Bermulanya kisah berkurun lamanya sebelum kewujudan telefon bimbit Samsung S10. Hal diceritakan turun temurun dari zaman Nokia 3310 bermaharajalela dahulu, hinggalah sekarang.
Adalah menjadi dongeng di suatu ketika, saat kemasyuran suatu empayar yang dinaungi seorang raja yang amat berkuasa.
Satu empayar yang tiada tolok banding kekuatannya.
Jangan pernah ada musuh masuk menyelinap ke sempadan, maka dikerahnya semua bala tentera untuk memerangi.
Jangan pernah ada musuh yang mencabar daulat si raja yang memerintah, nescaya dikirimnya utusan perang untuk memenggal kepala musuhnya.
Jangan pernah ada musuh yang cuba memporak perandakan empayar yang dibinanya, maka bertiuplah semboyan perang tanpa henti memerangi si musuh.
Asal bertembung, akan dipancung. Asal berjumpa, akan ditikam. Asal berselisih, akan disula.
Kerana dia, si raja yang maha bengis!
Dikelilingi jutaan pahlawan perang yang sentiasa berjuang bersamanya. Tidak pernah berkira untuk menumpahkan darah andai diarah ke medan perang. Tidak pernah gentar menutur langkah ke medan perang andai dikerah. Tidak pernah muncul bacul di sanubari andai musuh berarak mengelilingi mereka.
Kerana mereka, hulubalang si raja yang pembengis.
Biar mati bermandikan darah, asalkan tanah yang dipijak, tidak tergadai ke tangan musuh. Nyawa dipertaruhkan tanpa paksa. Asalkan bumi yang dipijak, kekal menjadi milik untuk selamanya.
Namun, setiap kekuatan punya kelemahan. Setiap kekayaan, pernah mengalami kemiskinan. Setiap kemasyuran, pernah menempuh saat suramnya. Begitu juga dengan si raja pembengis.
Kerana tiap bengis juga, punya gentarnya.
"Kandaaaaa...!!"
"Iye dinda.." si raja melangkah laju saat permaisuri istana menjerit.
Huh..satu istana dah tau dah..si raja minum darah ni takutkan bini..sorok guane pun, orang dah tau..
"Dinda nak makan hati ayam bersalut tepung..bukannya tepung cap ayam bersalut hati..!!"
"Alahai dinda..maafkan kanda..nanti kanda arahkan tukang masak istana masakkan yang baru ye dinda.." semangkuk pinggan penuh berlaukkan tepung bersalut hati segera dicapai si raja. Langkah kaki diuja selaju mungkin menuju ke dapur masakan. Menyeringai lirik matanya memerhatikan si tukang masak yang terketar lutut tanpa bicara.
"Pengawal..!! Pancung tukang masak istana..!! Campak dalam kandang harimau..biar harimau makan..!!"
Haaa..macam tu lah garangnya si raja pembengis..garang kan..??
Tapi itulah..part bila bini marah, terkucil-kucil dia mengadap tu apesal..??
"Kandaaaaaa...!!" Sekali lagi lolongan si permaisuri menggegarkan istana.
Si raja apa lagi..gundah gulana lah..cha alip but..segera dia cabut ke ruang santapan semula..
"Iyeee dinda.." berdiri tegak di sisi isteri tersayang. Senyuman kambing tak pernah dilupa.
"Air sirap ni rasa sirap..!!"
Si raja bengis tarik nafas so deep..
"Dinda..dah namanya sirap, mestilah sirap..takkanlah rasa coconut shake pulak dinda.."
Si permaisuri ketap bibir. Mata membulat menonjolkan contact lens berwarna biru muda cair yang dipalitnya ke bola mata.
"Kanda menjawab kata dinda..??" tadi duduk. Sekarang dah bangun.
Si raja undur selangkah. Silap hari bulan flying kick si mama hinggap pula ke perut. Cegah sebelum kena.
"Tidak dinda..kanda cuma suarakan pendapat kanda sahaja.." si raja tunduk kepala. Lutut goyang tapi cuba bertahan.
"Dinda nak air sirap rasa tembikai susu...!!!!!!!!!"
Jumlah tanda seru dah tau kan berapa punya kuat dia punya jerit..atap rumah boleh gugur dek jeritan permaisuri si raja pembengis..kerana itulah, istana itu tak pernah punya atap..budget burst dek kerana asyik menukar atap sahaja..
"Baik dinda.." berlari semula si raja ke dapur. Mencari-cari si tukang bancuh air pula.
"Memanda bendahara..!! Mana si tukang bancuh air..??" wajah bengis penuh emosi terpancar.
"Ampun tuanku..si tukang bancuh air cuti tuanku.." ketar suara si bendahara mengiringi ketar lututnya.
"Kemana pulak dia bercuti..!!"
"Pulau Bali tuanku..main golf.."
"Cissss...!!" Si raja menghunuskan keris yang tersisip di pinggang. Kuda-kuda dipasak teguh. Rasa hendak ditikam-tikam sahaja si bendahara yang telah meluluskan cuti tahun si tukang bancuh air tanpa keizinannya.
Tapi, dah tentulah si bendahara tu wing man dia..mana sanggup si raja nak tikam..acah-acah mak limah je tu..
Si raja duduk tersandar di tepi peti ais. Meratap akan nasibnya yang tidak ketentuan arah. Kerana si permaisuri, lebih bengis dari dirinya.
"Wahai bendahara..bagaimanakah caranya beta hendak menundukkan si permaisuri..adakah punya penawarnya..??" Si raja meratap hiba.
Si bendahara duduk bersimpuh di sebelah si raja. Kerana dia, turut bersimpati dengan keadaan rajanya yang sedang berduka.
"Ampun tuanku..sembah patik harap diampun..tiada penawarnya tuanku..kerana penyakit itu, umpama virus yang menular tuanku..merebak tanpa ada penawar.." si bendahara tunduk selepas berbicara.
"Mustahil bendahara..beta yakin, setiap penyakit punya ubatnya.."
"Tidak tuanku..penyakit suami takutkan bini, tidak pernah punya penawar tuanku..melainkan..."
"Melainkan apa bendahara..!" Si raja kembali bersemangat. Seolah ada harapan di balik kerunsingannya itu.
"Melainkan tuanku kahwin lagi satu tuanku..ampun tuanku.."
Si raja bengis terdiam.
"Bodoh..baghal..! Itu bukan penawar..itu cari punca nak kena pancung..!"
Payah jugak jadi raja macam ni..bengis tapi takut bini..
"Apakah bendahara juga takutkan bini..??" Soal si raja.
"Semua hulubalang dan rakyat di negeri kita, semuanya takutkan bini tuanku..termasuklah patik tuanku..ampun tuanku.."
Ahhh payohhh..dah semua hok katang-katang, bunuh orang mandi daroh hari-hari, pun takut bini..??
"Mustahil bendahara..! Pasti ada seorang di antara rakyat dan hulubalang beta yang beribu di luar sana yang tidak gentarkan bini, bendahara..beta yakin pasti ada..!!"
"Ampun tuanku..patik tak tahu tuanku..setahu patik, semuanya takutkan bini tuanku..ampun tuanku.."
Si raja bengis mundar mandir di hadapan si bendahara. Janggut sejemput diusapnya perlahan. Memikirkan cara untuk mencari si suami yang tidak takutkan isteri. Kerana jika ada, ingin sahaja dituntutnya ilmu daripada sipolan itu. Agar dapat ditundukkan si permaisuri yang maha garang di istana itu.
"Beta punya idea bendahara..kumpulkan semua hulubalang istana mengadap beta..sekarang..!!"
Mencelinaplah si bendahara mengumumkan apa yang diarahkan oleh si raja bengis. Mengumpulkan kesemua hulubalang istana yang segak dan berbadan tegap mengadap baginda di ruang istana.
Si raja bengis melihat ribuan hulubalang berbaris di hadapannya. Dapat dilihat, semuanya lengkap berperisai, berpedang dan bertombak.
Bisep dan trisep hulubalang jangan cakaplah..sebesar mangkuk..!
"Wahai hulubalang beta yang gagah perkasa..!"
Intonasi penuh semangat dilaungkan si raja bengis. Mengundang gerun di hati semua hulubalang yang masih tidak mengetahui punca mengapa mereka dikumpulkan.
"Kepada mereka yang takutkan bini..sila berkumpul di sebelah kiri beta..kepada yang tidak takutkan bini..sila berkumpul di sebelah kanan beta..!"
Gah ucapannya didengari oleh semua hulubalang. Namun, tak menyangka si raja bengis itu mengarahkan sebegitu. Mereka hanya menuruti arahan yang diberikan. Maka melangkahlah semua hulubalang ke sisi yang seperti diarahkan si raja bengis.
Semuanya berkumpul di kiri..geng takut bini..
Namun hanya seorang sahaja yang tegak berdiri di sebelah kanan. Dan itu amat menggembirakan si raja bengis. Kerana dia begitu hampir dengan jalan penyelesaiannya.
"Lihat bendahara..! Beta sudah bilang, pasti ada seorang yang tidak takutkan bini.." jarinya menuding ke arah hulubalang tegap itu. Bendahara hanya mengangguk mengiakan kata-kata rajanya.
"Wahai hulubalang..! Apa rahsianya kamu tidak takutkan bini..??" bercahaya muka si raja mengorakkan senyuman.
"Ampun tuanku..patik takutkan bini juga sebenarnya tuanku.." terketar si hulubalang menyatakannya.
Merah padam wajah si raja menahan marah saat hulubalang itu memperkotak katikkan dirinya. Arahan yang diberi tidak diendahnya.
"Habis kenapa kamu duduk di sisi kanan..!! Kamu tahu kan apa yang beta katakan..kalau takutkan bini, berkumpul di sebelah kiri..!!" Si raja bangun dari singgahsana.
"Ampun tuanku..patik faham arahan tuanku itu.."
"Habis kenapa kamu berkumpul seorang diri di sisi kanan..??"
Si hulubalang terketar lutut mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Menunjukkan mesej dari si isteri.
"Bini patik yang suruh tuanku.."
Lagi takutkan bini rupanya dari si raja bengis..!!
Si raja bengis tepuk dahi.
Begitulah alkisah yang didongengkan zaman berzaman. Dengar kata empayar kuat yang terbina sekian lama, terkubur begitu sahaja. Gara-gara si permaisuri menghentakkan kakinya lalu menenggelamkan pulau yang didiami oleh puluhan ribu rakyat empayar itu. Termasuklah raja bengis dan para suami yang takut bini. Terus hilang negeri itu dari peta dunia.
No comments:
Post a Comment