernah hadir bersama keluhan.
Nyata aku kagum dengan sifat dirimu isteriku.
"Andai sayang lemah pada mata abi, mampukah abi untuk terus kuat untuk sayang..??"
Aku sendiri tak punya jawapan untuk itu. Namun yang pasti, tiada lelaki yang mampu meneruskan hidup tanpa kehadiran wanita yang bernama isteri di sisi.
Kerana wanita yang digelarkan isteri itu, umpama cahaya yang menerangi di siang hari. Umpama rembulan yang mengindahkan malam kelam.
Tanpa sinar cahaya, gelaplah dunia. Tanpa keindahan rembulan, hilanglah seri kelam malam.
Hanya itu jawapan yang dapat kucerna untukmu. Andai kau tiada di sisi, isteriku.
Tiada kata dapat dibandingkan dengan pengorbananmu wahai isteri. Tiada coretan warna yang mampu ditafsirkan seindah wajahmu. Tiada nada yang dapat menandingi lunak suaramu berkata.
Saat aku lemah, kau selalu ada. Saat aku jatuh, kau dirikan aku semula. Saat aku rebah, kau bangkitkan diri ini untuk bangun. Saat diri ini bergelumang dengan mimpi ngeri, kau juga yang menyedarkan aku agar sedar dari tidurku.
Anugerah terindah kurniaan Ilahi pada diriku. Si isteri yang tak pernah lalai menghiburkan hati ini. Si isteri yang sentiasa merawat rawan di hati.
Si isteri yang sering sahaja mengundang kegembiraan dalam hidup ini. Si isteri yang sentiasa cekal untuk diriku.
Kau yang selalu indah. Kau yang selalu ada dalam tiap nafasku yang berlalu.
Kerana itulah, kau isteriku.
No comments:
Post a Comment