Pandang kiri, pandang kanan.
Lampu tiga warna di persimpangan empat itu ku perhatikan tidak menyala. Tiada merah, tiada kuning, tiada hijau. Tiada pedoman untuk ku rentas persimpangan itu. Tersalah rentas, untung lori datang menyapu kereta kecilku ini.
"Bismillahirahmanirrahim.." ku ucap setelah yakin tiada Ferrari atau Kawasaki Z1000 yang menderu sepantas kilat di kiri dan kanan jalan. Pedal ku tekan perlahan, stereng ku putar ke arah kanan.
"Mummy..kite nak pergi mana..??" si kecil yang masih lengkap dengan uniform sekolahnya, mula bersuara. Dia lihat ke luar tingkap. Bukan ini jalan pulang ke rumahnya dari sekolah.
"Ini kan jalan nak pergi pekan mummy..??" Si kecil menoleh padaku. Tangan masih lagi memegang erat Samsung S10 milikku. Leka benar dia dengan kartun yang ditontonnya di Youtube.
"Mummy nak belikan adik mainan ye..??" mukanya bersinar menonjolkan keriangan di hati.
Haila anak..itu sajalah yang kau ingat..permainan, permainan, permainan..
"Kalau mummy beli mainan..adik nanti mesti rajin belajar kat sekolah.." muka yakin ditonjolkan padaku. Cuba memperdayakan aku dengan kelipan mata dan memek muka comelnya. Kononnya permainan yang berlambak di rumah itu selama ini menjadi pendorong padanya untuk mengadap buku pelajaran.
"Kalau nak beli..adik nak yang patung Barbie tu..yang ada rumah tu.."
Dua ratus lebih harga tu nak oii..
"Boleh kan mummy kan..??" Kini lengan baju kurungku pula ditariknya.
"Sarah Qistina Quratun Nashiqin Bt. Ali..!" nada yang tinggi dan cegilan mata memandang ke arahnya, selalunya berhasil. Untuk menutup mulut dan meredakan adrenelin yang memuncak di dalam dirinya. Bibirku kutepuk perlahan. Baru merasakan nama anakku itu terlalu panjang bila disebut. Entah bagaimanalah cikgu di sekolah menyebut namamu tiap kali di sekolah hai anak.
Si kecil itu menundukkan kepala. Kerana dia sedar, dia sedang dimarahi. Skrin Samsung S10 kembali ditatapnya tanpa suara. Terus terdiam dimarahi oleh si ibu.
"Allahuakbar.." aku mengeluh tanda menyesal. Si anak kecil yang tidak tahu apa-apa ku tengking tanpa pangkal. Dia tak tahu kemana arah tujuku, kerana itulah dia bertanya. Lumrah si anak kecil, nalurinya sentiasa sahaja ingin mengetahui. Lantas sahaja dia kumarahi kerana persoalannya.
"Sayang..mummy nak pergi ambil kek adik..hari ni kan hari jadi adik.." kereta ku hentikan tepat di hadapan kedai kek. Si kecil angkat muka dan tersenyum. Dirinya yang tadi muram akibat dimarahi, kini ceria kembali.
"Nakkkkkk..!!" pintu kereta segera dibuka luas. Telefon bimbit dicampaknya terus ke lantai kereta. Terkedek-kedek si kecil itu berlari ke dalam restoran sambil mengendong beg sekolahnya yang penuh berisikan buku sekolah. Sengsara ku melihat dia menggalas beg itu.
"Astaghfirullahalazim.." aku hanya menggelengkan kepala. Telefon ku capai, dan lantas ku ekor langkahnya ke dalam.
"Mummy..!! Cepat..!!" deretan kek yang tersusun rapi di balik cermin kaca ditunjukkan oleh si kecil. Aku hanya melihat jenis dan senarai harganya.
"Mummy..adik nak yang tu..!" Jarinya menuding ke arah sebuah kek yang berwarna ungu.
BLUEBERRY CHEESE
RM82/cake
RM8/slice
"Adik..mummy tak suka la yang tu adik.." memang aku cepat muak dengan perisa itu. Yang menggamit hatiku, Chocolate Indulgence. Harga yang sama dan menepati citarasa ku.
"Bagi saya Chocolate Indulgence tu dik..take away ye..untuk birthday.."
"Alaaa mummy..adik nak yang tu..!" Bibirnya dijuihkan ke arah kek yang diminatinya.
"Tak sedap la tu dik..mummy tak suka.." aku hanya melihat si kecil itu telah memeluk tubuhnya tidak berpuas hati. Tanda protes.
"Ini hari jadi mummy ke, hari jadi adik..??"
Hmm..makin lama makin pandai pula dia menjawab..
"Ok macam ni..kita beli yang kecik je..kita makan kat sini nak..??" seorang ibu tak pernah mengecewakan si anak. Apa sahaja kehendak si anak, akan cuba diturutinya. Asal tidak melampaui batas. Wang ringgit dan titik peluh tak pernah dikeluhkan. Asal si anak, merasakan bahagia. Kerana itulah, gelaran ibu diberi. Bukan sebarangan gelaran yang boleh dijaja ke sana sini.
Sepotong kek kubawa ke meja kecil di sudut kanan restoran. Lelehan perisa Blueberry yang menyelaputi ruang atas gebu kek itu, mungkin menggamit selera anakku itu.
Aku hanya memerhatikan sahaja dia menyudu penuh nafsu. Disuanya ke mulut dan dikunyah perlahan. Namun, dijuihnya semula isi yang dimamahnya. Terkulat-kulat mukanya menahan gelora dalam mulut.
"Haa..kenapa..?? Tadi nak sangat kek tu..??"
"Masamlah mummy..tak sedap..!" dia tersandar ke kerusi. Putus sudah seleranya untuk menjamah kek yang masih berbaki.
"Mummy dah cakap tadi kan..adik tak nak dengar.." aku memang takkan mengusik baki kek itu. Kerana memang bukan seleraku.
"Biarlah jelah mummy..tak payah makan..tak sedap.." omel si kecik lagi.
Alahai anak..adakah kau tahu itu rezeki kurniaan Ilahi..??
"Adik..apa mummy selalu cakap..?? Makanan jangan dibazirkan..sebab setiap rezeki yang diberikan pada kita, itu tandanya Allah sayangkan kita..apa yang mummy selalu cakap lepas makan..??"
"Jangan bazir..makan bagi habis.." si kecil jawab perlahan. Muncung panjang ke hadapan.
"Adik tau tak..dekat luar sana ada orang yang tak makan berhari-hari.. nak dapatkan makanan pun susah..kalau dapat pun terpaksa berebut..sampaikan ada yang kena merangkak semata-mata nak dapatkan makanan.." aku terhenti menghela nafasku. Mata si kecil kulihat terkebil-kebil memandang ke arahku. Memang dia peminat setiaku kala aku bercerita. Kerana pada dia sahajalah aku bercerita selama ini.
"Ada yang terpaksa menahan lapar berhari-hati..minum air hujan yang bertakung atas tanah..sampai ada jugak yang sanggup makan bangkai binatang kerana lapar dik..adik tak kesian ke..??"
Si kecil hanya mengangguk kepala.
"Macam orang keding hitam tu kan..??"
Siapa pulak si keding hitam ni..??
"Siapa keding hitam tu dik..??" Aku kerut dahi. Entah apa pulalah yang dimaksudkan si kecil ini.
"Tuu..yang macam abi tengok dalam tv tu..orang keding hitam makan takde pinggan..makan atas tanah.." tergelak kecil anakku tika menyebutnya. Ini tentu dia menonton bersama ayahnya tentang kisah rakyat kulit hitam di kebanyakan negara kulit hitam. Hidup tidak terurus, tidak cukup makan dan minum.
"Tapi dia banyak makan la mummy.. sebab perut dia buncit..macam abi.." dia masih tertawa bila mengingati apa yang pernah ditontonnya.
Abi ni pun satu..lain kali terangkanlah pada anak apa yang ditontonnya..terangkan baik buruknya..sekarang si kecil dah salah tafsir..
Telefon yang berdering di dalam tas tangan menghentikan lamunanku. Tertera nama si suami memanggil.
"Hello abi..Nora ambil kek adik ni..kejap lagi Nora balik.."
Mataku hanya memerhatikan si kecilku itu menarik pinggan berisi sepotong kek yang masih berbaki di hadapannya. Syukur, mungkin dia memahami apa yang cuba ku sampaikan tadi. Kata-kata suami di corong telefon dengar tak dengar sahaja masuk ke cuping telingaku.
Si kecil bingkas bangun dari tempat duduknya. Pinggan yang berisi kek ditatangnya bergerak ke satu arah. Aku hanya melihat kerana telefon masih melekap di telinga. Dapat kuperhatikan si kecilku menuju ke arah tong sampah kecil di dalam restoran itu. Baki kek yang tidak dijamahnya dibuang terus ke dalam tong sampah itu tanpa rasa bersalah.
"Abi..kejap lagi Nora telefon balik.."
Aku bangun dan melangkah ke arah anakku di tepi tong sampah itu. Perasaan ini cukup mendidih bila si anak berkelakuan seperti itu. Andai tak mahu, boleh sahaja baki kek itu dibawa pulang ke rumah. Bukan dibuang sahaja ke dalam tong sampah.
"Adik..!! Apa adik buat ni..kenapa buang kek tu..?!" Pinggan di tangan kucapai. Jangan pula nanti pinggan itu pula menerima nasib yang sama. Terjunam ke dalam tong sampah.
Si kecil dongak kepala memandang ke arahku.
"Adik nak bagi keding hitam makanlah ni mummy..sebab adik tengok dalam tv tu, diorang makan dengan lalat..lalat penuh je dekat mulut keding tu..tapi dia makan jugak.."
Jawapan itu menyentak perasaanku..apa yang ditafsir si anak nyata terlalu lurus..dia hanya melihat dari satu arah sahaja..bukan seperti dewasa menonton, yang mampu menafsir perihal sesuatu dari pelbagai sudut..
"Iye mummy..keding hitam suka makan dengan lalat..betul..lalat kan suka tong sampah..nanti keding hitam boleh makan kek ni.." si kecil hanya angguk perlahan. Muka penuh yakin terpampang di raut wajahnya.
Wahai anak..kau masih terlalu kecil untuk memahami noda dunia tak bersempadan ini..maafkan mummy kerana tak mampu menerangkan kesemuanya padamu..nyata itu kesalahan yang melingkari mummy..
Aku pimpin tangan kecil anakku menuju semula ke kereta. Dalam hati, penuh rasa bersalah tidak terkekang. Sempat jua aku menoleh ke arah tong sampah kecil itu sebelum berlalu pergi.
"Percayalah..mungkin sepotong kek yang kau buang itu anakku, andai dihantar kepada si keding hitam, mampu dikongsi bersama oleh puluhan si keding hitam yang lain.."
"Dan lalat-lalat mereka.."