Thursday, 22 January 2015

Penunggu Pohon Rambai

Rahman bersiul menolak basikal tua jenama Riley miliknya. Siulan sekadar menghiburkan hati yang sedang panas menggelegak. Menggelegak dek kerana rantai basikalnya putus tanpa memberi salam.

Terlalu lama sudah basikal itu menjadi kuda tunggangannya saban hari. Banyak tahun juga basikal itu telah mencurahkan bakti pada si empunya milik.

Namun entah mengapa malam itu, meragam pula basikal Riley kesayangannya itu. Maka terpaksalah malam itu, Rahman menapak pulang rumah. Sambil menolak basikal tuanya.

"Hutih hutih helatiiii...herah herah helimaaaa.." bait lagu Putih-Putih Melati dendangan ST12 dinyanyikan Rahman. Sengau.

Ye. Rahman dilahirkan sedikit sengau. Kerana itulah dia digelar Rahman Sengau di seantero kampung.

Akan tetapi sesengau Rahman, dia merupakan salah seorang penternak ikan keli yang berjaya di kampungnya. Di disegani dek kerana kepandaiannya berniaga. Malah dia juga seorang yang pemurah.

Kerana itulah dia Rahman Sengau.

Lampu suluh yang dibawanya tiap malam, tiba-tiba sahaja berkelip-kelip seolah mahu padam. Diketuknya perlahan ke handle basikal, terus sahaja lampu itu terpadam tidak bernyawa.

"Haaalaa hau hii..hase hi hau hak hadammm..!" rungut Rahman sengau sambil menyelitkan lampu suluhnya ke poket baju melayu.

"Hapehah hasib haku hi..hantai hutus..hampu hadam.."keluhnya lagi mengenangkan nasib.

Rahman melihat kelilingnya. Semak belukar dan pohonan hutan memenuhi di sebelah kanannya. Dan di sebelah kiri..

TANAH PERKUBURAN KG. SIALANG

Rahman tepuk dahi. Bertambah satu lagi dugaannya. Dari keputusan rantai basikal, lampu terpadam dan kini terpaksa pula melalui kawasan perkuburan untuk pulang ke rumahnya.

Cerita-cerita tidak enak mengenai kawasan itu mula berlegar di kepala Rahman. Paling diingatinya kisah yang diceritakan si Mail semasa minum bersamanya tempoh hari di kedai kopi Wak Lan.

"Betul Man..! Orang kampung dah haru la ni..memang pokok rambai yang dekat kubur tu, ada penunggu dok tunggu dia..!" bersungguh Mail bercerita. Matanya mundar mandir melihatkan sekeliling. Semua yang ada di kedai kopi itu, taat mendengar ceritanya.

"Hahhh..hau hipu..hane hade hantu haman hoden hacam hi.." Rahman meneguk kopi yang terhidang. Kuih jemput-jemput dikunyahnya penuh rakus. Cebisan surat khabar pembalut nasi lemak yang melihatkan foto Nora Danish dikerenyuknya.

"Harkhu harse hgau hang hirleee.." mulut masih penuh mengunyah, namun tetap juga dia ingin berbicara.

"Hang pasai pa Man..hang nak cakap, bagilah kosong mulut hang dulu..dah la hang cakap normal pun aku tak paham..bila hang cakap masa mulut penuh, lagilah aku tak paham.." berkerut dahi Mail memandang Rahman.

Jemput-jemput ditelannya. Rahman meneguk semula kopi untuk melicinkan tekaknya semula.

"Haku hakap..hau hu hile..!"

"Ehhh..aku cerita benda betul..hang sembuq aku cakap aku menipu..!" Mail bangun dari kerusinya. Masakan dia menipu, kerana dia sendiri pernah melihatkan penunggu pohon rambai itu.

"Sabaq Mail..hang orang macam Man ni, hang kene banyak istighfar.." Majid pula cuba menenangkan Mail.

"Hau hite ha hagi..haku hak hengar.." Rahman kembali pasang telinga. Hendak mendengar seseram mana cerita si Mail itu.

"Hade horang hakap.." Mail mengajuk sengau si Rahman. Penumbuk diangkat Rahman diarahkan kepada Mail.

"Sorry..tersasul.." Mail tertawa.

"Ada orang habaq mai..ataih pokok tu ada penunggu..barang siapa dok lalu situ malam-malam.." Mail terhenti sambil membuntangkan matanya melihatkan Majid dan Rahman.

"Poommm...!!"

Tersentak Rahman tika Mail mengetuk meja sekuat hatinya.

"Hodoh hau hi..! Thejut haku.." rungut Rahman pucat lesi mukanya.

"Akan di ganggu oleh si penunggu pohon rambai tu.." Mail merendahkan nada suaranya. Tergeleng-geleng kepalanya seolah bermunajat.

"Hupe hantu hu hane..??" Rahman makin teruja.

"Rambutnya panjang mengurai separas lutut..mukanya tertutup dek rambut yang mengurai..kain putih berjela panjangnya membaluti diri.." Mail terangguk-angguk pula. Rahman mengepit kaki.

"Bila rambutnya terselak..terserlah mukanya yang hodoh..mata terjojol keluar sebelah..ulat-ulat kecil keluar dari liang mukanya..gigi taringnya panjang melepasi dagu..darah sentiasa tak henti mengalir keluar dari celahan giginya.." mata Mail makin mengecil memerhatikan Rahman. Dia yakin, Rahman telah mula gentar.

"Itu jalan kau balik tiap-tiap malam kan Man..??" Mail jungkitkan kening. Senyuman penuh makna diberikan pada Rahman. Meja diketuknya dengan jari sedetik demi sedetik. Menanti jawapan dari Rahman.

"Hahhh..hau hipu..!! Hantu hakde..!!" bentak Rahman dan terus beredar meninggalkan Mail dan Majid.

Kini, dia sendiri berhadapan demgan situasi seperti yang diceritakan Mail. Hari gelap, tiada bulan menerangi dan...

Pokok rambai hanya 50 meter sahaja dari tempatnya berdiri.

Pohon itu cukup rendang. Berpuluh tahun sudah lamanya pohon itu berdiri tegak di tanah kubur itu. Namun baru ini pertama kali didengarnya tentang penunggu di pokok itu.

"Hahh..hail hipu he hu..haje hak henehan haku.." bisik Rahman perlahan. Cuba menenangkan dirinya sendiri.

Langkah diatur perlahan. Matanya hanya terarah ke jalan yang samar-samar sahaja dilihatnya. Tanpa lampu suluh dan cahaya bulan, cukup sukar baginya melihat apa yang ada di hadapannya.

Rahman tersentak saat bunyi si burung pungguk memecah suasana. Cukup sayu bunyi yang didendangkan si burung pungguk. Seolah meniupkan irama seram terus ke cuping telinganya.

"Hantu hunya hurung..haku hapat hau..haku hijak-hijak hau.." matanya meliar mencari sinar mata si burung. Puas dikerlingnya ke setiap pelosok arah. Namun tetap tak kelihatan.

Kata orang andai si ada binatang berbunyi di waktu malam, itu tandanya mereka melihatkan sesuatu. Sesuatu yang tidak dapat dilihat manusi. Mungkin sesuatu yang pelik. Kata orang tua-tua lagi, detak bunyi cicak di dalam rumah juga menandakan sesuatu.

Pokok rambai kini betul-betul di sebelah kanannya. Rahman cuba menjeling-jeling melihatkan ke batang pokok rambai itu. Hendak dipalingnya pandangan ke atas rimbunan pohon, takut pula menyelubungi diri. Andai terlihat penunggu pohon itu bergayut sambil mengilai-ngilai.

Rahman teruskan langkah. Lega hatinya tika mana pohon itu berjaya dilepasinya tanpa sebarang dugaan. Tiada hilaian. Tiada gangguan dari si penunggu pohon rambai itu.

"Hek helleh..hantu hu hane hehani hengan haku.." bongkak pula Rahman setelah dilepasinya pohon rambai yang dikatakan berpenunggu itu. Bersiul dia terus menolak basikal tuanya.

"Hape hulak hahikal hi herat hehacam hee.." Rahman terhenti. Entah kenapa basikal yang dari tadi ditolaknya dirasakan berat. Padahal sebelum dia melalui pohon rambai tadi, senang sahaja ditolaknya.

Rahman membongkok melihatkan tayar depan basikalnya. Kalau-kalau bocor pula tayar itu. Mungkin kerana itu dirasakan berat benar basikal itu ditolaknya.

"Hakde hulak hocor.." Rahman garu kepala. Dia beralih ke tayar belakangnya pula. Pun dilihatnya tiada bocor atau apa-apa sahaja yang menghalang pergerakan tayar basikalnya. Sekali lagi digarunya kepalanya yang tidak gatal.

"Hain hape hulak hi..??" juntaian kain berwarna putih terselit di celahan tempat duduk belakangnya. Seingat Rahman, tiada pula dibelinya kain pasang semasa ke kedai tadi.

"Hakpe hah..helok hugak..holeh haku hap heluh.." kain putih dicapainya. Lantas, peluh yang membasahi leher dan mukanya, dilap kering menggunakan kain putih yang terjuntai itu.

"Haikkk..hape hau hemeyan hulak hain hi..hangan hacam-hacam..." Rahman terketar. Teringatkan semula cerita si Mail tentang si penunggu pohon rambai.

Rahman mengangkat mukanya perlahan demi perlahan. Dia tika itu sedang mencangkung mengadap tayar basikalnya.

Perlahan..

Kepalanya diangkat meluruti juntaian kain itu..

Dari tayar beralih ke kerusi belakang basikalnya..

Kain itu masih terjuntai...

Diangkatnya lagi muka terus meluruti kain itu...

Hinggalah...

Terpaparnya satu lembaga yang diselubungi kain putih panjang berjuntai..

Rambut panjang mengurai menutupi muka..pangjang hingga melepasi paras lututnya..

Dan tika angin bertiup lembut..rambut itu perlahan terbuai dek angin..

Lalu menampakkan sebelah wajah lembaga itu..

Berulat, mata tersembul hampir terkeluar dari kelopak mata, dan lembaga itu..

Mengukirkan senyuman pada si Rahman..

Rahman mengengsot ke belakang. Mulut telah terkunci rapi. Hanya terdengar lututnya sahaja yang berlaga sesama sendiri. Hendak dijerit, lidah sudah terkelu. Hendak berlari, lutut semakin longgar dirasakan.

Rahman yakin, apa yang dilihatnya adalah penunggu pohon rambai. Langsuir!

Rahman yakin itu adalah langsuir.

"Hiiiiiiiii..hii hii hii....!!"

Langsuir pohon rambai itu mendakapkan tangannya. Perlahan semakin mendekati Rahman. Makin didekatinya Rahman, makin kuat hilaiannya.

"Hiiiii..hii hii hii.....!!"

Jari yang menampakkan kedut dan kuku yang panjang perlahan mendakap leher Rahman. Muka yang hodoh dan berulat makin menghampiri muka Rahman.

Saat hidung Rahman menyentuh helaian rambut si penunggu pohon rambai, terus sahaja dirasakan gelap pandangannya. Rahman pengsan tidak sedarkan dirinya. Kerana kata-kata egonya, kini dia pula menjadi mangsa si penunggu pohon rambai.

"Man..! Bangun Man..tidur atas jalan kenapa..!" Mail menggegarkan bahu Rahman yang terbaring kaku di sebelah basikal tuanya.

"Huihhhhh...!!" Bingkas sahaja Rahman bangun dari pengsannya. Dia memerhatikan sekeliling. Pohon rambai diperhatikan jua. Andai si langsuir berada lagi di sekelilingnya.

"Hang huwey..!! Hang huwey..!!" Rahman mencengkam lengan Mail.

"Kurang ajar..! Aku dah tolong..kau panggil aku suwey..!" terus sahaja kepala si Rahman ditunjal Mail. Berang digelarkan suwey oleh si Rahman sengau.

"Sabaq Mail..hang orang macam Man ni, hang kene banyak istighfar.." Majid cuba menenangkan Mail.

"Hang huwey..hang huwey.." Rahman merintih menyebutkan tentang langsuir yang dilihatnya. Namun tak dipedulikan si Mail dan Majid. Malah tunjalan di kepala pula yang diberikan Mail.

Sejak dari peristiwa itu, Rahman tidak lagi menggunakan basikal tuanya untuk kemana-mana. Dengan berbekalkan hasil jualan ikan kelinya, dia telah membeli sebuah kereta untuk membawanya ke sana ke mari. Dan kereta itu adalah..

He hem hau yu....

No comments:

Post a Comment